Utusan Online - Rencana |
Posted: Demonstrasi menuntut korbanOleh AZNAN BAKAR SEPANJANG Julai lalu terdapat beratus siri demonstrasi di seluruh dunia. Hampir semuanya mempunyai korban tersendiri. Sama ada korban dari segi kerosakan harta benda awam, kerugian perniagaan dan yang paling malang ialah kehilangan nyawa. Itu risiko yang berlaku dalam setiap demonstrasi, rusuhan, tunjuk perasaan mahupun perhimpunan haram. Tindak-tanduk liar para peserta, pertembungan dengan pihak berkuasa dan perbalahan dengan kumpulan yang menentang pasti akan meninggalkan kesan fizikal. Situasi yang berlaku di seluruh dunia memberi gambaran cukup jelas bahawa apa juga bentuk demonstrasi, perhimpunan, perarakan dan rusuhan tidak pernah meninggalkan kesan yang elok. Sama ada di negara maju yang kononnya bertamadun, di negara membangun seperti Malaysia mahupun di negara-negara miskin. Demonstrasi sentiasa datang bersama masalah. Yang membezakan sama ada ia kecil atau besar. Pihak yang bertanggungjawab menganjurkan aktiviti seperti itu sepatutnya sedar akan kesan yang bakal berlaku. Mengambil contoh di Bahrain misalnya, sejak Februari lalu sebanyak 33 nyawa telah terkorban ekoran demonstrasi oleh puak Syiah yang menentang keluarga diraja Hamad bin Isa al-Khalifa. Di Syria pada 17 Julai lalu, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam apabila penentang dan penyokong Presiden Bashar al-Assad bertempur. Yang paling dekat dengan negara ini ialah pertempuran antara kumpulan baju merah dan baju kuning di Thailand tahun lalu yang menyebabkan aktiviti ekonomi di Bangkok dan industri pelancongan di negara itu lumpuh selain banyak nyawa terkorban. Pada April tahun lalu, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh ekoran demonstrasi antikerajaan oleh kumpulan baju merah yang menuntut supaya parlimen di bubar. Walaupun pada tahun ini Parlimen negara itu dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan baru, namun ia tentunya tidak setimpal dengan nyawa yang melayang. Bak kata bidalan 'ikut hati mati ikut rasa binasa'. Itu juga yang berlaku di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu. Perhimpunan haram yang diketuai oleh Datuk S. Ambiga menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Kejayaan tertinggi perhimpunan haram itu ialah kematian Baharuddin Ahmad, 55, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur setelah dikatakan rebah dekat KLCC. Ambiga - bekas Presiden Majlis Peguam yang terkenal kerana 'penampilannya' dalam beberapa kes murtad - sebagai ketua perhimpunan haram yang majoritinya disertai oleh orang Melayu beragama Islam itu tentu sedar bahawa akan ada tindak balas daripada pihak berkuasa jika ia diteruskan. Tetapi kerana memikirkan publisiti yang bakal diperolehi terutama daripada media luar negara, maka hanya pertimbangan peribadi yang diambil kira. Tidak ada pihak berkuasa di mana-mana negara pun di dunia ini yang akan hanya duduk berdiam diri memerhatikan dari jauh apabila ada kumpulan berarak secara besar-besaran menentang kerajaan. Sedang penonton bola sepak pun di kawal rapi oleh pihak polis, inikan pula perhimpunan haram yang sudah pasti akan mendatangkan lebih banyak masalah daripada kebaikan. Di United Kingdom (UK) - yang medianya menghentam cara polis Malaysia mengendalikan perhimpunan haram 9 Julai lalu itu - polisnya turut membelasah para penunjuk perasaan antikapitalis yang diadakan di ibu kota London. Sebahagian besar daripada mereka ditangkap dan dihumban dalam penjara tanpa dibicara pun. Tidak ada pula jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat tindakan polis terhadap penunjuk perasaan di negara itu. Tetapi situasi di Malaysia berbeza. Pihak yang menyertai perhimpunan haram hingga menyusahkan jutaan penduduk Kuala Lumpur, yang menyebabkan perniagaan di tutup, kenduri dan majlis kahwin terjejas serta kerosakan harta benda awam tidak bersalah. Yang bersalah ialah polis yang mahu mengekalkan ketenteraman awam. Orang yang mencetus huru-hara, kacau bilau, yang membaling batu, yang berkumpul di tengah-tengah jalan hingga menggugat ketenteraman awam adalah wira yang perlu mendapat pembelaan. Selepas bertungkus-lumus memastikan ketenteraman dan harta benda awam terpelihara ekoran perhimpunan haram 9 Julai lalu, kini polis dibebankan pula dengan dakwaan kononnya mereka bertindak ganas terhadap kelompok peserta perhimpunan yang melanggar undang-undang tersebut. Sedangkan berbulan-bulan sebelum perhimpunan itu berlangsung pelbagai amaran telah dikeluarkan supaya orang ramai tidak menyertainya. Malah polis sejak awal lagi telah melakukan sekatan supaya para penyokong perhimpunan haram itu tidak berkumpul. Tetapi semua itu tidak diendahkan. Atas nama demokrasi dan hak asasi, mereka melanggar semua amaran dan larangan tersebut. Seolah-olah kumpulan itu sengaja meletakkan diri mereka supaya dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Tindakan-tindakan yang dilakukan oleh para pengikut Ambiga itu seolah-olah disengajakan. Supaya ia boleh dijadikan modal untuk memburuk-burukkan pasukan polis. Kini nyata kerana yang dipersalahkan ialah polis. Polis bersalah kerana melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan peserta perhimpunan haram itu. Polis bersalah kerana menggunakan meriam air. Yang paling serius kini polis dituduh membunuh salah seorang peserta perhimpunan itu. Daripada laporan-laporan yang disiarkan di Internet memberi gambaran seolah-olah polis tidak berhak berada di ibu negara pada hari perhimpunan haram itu. Kerana 'kesalahan' yang dilakukan oleh pihak polis itu, maka terpaksa ditubuhkan enam jawatankuasa bagi menyiasat kemungkinan berlakunya keganasan dan tindakan keras. Penemuan oleh jawatankuasa itu selepas ini kemungkinan akan menyaksikan beberapa anggota polis yang bertugas untuk mengekalkan keamanan pada hari itu dikenakan tindakan atau mungkin kehilangan kerja. Sedangkan mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram itu yang mendakwa dikasari polis enak menikmati hidangan yang disediakan di Pulapol. Inilah nasib pasukan polis di negara ini. Kerja keras mereka menjaga ketenteraman awam pada 9 Julai lalu langsung tidak dihargai. Sebaliknya mereka dikecam dan dilempar dengan pelbagai tuduhan termasuk membunuh. Perkara ini tentu tidak berlaku jika tiada perhimpunan haram yang diketuai Ambiga pada 9 Julai lalu. Ambiga dan konco-konconya tentu tersenyum puas kerana matlamat peribadi mereka telah tercapai. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Zon 'perang' di alam mayaBERJALAN dari stesen LRT Dang Wangi ke Puduraya dan kemudiannya dari Puduraya ke KL Sentral merupakan satu pengalaman apatah lagi pada 9 Julai 2011. Selepas memerhati demonstrasi reformasi 1998; kemudiannya perhimpunan Bersih 2007 dan Hindraf November 2007; suasananya jauh berubah walaupun tujuannya sama. Kedai ditutup termasuk serbaneka 7 Eleven. Pengangkutan awam lumpuh dan peniaga tidak menjalankan rutin harian mereka. Keresahan dilihat pada wajah bandar raya Kuala Lumpur yang sibuk luar biasa pada hujung minggu tetapi pada 9 Julai ia seolah-olah berkabung. Selepas berakhir perhimpunan itu, kesemua pihak masih bercakap mengenai 'Bersih' pada 9 Julai. Pasca perhimpunan itu pula melihat bagaimana ia menerokai ruang baru untuk terus berbincang mengenainya. Namun begitu, kelibat perhimpunan ini menjadi popular di ruang siber terutama melalui facebook, blog dan twitter. Penampilan medium baru ini membolehkan yang benar dimanipulasi dan yang salah boleh diubah mempengaruhi minda dan pemikiran umum. Masing-masing cuba mengurus persepsi dengan segera kerana siapa cepat akan dapat mengubah kepercayaan dan kebergantungan ke atas suasana sebenar. Walaupun begitu, perhimpunan berakhir sekitar 6 petang menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai motivasi sebagaimana berlaku di luar negara di mana peserta demonstrasi tegar sanggup berkampung dan bermalam sehingga mencapai objektifnya. Barangkali, komposisi kaum dan latar belakang negara menyebabkan ia sukar berjaya. Malahan, faktor sosio-ekonomi mendominasi perjuangan di beberapa buah negara sedangkan di negara ini, ia masih menjadi isu terkawal. Pasca 9 Julai melakar perbincangan dan penulisan berterusan terutama di alam maya. Medan siber menjadi lokasi pertemuan tidak bersemuka untuk meneruskan agenda masing-masing. Disebabkan tidak ada prasyarat untuk mengawal perbincangan walaupun dinyatakan dengan tegas keterbatasan penulisan komen, ia merupakan ruang 'kebebasan mutlak' untuk menyatakan apa saja sama ada pujian, kritikan, gurauan, maki-hamun ugutan, ancaman, sumpahan dan kemarahan; bergantung kepada mood dan komitmen individu. Soal salah atau benar sudah menjadi terpinggir. Zon perang 'Bersih' lebih hebat dari apa yang diperdebatkan sewaktu perhimpunan 2007. Kali ini, masing-masing bersedia untuk bergempur di alam maya. Ini bermakna, majoriti yang senyap ini sebenarnya menilai, memerhati dan membuat pelbagai tafsiran tanpa perlu berada di Sogo, Masjid Jamek, Puduraya mahupun KL Sentral ataupun istana. Tetapi adakah mereka mendapat keseluruhan apa yang berlaku atau hanya mengambil cebisan yang dikemukakan pelbagai pihak? Jika ada yang menyatakan 300,000 orang hadir, barangkali yang taksub akan percaya. Atas faktor keselamatan, Kuala Lumpur tidak melihat komposisi sebenar kaum dan bilangan. Yang dilihat hanyalah mereka yang masih percaya pada reformasi jalanan yang dibawa ke alam maya hari ini. Benarkah yang hadir faham dan mahu memahami tuntutan yang dibawa oleh pihak penganjur. Ramai menyatakan bahawa kerajaan boleh bertindak lebih baik tetapi kenapa tidak tampil sebelum 9 Julai agar pelbagai pandangan boleh diambil kira kerana ada dalam kalangan yang bersuara mempunyai ikatan langsung dengan kerajaan? Siapa boleh memberi jaminan dalam konteks kerencaman negara ini, perhimpunan yang aman dapat diadakan? Dilemanya, jika diambil tindakan pun salah, tidak diambil tindakan pun salah. Nilai moral, akhlak, akidah dan karakter menjadi garis pemisah kepada sama ada kita sudah bersedia kepada perhimpunan seperti ini. Siapa yang tidak mahu meraikan demokrasi. Demokrasi ada nilainya; ia tidak boleh dirobek untuk kepentingan sendiri; ia perlu difahami jika mahu matlamat akhir berjaya tanpa ada kepentingan politik mana-mana pihak. Sudah tiba masanya kesemua pihak mengetepikan kepentingan masing-masing dan mencari titik keseimbangan. Mengapa tidak pembangkang bekerja dengan Perdana Menteri dalam membincang pelan pembaharuan dan reformasi jika mahukan perubahan. Barulah, kita dapat melihat pembangkang yang berfungsi dan bertanggungjawab termasuk di Parlimen. Pembangkang yang berintegriti dan berhemah sudah pasti akan dihormati dan menjadi pemangkin kepada transformasi kepimpinan hari ini. Jika ini dapat dilakukan, nescaya alam maya akan melihat kehadiran mereka yang lebih responsif secara budiman dengan mengetepikan emosi dari lontaran provokasi kepada pihak yang tidak menyebelahi mereka. Apakah matlamat perhimpunan itu yang dirancang tercapai sedangkan kronologi menunjukkan bahawa perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diadakan tahun lalu dan tuntutan juga sudah dikurangkan. Daripada 17, ia menjadi 8. Bermakna melalui dialog, ia mampu dihalusi dan perinciannya juga boleh dimanfaat bersama. Jika gencatan senjata dapat dipersetujui, kita mampu bergerak ke hadapan dan membiarkan PRU menjadi 'zon perang' sebenar. Pelbagai pihak boleh tampil berbincang dengan SPR supaya dialog dan secara bermusyawarah mencari titik noktah. Perwatakan politik perlu ditanggal ketika perbincangan ini yang boleh turut melibatkan rakyat, agensi, badan-badan yang berkepentingan supaya secara rasional dan praktikal, ada hasilnya. Mengurus persepsi Bersih memerlukan langkah radikal agar tidak menggugat apa yang sudah dibina selama 54 tahun yang barangkali dengan sekelip mata boleh roboh jika masing-masing mempunyai agenda peribadi dan gagal mendengar isyarat rakyat kerana dalam tidak mahu 'menang sorak, kampung tergadai; yang dikejar tidak kesampaian, yang dikendung keciciran'; jangan sewaktu panik dan kecemasan baru mahu bertanya – 'Siapa benar dan Siapa Salah' serta impaknya kepada prestasi pola pengundian di PRU kerana Kedah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Perak serta Wilayah Persekutuan tumbang dalam PRU ke-12 dan 8 daripada 16 Pilihan Raya Kecil dimenangi oleh pembangkang walaupun sebelumnya secara berterusan menyatakan wujudnya 'pengundi hantu'. Usaha secara kolektif membawa transformasi komprehensif boleh dilakukan jika pasca Bersih melihat bahawa 'jalanan' mahupun 'medan siber' bukan ruang penyelesaian tetapi akan menambahkan rasa benci, prasangka, pembohongan, helah dan provokasi yang tidak menguntungkan apatah lagi jika dihujani dengan manipulasi yang bersifat ancaman. PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan