Utusan Online - Mahkamah |
Khir sokong syarikat Shamsuddin Posted: Khir sokong syarikat ShamsuddinOleh NOOR AZMAH IBRAHIM SHAH ALAM 20 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Dr. Mohamad Khir Toyo pernah menyokong permohonan syarikat Proniaga Sdn. Bhd. (Proniaga), milik ahli perniagaan, Datuk Shamsuddin Hayroni bagi membangunkan projek perumahan di Bangi. Bekas Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Harun Salim dalam keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-11 hari ini, mengesahkan tulisan tangan berbunyi 'permohonan disokong, harap tiada halangan kelulusan' pada surat permohonan syarikat itu bertarikh 30 Oktober 2000, milik bekas Menteri Selangor itu. ''Surat itu adalah permohonan untuk menjalankan usaha sama dengan PKNS bagi memajukan satu kawasan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi yang berkonsepkan bandar universiti,'' katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud pada perbicaraan terhadap Mohamad Khir. Perbicaraan masuk hari ketujuh hari ini. Jelas beliau, permohonan tersebut dipersetujui selepas kertas kerja berhubung cadangan pembangunan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penswastaan PKNS yang dipengerusikan oleh Mohamad Khir. Menurut Harun, Mohamad Khir turut memberi sokongan bagi permohonan Proniaga untuk dikecualikan daripada jaminan bon pelaksanaan bagi projek tersebut. Surat permohonan Proniaga bertarikh 18 Julai 2001 yang mempunyai tulisan tangan Mohamad Khir berbunyi 'syarikat mempunyai track record yang baik' dan 'syarikat milik bumiputera' turut dikemukakan oleh pihak pendakwaan kepada mahkamah sebagai bahan bukti. ''Selepas menerima surat itu, saya berbincang dengan Timbalan Pengurus Besar PKNS bagi menyelesaikan masalah tersebut. ''Sebagai pilihan lain, bon pelaksanaan sebagai jaminan syarikat Proniaga akan menyiapkan projek tersebut digantikan dengan Jaminan Pengarah-Pengarah dan Pemegang Saham,'' jelas beliau. Semasa disoal balas oleh peguam, M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir, saksi tersebut bagaimanapun mengakui kelonggaran itu dibuat mengikut prosedur selain ia tidak diberi kepada syarikat Proniaga sahaja. Harun turut menafikan wang RM2 juta dikemukakan oleh Shamsuddin bagi mendapatkan Jaminan Pengarah-Pengarah dan Pemegang Saham, sebaliknya ia adalah pendahuluan daripada 20 peratus keuntungan yang perlu dikembalikan kepada PKNS. Saksi itu turut mengakui bahawa perbincangan diadakan bersama Mohamad Khir berhubung permohonan Proniaga atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penswastaan. ''Sekiranya beliau sebagai pengerusi menolak permohonan itu, ia tetap akan dibawa ke dalam mesyuarat ahli jawatankuasa penswastaan. Sebagai Pengurus Besar, saya juga boleh membuat keputusan berhubung projek PKNS,'' katanya lagi. Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan Zaharah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53. Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Rais, blogger diperintah fail pernyataan Posted: Rais, blogger diperintah fail pernyataanKUALA LUMPUR 20 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan penulis blog, Amizudin Ahmad supaya memfailkan pernyataan saksi dalam kes saman fitnah oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu sebelum atau pada 1 Julai ini. Kedua-dua pihak diarah berbuat demikian oleh Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof sebelum perbicaraan kes saman itu didengar selama tiga hari bermula 4 Julai ini. Peguam Azad Bashir yang mewakili Rais selaku plaintif memberitahu pemberita, hari ini pihaknya telah memfailkan ikatan dokumen dan isu-isu yang dipersetujui selain kenyataan fakta untuk diputuskan oleh mahkamah. Dalam pengurusan kes yang dibuat di kamar hakim itu, peguam C.W. Gan mewakili Amizudin yang dinamakan sebagai defendan. Pada 26 April lalu, Azad memberitahu bahawa Rais akan memberi keterangan sebagai saksi utama dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap Amizudin pada 31 Januari lalu. Rais menyaman Amizudin yang juga anggota jawatankuasa sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog defendan itu, bersama gambar Rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lalu. Plaintif pada 2 Februari lalu, memperoleh injunksi yang memerintahkan Amizudin menarik balik artikel yang memfitnah beliau daripada blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com. dan defendan pada 21 Mac lalu bersetuju berhenti menyiarkannya. Dalam pernyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata, maksud artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah dirinya dan ia membawa makna beliau bersalah melakukan jenayah serius merogol serta mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan