Utusan Online - Johor |
Posted: Al-Quran, kitab lama dibuangOleh HAMDAN TAWADI
BATU PAHAT 24 Jun – Pejabat Agama Daerah Batu Pahat akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelamatkan kira-kira enam kontena al-Quran dan kitab lama yang dibimbangi berakhir sebagai barang lusuh. Pentadbir Agama Islam daerah, Mustafa Omar berkata, kebimbangan itu berdasarkan siasatan terhadap penemuan 300 naskhah al-Quran dan kitab lama di sebuah pusat kitar semula di Jalan Parit Besar di sini baru-baru ini. Menurutnya, kebanyakan naskhah al-Quran dan kitab lama yang ditemui itu telah dimamah usia dan ada yang dimakan anai-anai. Namun katanya, tindakan menjual atau membuang kitab suci itu sebagai barangan kitar semula dilihat merendahkan martabat agama Islam. Mustafa berkata, setelah meneliti nama kedai buku yang terdapat pada beberapa bungkusan, pihaknya telah berjumpa pengurusan premis perniagaan terbabit bagi mendapatkan kepastian mengenai masalah itu. "Pemilik kedai terbabit mengaku kitab dan al-Quran lama adalah daripada premis perniagaan mereka tetapi menafikan terbabit secara langsung membuangnya kerana semua bahan berkaitan dijual kepada seorang kontraktor pengendali syarikat pelupusan. "Kami kemudian berusaha mendapatkan maklumat lanjut daripada kontraktor terbabit dan dimaklumkan dia mempunyai enam kontena kitab atau al-Quran lama yang disimpan dalam stor dan menunggu masa untuk dihantar ke pusat kitar semula sebagai barang lusuh," katanya di sini semalam. Menurutnya, kekurangan ilmu mengenai cara melupuskan kitab atau bahan bacaan mengandungi ayat al-Quran dan hadis menjadi punca mereka yang terbabit bertindak menjualnya di pusat kitar semula milik bukan Islam. "Kita sedar dan tidak menolak kemungkinan masih ramai umat Islam yang tidak begitu jelas mengenai cara melupus kitab atau al-Quran lama seperti ditetapkan hukum syarak. Oleh itu, kita sering menganjur program penerangan di masjid, surau atau sekolah. "Orang ramai yang masih ragu mengenai perkara itu boleh merujuk di mana-mana pejabat agama bagi mendapatkan bimbingan mengenai masalah dihadapi, sekali gus mengelak perkara sama berulang pada masa depan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Sasar RM1b hasil Lembah Makanan Organik Posted: Sasar RM1b hasil Lembah Makanan Organik
LEDANG 24 Jun - Kerajaan negeri menyasarkan hasil pengeluaran bernilai RM1 bilion menerusi projek Lembah Makanan Organik di Kota Tinggi menjelang 2020. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, menerusi aplikasi bioteknologi, lembah tersebut dapat memberi pulangan lumayan menerusi aktiviti tanaman, ternakan, akuakultur, perikanan serta pelancongan. Beliau berkata, sejak dimulakan pada 2008, projek tersebut telah menerima pelaburan bernilai RM345 juta dengan penglibatan 18 syarikat dari dalam serta luar negara. "Menerusi hab pengeluaran makanan seluas 4,400 hektar ini, kita dapat pelbagaikan lagi pengeluaran pertanian, penternakan dan akuakultur serta meningkat pengeluaran makanan berbentuk organik. "Makanan organik mempunyai nilai pasaran yang jauh lebih baik, kualiti lebih tinggi dan kita dapat selaraskan pengeluarannya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Biotek Johor 2011 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Johor Biotechnology & Biodiversity Corporation (J-BioTech), Datuk Dr. Haris Salleh dan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri. Menteri Besar berkata, projek akuakultur di lembah tersebut merangkumi ternakan ikan tilapia dan kerapu selain udang yang membabitkan pelaburan bernilai RM97 juta. Menurutnya, perusahaan sarang burung walet yang memberi pulangan tinggi turut akan dijalankan di kawasan tersebut dan ia melibatkan penyertaan syarikat serta orang perseorangan. Beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya komited untuk membangunkan bidang bioteknologi kerana ia mampu memacu ekonomi negara dan dikenal pasti dapat mengekalkan kekayaan hasil alam semula jadi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan