Utusan Online - Johor |
Posted: RM200,000 bantu petaniOleh AZIZI MAJID
JOHOR BAHRU 23 Julai - Seramai 165 petani dan penternak di kawasan Parlimen Gelang Patah menerima bantuan pertanian daripada Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) keseluruhannya bernilai RM200,000 di sini semalam. Majlis penyampaian bantuan seperti racun, baja, benih ikan, peralatan dan jentera ringan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng selaku Pengerusi MPPP Gelang Patah. Menurut Ah Eng, MPPP Gelang Patah berperanan menyampaikan bantuan pertanian secara terus kepada petani dan penternak di kawasan tersebut. "Sejak 2008, lebih daripada 300 petani dan penternak di kawasan Parlimen Gelang Patah menerima bantuan membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM400,000. "Bantuan ini akan diberikan secara berterusan sehinggalah kesemua petani dan penternak mendapat bahagian masing-masing," katanya pada majlis penyampaian bantuan input dan peralatan kecil pertanian di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Johor Bahru Selatan di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian. Menurut Ah Eng, bantuan tersebut diharap dapat mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung para petani dan penternak di kawasan berkenaan dalam usaha meningkatkan produktiviti pertanian masing-masing. Sementara itu, seorang penerima, Mohamad Daud, 60, berkata, bantuan tersebut banyak memberi manfaat terutama kepada petani kecil sepertinya. "Dengan adanya bantuan seperti ini saya dapat menjimatkan lagi perbelanjaan kerana tidak perlu lagi membeli produk pertanian seperti racun. "Saya berharap agar bantuan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ia membantu golongan petani di negara ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
300 peneroka terima geran tanah Posted: 300 peneroka terima geran tanah
BATU PAHAT 23 Julai - Kira-kira 300 peneroka di Kampung Parit Tengah dan Kampung Belahan Tampok, Rengit kini menarik nafas lega apabila tanah yang diteroka lebih 30 tahun lalu kini menjadi hak milik mereka. Kesemua mereka berasa teruja apabila menerima geran yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sempena lawatan kerja beliau ke Parlimen Batu Pahat kelmarin. "Kerajaan sentiasa prihatin dan peka terhadap masalah yang membabitkan rakyat dan sedaya upaya kita akan selesaikan dengan sebaiknya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian hak milik geran tanah kepada 50 wakil penerima di Dewan Haji Hashim, Parit Tengah Rengit di sini. Seorang penerima, Zaidon Toha, 71, bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana hasil usahanya selama ini berbaloi. "Alhamdulillah kini semuanya dah selesai dan saya anak beranak rasa lapang dada dan gembira serta terharu," katanya yang menanam kelapa sawit di tanah seluas 0.6 hektar di Kampung Belahan Tampok di sini. Muhaimin Noor, 74, dari Kampung Parit Tengah yang meneroka tanah itu sejak 30 tahun lalu turut gembira dan bersyukur dengan pemberian geran yang diterimanya itu. Bagi Muhammad Azli Jasman, 37, usaha ayahnya, Jasman Wakilan yang meneroka tanah di situ kira-kira 30 tahun lalu berbaloi kerana kini mereka memilik geran hak milik sah ke atas tanah berkenaan. Adiknya, Muhammad Najib, 35, pula menganggap hasil titik peluh ayahnya berbayar dengan geran hak milik tanah yang lama diidamkan selama ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan