Utusan Online - Muka Hadapan |
Paip gas punca letupan awal pagi Posted: Paip gas punca letupan awal pagiOleh ZAINAL AZHAR MOHAMED TINGKAT satu hingga enam bangunan pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya rosak teruk akibat letupan kuat berpunca kebocoran gas di tingkat bawah bangunan itu menyebabkan empat individu cedera, pagi semalam. SUBANG JAYA 28 Sept. - Letupan kuat dari saluran gas memasak yang disangka bom di pusat beli-belah Empire Gallery, di sini awal pagi ini menggemparkan penghuni pangsapuri studio dan hotel di kompleks bangunan itu. Kesan letupan dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu menyebabkan enam tingkat bangunan tersebut rosak teruk, tiga buah kereta terseret beberapa meter manakala cermin di bangunan berdekatan pecah. Kerosakan paling teruk dikesan berlaku di tingkat bawah yang menempatkan restoran dan premis perniagaan. Sepasang kekasih yang sedang berjalan berdekatan restoran itu turut tercampak beberapa meter. Pemeriksaan pihak berkuasa mengesahkan ia berpunca daripada paip gas memasak yang meletup di sebuah restoran. Bagaimanapun hanya empat orang cedera iaitu dua pegawal keselamatan dan sepasang kekasih dikenali sebagai Tan Wern Fang, 24, dan Chua Chin Hong, 27. Mereka dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Pengawal keselamatan yang cedera ialah warga Nepal, Chhriy Dawak dan K. Surendran Kris, 33, yang patah kaki akibat tersepit di bawah timbunan barangan yang berkecai. Puluhan binatang peliharaan yang berada di sebuah premis di dalam bangunan tersebut turut dilihat dibawa keluar oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, letupan dipercayai berpunca daripada saluran gas memasak di sebuah restoran yang terletak di tingkat paling bawah. "Tetapi siasatan sama ada letupan berlaku kerana kecuaian atau disengajakan sedang dijalankan. Pasukan Bomba dan Penyelamat juga akan mengenalpasti jika letupan berpunca daripada litar pintas yang bertindak balas dengan gas. "Perkara yang perlu ditegaskan dalam kejadian ini ialah tiada unsur jenayah atau keganasan dikesan kerana ia berlaku akibat letupan paip gas," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian. Beliau memberitahu, kawasan pusat beli-belah Empire Gallery akan ditutup sementara waktu sehingga siasatan dan kerja baik pulih selesai. Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Mammoth Empire Holding yang merupakan pemilik bangunan, Datuk J. Y. Cheah berkata, kerja-kerja membersihkan bangunan akan dilakukan secepat mungkin. "Bagi mengenalpasti kerugian, kami akan menunggu tafsiran kerugian oleh 180 penyewa premis di bangunan itu," katanya. Dalam pada itu, Penolong Pengarah Kanan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya, Asfarizal Abd. Rashid menyangkal dakwaan pusat beli-belah Empire Gallery tidak memiliki sijil layak menduduki (CF). "Ketika siap dibina, bangunan tersebut hanya diberi CF sementara kerana perlu melakukan pengubahsuaian mengikut pelan, tetapi selepas CF tetap diberikan, baru operasi di situ dijalankan sehingga kini. "Dakwaan mungkin timbul kerana pernah diberi CF sementara, namun masalah ketiadaan CF sebenarnya tidak berlaku kerana bangunan itu beroperasi mengikut peraturan," katanya ketika dihubungi. |
Hanya logo halal Jakim diiktiraf Posted: Hanya logo halal Jakim diiktirafOleh NORLIZA ABD. RAHMAN PUTRAJAYA 28 Sept. - Berkuat kuasa 1 Januari 2012 hanya logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja yang boleh diguna pakai dan diiktiraf di seluruh negara. Serentak itu, semua sijil halal sedia ada terbatal pada malam 31 Disember dan semua pihak perlu mengemukakan permohonan baru kepada pengeluar tunggal iaitu Jakim. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu sejajar dengan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Persijilan Halal yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 11 Julai lalu bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972. "Untuk logo halal ini, pihak kita akan menguatkuasakannya pada 1 Januari 2012, bermakna selepas itu tidak ada lagi logo halal lain selain Jakim boleh digunakan, terutamanya di premis makanan dan restoran. "Kalau ada yang gunakan logo lain, kita boleh ambil tindakan iaitu denda RM250,000 dan tiga tahun penjara bagi syarikat atau kedua-duanya sekali, manakala bagi individu denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusof. Menurutnya lagi, 53 logo sijil halal dari luar negara juga akan ditentukan statusnya oleh Jakim. Ismail Sabri menjelaskan, semua Jabatan Agama Islam negeri akan memproses permohonan peniaga dan pihak industri sebelum dihantar ke Jakim untuk tujuan pengeluaran sijil logo halal. "Saya nasihatkan para pengusaha restoran yang sijil halalnya akan tamat sekarang atau tahun depan memohon secara 'dalam talian' dengan Jakim tanpa perlu menunggu sehingga akhir tahun kerana proses kelulusan kira-kira sebulan,'' katanya. Sementara bagi pihak industri pula, jelas beliau, Jakim bersetuju menangguhkan selama setahun kerana ada yang telah membuat cetakan dalam jumlah yang besar. Menurutnya, penguatkuasaan itu akan melibatkan lebih 1,500 pengusaha premis makanan dan industri. Bayaran permohonan untuk memperbaharui sijil logo halal ialah RM100 untuk kedai makan, RM400 untuk industri kecil dan sederhana manakala RM700 buat syarikat multinasional. |
Beratus rumah rosak dipukul ribut Posted: Beratus rumah rosak dipukul ributOleh RADHUAN HUSSAIN SELAIN rumah, bangsal perniagaan, bot milik penduduk kampung turut musnah dipukul ribut dan beberapa orang penduduk berusaha untuk menterbalikkan semula sebuah bot di tebing Sungai Terengganu berhampiran Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.- BERNAMA KUALA TERENGGANU 28 Sept. - Ratusan rumah dan kemudahan awam rosak akibat ribut di beberapa tempat sekitar daerah ini khususnya di Seberang Takir, Dataran Shahbandar di sini, malam tadi. Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam yang turut menyebabkan bangsal-bangsal perniagaan di pinggir muara runtuh dan diterbangkan angin. Beberapa pondok rehat dan papan iklan turut tumbang manakala banyak pokok menghempap kenderaan dan mengakibatkan talian elektrik serta telefon terputus. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian selama kira-kira sejam dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sehingga lewat petang ini masih menjalankan kerja-kerja pembersihan. Sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan wakil-wakil rakyat agar segera menghulurkan bantuan bagi membaiki kerosakan rumah penduduk yang teruk terjejas. Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Menurut Ahmad, beliau telah mengarahkan wakil-wakil rakyat di kawasan yang teruk dilanda ribut memberi bantuan segera. "Jangan tunggu lagi, kita harap bantuan segera diberikan terutama untuk membaiki atap rumah yang rosak dilanda ribut, " katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu. Beliau menyifatkan ribut yang berlaku semalam sebagai agak luar biasa berlaku di negeri ini memandangkan kebiasaannya melanda negeri-negeri di sebelah utara seperti Kedah dan Perlis. Katanya, kerajaan negeri juga masih menunggu laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami sebelum bantuan dihulurkan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan