Utusan Online - Keluarga |
Posted: Sebar budaya melalui komikOleh ABD. HALIM HADI
MUNGKIN masih ramai yang beranggapan komik tidak lebih daripada sekadar bahan bacaan untuk kanak-kanak mengisi masa lapang. Lebih serong lagi ia dikatakan hobi yang merugikan masa dan wang. Persepsi itu mungkin biasa di negara ini. Namun di negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, komik menjadi komoditi hiburan semua peringkat umur. Buktinya juga jelas melalui populariti filem hari ini yang banyak mengadaptasi bahan bacaan itu. Thor, Transformers, X-Men, Batman dan Incredible Hulk hanyalah sebahagian daripadanya. Bukanlah sembarangan mencontohi budaya asing tetapi kajian membuktikan komik membantu pembaca berfikir lebih pintar dan berimaginasi dengan lebih kreatif. Bahan bacaan bergambar dengan dialog ringkas itu memudahkan akal memahami sesuatu maklumat sekali gus memproses cerita dengan baik. Bayangkan tekanan seorang kanak-kanak sekiranya 'disuap' dengan buku-buku ilmiah yang sepi tanpa gambar. Di sebalik persepsi yang melencong itu, landskap komik tempatan sebenarnya telah lama bermula dan cukup popular sekitar tahun 80-an. Karya seperti Pengembaraan Hassan dan Hussin (Ibrahim Hamid), Pemburu Harimau, Kalong Pendita (A. Ghafar Bahari) dan Pertarungan Maut (Zainal Buang Hussein) adalah antara yang pernah menjadi kegilaan. Namun dari dulu hingga sekarang, masih tidak banyak karya tempatan yang berjaya menembusi pasaran luar. Salah satu daripada faktor yang menjadi penghalang adalah penggunaan satu bahasa iaitu Bahasa Melayu. Menyedari hakikat itu, Avell Enterprise selaku penghasil komik tempatan mengambil pendekatan berani melalui penerbitan komik berbahasa Inggeris. Lebih mengejutkan, pada langkah pertama sahaja mereka sudah memasuki pasaran komik antarabangsa. Pengurus Projek, Mohd. Danial Mohamad Yusuf berkata, komik Celestial Saga menembusi pasaran AS pada hujung tahun lalu selepas dijemput berpayung di bawah syarikat penerbitan Dusk Comics yang beroperasi di Texas, Amerika Syarikat. "Celestial Saga (Cesaga) dalam Bahasa Melayu bermaksud pengembaraan kayangan. Komik setebal 100 muka surat itu kini sudah masuk bab kedua," katanya ketika ditemui di pejabat di Seksyen 6, Wangsamaju, Kuala Lumpur. Menggunakan lakaran kartun Jepun (manga), komik Cesaga menceritakan dua watak adik-beradik kembar yang turun dari kayangan untuk menentang kuasa jahat di bumi. Uniknya, kisah pengembaraan adiwira bernama Bulan dan Purnama itu bukan sahaja digarap jalan cerita yang menarik malah menggabungkan kisah-kisah daripada mitos serantau. Keterampilan kisah fantasi itu dihidupkan dengan watak-watak seperti Suria, Puaka, Garuda, Pontianak dan banyak lagi. Selain itu, Cesaga juga dihidupkan dengan nama dan istilah budaya setempat seperti keris, tombak, permainan congkak, sepak raga dan makanan seperti sate. Keunikan itu menjadikan komik yang dijual pada harga AS$10 (RM32) sejilid itu, komik manga kebudayaan yang pertama di dunia. Mohd. Danial, 25, berkata, peluang bernaung di bawah penerbitan Dusk Comics itu diperolehi selepas hasil kerja mereka terpilih melalui pertandingan komik yang diadakan di laman visual kreatif terkemuka, Deviantart.com. "Pertandingan yang dibuka kepada pelukis komik di seluruh dunia itu diadakan untuk mencari karya dan bakat-bakat baru. "Dengan watak dan jalan cerita yang unik, Cesaga terpilih menjadi salah satu komik keluaran Dusk Comics," katanya. Namun perjalanan Cesaga dalam industri komik masih mentah walaupun sudah memasuki pasaran antarabangsa. Yang pasti, keuntungan bukanlah sesuatu yang menjadi keutamaan pasukan yang dianggotai oleh lima pemuda Melayu itu. "Secara jujur kami tidak ada untung daripada jualan. Usaha kami sekarang lebih kepada untuk perkenalkan Cesaga kepada dunia. "Komik ini penuh dengan budaya masyarakat Malaysia," katanya. Menceritakan permulaan Cesaga, Danial berkata, kejayaan adalah hasil kegigihan abangnya, Asrul Sani Mohamed Yusuf yang merupakan pelukis keseluruhan komik. Berbeza dengan kartun tempatan, lakaran manga Asrul Sani, 29, banyak dipengaruhi lukisan komik Jepun seperti Naruto dan Dragon Ball. Beliau berkata, oleh kerana itu ada pihak yang menganggap gaya lukisannya tidak beridentitikan Malaysia, bagaimanapun beliau mempunyai pegangan tersendiri. "Ia hanya gaya lukisan. Tapi setiap watak digayakan dengan unsur kebudayaan seperti pakaian, senjata dan adat istiadat. "Kami memilih lukisan manga kerana itulah lukisan yang diminati pada masa kini," katanya yang belajar melukis di hadapan televisyen sejak berusia lapan tahun. Meskipun sibuk dengan kerja sepenuh masa sebagai pelukis animasi di sebuah syarikat di Kuala Lumpur, Asrul masih mempunyai masa untuk memperuntukkan tenaga pada komik kesayangannya. "Kami mempunyai cita-cita yang besar untuk pasaran yang lebih luas," katanya. Menurut adik-beradik itu, permulaan perniagaan Avell Enterprise bermula dengan bantuan Dana Industri Kreatif yang diperolehi daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), kira-kira dua tahun lalu. "Sumber kewangan yang terhad tidak membolehkan kami bergerak pantas. Segala-galanya harus dilakukan secara 'manual' dan sendiri. "Tapi kami bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang gigih untuk melihat kejayaan Cesaga," katanya. Selain dana berjumlah kira-kira RM50,000 itu, mereka juga mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menaik taraf laman web yang kini mempunyai kira-kira 3,000 ahli. "Kami amat mengalu-alukan bantuan dari mana-mana pihak sama ada dalam bentuk dana, tenaga kerja, dan juga promosi. "Memandangkan komik ini masih tidak dijual di negara ini, kami juga sedang berusaha untuk menyediakan kandungan di dalam bentuk e-book," katanya. Tambah Danial, untuk jangka masa panjang penerbitan komik itu mahu dikembangkan kepada perniagaan lain seperti penghasilan patung figura, pakaian kustom, poster dan barangan cenderahati Cesaga. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan