Utusan Online - Muka Hadapan |
- Maahad, sekolah agama terlibat
- Jangan gentar lakukan transformasi
- Prospek perdagangan global tidak terhad
Maahad, sekolah agama terlibat Posted: Maahad, sekolah agama terlibatOleh FARABI SHEIKH SYED AL-JABRI dan WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
SEREMBAN 19 Jun – Selepas pendedahan mengenai sebuah maahad di negara ini yang merekrut belia berasaskan ideologi pemimpin militan Jemaah Islamiah (JI), gerakan yang sama itu juga dikatakan aktif mempengaruhi belia seawal usia 16 tahun di beberapa sekolah agama dan maahad di Negeri Sembilan. Lebih memeranjatkan, belia yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah agama di negeri ini turut dihasut membenci dan menumbangkan kerajaan dengan alasan jihad bagi menegakkan negara Islam. Antara modul yang diajar gerakan haram yang dipercayai beroperasi sejak beberapa tahun lalu adalah kaedah dan persiapan untuk menyertai perhimpunan haram. Gerakan haram itu dipercayai 'dibawa masuk' oleh golongan guru sekolah dan maahad terlibat. Menurut seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 18, gerakan itu cuba menarik seramai mungkin pelajar menyertai kumpulan usrah. Katanya, mereka kemudian secara halus menerapkan unsur-unsur jihad bagi menegakkan negara Islam ke dalam pemikiran pelajar. "Lebih membimbangkan, pelajar-pelajar yang cemerlang turut terpengaruh dengan ideologi gerakan haram itu," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusif hari ini menyiarkan kegiatan sebuah maahad yang merekrut belia berasaskan ideologi pemimpin JI di Indonesia, Abu Bakar Bashir yang dikenali sebagai Salafiah Jihadiah. Pelajar-pelajar yang direkrut di maahad itu dipercayai dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Filipina. Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di sebuah maahad yang dipercayai menjalankan kegiatan tersebut di Kuala Pilah hari ini mendapati, terdapat beberapa individu berada di kawasan maahad sedang menunggu untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Ahmad dalam pada itu mendakwa terpengaruh dengan gerakan tersebut selepas diajak oleh seorang rakan untuk menyertai kumpulan usrah di sekolahnya pada tahun 2009. Katanya, pada awal pembabitannya dalam kumpulan usrah yang terdiri daripada 10 orang ahli, mereka hanya membincangkan masalah-masalah berkaitan agama sambil dipantau oleh seorang ustaz yang mengajar di sekolah. "Bagaimanapun, selepas setahun menyertai usrah itu, ustaz terbabit mula membangkitkan soal politik tanah air dan secara halus menghasut supaya menentang kerajaan kerana tidak menegakkan syiar Islam. "Kami juga diminta berjihad menegakkan negara dan undang-undang Islam malah guru terbabit menggunakan ayat-ayat al-Quran serta hadis untuk mempengaruhi pemikiran kami," katanya. Ahmad yang memperoleh 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini memberitahu, setiap kali cuti sekolah dia akan menyertai aktiviti gerakan iaitu bengkel dan seminar di beberapa lokasi di sekitar negeri ini. Ujarnya, biasanya seminar tersebut turut disertai kira-kira 200 peserta dari beberapa sekolah di negeri ini. "Aktiviti ini dijalankan tanpa pengetahuan pihak pengurusan sekolah dan saya hanya memberitahu ibu bapa bahawa kami menyertai kem motivasi sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan. "Dalam seminar tersebut, beberapa orang panel akan menyampaikan ceramah dan ia akan diselitkan dengan unsur menumbangkan kerajaan," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Jangan gentar lakukan transformasi Posted: Jangan gentar lakukan transformasi
PUTRAJAYA 19 Jun – Dunia memerlukan pemimpin yang sanggup melakukan transformasi, tidak gentar berdepan dengan cabaran dan lebih penting lagi bersedia mengambil risiko menghadapi realiti dan cabaran baharu global. Berkongsi ingatan itu dengan para pemimpin Afrika dan Caribbean dalam ucaptama merasmikan Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 (LID 2011) di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, ciri-ciri itu merupakan harapan rakyat yang perlu dipenuhi oleh seseorang pemimpin. "Saya tahu transformasi dan perubahan tidak akan datang bergolek, ia merupakan sifat semula jadi orang untuk menolak perubahan dan berpegang kepada benda yang mereka sudah biasa. ''Dan sesetengah orang takut keadaan tidak tentu yang dibawa oleh perubahan dan ada pula yang berasa terancam kerana perlu melakukan kerja dengan cara yang berlainan. ''Bagaimanapun pemimpin sebenar mesti menyelesaikan isu-isu dan halangan ini untuk membolehkan perubahan mengambil tempat," katanya. LID 2011 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dihadiri ketua-ketua kerajaan, negara serta menteri dan pegawai daripada 15 negara Afrika dan Caribbean. Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Dialog tahun ini dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Afrika seperti Presiden Zimbabwe Robert Mugabe; Perdana Menteri Lesotho, Pakalitha Bethuel Mosisili; Perdana Menteri Swaziland, Barnabas Sibusiso; Naib Presiden Uganda, Edward Sekandi dan Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga pengasas LID pada 1995 bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, selain Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan anggota Kabinet lain. Perdana Menteri berkata, tadbir urus dan amalan yang baik merupakan syarat terpenting untuk pertumbuhan ekonomi dan transformasi. "Nilai-nilai seperti ketelusan, kebertangungjawaban dan integriti adalah amat penting untuk pembinaan bangsa," katanya. Menurut Najib, perubahan realiti dan cabaran dunia yang mengambil tempat ketika ini meletakkan dunia dalam era transformasi. Era tersebut, tegas beliau, telah dicorak oleh enam faktor berikut: * Impak ekonomi-ekonomi membangun di mana mereka memainkan peranan yang lebih berpengaruh dalam hal ehwal global. * Impak iklim politik yang tidak menentu di sesetengah tempat di dunia. * Impak malapetaka semula jadi. * Peranan yang lebih ketara di kalangan kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil, akademia dan pertubuhan antara kerajaan. * Kesan perubahan cuaca. * Revolusi Internet. Menurut Perdana Menteri, revolusi media sosial telah membawa tahap kesedaran yang lebih tinggi dan meningkatkan harapan orang ramai. ''Ia turut mewujudkan standard kebertanggungjawaban yang lebih tinggi terhadap kerajaan global," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Prospek perdagangan global tidak terhad Posted: Prospek perdagangan global tidak terhadPUTRAJAYA 19 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru negara-negara Afrika supaya melihat ke arah negara ekonomi baharu seperti Malaysia bagi mendapatkan produk dan perkhidmatan yang diperlukan. Perdana Menteri berkata, ini kerana prospek dalam bidang perdagangan dan perniagaan global masa kini tidak hanya terhad kepada negara ekonomi maju sahaja. ''Dalam konteks ini, saya yakin bahawa syarikat kecil dan sederhana (SME) Malaysia mampu menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti yang diperlukan. ''Saya juga ingin melangkah setapak ke hadapan dan mencadangkan kemungkinan kerjasama antara SME tempatan untuk mengenal pasti, menetapkan dan menghasilkan barang-barang yang diperlukan. ''Ini boleh menjadi contoh kepada kerjasama perkongsian bestari pada masa depan," kata beliau ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID 2011) di sini hari ini. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, prospek perdagangan antara Malaysia dan negara-negara Afrika ketika ini tiada batasnya, lebih-lebih lagi selepas LID ditubuhkan pada 1995. Ini kerana, kata beliau, pada tahun lepas nilai dagang antara kedua-dua pihak itu naik 39 peratus kepada RM25 bilion berbanding 2009, sekali gus dapat meningkatkan lagi kemungkinan benua Afrika mengalami era 'kebangkitan ekonomi'. ''Antara 2001 dan 2010, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benua itu berada pada purata 5.2 peratus setiap tahun - kadar pertumbuhan yang juga dijangka dapat dicapai tahun ini sekali gus melepasi purata global KDNK 4.2 peratus," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan