Utusan Online - Pendidikan |
MCKK perintis program diploma di SBP Posted: MCKK perintis program diploma di SBP
SEKOLAH elit di negara ini, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mencatatkan sejarah baharu dengan pengambilan sebelas pelajar lelaki untuk mengikuti Program Diploma International Baccalaureate (IB) selama dua tahun bermula Jun lalu. Mereka merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang membuat persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di luar negara. Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Norlia Mohd. Shuhaili berkata, program persediaan ke luar negara ini diiktiraf oleh universiti antarabangsa seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. "Hasrat murni kerajaan adalah untuk memastikan setiap pelajar memperoleh pendidikan terbaik di serata dunia," katanya pada sesi dialog bersama guru dan pelajar sulung Program Diploma IB di MCKK, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini. Program IB merupakan program antarabangsa yang julung kali diadakan di SBP bagi persediaan pelajar ke luar negara dan MCKK menjadi perintisnya. Pentauliahan MCKK sebagai Program Diploma IB dilakukan oleh International Baccalaureate Organisation (IBO) setelah melihat kesungguhan pihak Lembaga Pengelola MCKK, barisan guru yang diketuai oleh Pengetuanya, Anand Baharuddin, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Bekas Pelajar MCKK (MACOBA). Justeru, tegas Norlia, MCKK perlu membuktikan mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kolej atau institusi persediaan pelajar ke luar negara yang lain. "Sebagai keluaran pertama, setiap mata akan memandang dan melihat sejauh mana keberkesanan program ini lebih-lebih lagi penaja yang membuat tajaan bagi setiap pelajar di sini," ujarnya. Sementara itu, Anand amat optimis program ini akan berjaya melahirkan pelajar cemerlang jika barisan guru sentiasa memberikan komitmen yang terbaik. "Buktinya, pentauliahan yang diperoleh adalah daripada usaha guru yang menyediakan dokumentasi untuk meyakinkan pihak IBO," terang beliau. Menurut Penyelaras Program Diploma IB, Fairuz Leman, tenaga pengajar program ini telah dihantar oleh KPM untuk mengikuti kursus ke luar negara seperti di Brisbane, Australia, Singapura dan Hong Kong bagi meningkatkan pengalaman dan pengetahuan. Setakat ini, jelasnya, seramai 12 guru akan mengajar subjek yang telah ditetapkan oleh IBO dan mereka komited untuk melaksanakan amanah yang diberikan. "Mereka juga sedar bahawa guru bukanlah setakat menjadi orang hadapan dalam pendidikan, malah meliputi kawalan disiplin dan tingkah laku anak didik mereka di kolej tersebut," katanya. Bagi pelajar perintis, Mohd. Najmudin Morad, program diploma ini akan membuka peluang ke luar negara untuk mengikuti jurusan kejuruteraan yang menjadi cita-citanya. "Untuk mencapai kejayaan, ia memerlukan keupayaan mental dan fizikal yang kuat," jelas pelajar tajaan Felda ini. Manakala Putera Hafriz Amiruddin pula memberitahu, sebagai bekas pelajar MCKK, dia tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dan berazam untuk memanfaatkan peluang yang diberi dengan sebaik-baiknya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Kursus kemahiran alternatif terbaik isi masa cuti Posted: Kursus kemahiran alternatif terbaik isi masa cuti
Pelajar disaran supaya mengikuti kursus kemahiran yang disediakan oleh Kolej Komuniti sementara menunggu pendaftaran masuk ke universiti pada bulan September. Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu memanfaatkan masa senggang yang panjang itu dengan mengikuti pelbagai kursus kemahiran jangka pendek oleh Kolej Komuniti di seluruh negara. "Pelajar boleh mengambil kursus mengikut minat masing-masing dan ia boleh dijadikan platform untuk mengenal pasti potensi diri," katanya. Beliau berkata demikian pada seminar peluang pengajian tinggi untuk pelajar SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya, baru-baru ini. Saranan tersebut disambut baik oleh 637 pelajar dan 42 guru dari sekolah di sekitar Putrajaya yang mengikuti program itu. Bagi Syed Imran Shah Syed Abdul Jalil Shah, 17, cadangan supaya pelajar mengambil kursus kemahiran di Kolej Komuniti merupakan alternatif yang perlu diberi keutamaan berbanding bekerja sambilan atau melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak berfaedah. "Dengan mengikuti kursus selama tiga bulan di Kolej Komuniti, kita akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan mengumpul kredit untuk dimanfaatkan apabila melanjutkan pengajian kelak," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1) ini. Manakala pelajar SMK Putrajaya Presint 11 (2), Nurafeeqah Shahrudin berpendapat, pelajar sewajarnya mengikuti kursus kemahiran di Kolej Komuniti kerana syarat kemasukan yang mudah serta yuran minimum serendah RM10 sahaja. "Kepelbagaian kursus kemahiran yang ditawarkan membolehkan pelajar membuat pilihan mengikut kesesuaian kerjaya pilihan masing-masing," ujarnya. Sementara itu, Nurul Nadia Mokhtar, 17, pula berhasrat untuk mengambil kursus kesenian yang ditawarkan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Menurutnya, kursus kemahiran tidak menjadi pilihan utama pelajar kerana mereka tidak mendapat maklumat yang tepat dan sebelum ini sesi kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) adalah pada Julai bukannya September. "Melalui seminar ini pelajar mendapat maklumat terkini berkaitan peluang melanjutkan pengajian, syarat kemasukan dan kemudahan pembiayaan," kata pelajar SMK Putrajaya Presint 11 (1) ini. Pada seminar sehari itu, pelajar didedahkan kepada peluang melanjutkan pelajaran dan saluran untuk melanjutkan pelajaran mengikut pencapaian akademik, minat dan bidang pilihan masing-masing. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan