Sabtu, 25 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pengajaran berguna dari Greece

Posted:

Pengajaran berguna dari Greece

Pengajaran berguna dari Greece

Ku Seman Ku Hussain


Demonstrasi di jalan-jalan raya tidak mengeluarkan greece dari belenggu krisis ekonomi yang tenat.


KETIKA Athens dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2004, Greece sebuah negara maju, mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh. Greece menjadi impian negara-negara lain khususnya dalam Kesatuan Eropah (EU) untuk berada pada kedudukan ekonomi setanding Greece.

Malah negara ini menjadi lambang kekayaan dan kehidupan mewah apabila berada di tangga ke 31 kedudukan ekonomi tertinggi di dunia.

Untuk Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece membelanjakan RM34 bilion termasuk RM3.6 bilion untuk keselamatan selepas fobia tragedi serangan pengganas di New York pada 11 September 2001. Malah Sukan Olimpik juga diasaskan di Athens yang kemudiannya acara sukan paling berpengaruh di dunia. Kegemilangan sejarah Olimpik dan kecemerlangan penganjuran Sukan Olimpik 2004 kini terpadam apabila empayar ekonomi Greece berkecai, meneruskan hidup dengan berhutang dan beban hutang terlalu tinggi seolah-olah tidak terbayar.

Sebagai negara yang dikagumi dalam EU, Greece memang dicemburui oleh rakan-rakan. Tetapi keadaan yang menjurus kepada kemusnahan sebuah negara yang bertamadun tinggi ini tentunya memberikan banyak iktibar.

Selepas Amerika Syarikat (AS) dilanda kemelesetan ekonomi yang teruk pada 2008 era awal Presiden Barack Obama, iaitu yang kedua teruk selepas 1930-an, kini Greece menjadi tumpuan dunia kerana keruntuhan empayar ekonominya. Greece diambang muflis dan rakyat menyalahkan kerajaan membuat keputusan silap mendapatkan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak RM478.7 bilion. Greece juga masih menanggung beban hutang lain yang tinggi iaitu RM1.48 trilion.

Kegawatan ekonomi di peringkat yang paling bahaya membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan. Berpuluh ribu penunjuk perasaan keluar ke jalan-jalan raya dalam keadaan negara yang terumbang ambing di ambang muflis. Rakyat percaya krisis ekonomi yang teruk itu bukan disebabkan oleh kegawatan ekonomi global walaupun sebuah lagi negara dalam EU, Sepanyol mendepani nasib yang sama.

Rakyat yang pernah hidup mewah walaupun sebelum ini negara menanggung beban hutang yang tinggi tidak boleh menerima hakikat yang sebenarnya. Greece membuat kesilapan besar sebelum ini apabila memilih pendekatan popular untuk menyenangkan hati rakyat yang bermewah dengan hutang. Rakyat tidak diberi maklumat sebenar kedudukan ekonomi dan kemampuan kewangan kerajaan kerana menjadi percaturan politik.

Lebur

Dari sebuah negara yang menduduki tangga ke 22 pembangunan manusia yang mempunyai kehidupan yang berkualiti di dunia, Greece kini menunggu masa untuk lebur dan ternyata IMF bukan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dalam kes Greece, satu lagi yang membuktikan sistem kewangan yang dilaksanakan oleh IMF lebih kepada menindas berbanding membantu meringankan beban.

Greece terperangkap dengan IMF yang sebelum ini telah memudaratkan banyak negara di Asia yang mendapatkan pinjaman untuk keluar dari belenggu krisis ekonomi global pada 1997 lalu. Banyak negara terus menanggung beban hutang, pada masa yang sama tidak menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi. Greece kini berada dalam keadaan yang sama, bayaran balik kepada IMF dan pendapatan yang kurang dari perbelanjaan negara terus menjerumuskan Greece dalam keadaan sangat genting.

Tindakan drastik kerajaan memotong gaji di sektor awam dan bayaran pencen serta menaikkan kadar cukai mencetuskan kemarahan rakyat. Kempen berjimat cermat yang dianjurkan oleh kerajaan mendapat tentangan hebat. Tetapi untuk masa terdekat, ini saja tindakan segera yang boleh dibuat, sekurang-kurang untuk mendapatkan sedikit "nafas". Bagaimanapun rakyat sedikit pun tidak mahu berganjak, mereka mahu hidup mewah seperti sebelum 2009. Greece menjadi sebuah negara malang apabila rakyat tidak sanggup berkorban sedikit pun selepas sekian lama hidup mewah.

Selepas 2009, Greece menjadi negara kedua paling rendah dalam Indeks Kebebasan Ekonomi selepas Poland dan menduduki tangga ke 81 di dunia. Semua ini adalah kesan daripada penyelewengan politik dan ekonomi yang tidak ditangani dengan betul oleh kerajaan. Sebelum ini kerajaan mengambil pendekatan untuk kekal berkuasa dengan melimpahkan kemewahan kepada rakyat. Hakikatnya kedudukan ekonomi tidak mengizinkan dan kerajaan gagal mengatasi peningkatan kadar pengangguran yang menyumbang kepada krisis ekonomi.

Rakyat mesti menerima hakikat kedudukan Greece pada masa ini. Tanggungjawab kerajaan pula mesti menjelaskan tentang hakikat sebenar. Tetapi keadaan ini tidak berlaku ketika krisis ekonomi mula terasa pada 2009, malah rakyat digula-gulakan dengan kemewahan, hakikat itu semuanya dari hutang. Greece memilih gaya hidup "biar papa asal bergaya".

Tinjauan yang dibuat oleh The Groningen Growth and Development Centre yang dikeluarkan pada Mei lalu menunjukkan 62 peratus responden mempersoalkan kewajaran Greece membuat pinjaman IMF. Mereka menganggap itu tindakan salah dan menghancurkan negara, sementara 80 peratus pula hilang kepercayaan terhadap Menteri Kewangan Giorgos Papakonsstantinou menangani krisis ini, 97 peratus pula melahirkan kebimbangan peningkatan serius kadar pengangguran.

Ketidakstabilan

Kadar inflasi yang tinggi iaitu 4.5 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2009 dan kadar pengangguran meningkat menjadi 16.2 peratus juga menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi. Keluaran Dalam Negara Kasar mencatatkan RM943.4 bilion tetapi defisit belanjanya mencatatkan RM73.2 bilion. Pergolakan politik telah memburukkan lagi keadaan ketika kerajaan sedang bertungkus lumus menyelamatkan keadaan yang sangat genting ketika ini. Oportunis politik kalangan pembangkang menyemarakkan kemarahan rakyat dan mendesak Perdana Menteri George Papandreou meletakkan jawatan.

Papandreou sebelum ini mengambil pendekatan popular dengan melimpahkan kemewahan kepada rakyat. Ternyata ini bukanlah tindakan bijak, apa lagi mendapatkan pinjaman dari IMF untuk meneruskan "kegemilangan" palsu sebuah negara yang dulunya gemilang. Kerana itu apabila ada kerajaan yang awal-awal lagi mengaku kedudukan kewangan yang tidak kukuh, rakyat harus menerima hakikat ini. Apabila kerajaan mengurangkan subsidi misalnya, rakyat juga perlu sedar bahawa ada ketikanya mereka perlu berkorban sedikit untuk menikmati kesenangan yang berpanjangan.

Bagi oportunis politik, keadaan tidak stabil terutama ekonomi adalah ruang untuk menawan hati rakyat. Mereka menyalakan kemarahan dan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya. Di Greece, banyak yang terperangkap dalam permainan politik seperti ini, padahal tindakan mereka sedikit pun tidak menyumbang menyelesaikan keadaan genting yang hampir memufliskan negara. Banyak yang boleh diambil iktibar daripada tamadun Greece yang kini sudah berada di penghujungnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sampai bila berbohong?

Posted:

Sampai bila berbohong?

Sampai bila berbohong?

BUKTI paling penting isu rakaman video seks ketua pembangkang, Anwar Ibrahim sudah masuk ke mahkamah kelmarin. Dua pakar dari Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa video tersebut adalah tulen dan pelakunya 99.9 peratus serupa dengan Anwar.

Terbukti, tiada sebarang tampering (diubah-ubah) dan super impose (pertindihan gambar).

Perkara itu terkandung dalam fakta kes di Mahkamah Majistret selepas trio 'Datuk T', Shazryl Eskay, Shuib Lazim dan Abdul Rahim Thamby Chik mengakui bersalah tuduhan menayangkan secara terbuka video tersebut Mac lalu.

Dalam reaksi segera, pihak Anwar dan PKR, kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa orang dalam video itu bukan beliau. Awang sudah boleh jangka. Memang ada segelintir manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri. Penafian dan pembohongan sudah menjadi pakaian hidup golongan itu.

Kalau bukan Anwar, apakah itu 'hantunya' atau kembar seperti dalam kisah filem? Dalam zaman serba moden, masih ada pemimpin yang mahu berbohong walaupun bukti sudah kukuh. Kalau di negara lain, pembohongan sebegini tidak mungkin terjadi. Jika berlaku sekalipun, ia tidak bertahan lama sebagaimana yang terdedah dalam beberapa skandal baru-baru ini.

Di Turki, enam pemimpin pembangkang letak jawatan selepas skandal video seks mereka terdedah. Banyak lagi tokoh di serata dunia yang ambil prinsip kebertanggungjawaban selepas skandal terbongkar. Yang bukti masih samar-samar juga berani mengaku dan berundur sama ada mereka dari agama Islam mahupun Kristian. Malah para penyokong dan sekutu mereka sendiri akan beri tekanan supaya meletakkan jawatan demi menjaga imej parti dan organisasi. Nilai moral tetap dijunjung dan mengatasi kepentingan politik.

Tetapi di Malaysia, ketua pembangkang sendiri berjaya main silap mata dan sedihnya, ramai yang terpedaya. Apa jenis pembangkang yang kita ada pun, Awang tak tahu. Lekeh selekeh-lekehnya. Memalukan imej negara, umat Islam dan warga dunia. Mana ada di pelosok dunia, ketua pembangkang yang terlibat dua kali kes liwat, skandal seks bersama pelacur dan menipu terang-terang, boleh terus memimpin parti dan pakatan pembangkang tanpa rasa malu dan bersalah.

Bayangkan kalau ditakdirkan Anwar menjadi Perdana Menteri, lingkup negara dan rosak masyarakat. Beliau boleh buat apa sahaja. Ulas panjang pun, buang masa. Awang hanya mampu berdoa agar Allah memberikan petunjuk dan penyelesaiannya. Selicik-licik manusia dan sehebat mana tipu daya serta hipokrasi, tidak mampu menghadapi ketentuan-Nya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved