Utusan Online - Selatan |
- FAMA sasar raih RM6 juta
- Elak pelajar terjebak anasir pesong pemikiran
- RM50 juta atasi masalah banjir dalam bandar
Posted: FAMA sasar raih RM6 jutaOleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
JASIN 24 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri menyasarkan mampu meraih RM6 juta daripada hasil jualan Pasar Tani di negeri ini berbanding RM5.7 juta tahun lalu. Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman berkata, peningkatan adalah berdasarkan sambutan orang ramai di 20 Pasar Tani seluruh negeri dan jumlah penyertaan usahawan FAMA yang sentiasa meningkat. "Sehingga kini, jumlah jualan Pasar Tani seluruh negeri telah mencapai RM2.5 juta dan tidak mustahil untuk mencatatkan sehingga RM6 juta hujung tahun ini," katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Pemasar Tani Jaya Peringkat Negeri di Pasar Tani Selandar, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk R. Perumal. Sementara itu, Perumal berkata, pihaknya akan menimbang untuk mewujudkan lebih banyak Pasar Tani di negeri ini dalam usaha meningkatkan pendapatan usahawan FAMA. Menurutnya, FAMA kini mempunyai 218 peserta di seluruh negeri ini dengan purata 10 hingga 11 orang dan berharap dapat ditambah kepada 30 peserta di setiap Pasar Tani. "Pasar Tani telah berjaya melahirkan usahawan yang berdaya saing dan telah mengubah nasib ramai para peniaga daripada pelbagai sektor termasuk makanan, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan produk pertanian," katanya. Katanya, faktor harga barangan dan lokasi menjadikan Pasar Tani sebagai pilihan orang ramai kerana barangan yang dijual lebih murah berbanding di pasar basah atau pasar raya serta kedudukannya yang strategik. "Objektif pembangunan Pasar Tani adalah untuk memperkuatkan kuasa tawar-menawar, mengurangkan pergantungan pengeluaran kepada orang tengah. ''Di samping itu, ia dapat mengurangkan kos dan margin pemasaran, serta sebagai medan memperkenalkan barangan keluaran tani atau barangan keluaran baru," katanya. Beliau turut menggesa golongan belia menceburi bidang usahawan tani dan mengambil peluang mendaftar serta mengikuti kursus anjuran FAMA kerana ia menjanjikan masa depan yang cerah. Katanya, secara kasar seorang usahawan FAMA mampu memperolehi pendapatan RM5,000 hingga RM10,000 sebulan sekiranya perniagaan diusahakan dengan komited dan bersungguh-sungguh. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Elak pelajar terjebak anasir pesong pemikiran Posted: Elak pelajar terjebak anasir pesong pemikiranSEREMBAN 24 Jun - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah bersama agensi kerajaan yang terlibat diminta mengawasi pelajar daripada terjebak anasir yang boleh memesongkan pemikiran mereka. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ancaman sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana ia mampu merosakkan anak-anak, selain membahayakan keselamatan negara. ''Kita bimbang anasir yang tidak seiring dengan hasrat kerajaan ini dapat menyelinap masuk dan jika tidak dibendung, ia mengundang bahaya. ''Kalau anasir ini didalangi mereka di peringkat antarabangsa, ia akan menjadi lebih rumit," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini. Mohamad menjelaskan, agensi kerajaan yang terlibat itu ialah Jabatan Pelajaran negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). ''Saya mahu Jabatan Pelajaran negeri pantau aktiviti yang dijalankan supaya ia tidak menjadi tempat untuk orang berkepentingan menembusi institusi sekolah dan menyebarkan fahaman salah yang merosakkan pemikiran anak-anak kita," tegasnya. Katanya, aktiviti yang dijalankan itu hendaklah tidak melanggar apa sahaja dasar atau hasrat kerajaan dan ia penting untuk dipatuhi. ''Apabila ada faktor menghasut dan anasir yang tidak baik, maka kita bimbang ia mengundang bahaya kepada semua pihak," tegasnya. Pada masa yang sama, Mohamad mahu JHEAINS mengawasi aktiviti yang dijalankan sekolah agama di negeri ini. ''Janganlah dibiarkan aktiviti berjalan tanpa pemantauan. Tengoklah apa yang dilakukan. Bila sudah menyelinap masuk, susah kita hendak bendung. ''Memang kita ada pihak berkuasa untuk pantau, tetapi mereka juga tidak dapat mengawasi selama 24 jam. Sama-samalah kita pantau anasir yang memesongkan pemikiran anak-anak kita ini," ujar Mohamad. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
RM50 juta atasi masalah banjir dalam bandar Posted: RM50 juta atasi masalah banjir dalam bandar
MELAKA 24 Jun - Masalah banjir yang kerap melanda bandar raya ini dijangka dapat diatasi tidak lama lagi dengan pelaksanaan projek tebatan banjir fasa pertama melibatkan kos RM50 juta. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek tersebut kini hampir siap sepenuhnya sejak dimulakan pada 2008. Menurutnya, ia melibatkan kerja-kerja pembesaran parit dan pembinaan rumah pam air oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri. ''Melalui projek fasa pertama ini, kita menyediakan sistem perparitan yang lebih besar bagi membolehkan air mengalir dengan lancar ke sungai berhampiran," katanya selepas melawat sistem perparitan di sekitar kawasan Kampung Pengkalan Rama dan Kampung Morten di sini semalam. Kata beliau, antara kawasan yang terlibat dalam projek tersebut ialah Kampung Chetti, Tangga Batu, Sungai Udang, Taman Merak Mas, Bukit Katil, Lorong Pandan, Limbongan, Taman Melawis dan kawasan sekitar Maktab Perguruan Durian Daun. Ujarnya, menerusi lawatan yang diadakan di kawasan terlibat, pihaknya mendapat reaksi positif daripada penduduk yang menyatakan tempat kediaman mereka sudah tidak lagi dilanda banjir ekoran pelaksanaan projek itu. Pada masa yang sama, kata Mohd. Ali, pihaknya akan memastikan operasi rumah pam air yang dibina di pusat bandar akan berfungsi dengan baik agar air hujan dapat disalirkan dari Durian Daun dan Pengkalan Rama ke Sungai Melaka. Sementara itu, menurut beliau, pihaknya dalam peringkat menyediakan tender dan dokumen Projek Tebatan Banjir Fasa Kedua yang kini sedang menunggu peruntukan kerajaan Pusat. ''Kita berharap peruntukan fasa kedua melibatkan kos RM78 juta dapat disalurkan segera oleh kerajaan Pusat bagi membolehkan kerja-kerja membaiki sistem perparitan di sesetengah tempat dalam bandar dapat dimulakan secepat mungkin," kata beliau. Jelas Mohd. Ali, antara kawasan yang terlibat dalam projek tebatan banjir fasa kedua termasuk Kampung Enam, Kampung Tujuh, Kampung Lapan, Jalan Bachang, Sekolah Menengah Tun Tuah, Parit Besar (Bukit Katil), belakang pusat beli-belah Fajar dan sekitar Aeon Bandaraya Melaka. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan