Selasa, 19 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Analisis tuntutan Bersih

Posted:

Analisis tuntutan Bersih

Analisis tuntutan Bersih

BANYAKNYA orang memilih jalan mudah dalam membuat keputusan penting dalam hidup. Sebagai contoh kecil, kita lihat bagaimana cara pasangan muda hendak membeli keperluan peralatan rumah untuk menghadapi hidup baru.

Mereka biasanya tidak akan membuat rujukan bacaan dahulu, sebaliknya segera bertanya kawan terdekat dan daripada pendapat kawan itulah mereka terus membuat keputusan. Kerap juga mereka kemudian menyesal bertahun-tahun kerana tidak membuat bacaan secukupnya.

Mereka pernah belajar cara membuat keputusan yang bersistematik, terutamanya yang pernah belajar di universiti. Cara membuat keputusan rumah tangga sebegini kemudian diwariskan pula kepada anak-anak. Anak-anak itu kemudian dewasa dan mengulang cara membuat keputusan yang sama. Cara demikian berterusan menjadi budaya.

Dalam hal ini, cita-cita Wawasan 2020 yang mencatatkan matlamat melahirkan masyarakat saintifik nampaknya hanya melahirkan beberapa orang pekerja sains dengan membawa pelbagai gelaran, sedangkan hidup mereka kekal dipenuhi kepercayaan tahyul.

Begitu pun, saya ragu-ragu sama ada golongan ini pernah membaca sendiri dokumen Wawasan 2020 atau hanya mendengar-dengar daripada kawan lalu menghakimi wawasan itu.

Daripada cara membuat keputusan itu, saya ragu-ragu juga sama ada pengikut demonstrasi Bersih baru-baru ini telah membaca dengan teliti memorandum Bersih yang hendak disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya itu.

Saya jangka ribuan daripada mereka itu tidak pernah pun menjeling dokumen itu, jauh sekali daripada membaca jawapan-jawapan oleh SPR atas alasan semua jawapan SPR memihak kepada pemerintah.

Seawal perenggan pertama, apabila membaca dokumen yang dinamakan Memorandum Pertubuhan (haram atau halal pertubuhan ini bukan urusan saya dalam konteks ini) Masyarakat Malaysia Mengenai Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010, seorang yang waras dan kritikal akan mempersoalkan ketepatan pendirian pertubuhan ini yang mengatakan "...Kami ... memegang kepada pendirian bahawa satu-satunya formula bagi penstabilan, peningkatan dan kemakmuran di Malaysia ialah melalui demokrasi 'pelbagai parti' yang sengit dan sihat." Kemudian, dokumen itu merujuk pilihan raya Britain 2010.

Selain daripada bahasanya kurang baik (seperti isyarat bahawa dokumen ini tidak dibuat dengan teliti mungkin atas desakan waktu untuk kepentingan tertentu), pembuat dokumen ini menyembunyikan fakta perbandingan bahawa di Britain atau di Amerika Syarikat (AS) hanya dua parti yang kuat bertanding, bukan seperti 'pelbagai parti' yang begitu bebas di Malaysia.

Meskipun undang-undang negara-negara itu membenarkan kepelbagaian parti untuk bertanding, hanya dua parti yang saling bertukar kuasa. Liberal Demokrat, parti ketiga di Britain, hanya pada pilihan raya yang lepas menunjukkan sedikit keupayaan, itu pun masih tidak sampai menguasai kerajaan sepenuhnya.

Di AS pula sehingga sekarang hanya dua parti sahaja yang mendapat liputan walaupun ada parti renik lain, seperti Parti Hijau, yang turut serta. Ini semua adalah hasil kerja kapitalis. Mengapa tidak diberitahu kepada orang muda dalam Bersih bahawa kuasa menentukan monopoli kuasa di negara Britain yang Parlimennya jauh lebih tua daripada Parlimen Malaysia itu telah dipindahkan daripada suruhanjaya pilihan raya mereka kepada golongan kapitalis yang menguasai parti-parti di sana – yang menentukan berapa parti sahaja yang boleh hidup.

Jika kerajaan di Malaysia mereka katakan jahat, mereka lupa kerajaan boleh ditukar oleh warganegara melalui sistem undi tetapi jika kapitalis antarabangsa itu yang jahat, warganegara tidak ada kuasa apa-apa untuk menukar mereka. Pemimpin mereka bukan dipilih melalui pilihan raya.

Elok juga jangan dilupakan sejarah Syarikat Hindia Timur, syarikat kapitalis yang diberi 'charter' oleh Raja Eropah untuk menjajah Asia termasuk Malaysia beratus-ratus tahun, telah menafikan sama sekali hak kebebasan rakyat negara yang dijajah memilih pemimpin sendiri.

Peserta demonstrasi juga tidak diberitahu oleh ketua Bersih bahawa mereka dipergunakan oleh pemimpin mereka menuntut paha selepas mendapat betis.

Buktinya, pada perenggan dua memorandum itu dicatatkan pernyataan memuji sistem pilihan raya di Malaysia yang berbunyi "menjurus kepada pilihan raya 2008, Malaysia melalui perubahan gaya di dalam kerajaan, dari sebuah kerajaan berbentuk kuku besi kepada sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Orang awam telah berpeluang mengecapi sebuah persaingan di antara BN dan PR yang mana ia membawa sebuah reformasi pentadbiran dan dasar-dasar yang lebih bersifat inklusif."

Mereka memberi kepujian terhadap perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem politik Malaysia tetapi sejurus perubahan itu diberi, mereka membawa orang ramai yang 'semi-jahil' ke jalan raya menuntut sesuatu dengan kekerasan.

Mengapa demikian balasan kepada keterbukaan yang telah diberi dan yang mereka puji itu? Nampaknya, yang mereka minati bukan transformasi tetapi sesuatu yang lain. Hanya orang yang terlalu jahil sahaja yang tidak mengesan maksudnya.

Dokumen itu pula seperti dengan sengaja ditujukan kepada sasaran yang salah iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Antara tuntutan itu termasuk (i). Hak mengundi dan pembuangan undi yang meliputi pendaftaran automatik, menurunkan usia mengundi, tidak hadir membuang undi dan (ii). Persempadanan semula kawasan (iii). Akta Pilihan Raya berkaitan tempoh kempen dan Akses Media, (iv). Demokrasi pelbagai parti dan (v). Pentadbiran pilihan raya. Semua tuntutan itu sepatutnya ditujukan kepada Parlimen.

Mereka tidak menjelaskan bahawa hanya Parlimen yang boleh membuat undang-undang seumpama Akta bagi merealisasikan semua tuntutan itu, bukan SPR.

Dari awal mereka seperti telah merancang bahawa apabila jawapannya 'tidak dapat', mereka akan mengeksploitasikan kemarahan peserta demonstrasi bahawa SPR yang tidak adil itu degil, tidak menerima tuntutan majoriti rakyat yang mahukan perubahan.

Pada hal, jika Parlimen menolak cadangan-cadangan Bersih atau SPR, mereka mesti mengiktiraf bahawa penolakan dibuat oleh majoriti ahli Parlimen yang telah diundi oleh jutaan rakyat berbanding beberapa ribu orang, atau kalau sejuta sekali pun, yang menggunakan jalan raya untuk menggantikan kerajaan.

Selagi mereka menerima Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen, mereka mesti menerima keputusan-keputusan Parlimen itu. Jika mereka ingin mengubahnya, mereka perlu melalui pilihan raya juga.

Buat masa ini mereka mesti menerima hakikat bahawa mereka tidak kuat di Parlimen dan apabila kehendak mereka itu diundi, mereka akan kalah.

Seterusnya saya meneliti pula kesahihan pernyataan ketua penganjur yang menggambarkan Bersih diwakili oleh segenap lapisan rakyat.

Daripada senarai 60 badan yang 'endorsed' memorandum itu terdapat banyak badan tersenarai yang tidak pernah didengar pun, semata-mata bagi menggambarkan senarai yang panjang.

Daripadanya terdapat 11 badan yang namanya berkaitan 'India' (tanpa prejudis kepada kaum Tamil di Malaysia), belum termasuk yang tiada jenama sedemikian tetapi ahlinya sama.

Daripada jumlah besar itu juga hanya 14 badan yang menggunakan bahasa Melayu bagi menjenamakan diri mereka berbanding 46 yang lain menggunakan bahasa Inggeris. Bahkan, badan yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim pun menggunakan bahasa Inggeris iaitu Anwar Ibrahim Club (AIC).

Dalam hal ini mungkin sasterawan dan pejuang bahasa Melayu yang kelihatan ramai menyertai demonstrasi itu tidak sedar atau tidak perlu ambil pusing kerana 'musuh bahasa' kepada mereka hanyalah kerajaan.

Peraturan wajib menggunakan bahasa Melayu yang sering dituntut oleh pencinta bahasa Melayu tidak perlu dipakai untuk yang lain, terutamanya untuk kalangan penentang kerajaan.

Demikian secebis pemerhatian saya tentang kandungan tuntutan Bersih. Saya dapat mengesan penganjur tuntutan ini menggunakan pelbagai strategi perang yang tidak mulia. Pelbagai tipu helah digunakan demi mencapai matlamat yang mereka anggap lebih agung.

Bayangkan jika ada nyawa orang yang ikhlas dan tidak berdosa hilang dalam suasana dan keadaan yang tidak menentu itu berlaku, tidakkah mereka merasa berdosa terhadap yang terkorban itu semata-mata melayan cita-cita mereka?

Terhadap soalan saya itu, mereka mungkin sudah bersedia dengan jawapan berbunyi "jika polis tidak mengganggu semuanya akan jadi aman."

Akur sahaja dengan jawapan itu, para pengikut pula seperti tidak terfikir bahawa polis itu bukan dewa-dewa yang tidak pandai marah jika dicaci, dihina, diperbodohkan dengan perkataan-perkataan yang sangat menyayat hati?

Tidakkah perancang demonstrasi yang beragama Islam pula takut akan ingatan "tidak akan mencium bau syurga orang yang menitiskan darah saudaranya yang lain?"

Mungkin mereka akan menjawabnya pula; "Saya telah berijtihad dan saya juga telah bertahajud pada sepertiga malam tadi untuk mendapat petunjuk, dan petunjuk itu memberitahu, "kamu berada di jalan yang benar."

Sambil termenung saya berfikir, bolehkah masa hadapan negara diputuskan oleh warganegara yang membuat keputusan seperti hendak membeli peti sejuk atau mesin basuh?

TAN SRI DR. NORDIN KARDI, Penyandang Kursi Za'ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tafsiran halus perhimpunan haram 9 Julai

Posted:

Tafsiran halus perhimpunan haram 9 Julai

Tafsiran halus perhimpunan haram 9 Julai

Oleh TAN MELAKA

SEMENTARA akhbar Melayu terutama Utusan Malaysia bermati-matian menafikan pihak polis bertindak liar melakukan kekerasan dan keganasan terhadap penunjuk perasaan haram Bersih 9 Julai lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris Ahad lalu secara halus dan bijak meyakinkan pembacanya bahawa polis telah bertindak demikian dengan memberikan bukti bahawa orang UMNO turut menjadi mangsanya.

Menurut penulis kolum di akhbar mingguan Inggeris itu, Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Datuk Ahmad Zaki Zahid yang lebam tangannya terpaksa menerima rawatan dan tentunya beliau tidak berterima kasih kepada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang memukulnya dengan cota dan seorang lagi yang tidak disebutkan namanya turut cedera di kaki.

Ketua Pemuda Bukit Bintang pula dipukul di belakangnya dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ditahan setelah disembur dengan gas pemedih mata.

Ini adalah perkara biasa dalam mana-mana tunjuk perasaan apabila polis merasakan bahawa keselamatan orang ramai terancam. Tetapi kepada kolumnis yang memperjuangkan hak asasi manusia, perkara ini adalah luar biasa.

Setelah menyebutkan kecederaan kepada pemimpin UMNO itu lalu disentuh pula oleh penulis ini tentang Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang terpaksa berkerusi roda untuk memberikan ceramah di sana-sini dengan diberikan sambutan sebagai wira dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala.

Kenyataan kolumnis itu tanpa mempersoalkan kebenaran atau kesahihannya sama ada lakonan atau lain-lainnya dengan mengemukakan pemimpin UMNO sebagai turut terlibat, maka tentulah berjaya memperkukuhkan keyakinan pembaca akhbar tersebut terhadap pelbagai tindakan polis yang didakwa oleh pakatan pembangkang sebagai kejam. Nampaknya, sudah ramai yang pandai berlakon dalam pakatan tersebut, bukan hanya Anwar Ibrahim seorang.

Bahawa ketua-ketua parti pakatan ini mencabar dan menyerang polis dalam tunjuk perasaan itu tidak dirasakan perlu untuk dicatatkan oleh kolumnis itu, sebaliknya, tulisannya didahulukan dengan memberikan gambaran bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah ketinggalan zaman kerana anaknya sendiri, Marina dan cucunya turut serta dalam perhimpunan itu.

Pendirian kolumnis itu sebagai seorang yang bekerja dengan akhbar sebuah parti politik harus dipersoalkan kerana tanpa bukti beliau membuat kenyataan bahawa penunjuk-penunjuk perasaan itu bukan hanya terdiri daripada anggota Pas atau PKR atau penyokong Anwar tetapi turut serta anggota Civil Society yang mahukan sistem pilihan raya yang lebih baik.

Di mana beliau mendapat maklumat ini? Kenapa beliau tidak menyebutkan perihal sebahagian besar daripada mereka itu ialah 'tentera upahan'?

"Demonstrasi Sabtu itu adalah menunjukkan wujudnya very sophisticated civil society yang tidak takut untuk menyatakan perasaan mereka," kata kolumnis tersebut dalam tulisannya.

Hebat sekali kesimpulan yang dibuat oleh penulis itu berasaskan kepada sentimen sendiri tanpa mengambil kira sentimen orang Melayu yang marahkan parti-parti Melayu dipimpin oleh seorang Hindu yang bertopeng bebas.

Penulis itu turut memberikan gambaran bahawa Pemuda UMNO tidak berjaya menarik golongan muda yang menyebabkan mereka ramai berada di pihak yang mengadakan tunjuk perasaan jalanan itu.

Apakah ini benar? Kenapa beliau tidak boleh berfikir bahawa Pemuda UMNO tidak merancang tunjuk perasaan itu tetapi sekadar untuk bertindak balas dengan mengambil-kira nasihat kerajaan dan parti. Jika mahu tentunya Pemuda UMNO dapat mengumpul jumlah yang lebih besar untuk menunjukkan pergerakan itu berada di pihak kerajaan.

Saya mengucapkan tahniah kepada kolumnis itu yang bekerja dengan akhbar parti politik tetapi bijak untuk mencari masa yang sesuai bagi menunjukkan taringnya dan menyimpan kukunya bila melihat kemaraan pengaruh UMNO.

Saya telah memerhatikan peranan akhbar berbahasa Inggeris ini dari sejak sebelum Pilihan Raya Umum 2008 hingga sekarang. Dalam banyak hal, akhbar ini menghakiskan keyakinan orang Cina terhadap MCA.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved