Ahad, 24 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tafsir semula erti pengganas

Posted:

Tafsir semula erti pengganas

Tafsir semula erti pengganas

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Bendera Norway dipacak di tengah-tengah taburan bunga ros di luar gereja besar Oslo ketika ratusan orang ramai memberi penghormatan kepada mangsa serangan bom pada 23 Julai lalu.


SERANGAN di Oslo, Norway pada 23 Julai lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 92 orang dalam dua kejadian berasingan di dua tempat berbeza. Tujuh terkorban dalam serangan pertama menggunakan bom di pejabat kerajaan dan pejabat Perdana Menteri, Jens Stoltenberg di Oslo.

Selebihnya, sekumpulan remaja yang maut dalam tembakan rambang di pulau peranginan Utoeya ketika menyertai kem belia yang dianjurkan oleh Parti Buruh pimpinan Stoltenberg.

Mengikut trend di Barat, perkara pertama difikirkan pihak berkuasa adalah serangan pengganas atau lebih tepat pengganas Islam.

Ini tidak pelik dan mungkin telah dijangkakan apabila Norway seperti Denmark dan beberapa negara Barat lain membiarkan media mereka mempermainkan karikatur Nabi Muhammad SAW sekitar Februari 2010.

Tindak balas orang Islam juga mungkin sentiasa menghantui pemerintah dan rakyat di Barat apabila Nabi Muhammad turut dikaitkan dengan khinzir, binatang haram bagi umat Islam.

Malangnya, penyerang yang berjaya ditangkap itu bukan seorang Islam sebaliknya warga Norway sendiri dikenali sebagai Anders Behring Breivik, 32, seorang anti Islam, berhaluan kanan selain tiada hubungan dengan kumpulan pelampau atau jenayah berat.

Bagi Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Azizi Muda, dunia kini sememangnya gemar menuding ke arah orang Islam di atas segala keburukan dan keganasan.

"Di Norway, sikap anti Islam itu kuat dan lebih kepada prejudis terhadap agama suci ini sedangkan kebanyakan orang Islam hanya bertindak ganas apabila terdesak.

"Skop politik di sana juga terlalu mahu menekan agama Islam sehingga rakyat di sana terikut sama sedangkan bukannya begitu ramai umat Islam di negara itu," katanya.

Azizi juga menempelek Barat yang masih berterusan mengaitkan semua aktiviti keganasan dengan agama Islam sedangkan pengganas Eropah lebih teruk lagi sifatnya.

"Tentera Republikan Ireland (IRA) dahulu lagi hebat, sekarang pun masih banyak kumpulan pengganas bukan Islam di Eropah.

"Mereka seperti lupa di sana pun ada atau cuba memperkecilkan peranan pengganas negara sendiri dengan memberi gambaran buruk untuk menjatuhkan Islam," tegasnya.

Tambahnya, serangan yang dilancarkan pengganas agama lain lebih teruk seperti mana tentera Eropah menyerang Libya yang tidak dikira sebagai keganasan kerana mendapat 'keizinan' terlebih dahulu.

Barat juga dakwanya, kini memupuk dan menanam rasa benci dan anti Islam di kalangan golongan kecil di bangku sekolah lagi.

Menurut beliau, orang Barat sebenarnya terlalu lemah ketahanan diri dan lebih memegang prinsip mahukan keselesaan hidup tanpa diganggu sesiapa.

Jelasnya, konsep 'hak asasi individu' memberi lesen kepada mereka melakukan apa sahaja sesuka hati tanpa menghiraukan norma, peraturan atau undang-undang.

"Mungkin kes di Oslo ini melibatkan orang yang hati dan jiwanya lemah. Sakit hati, tembak sahaja. Ini melambangkan orang yang tidak dapat mengawal diri sendiri," ujarnya.

Suspek serangan di Oslo itu dipercayai meletupkan bom di kompleks bangunan kerajaan itu beberapa jam sebelum menyamar sebagai anggota polis dan melepaskan tembakan di kem belia berkenaan.

Breivik dilaporkan sering melahirkan pandangan haluan kanan dan anti Islam di Internet dan memiliki beberapa senjata api berdaftar dan menyertai sebuah kelab senjata api.

Breivik juga menguruskan satu firma pertanian yang membolehkannya mendapat baja dalam kuantiti yang banyak iaitu bahan yang berpotensi digunakan dalam membuat bom.

Suspek dalam kenyataan pertama melalui peguamnya mempertahankan tindakannya itu sebagai 'sesuatu yang perlu dilakukan' tetapi mengakui perbuatan tersebut sangat kejam.

Breivik juga bersedia menjelaskan motif tindakannya itu pada 25 Julai (Isnin) ketika proses melanjutkan tempoh tahanannya di mahkamah.

Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berpendapat, serangan di Norway itu mungkin melibatkan politik dalaman memandangkan serangan bertumpu kepada bangunan dan program tajaan kerajaan.

"Mungkin juga suspek menghadapi masalah psikologi atau pengikut ortodok dan pelampau agama yang taksub dalam mengambil tindakan ekstrem membunuh sesiapa sahaja termasuk penganut agama sama demi agenda peribadi. Malangnya semua agama ada penganut yang taksub dan menjadi pelampau yang bertindak ganas termasuklah dalam Islam," ujarnya.

Tegasnya, bukan agama Islam sahaja yang mempunyai golongan sedemikian seperti mana di Israel sendiri, pelampau agama Yahudi yang taksub bertindak ekstrem terhadap penduduk Palestin

Tambahnya, IRA di Ireland pula melancarkan perang suci sesama Kristian antara fahaman Protestan dan Katolik sementara di Sri Lanka antara Buddha dan Hindu.

"Semua agama itu suci dan menolak keganasan. Oleh itu, tidak elok jika hanya menuding kepada Islam atas semua bentuk keganasan yang berlaku di seluruh dunia.

"Malangnya, Barat tutup mata bila libatkan agama selain Islam dan hanya ketengahkan kejadian yang libatkan umat Islam sedangkan pelampau agama menyalah guna dan mentafsir agama masing-masing mengikut agenda sendiri," jelasnya.

Mohamad Faisol mengaitkan kejadian di Oslo dan beberapa kejadian lain di Barat sebagai bukti kukuh bukan pengganas Islam sahaja yang melakukan serangan.

Tegasnya lagi, semua itu telah dijelaskan di peringkat antarabangsa termasuk oleh bekas pemimpin negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri bahawa agama Islam itu suci dan tidak ganas.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula telah mengajak dan mempromosikan Islam berfahaman sederhana bagi mengelakkan kejadian puak pelampau sedemikian.

"Oleh itu, Barat juga perlu buka mata membuang pemikiran skeptikal dan beri ruang untuk mentafsir semula definisi pengganas agar tidak lagi menindas agama Islam," katanya.

Mohamad Faisol berharap peristiwa di Oslo menjadi titik permulaan dan platform agar entiti-entiti berkenaan dapat memberi penjelasan sebenar pengganas kepada masyarakat dunia.

"Orang di Oslo juga ingin memahami bagaimana pengganas yang 'sepatutnya Islam' terbukti seorang daripada mereka yang beragama Kristian.

"Inilah peluang untuk memberi penjelasan sebenar, seterusnya mengelakkan Islam terus dipandang serong sebagai pusat pengganas dunia," tegasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Politik agresif pembangkang

Posted:

Politik agresif pembangkang

Politik agresif pembangkang

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

PADA Sabtu lalu, di dua tempat berasingan, dua pemimpin utama negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat dua peringatan berbeza tetapi dengan satu tujuan.

Najib di Perlis mengingatkan rakyat supaya tidak terpesong atau merasa gusar dengan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh apabila membangkitkan pelbagai isu seolah-olah terdapat banyak perkara yang tidak kena dalam pentadbiran negara.

Di Melaka pula, Muhyiddin mengingatkan pakatan pembangkang supaya tidak menggadaikan maruah negara dan keamanan yang dikecapi selama ini semata-mata kerana ingin mencapai matlamat politik mereka.

Dua peringatan ini diberikan kerana permainan politik yang ditunjukkan oleh pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas boleh dianggap sudah melampaui norma-norma kematangan dalam berpolitik.

Impian untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan seterusnya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti telah memungkinkan pakatan pembangkang mengamalkan politik agresif bagi meraih sokongan rakyat.

Mereka bukan sahaja memperlekeh dan memutar belitkan fakta terhadap segala usaha kerajaan BN malahan sanggup melakukan tindakan yang bertujuan untuk mencemarkan imej negara di mata dunia.

Tidak terkecuali dalam tindakan mereka ialah menyerang institusi-institusi tertentu seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi kehakiman.

Dalam erti kata lain, pakatan pembangkang kini begitu rakus untuk memperolehi kuasa politik sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya hatta keamanan negara sekali pun.

Najib dan Muhyiddin yang amat memahami corak politik bahaya oleh pembangkang itu memberi peringatan kepada rakyat jangan terperangkap dalam agenda tidak bermoral kelompok berkenaan.

Adalah sesuatu yang malang apabila Malaysia terpaksa memiliki satu pakatan pembangkang yang semakin tidak telus dalam perjuangan politik mereka.

Dengan kekuatan yang agak hebat di Dewan Rakyat dan berkuasa di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, sepatutnya pakatan pembangkang menunjukkan corak kepimpinan yang boleh dijadikan alternatif oleh rakyat jika mereka begitu bercita-cita mahu memimpin negara.

Tetapi ternyata pembangkang tidak layak untuk mencapai kedudukan itu, sebaliknya mereka hanya sekelompok ahli politik yang terlalu rakus untuk merebut kuasa. Mereka menuduh BN gagal dalam segala segi tetapi mereka sendiri tidak berupaya apabila diberi peluang berkuasa di negeri-negeri berkenaan.

Pendekatan politik agresif pembangkang dengan tujuan menyeret sokongan rakyat bagi menyebelahi politik 'gilakan kuasa' tersebut telah memungkinkan arena politik negara tidak pernah aman.

Dari semasa ke semasa ada sahaja 'serangan' yang dilakukan oleh pembangkang ke atas pentadbiran negara yang bukannya bertujuan untuk memberikan pandangan atau idea bagi mensejahterakan negara sebaliknya semata-mata untuk kepentingan politik mereka sahaja.

Pendekatan politik pembangkang ialah menyatakan semua yang dilaksanakan oleh kerajaan BN tidak betul, apa yang terjadi ke atas pemimpin mereka adalah konspirasi dan fitnah serta apa yang dilakukan oleh mereka sahaja yang betul.

Pembangkang ingin menggambarkan seolah-olah merekalah pakatan politik terbaik yang dianugerahkan oleh tuhan bagi memerintah Malaysia sedangkan hakikatnya perjalanan serta kerjasama politik mereka amat janggal dan kadang kalanya dilihat cukup 'aneh'.

Apa yang paling tidak boleh diterima ialah sikap pembangkang yang cuba mendabik dada seolah-olah merekalah pejuang sebenar kepada rakyat tetapi tindak-tanduk mereka lebih banyak menggugat kehidupan rakyat termasuklah 'mempopularkan' demonstrasi jalanan.

Semua itu membuktikan, Malaysia kini memiliki satu pakatan pembangkang yang tidak lagi bertindak sebagai 'check and balance' sebaliknya hadir dalam persada politik tanah air semata-mata untuk merebut kuasa pemerintahan.

Sebab itulah mereka berani melakukan fitnah, pembohongan, pendustaan dan memutarkan belit fakta dalam apa juga isu semata-mata mahu rakyat merasa ragu kepada kerajaan BN.

Contoh terbaru ialah berhubung situasi sebenar perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu, pembangkang sanggup melakukan pelbagai pembohongan dan fitnah demi memburukkan kerajaan BN terutamanya kepada PDRM.

Walaupun dalam banyak kes sudah menampakkan betapa buruknya perangai pemimpin dan sikap pakatan pembangkang namun semua itu berjaya mereka tangani dengan memutar belitkan fakta melalui 'serangan' secara konsisten kepada kebenaran.

Ia termasuklah menyerang habis-habisan institusi tertentu, memalsukan rakaman video dan mempolitikkan kematian.

Kesudahannya pembangkang berjaya menegakkan kepalsuan, mencetuskan keraguan dan membangkitkan kekeliruan sehingga menenggelamkan kebenaran.

Semua keadaan ini tidak akan menguntungkan rakyat dan negara, sebaliknya ia hanya menguntungkan politik pembangkang semata-mata.

Justeru adalah wajar dalam menghadapi 'kegilaan' politik merebut kuasa oleh pembangkang ini, semua komponen BN terutamanya perlu bersedia melakukan serangan balas bagi menerangkan fakta sebenar sesuatu isu kepada rakyat.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berjuang semata-mata demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara, 'kegilaan' politik pembangkang itu perlu dihentikan.

Ia kerana corak pendekatan politik yang diamalkan oleh pembangkang boleh menjejaskan kestabilan negara dalam semua segi.

Oleh itu lebih banyak program penerangan perlu digerakkan di peringkat akar umbi dan melalui media baru supaya rakyat tidak akan terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Salah satu cara yang paling berkesan ialah menjawab sesuatu isu itu secara serentak melalui akhbar arus perdana, media elektronik dan blog-blog pro kerajaan.

Langkah seumpama itu perlu dilakukan kerana pembangkang kini sudah mempunyai portal berita pro mereka yang sanggup memutar belitkan fakta demi kepentingan politik pembangkang.

Ia belum lagi mengambil kira bagaimana ada blog-blog pro pembangkang yang turut bersedia menabur fitnah kepada kerajaan dan cuba mengelirukan rakyat dalam sesuatu isu.

Begitu juga dengan lidah rasmi mereka, biar pun tidak ada permit tetapi ia tetap bertaburan di pasaran dengan fitnah-fitnah yang boleh meracuni fikiran rakyat.

Kesimpulannya, bagi berhadapan dengan politik agresif pembangkang, maka kerajaan BN juga perlu lebih agresif memberi penerangan kepada rakyat kerana akhirnya kebenaran pasti mengalahkan kerakusan!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved