Utusan Online - Keluarga |
Posted: Cinta Tok Ayah pada RajaOleh HAMDEN RAMLI
DENGAN berpandukan maklumat yang cukup ringkas, penulis bergerak mencari seorang lelaki yang dikatakan antara individu penting dalam memastikan adat istiadat keluarga diraja Perak dilaksanakan dengan betul mengikut amalan yang telah diwarisi turun-menurun. Maklumat yang ada di tangan hanyalah rumah tepi warna kuning dan nama lelaki tersebut adalah Tok Haji Abdul Rahim berusia lebih 80 tahun. Melihat pada usia, penulis membayangkan kesusahan yang bakal dihadapi untuk menemubual lelaki tersebut. Pada usia 86 tahun sudah pasti banyak kekurangan daripada segi pendengaran, penglihatan dan pertuturan. Paling tidak mesti sudah duduk atas kerusi roda. Ketika penulis mencorak-corak rupa dan keadaan lelaki tersebut, kereta yang dipandu menghampiri rumah tepi, berwarna kuning yang dicari itu. Sebaik keluar saya melihat kelibat seorang lelaki, tanpa baju sibuk membersihkan halaman rumah teres setingkat itu. Salam yang diberi disambut dengan penuh hormat. Saya terus mengambil peluang bertanyakan kepada lelaki berkenaan tentang Tok Haji Abdul Rahim. Setelah mendengar soalan penulis, lelaki tersebut tersengih sambil berkata: "Sayalah Haji Abdul Rahim Mohamed." Dalam keadaan bersyukur kerana dipermudahkan urusan untuk mencari lelaki berkenaan, saya sedikit meragui kebenaran identiti lelaki yang lebih mesra dengan panggilan Tok Ayah itu. Walaupun raut mukanya jelas menunjukkan usianya melebihi 80 tahun, tetapi segala pergerakan, pertuturan, bahasa pula melambangkan sebaliknya. Sebaik selesai membetulkan baju T yang dipakainya, beliau duduk sambil memadamkan bara rokok Salem yang menjadi kegemarannya. Lalu bicara dimulakan bicara dengan mengakui dia merupakan antara individu penting dalam memastikan adat istiadat diraja Perak dilaksanakan seperti dikehendaki. "Ini bukan satu keistimewaan, ia satu anugerah. Satu lagi benda-benda macam ini (melakukan adat istiadat istana) tidak boleh diminta-minta, sebaliknya merupakan satu kurniaan daripada ke Bawah Duli Sultan Perak," ujarnya memulakan bicara tentang tugasnya dalam dunia keluarga diraja Perak. Satu lagi pesanannya sebelum dia berbicara lanjut adalah: "Tok Ayah ini bukan pawang diraja, ramai yang salah sangka." Tok Ayah memulakan bicaranya dengan mencerita detik awal bagaimana dia boleh berada dekat bersama keluarga diraja Perak, sebelum meliputi kisah-kisah keunikan serta cabaran melaksanakan segala istiadat yang telah digunapakai oleh keluarga diraja berkenaan. Sebagai Orang Besar Ke-16 yang membawa gelaran Toh Wangsa, Tok Ayah terlibat dalam hampir semua adat istiadat keluarga diraja Perak. Ini termasuk Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak sempena pertabalan Sultan Perak, pembinaan pelbagai peralatan sokongan bagi melaksanakan istiadat tersebut seperti Balai Gambang dan kereta pengusung jenazah ketika istiadat pemakaman keluarga diraja Perak. Selain itu Tok Ayah juga merupakan antara individu yang sentiasa sibuk ketika majlis penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Perak. Pada hari itu beliau akan memastikan segala peraturan berpakaian bagi penerima darjah dan pingat kebesaran dipatuhi. Tugas itu tidak mampu dilakukan jika dia tidak mempunyai kemahiran untuk mengikat tengkolok dan sampin yang merupakan elemen penting dalam komponen pakaian istiadat diraja Perak. Terdapat sembilan bentuk ikatan tengkolok negeri Perak yang dikuasai Tok Ayah. Antaranya, tengkolok Bugis Tak Balik, Balung Raja, Ayam Patah Kepak, Helang Patah Sayap, Dendam Tak Sudah, Helang Menyusur Angin dan Getang Pekasam. Setiap bentuk mempunyai lebih dari dua cara lipatan yang setiap satunya mempunyai maksud tertentu. Sebagai contoh, ikatan tengkolok ayam patah kepak melibatkan tiga gerakan lipatan. Lipatan pertama membawa maksud patah rebung; kedua genggam sebuku dan ketiga patah kepak. Menurut Tok Ayah, dia hanya mengambil masa antara tiga hingga lima minit untuk menyempurnakan satu lipatan tengkolok. Kemahiran itu menyebabkan Tok Ayah hingga hari ini sentiasa sibuk setiap kali berlangsung istiadat penganugerah darjah dan pingat kebesaran negeri. Ramai bakal penerima pingat kebesaran datang ke rumah sama ada untuk menyewa kelengkapan istiadat tersebut atau bertanyakan kaedah betul menggunakannya. Sepanjang perbualan itu Tok Ayah kelihatan selamba mengorek kembali ingatannya selama lebih separuh abad bersama keluarga diraja Perak. Setiap tutur katanya disusun dan dikeluarkan dengan penuh tertib. Kiasan dan pepatah tidak pernah lekang daripada meniti bibir, sekali gus membuktikan ketinggian kehalusan budaya Melayu yang teguh pada dirinya. Terlalu banyak kisah menarik yang diceritakannya satu persatu termasuklah peristiwa menyelamat Sultan Idris Shah daripada lemas apabila bot dinaiki mereka bocor ketika dalam perjalanan dari Lumut ke Teluk Intan. Terbabit dalam acara pertabalan Sultan Perak juga merupakan peristiwa besar yang berlaku sepanjang berkhidmat bersama keluarga diraja berkenaan. Pertabalan Sultan Perak melibatkan istiadat-istiadat seperti Tabal Kerajaan, Tabal Adat, Tabal Pusaka, Menziarahi Makam-Makam Diraja dan Beting Beras Basah. Bagaimanapun istiadat yang kerap diperkatakan rakyat jelata sudah pasti Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak yang tergolong di bawah istiadat Tabal Pusaka. Menurut Tok Ayah, selain dia, individu yang terbabit mengambil air bersiram itu adalah Tok Nara dan Pawang Diraja. Mereka akan bergerak ke kuala-kuala sungai yang telah ditetapkan iaitu kuala Sungai Chepias, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Bunya dan Sungai Menora. Semua air akan dimasukkan ke dalam geluk untuk dibawa ke istana. "Proses seterusnya selepas sampai di istana, hanya Tok Nara dan Pawang Diraja yang tahu," katanya sambil menambah air tersebut akan dikeluarkan semula pada Istiadat Bersiram Tabal berlangsung di Panca Persada di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Satu lagi kelebihan Tok Ayah adalah beliau merupakan orang yang bertanggungjawab membina Balai Gambang iaitu kenderaan seperti bot berhias yang akan digunakan sepanjang istiadat pertabalan Sultan Perak. Menurut Tok Ayah, Balai Gambang mula diperkenalkan ketika pertabalan Sultan Perak, Sultan Idris Shah. "Sultan Idris yang mencipta sendiri bentuk dan apa yang patut ada pada Balai Gambang tersebut. Kira-kira setahun sebelum mangkat, Sultan Idris menurunkan ilmu membuat Balai Gambang kepada empat individu iaitu Tok Ayah dan tiga tukang kayu dari Teluk Intan masing-masing dikenali sebagai Pak Dom, Pak Hassan dan Raja Numan. "Sebelum adanya Balai Gambang dan bot Seri Andalan, majlis pertabalan Sultan yang membabitkan Istiadat Menziarahi Makam-Makam Diraja di sepanjang Sungai Perak menggunakan rakit," ujarnya. Menurutnya, Balai Gambang dilengkapi kemudahan bilik makan, tempat tidur mampu membawa 30 penumpang pada satu masa. Tok Ayah juga merupakan orang penting dalam pembinaan Si-Raja Diraja iaitu peralatan berupa usungan atau pedati bagi mengusung jenazah pada Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman yang turut dikenali Raja Diraja. Kerja membina pedati tersebut dimulakan sebaik berita kemangkatan diumumkan dan ia perlu diselesaikan secepat mungkin. "Pedati itu mesti berkemampuan untuk dinaiki tujuh anak dan cucu raja yang akan mengiringi jenazah. Ia akan diusung oleh 36 orang," jelas Tok Ayah. Sehingga kini beliau beliau telah mengetuai pembinaan lima Si-Raja Diraja membabitkan Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Sultan Idris Shah (1984), Raja Ikram; Raja Muda, Raja Ahmad Siffuddin (1987), Raja Di Hilir, Raja Ahmad Hisham (1997) dan kekanda sulung Sultan Perak, Raja Baharom Shah (2009). Segala pengalaman itu menjadikan dia hari ini tidak ubah seperti 'perpustakaan hidup' kepada orang-orang besar istana atau pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal istiadat keluarga diraja Perak. Ini diakui oleh isterinya, Norkamariah Abu Hassan yang terpaksa mengehadkan pergerakan Tok Ayah bagi menjaga tahap kesihatannya. Tok Ayah yang dilahirkan di Kampung Pulau Tiga, Kampong Gajah mula bertugas bersama keluarga di raja Perak selepas Jepun menyerah kalah pada 1945. Pada tahun itu dia diterima bekerja sebagai pemandu bot di Jabatan Laut. Pada 1947 Tok Ayah menyertai Jabatan Polis Laut selama tiga tahun. Sepanjang tempoh bertugas di kedua-dua jabatan itu Tok Ayah sempat menabur bakti di bawah pemerintahan Sultan Yussuff Shah. Apabila Sultan Yussuff mangkat , Tok Ayah dilantik pula sebagai salah seorang petugas Sultan Idris Shah. Tugas hakikinya adalah sebagai juragan bot dan kemudiannya sebagai Pegawai Pemerintah apabila bot tersebut dinaik taraf sebagai kapal. Pada 1 September 1987, Tok Ayah dikurniakan gelaran Orang Besar 32 dan pada 27 Mac 2004 pula gelaran Orang Besar 16 oleh Sultan Azlan Shah. Menurut Tok Ayah, tidak ada sedikit pun darah keturunan raja mengalir pada dalam dirinya. Ayahnya, Mohamed yang lebih dikenali sebagai Tak merupakan seorang bilal. Ibunya dikenali sebagai Long Putih merupakan guru al-Quran di Pulau Tiga. "Cuma ibu saya dahulu banyak menyusukan anak-anak keluarga diraja," katanya. Pun begitu setia dan cintanya kepada institusi diraja Perak sukar digugat. Hatinya mudah panas dan darahnya cepat menyirap setiap kali mendengar pihak-pihak memperlekehkan institusi berkenaan. Cintanya pada institusi diraja itu menyebabkan dia tidak mahu berganjak dari kawasan Bukit Chandan yang menempatkan Istana Iskandariah. "Kalau ikutkan Tok Ayah, dia sanggup untuk tinggal di rumah usang yang telah diduduki sejak berkhidmat di bawah Sultan Idris Shah tetapi saya mengajak pindah kerana rumah tersebut sudah tidak selamat. "Hendak mendirikan rumah baru sukar kerana tanah itu bukan atas nama Tok Ayah dan sehingga kini Tok Ayah tidak pernah memiliki ataupun dikurniakan tanah. Bila taman perumahan ini dibuka, dia setuju pindah kerana masih dalam kawasan Bukit Chandan," jelas isterinya. Menurut Tok Ayah, selagi hayat dikandung badan, beliau akan tetap setia dan sedia berkhidmat dengan Sultan Perak. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Peristiwa bersama Sultan Idris Shah Posted: Peristiwa bersama Sultan Idris Shah
LEBIH separuh abad mengabdikan diri kepada institusi diraja di Perak, Toh Seri Wangsa Abdul Rahim Mohamed tidak melupakan dua peristiwa getir bersama Sultan Idris Shah. Pertama adalah peristiwa hampir maut apabila bot yang dinaiki bersama Sultan Idris Shah bocor dan hampir karam di Selat Melaka. Yang kedua ketika menemani Sultan Idris Shah berdepan dengan orang Melayu dan Cina yang pada ketika itu perasaan marah mereka sedang membuak-buak selepas tercetus pergaduhan di Pulau Pangkor. Menyingkap peristiwa yang berlaku 40 tahun lalu, beliau berkata, segalanya bermula pada satu petang sekitar pukul 5, ketika dia bersama Sultan Idris Shah dalam perjalanan pulang dari Lumut ke Teluk Intan. Deruan angin Selat Melaka yang pada mulanya nyaman memukul pipi tiba-tiba dirasakan berubah. Awan hitam cepat berarak masuk menggantikan awan-awan putih. Ombak mula memukul kuat dinding bot sehingga menyebabkan ia terumbang-ambing. Melihat keadaan yang tidak baik itu Tok Ayah memohon kepada Tuanku Sultan Idris untuk kembali mengemudi bot berkenaan. Hujan terus turun dengan lebat dan ombak semakin ganas. Tiba-tiba terasa satu pukulan kuat ombak menghempap dinding bot dan serentak itu awak-awak bot menjerit bot pecah, air masuk. Keadaan menjadi kelam kabut tetapi dengan pantas dan tenang Tok Ayah mengawal keadaan dengan meminta awak-awak berkenaan segera menutup kebocoran tersebut dengan bantal. Dalam keadaan air semakin banyak memasuki bot, Tok Ayah terus mengemudi bot berkenaan dengan berhati-hati sambil mulutnya tidak berhenti berdoa mohon diselamatkan daripada sebarang peristiwa buruk. Pengalaman cemas itu berakhir dan berkat doa serta kecekapan pengemudian Tok Ayah. Bot yang membawa Sultan Idris Shah itu berjaya mengharungi badai dan tiba dengan selamat di Bagan Datoh. Bercerita mengenai kisah di Pulau Pangkor, Tok Ayah memberitahu berita mengenai pergaduhan di pulau tersebut diketahui ketika Sultan Idris Shah dalam perjalanan menaiki kapal ke Pulau Pinang. "Ketika sampai di perairan sekitar Kuala Kurau, kami mendapat maklumat menerusi sistem perhubungan atur wayarles bahawa pergaduhan semakin serius, tidak terkawal dan tidak ada siapa pun yang berani untuk datang mengawal. "Sultan Idris mengarahkan kami berpatah balik ke Pulau Pangkor. Setiba sahaja di pulau tersebut ketegangan jelas dirasai. "Saya dan Sultan Idris naik ke pulau dan bertemu dengan ketua-ketua kumpulan terbabit. "Kami yang menjangkakan satu tindak balas akan berlaku terkejut dan lega dengan penerimaan baik semua pihak bertelagah," katanya. Menurut Tok Ayah ekoran kedua-dua kejadian itu mendorong Sultan Idris Shah mengurniakan kepadanya Pingat Keberanian Handal. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan