Utusan Online - Feminin |
Posted: Ros peminat biruOleh BINTU RASYADA A. RAHMAN BIASANYA wanita lebih sinonim dengan warna merah atau merah jambu. Namun berbeza bagi pemilik kediaman yang menghiasi ruangan Tata Hias minggu ini, dia mudah jatuh cinta pada sesuatu benda yang mempunyai warna biru. "Bagi saya biru mendamaikan jiwa. Setelah penat seharian di tempat kerja, balik ke rumah dan mengamati warna ini hati saya jadi tenang," kata Rosmah Yusak yang selesa membahasakan dirinya Kak Ros. Sesuai dengan warna yang dipilih, karakter wanita itu juga banyak dipengaruhi oleh aura biru. Butir tuturnya lembut dan teratur, satu demi satu kisah mengenai kediamannya dicerita dengan teliti. Menurutnya, kediaman yang didiami sejak lapan tahun itu walaupun tidak luas namun cukup selesa dengan susun atur perabot yang minimum. Tambahan lagi dia sentiasa memastikan ia kemas, menjadikan rumah teres setingkat itu kelihatan agak luas. kediaman Dari bahagian porch lagi, warna biru sudah dipilih menjadi latar marmar dan juga cat bahagian luar rumah. Melangkah ke dalam kediaman, Ros bijak menentukan penggunaan warna biru untuk menjadikan ia tidak kelihatan semak. Cat biru hanya menghiasi dinding bawah yang dipisahkan dengan kertas pemisah, manakala atas dibiarkan putih bersih. Beberapa hiasan berlatar biru cantik bila digandingkan dengan perabot jati, yang mana menurut wanita itu dipilih sendiri oleh suaminya. "Saya memang jarang ubah kedudukan perabot. Kalau ada pun, cuma bunga-bunga dan perhiasan kecil sahaja. Langsir dan pengalas meja, kalau ditukar pun saya tetap pilih yang ada warna biru. Kalau tak semua biru, sedikit pun jadi," kata Ros. Wanita berasal dari Klang ini juga meminati hiasan kaca kristal dari Asia Barat. Namun katanya, tidak semua kristal asli mampu dimiliki berikutan harganya. Lantaran itu, perhiasan kaca seakan kristal turut menjadi pilihan. Selain itu, dia juga gemar kepada konsep Taman Inggeris namun pilihannya tentulah warna biru. "Memang susah untuk mendapatkan barangan seramik berbunga biru. Macam pinggan ini, saya tempah sendiri dengan jenama Sweet Touch," katanya. Segalanya biru Bukan terhad kepada perhiasan rumah sahaja, malah beberapa alatan lain seperti besen, bakul sampah, berus, tuala dan plastik sampah juga berwarna biru. Demikianlah obses wanita yang berkerja sebagai kerani ini pada warna alam itu. Mujurlah suami tersayang tidak pernah membantah, jauh lagi mencemuh ideanya dalam menghias ruang dalam rumah. "Biasanya dia mengikut saja apa pilihan saya. Anak lelaki tunggal saya juga begitu. Paling memudahkan kerja, mereka tak pernah sepah-sepahkan barang dalam rumah ini. Jadi mudahlah kerja mengemas saya," katanya. Bahagian dapur sederhana juga diserikan dengan perhiasan berwarna biru. Dari kabinet dapur, lantai malah koleksi pinggan, mangkuk, periuk dan gelas banyak yang terdiri daripada warna itu. Disebabkan penghuni kediaman itu cuma tiga orang, maka satu bilik yang kosong diubahsuai pemilik sebagai ruang makan. Dengan itu katanya, ruangan tersebut tidak menjadi sesak andai keluarga besar mereka bertandang. Masih mengekalkan warna biru, ruang ini kemas tersusun dan berseri dengan gaya bunga-bunga Inggeris. Masuk ke bilik tidur utama, katil jati berbingkai menarik perhatian. Ros melilit kain berwarna biru polos pada keliling bingkai, menjadikan ia kelihatan unik dan menarik. Tidak banyak perhiasan digunakan, sesuai dengan keluasan yang sederhana. Bagi peminat setia akhbar Mingguan Malaysia itu, walaupun kediamannya sederhana sahaja, namun ia cukup memberi keselesaan kepada mereka bertiga. Bukan hiasan mahal yang menjadi taruhan atau gah sebuah binaan. Dia menganggap menghias rumah itu bukan bertujuan menunjuk kepada tetamu yang datang, namun kepuasan yang tidak terhingga kepada penghuni yang menginap di dalamnya. Sesuai dengan kediaman yang terletak jauh dari ibu kota serta di kelilingi tumbuhan menghijau, menjadikan ia setenang warna yang dipilihnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: Koleksi Puteh 2011 RizalmanOleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH Tiada batas untuk pengalaman dan kreativiti bersatu. Idea seorang pereka tentang fesyen seharusnya menjangkau lebih daripada yang biasa. Mereka bijak mencari sesuatu yang baru. Itu juga semangat yang cuba ditunjukkan oleh pereka tempatan ini di sebalik koleksi terbarunya untuk Puteh Raya dan Pengantin 2011. Rizalman memang cukup popular dengan revolusi dalam rekaannya sepanjang 20 tahun kariernya sebagai pereka fesyen. Beliau berjaya merubah gaya kaftan dan baju kurung menjadi busana yang sangat moden dan mewah. Untuk koleksi musim ini, pereka ini bersama butik Puteh mempamerkan kreativiti dan kepakaran dalam melahirkan sesuatu yang segar tanpa mengenepikan elemen lama. Hasilnya, Rizalman membawa busana tradisional iaitu baju kurung kepada busana anggun yang lebih avant-garde untuk wanita moden hari ini. Rizalman meminjam beberapa potongan baju kurung tradisional seperti pesak gantung, kolar baju kurung Riau dan baju Kedah kepada sesuatu yang lebih moden. Perincian dan perhiasan digunakan untuk menambah nuansa avant-garde busana. Begitu juga kebanyakan daripada busana tersebut menggunakan bahan moden seperti organza kain jersi dan crepe. Kali ini karyanya bukan hanya cantik tetapi juga segar walaupun permainan warna hanya didominasi putih, hitam dan kelabu. Kaftan Antara siluet lain yang menawan dalam koleksi tersebut adalah ilham pereka untuk busana yang berasal dari Asia Barat, kaftan. Sememangnya sejak kebelakangan ini kaftan seolah-olah sudah menjadi ciri-ciri khas label Rizalman lantaran siluet kaftan yang digemari. Ramai wanita termasuk artis atau selebriti yang mengenakan busana panjang dan longgar ini. Hanya dengan perincian ringkas seperti sulaman, kaftan tersebut kelihatan eksklusif dan mewah. Berbeza dengan rekaan kaftan yang diperoleh di negara asal mereka, koleksi tersebut tentunya menawarkan alternatif gaya Asia Barat terutama dengan nuansa mewah dan elegan itu. Koleksi tersebut kini dipamerkan di butik Rizalman Ibrahim di Jalan Imbi, Kuala Lumpur dan butik Puteh di Damansara Perdana, Selangor. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan