Utusan Online - Jenayah |
Sindiket dadah guna hotel dibanteras Posted: Sindiket dadah guna hotel dibanterasOleh RAHANA MOHD DAHARI
KOTA BHARU 20 Julai - Polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini yang turut melibatkan negara jiran dengan penahanan lima suspek di sebuah hotel di sini yang dijadikan lokasi urus niaga mereka, semalam. Dalam serbuan pukul 11 pagi itu, polis menahan semua suspek termasuk dua kakitangan sebuah hotel dan seorang wanita, kesemuanya berusia 27 hingga 48 tahun. Menurutnya, seorang lagi suspek maut akibat terjatuh dari tingkat lapan hotel terbabit ketika melarikan diri. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek yang ditahan direman seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Katanya, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md. Saad. "Suspek-suspek warga tempatan itu juga positif dadah sementara tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. "Polis percaya berjaya melumpuhkan sindiket jual beli dadah melibatkan dua negara (Malaysia dan Thailand)," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Mengulas lanjut serbuan tersebut, Mazlan berkata, suspek yang maut itu ialah Tengku Mohd. Habib Tuan Yazid, 24, dari Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini. Beliau memberitahu, polis turut menemui lima jenis dadah di dalam bilik hotel berkenaan iaitu dua botol heroin, 12 peket syabu, 235 biji ekstasi, 140 biji methamphetamine dan empat biji eramin 5 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM60,000. Polis juga, katanya, menemui mata wang ringgit berjumlah RM26,600 dan bath Thailand bernilai 640,000 (RM64,000). "Kegiatan itu dikesan sejak empat bulan lalu. Selepas intipan dan risikan dilakukan, polis mendapati kegiatan urus niaga dadah itu sering berpindah lokasi sehinggalah mereka mendaftar masuk ke hotel tersebut pada sebelah pagi sebelum serbuan dilakukan," katanya. Mazlan memberitahu, pihaknya akan turut menjalankan siasatan sama ada kesemua suspek mempunyai rangkaian dengan pengedar dadah di negara jiran. "Polis tidak akan berhenti setakat ini dan siasatan akan dijalankan termasuk mengesan sekiranya terdapat rakan-rakan suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah itu," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Bimbang rasuah golongan mudaBUTTERWORTH 20 Julai — Jumlah golongan muda yang terbabit dalam amalan rasuah semakin membimbangkan berikutan 61 peratus kes tangkapan di Pulau Pinang pada enam bulan pertama tahun ini melibatkan golongan itu. Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Latifah Md. Yatim berkata, peratusan tangkapan yang melibatkan golongan itu sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 71 peratus. "Sebanyak 27 daripada 44 tangkapan di negeri ini antara Januari hingga Jun tahun ini melibatkan golongan muda iaitu mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun," katanya kepada pemberita selepas Forum Perdana Ehwal Islam di sini hari ini. Forum anjuran SPRM Pulau Pinang itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff. Latifah berkata, bagi tahun 2007, tangkapan yang dibuat oleh SPRM Pulau Pinang yang melibatkan golongan muda adalah sebanyak 62 peratus, 2008 (74 peratus) dan 54 peratus pada 2009. "Tangkapan di peringkat nasional ke arah itu juga. Daripada 501 tangkapan antara Januari hingga Jun tahun ini, 277 tangkapan melibatkan golongan muda," katanya. Beliau berkata, golongan muda terutamanya pelajar terbabit dengan rasuah berikutan mahu mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang. Latifah berkata, golongan pelajar bertindak sebagai pemberi rasuah apabila ditahan polis kerana tidak memakai topi keledar atau tidak ada cukai jalan. Selain itu, katanya, keinginan untuk hidup mewah juga menjadi punca golongan muda terbabit dengan amalan rasuah. "Mereka ingin hidup mewah tetapi pendapatan tidak cukup...ini mendorong mereka terbabit dengan rasuah," katanya. – BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan