Khamis, 29 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Abadikan keindahan alam melalui gambar

Posted:

Abadikan keindahan alam melalui gambar

Abadikan keindahan alam melalui gambar


JUARA FOTO... Gai Azhar atau nama sebenarnya Azhar Azli, pemenang utama pertandingan fotografi dalam Tenggol Underwater and Island Challenge bersama foto-foto yang dirakamnya baru-baru ini.


TATKALA orang ramai terpesona dengan keindahan pertunjukan bunga api sempena Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2011 (Floria 2011), seorang lelaki sibuk mengacukan kameranya ke langit, merakamkan detik-detik indah itu.

Itulah gelagat Azhar Azli, 41, yang hadir ke festival itu sebagai jurugambar rasmi kerajaan negeri Johor.

Dikenali sebagai Gai di kalangan jurugambar, beliau terlibat secara aktif dalam bidang fotografi selama 33 tahun dan menjadikan alam semula jadi negara ini sebagai subjek utamanya.

Menceritakan pengalamannya, beliau menyatakan kebimbangannya tentang pemuliharaan keindahan alam semula jadi agar tidak hilang ditelan arus pembangunan.

"Inilah soalan saya kepada diri sendiri setiap kali bertemu landskap atau pemandangan menarik," kata Gai, sambil menunjukkan beberapa gambar yang beliau rakamkan.

Menatap gambar-gambar itu, timbul rasa takjub dan bangga di hati penulis melihatkan keindahan yang dipaparkan. Sekali pandang, terasa keindahan sebegini hanya biasa dilihat di negara lain melalui kaca televisyen sahaja.

Gai berkata, walaupun terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perubahan keadaan alam sekitar, kepentingan bagi setiap manusia memainkan peranan adalah sangat penting untuk menjamin keindahan yang berkekalan.

"Memang benar kejadian seperti banjir, tanah runtuh dan pemanasan iklim adalah kejadian semula jadi, tetapi sedar atau tidak kebanyakan daripadanya berlaku akibat tindak-tanduk manusia sendiri yang tidak memikirkan kesan jangka panjang," tambah beliau.

Gai turut menyatakan bahawa komuniti jurufoto sepatutnya mempunyai sensitiviti yang lebih tinggi berbanding masyarakat biasa tentang kepentingan penjagaan alam sekitar kerana ia memberi impak kepada sumber mata pencarian mereka.

Beliau menggambarkan, andai kata tiada lagi landskap yang menarik, suasana yang segar serta keajaiban alam untuk diterokai, akan hilanglah satu lagi cabang seni foto yang berharga dan unik buat tatapan semua.

"Jangan hanya harapkan orang lain untuk menjaga alam ini untuk kita, sebaliknya diri sendiri sepatutnya mengambil sikap ke arah usaha itu. Jika terjumpa keadaan yang tidak bersih atau tercemar, bantulah untuk membersihkannya. Jangan pandang sahaja," tegas beliau.

Beliau yang berpengalaman menjadi pemandu pelancong turut berkata banyak pihak termasuk jurugambar dari luar negara berduyun-duyun masuk ke negara ini kerana kekaguman mereka terhadap keindahan alam di sini.

"Oleh itu, wajarlah setiap warga Malaysia untuk memainkan peranan memelihara khazanah negara ini daripada terus menjadi korban kerakusan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Apa yang kita perlukan cumalah sedikit kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat. Justeru, pengisian pendidikan yang betul amat diperlukan untuk membina generasi pelapis yang menyayangi alam sekitar," tambah Gai.

Gai turut menyatakan bahawa walaupun pencemaran memberi kesan buruk kepada alam, sebagai jurugambar, ada satu 'kebaikan' yang dapat dinikmati iaitu penghasilan gambar matahari terbenam yang cantik.

"Kawasan yang udaranya tercemar boleh menghasilkan variasi warna yang menarik akibat reaksi benda asing yang terdapat dalam udara seperti gas nitrogen, gas karbon monoksida dan habuk.

"Ia menghasilkan warna-warni yang menarik di langit, seperti ungu dan hijau (selain warna asas seperti merah, kuning dan jingga), warna lain juga boleh terhasil, bergantung kepada jenis bendasing yang terdapat (dalam udara) di sesuatu kawasan itu," katanya.

Beliau turut berkata sememangnya menjadi impian mana-mana jurugambar untuk merakam gambar matahari terbenam yang indah, tetapi apa yang lebih penting adalah penjagaan alam sekitar agar dapat dinikmati sampai bila-bila.

Gai yang juga pemenang utama pertandingan fotografi alam Tenggol Underwater and Island Challenge, baru-baru ini, kini meminati burung-burung di hutan sebagai subjek baru dalam kerja seninya.

Bersama rakan baik beliau, Chin Wai Foong, seorang usahawan, mereka meredah beberapa hutan seperti Taman Negara Endau Rompin dan Gunung Ledang semata-mata untuk mengambil gambar burung yang bebas berkeliaran di hutan.

Antara spesies burung yang pernah dirakamkan ialah Burung Merbah Kapur (Yellow Vented Bulbul), Burung Mati Anak (Plaintive Cuckoo) dan Pergam (Thick Billed Green Pigeon).

"Daripada pemerhatian kami, banyak burung sudah lari dari habitat mereka kerana tempat asal mereka diganggu oleh aktiviti pembangunan," kata beliau.

"Kurangnya sumber makanan akibat pembersihan kawasan dan penggunaan racun rumpai menyebabkan putusnya rantaian makanan untuk burung-burung, justeru ia terpaksa berhijrah," tambahnya dengan nada kecewa.

Fotografi telah membawa Gai ke banyak negara di Asia Tenggara termasuk Vietnam, Kemboja, Thailand dan Singapura.

Mengakui bahawa setiap negara yang dikunjungi mempunyai keunikannya yang tersendiri, beliau tetap berpendapat bahawa Malaysia adalah satu destinasi terbaik untuk merakamkan gambar-gambar berkonsepkan alam semula jadi.

"Harap keindahan ini tidak akan diusik sampai bila-bila untuk dinikmati oleh generasi akan datang," katanya mengakhiri perbualan. — BERNAMA

Salwa hidupkan amalan tradisi

Posted:

Salwa hidupkan amalan tradisi

Salwa hidupkan amalan tradisi

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
Gambar HALIM KHALID


Salwa Mohd. Saad melayan pelangan membuang toksik dan melancarkan pejalan darah melalui kaedah merendam kaki mengunakan produk mandian berasaskan herba.


MERAWAT dan menyegarkan badan dianggap satu keperluan kepada khalayak masyarakat untuk menampilkan diri lebih menawan, sihat fizikal dan mental serta memelihara kesihatan.

Meskipun arus zaman semakin moden, rawatan secara tradisonal tetap menjadi pilihan kebanyakan masyarakat.

Menyedari hakikat itu, seorang usahawan, Salwa Mohd. Saad, 31, memperkenalkan produk mandian berasaskan herba tempatan yang sesuai digunakan oleh semua lapisan usia tidak kira lelaki atau wanita yang dikomersialkan sejak setahun lalu.

Produk keluaran Chantiq Manees Trading yang menggunakan tema 'Kerana kecantikan adalah kemanisan hidup' mempunyai kelebihan tersendiri kerana penghasilannya berasaskan kepada bahan-bahan tradisonal yang diwarisi turun temurun.

Ia didatangkan khas dalam bentuk bunjut yang boleh direbus dan digunakan sebagai mandian.

Salwa yang merupakan pengasas produk berkenaan memberitahu, Mandian Herba Chantiq Manees mengandungi tujuh jenis daun herba yang kini sukar didapati seperti daun capar dan serai wangi.

Katanya, produk tersebut turut menggabungkan garam kristal yang dikatakan mampu memulihkan pelbagai penyakit selain menjadi bahan kecantikan alternatif pada masa ini.

"Herba mandian ini dibungkus dalam bungkusan yang lebih moden supaya mudah disimpan dan digunakan. Setiap uncang bunjut boleh digunakan lebih daripada sekali sehingga pati, warna atau aromanya hilang.

"Ia amat sesuai sebagai mandian wanita lepas bersalin semasa dalam pantang. Ia juga sesuai digunakan dengan menggunakan teknik air rebusan atau pengewapan (sauna), bertangas dan rendaman kaki," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Hutan Kampung di Alor Setar baru-baru ini.

Menurut Salwa, bagi wanita lepas bersalin, penggunaan produk keluaran Chantiq Manees dapat mengembalikan kesegaran dan mengurangkan sengal sendi dan saraf.

Selain itu, katanya, produk tersebut menjadikan kulit lebih menawan, segar, halus dan licin.

Katanya, ia juga membantu melancarkan peredaran darah dan membuang angin dalam badan selain aroma terapi untuk menghilangkan tekanan serta mengurangkan berat badan.

"Penggunaannya mudah iaitu satu uncang bunjut herba perlu direbus sehingga 15 minit dan apabila selesai, ia perlu dibiarkan suam sebelum digunakan," katanya.

Salwa memberitahu, Mandian Herba Chantiq Manees kini mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai bagi kegunaan seharian dan kalangan ibu dalam pantang bersalin.

Katanya, sejak mula dipasarkan setahun lalu, jumlah jualan kini mencecah 5,000 kotak sebulan. Pihaknya mensasarkan ia akan meningkat kepada 10,000 kotak menjelang awal tahun depan.

Menurutnya, produk mandian herba itu dijual pada harga RM17.90 sekotak dan mereka yang berminat menjadi pengedar serta stokis dialu-alukan.

Salwa memberitahu, Chantiq Manees Trading turut memperkenalkan sarung tungku herba yang dicipta khas bagi memudahkan ibu-ibu bertungku secara tradisional.

Produk tersebut sesuai untuk mereka yang mengalami lenguh badan, sakit pinggang atau wanita yang mahu mendapatkan semula bentuk tubuh menawan.

Katanya, sarung herba berkenaan dijahit bersama-sama ramuan herba dijual pada harga RM199.90.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai pengeluaran produk syarikat itu boleh menghubungi Salwa di talian 019-4984774 atau mereka yang berminat mendapatkan produk tersebut boleh menghubungi pengedar utama di talian 019-2386136 (Azrul) atau melayari www.chantiqmanees.com.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved