Sabtu, 25 Jun 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Shera dan Zahiril berkongsi rasa

Posted:

Shera dan Zahiril berkongsi rasa

Shera dan Zahiril berkongsi rasa

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN

(Terima kasih kepada Kapten (B) Mohd. Ikhwan Azillah dan isterinya, Orkid Jamilah Awang serta Persatuan Luncur Udara Malaysia)">


AKSI istimewa Shera Aiyob dan Zahiril Adzim sebelum melakukan aktiviti paragliding.


Pertama kali diberi peluang untuk mencuba sukan lasak luncur udara atau paragliding, Shera yang juga heroin filem Karak ini menjerit kegirangan kerana dia tidak pernah terfikir akan melakukan aktiviti tersebut.

Bukan itu sahaja, boleh dikatakan kegembiraan Shera itu berganda apabila S3 memberi keistimewaan kepadanya untuk membawa bersama tunangnya, aktor Zahiril Adzim, 27 untuk sama-sama merasakan keseronokan mencuba sukan paragliding.

Seperti mana yang telah dijanjikan, Shera dan Zahiril tiba di lokasi yang telah ditetapkan iaitu di Bukit Jugra, Banting, Selangor dengan penuh debaran apabila perasaan teruja dan takut bercampur menjadi satu.

"Zahiril adalah pendorong utama saya untuk melibatkan diri dalam apa jua sukan lasak atau ekstrem sebegini.

"Sebelum ini, Zahiril pernah memperkenalkan saya dengan sukan motocross dan ia amat menyeronokkan.

"Jadi, peluang untuk mencuba paragliding tidak akan saya lepaskan begitu saja walaupun sejak dari pagi tadi jantung saya berdegup kencang," jelas Shera yang menampakkan riak ketakutan di wajahnya.

Mendekati pula jejaka kacak Zahiril, hero filem Senjakala itu mengakui, dia agak takut untuk mencuba sukan ekstrem berkenaan.

Tatkala taklimat sedang disampaikan oleh jurulatih Persatuan Luncur Udara Malaysia (PLUM), Kapten (B) Mohd. Ikhwan Azillah dan isterinya, Orkid Jamilah Awang, Zahiril yang pada awalnya asyik berceloteh bertukar menjadi pendiam dan cuba menyendiri.

Ujar Zahiril, video yang ditayangkan ketika sesi taklimat agak menakutkan. Apatah lagi, ada di kalangan peserta yang tersangkut di atas pokok gara-gara ketakutan dan tidak bersedia.

"Itu yang membuatkan saya agak gementar untuk mencuba sukan ini. Saya akui, Shera lebih berani berbanding saya," kata Zahiril yang tiba-tiba mahu menarik diri.

Bagaimanapun, atas dorongan tunangnya yang dilihat begitu bersemangat untuk berterbangan di ruang udara Bukit Jugra, Zahiril kuatkan juga langkah kakinya untuk turut serta mendampingi buah hatinya itu.

Lantaran keberanian yang ditunjukkan Shera, gadis itu mendahului tunangnya mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan yang diperlukan untuk memulakan misinya merasai nikmat kebebasan seperti burung.

Sejurus semua kelengkapan diperiksa oleh Mohd. Ikhwan, Shera dipimpin oleh bekas anggota tentera udara itu untuk bersiap sedia memulakan larian di lereng Bukit Jugra untuk memastikan daya tujahan angin yang dihasilkan mampu mengembangkan payung yang siap dibentangkan di atas tanah.

Dengan sekali percubaan, Shera sudah berada di awang-awangan sambil jeritan keterujaannya sayup-sayup kedengaran.

Usai mendarat dengan selamatnya, Shera yang masih diselubungi mood teruja dan gembira itu menjerit sepuas hati, simbolik kepuasan yang dicapainya.

"Saya tidak dapat bayangkan keseronokan dengan kata-kata. Cuma saya hanya boleh katakan, ia amat menyeronokkan dan terima kasih kepada S3 kerana memberi peluang ini," komen Shera ringkas mengenai pengalamannya.

Berbalik kepada Zahiril yang menunggu gilirannya, raut wajahnya yang serius sudah cukup menggambarkan betapa gelisahnya dia untuk memulakan larian.

"Kaki saya dah macam konkrit. Keras seperti tidak mahu bergerak. Itu sahaja yang mampu saya katakan sekarang," katanya sebelum memulakan ekspedisinya ke langit biru.

Mujur, tiupan angin yang agak kuat ketika itu membantu kelancaran penerbangan Zahiril yang turut dipimpin oleh Mohd. Ikhwan.

Sama seperti Shera, Zahiril yang pada awalnya diselubungi kegelisahan, melaung kegirangan apabila percubaan pertamanya dianggap cemerlang oleh jurulatih yang memimpinnya.

Justeru, setelah puas menikmati panorama Bukit Jugra yang masih segar diselubungi kehijauan hutan belantara itu dari ketinggian 1,000 kaki dari paras laut, Shera dan Zahiril menjelaskan, pengalaman bersama PLUM adalah momen indah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Tambah Zahiril, sekurang-kurangnya sukan tersebut berjaya membuktikan dirinya bukanlah seorang yang gayat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Telaga Dewi yang memukau

Posted:

Telaga Dewi yang memukau

Telaga Dewi yang memukau

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my


ANTARA cabaran mendaki gunung Singgalang adalah melepasi terowong yang sempit.


Gunung Singgalang adalah gunung kedua didaki dalam satu ekspedisi. Kali ini hanya 13 pendaki terlibat. Mengikut jadual, kami dikehendaki berkumpul di lobi Hotel Kartini pada pukul 6.30 pagi untuk menaiki van. Namun kelibat van hanya kelihatan sejam kemudian. Tanpa berlengah, kami menaiki dua buah van berwarna kuning susu meredah jalan raya yang masih kurang sesak.

Sebaik sahaja van membelok ke kanan jalan raya, kami sudahpun masuk ke sebuah kawasan perkampungan. Di kiri dan kanan jalan raya yang sempit berdiri rumah penduduk. Kelihatan gunung Singgalang melatari kebun sayur yang luas saujana mata memandang. Dalam pada mata meliar melihat panorama desa yang mempesona, kami ternampak seekor kerbau sedang bekerja memerah tebu. Ia satu pemandangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Kami tidak sempat merakamkan gambar kerana mengejar waktu untuk memulakan pendakian.

Di pertengahan jalan, kami singgah di kaunter membayar yuran mendaki sebanyak Rp 5,000 seorang. Terdapat papan kenyataan bertulis 'Posko Pendakian Gunung Singgalang'. Selesai menjelaskan bayaran, van yang dinaiki membelah laluan sempit yang tidak rata. Destinasi yang dituju adalah tempat permulaan mendaki di stesen pemancar RCTI Pandai Sikek. Sebelum memulakan cabaran mendaki gunung Singgalang, kami berkongsi air tembakau untuk disapu di stokin bagi menjauhi pacat. Setiap perjalanan perlu diiringi dengan doa. Untuk itu, kami berdoa agar semua peserta selamat dalam pendakian ini.

Sebelum memulakan langkah, pemandu arah Deddy Irawan (Ashenk), 25, bertanyakan satu soalan kepada para pendaki.

"Ada di kalangan kamu yang tidak solat." Apa yang dimaksudkan Ashenk ialah adakah di kalangan pendaki wanita yang 'cuti solat' kerana datang haid.

Menurut Ashenk, jika ada maka pendaki terbabit perlu lebih berhati-hati kerana gunung ini 'keras'. Dikatakan mereka yang datang haid mudah diganggu makhluk halus.

"Di sini… pendaki yang hilang tidak pernah ditemui," ujarnya sambil mengingatkan kami supaya berjalan dalam kumpulan.

Kami memulakan pendakian pada pukul 8.30 pagi. Ujian pertama adalah meredah kawasan rumput Pimpiang, sejenis rumput berketinggian kira-kira tiga meter dan berbatang keras seperti rotan. Menempuh kawasan rumput yang tebal itu memang mencabar kerana kami terpaksa melalui terowong sempit yang gelap dan agak lembap. Oleh kerana terlalu sempit, maka kami terpaksa merangkak, membongkok dan berjalan dalam posisi mengiring. Ini membuatkan ada di kalangan kami mula terasa sakit pinggang kerana jarak terowong agak jauh sehingga memakan masa hampir satu jam untuk melepasi kesemua terowong.

Saya cuba mengira jumlah terowong tetapi asyik terlupa nombor ke berapa yang sudah dikira. "Ini terowong babi…," beritahu Ashenk kepada kami yang menyoal tentang terowong itu.

Selesai cabaran terowong, kami dihadapkan pula dengan laluan bersemak tebal yang dipenuhi kabel elektrik. Kami perlu berhati-hati mengatur langkah agar tidak terpijak atau tersentuh kabel yang berselirat di kiri, kanan dan di atas trek!.

"Hati-hati, jangan sentuh. Pembalut kabel banyak yang sudah tanggal. Penyambung kabel juga banyak yang sudah dicuri," kata Ashenk sambil menunjukkan kabel yang terkoyak.

Laluan menjadi terlalu bersemak kerana menurut Ashenk, gunung Singgalang jarang didaki. Ini kerana kebanyakan pendaki Indonesia lebih gemar mendaki gunung Marapi yang memiliki trek yang lebih luas dan bersih.

Demi keselamatan diri, saya berjalan beriringan dengan rakan-rakan pendaki yang setia menunggu tanpa merungut. Kerjasama yang ditunjukkan melebihi daripada apa yang kami jangka.

"Team (pasukan) ini lebih mengerti antara satu sama lain. Saling faham memahami kemampuan masing-masing. Mungkin sebab itulah, kerjasama kali ini lebih erat," kata seorang pendaki, Khairul Akmal Saroni, 38.

Memang benar kerana tidak ada yang tertinggal. Jika adapun, kumpulan belakang masih mampu mengejar kumpulan hadapan dalam jarak masa yang tidak terlalu lama. Namun, ketika menghampiri puncak, saya bersama beberapa rakan pendaki menjadi agak keliru untuk memilih simpang ke kiri atau ke kanan menuju ke cadas.

Akhirnya, kami memilih laluan kanan dan rupa-rupanya laluan itu adalah laluan jauh ke cadas. Laluan kiri lebih dekat dan kerana itu, kumpulan pertama sampai lebih awal daripada kami.

"Kau dari mana? Bukan ke... ini (sambil menuding jari ke arah satu laluan) trek yang betul?" soal rakan saya, Jurimah Mohd Ariffin (Ju).

"Dua-dua laluan pun betul, cuma laluan kakak tadi agak jauh untuk sampai ke sini," ujar Ashenk yang sedang menjerang air.

Ketika itu jam menunjukkan pukul 12.45 tengah hari dan selepas menikmati nasi bungkus yang dibekalkan penganjur, kami meneruskan perjuangan menuju ke puncak gunung Singgalang. Cabaran yang menanti adalah laluan berpasir yang menegak, sekali gus memaksa kami berhati-hati mengatur langkah agar tidak tergelincir. Di pertengahan jalan, kami menemui tugu yang dibina bagi mengingati dua pendaki yang hilang dan tidak ditemui sehingga sekarang.

Tidak lama kemudian, kami memasuki laluan becak dan berlumpur seumpama laluan ke puncak gunung Irau di Pahang, Malaysia. Entah bagaimana, saya tertinggal di belakang. Tiba-tiba perasaan takut menguasai diri dan saya melaung nama Ju tetapi panggilan saya dibawa angin.

Saya berlari-lari anak mengejar mereka tetapi gagal. Ketika itu jugalah saya teringat pesan Ashenk supaya tidak berjalan seorang diri.

Saya mengambil keputusan untuk menunggu dan sebaik sahaja saya ternampak kelibat Muzisham Halimy, barulah saya meneruskan pendakian.

Berjalan di celah awan yang sejuk memang menyegarkan. Trek yang ditempuh semakin basah. Sebaik sahaja melepasi kawasan hutan berlumut tebal yang dingin, terhampar di hadapan saya sebuah tasik yang luas terbentang. Subhanallah...itulah perkataan yang keluar dari mulut saya tatkala melihat keindahan yang sukar dijelaskan dengan kata-kata ini.

Tasik yang dinamakan Telaga Dewi itu dikelilingi pokok-pokok yang berdahan seperti pepohon bonsai. Saya sampai sekitar pukul 2.10 petang. Agak membingungkan memikirkan bagaimana sebuah tasik boleh wujud di ketinggian 2,762 meter dari paras laut (dpl).

Menurut Ashenk, gunung Singgalang suatu ketika dahulu adalah gunung berapi aktif. Tasik yang terbentuk adalah bekas kawah gunung berapi.

"Nampak di seberang sana?," Tanya Ashenk kepada saya sambil menuding jari ke satu arah. Saya jawab... "Nampak".

"Itulah puncak Pencawang...top gunung Singgalang," jelasnya.

"Lama tak, nak sampai ke sana," saya menyoal.

"Kira-kira satu jam...tak sempat ke sana kakak. Sampai telaga sahaja. Ini juga sudah dikira puncak," kata Ashenk.

Malas untuk berbalah lagi, saya akur dan selepas sesi bergambar, kami meninggalkan Telaga Dewi dengan hati yang puas. Ketika saya menuruni cadas, saya teringatkan kabel elektrik yang berselirat menghalang laluan. Tentu sukar untuk dilihat pada waktu malam kerana sebahagiannya tersorok di celah semak. Dengan itu, saya tekad untuk menamatkan pendakian ketika hari masih siang. Tanpa berlengah, saya bersama Ju berjalan laju dan sesekali berlari-lari anak menuju ke stesen pemancar RCTI Pandai Sikek.

Alhamdulillah, saya tiba di tempat menunggu van pada pukul 5.56 petang. Hari masih terang. Lima minit kemudian, Ju tiba. Kami berdua terduduk keletihan. Sementara menunggu peserta lain tiba, saya menikmati panorama waktu senja yang menyajikan keindahan gunung Marapi yang terletak bersebelahan gunung Singgalang. Kelihatan awan oren kemerahan mewarnai persekitaran puncak Marapi. Sungguh cantik.

Kesemua peserta selamat sampai tepat pukul 6.30 petang. Kami pulang dengan penuh kesyukuran kerana diberi izin oleh-Nya untuk sampai ke puncak gunung yang menjadi antara pasak bumi di Sumatera Barat ini. Selamat tinggal Singgalang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved