Utusan Online - Dalam Negeri |
- Empat sekeluarga maut nahas
- Adik ditemui lemas, kakak masih hilang
- 200 penyokong Datuk 'T' hadir beri sokongan
Posted: Empat sekeluarga maut nahasOleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KULAIJAYA 24 Jun – Empat sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 18 bulan maut manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46.7, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sedenak, di sini hari ini. Kesemua mangsa yang terbunuh di tempat kejadian ialah Wong Tong Hing, 66; isterinya, Fong Kum Ngoh, 60; adiknya, Fong Kum Kai, 59, dan cucu lelakinya, Wong Jing Xuan, 18 bulan. Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk bedah siasat. Dua lagi penumpang iaitu anak perempuan Tong Hing, Wong Ai Ling, 35, dan menantunya, Ng Chai Yuin, 21, yang hamil sebulan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, nahas berlaku pukul 9.45 pagi ketika Tong Hing bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari Bandar Putra Kulai menghala ke Melaka. "Tong Hing memandu MPV jenis Nissan Grand Livina dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan dan melanggar tembok berhampiran jejantas Felda Sungai Nyamok," katanya di sini hari ini. Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sementara itu, jiran mangsa, Kam Tee Chin, 52, ketika ditemui di Hospital Kulaijaya memberitahu, Tong Hing bekerja sebagai juruteknik di sebuah negara Arab pulang ke rumahnya di Bandar Putra Kulai Rabu lalu dan merancang ke Melaka bagi merawat penyakit hati yang dihidapi isterinya. "Mereka juga bercadang untuk bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama-sama tetapi anak lelakinya, Wong Siang Zhen, 29, tidak ikut serta kerana bertugas di Singapura," katanya. Seorang pekerja kepada isteri Tong Hing, Lai Moy Kian, 38, pula berkata, majikannya itu bercadang untuk menghabiskan cuti bersama keluarga di Port Dickson. "Dia juga sempat memasak di restoran miliknya sebelum pergi ke Melaka. Dia ada beritahu kami, mereka sekeluarga pergi tak lama kerana mahu membuka perniagaan pada Ahad nanti," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Adik ditemui lemas, kakak masih hilang Posted: Adik ditemui lemas, kakak masih hilangKOTA BHARU 24 Jun - Dua beradik menjadi korban terbaru ketika mandi di Sungai Lebir di Kuala Krai di sini apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati lemas hari ini. Siti Nurrul Amirah Azami, 16, dan adiknya, Siti Nur Fatin Izzati, 14, pelajar Sekolah Menengah Laloh lemas di sungai yang hanya terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka di Kampung Manjor ketika berkelah bersama abang kandung dan abang ipar mereka pada pukul 6.20 petang semalam. Mayat Siti Nur Fatin ditemui tersangkut di dahan pokok pukul 5 petang ini oleh skuad penyelam Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, kira-kira satu kilometer dari tempat mereka dikatakan lemas. Bagaimanapun, Siti Nurrul Amirah belum ditemui dan gerakan mencarinya masih diteruskan. Awal tahun ini, dua beradik belasan tahun mati lemas di sungai tersebut ketika mandi bersama rakan-rakan mereka manakala pada April tahun lalu, dua remaja lelaki bersepupu turut menjadi korban ketika mandi di sungai itu. Sementara itu, bapa mangsa, Azami Harun, 47, yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, kedua-dua mangsa sangat rapat malah mereka dikatakan berpegangan tangan ketika lemas. "Mereka tidur bersama, makan bersama dan pergi sekolah bersama. Kalau menonton televisyen, mereka tidak pernah bergaduh jika salah seorang tukar saluran televisyen kerana kakak sangat sayang adik dan adik mudah mendengar kata kakak," katanya sebak. | ||
200 penyokong Datuk 'T' hadir beri sokongan Posted: 200 penyokong Datuk 'T' hadir beri sokonganSEBAHAGIAN daripada penyokong trio Datuk 'T' hadir memberi sokongan mereka di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Amin Farij Hasan KUALA LUMPUR 24 Jun - Hampir 200 penyokong trio Datuk 'T' berhimpun di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini bagi memberi sokongan kepada mereka yang menghadapi pertuduhan kerana menayangkan video lucah di Hotel Carcosa Seri Negara pada Mac lalu. Penyokong mula berkumpul sejak pukul 8 pagi untuk menyatakan sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim. Trio Datuk 'T' hadir di Kompleks Mahkamah pada pukul 8.15 pagi, bagaimanapun tidak memasuki bangunan mahkamah melalui pintu utama. Begitupun, para penyokong yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetap menunggu bersama sepanduk yang menyokong Datuk 'T', Perkasa dan mengecam pelaku dalam video lucah berkenaan. Trio tersebut yang mengaku bersalah dalam pertuduhan itu kemudian keluar melalui pintu utama pada pukul 12.40 tengah hari dengan diiringi sorakan sokongan kumpulan penyokong tersebut. Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Perak, Ahmad Zaini Ismail berkata, kehadiran penyokong pelbagai NGO itu bertujuan memberi semangat kepada trio Datuk 'T' yang dikecam parti politik pembangkang setelah berjaya membongkar salah laku seorang pemimpin politik. "Jika sebelum ini, kami hanya memberi sokongan moral, tetapi hari ini kami hadir untuk menunjukkan sokongan kami kepada mereka. "Pembongkaran yang dilakukan oleh trio itu merupakan satu kejayaan mereka mendedahkan wajah sebenar pemimpin politik berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan