Isnin, 19 Mei 2014

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Penuntut Malaysia di Bandung dirogol

Posted: 19 May 2014 07:18 PM PDT

BANDUNG 20 Mei - Seorang penuntut Malaysia mendakwa diperkosa seorang lelaki tidak dikenali pada Sabtu lalu.

Penuntut Universiti Padjadjaran (Unpad) itu mendakwa disapa oleh lelaki itu ketika mahu mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tidak jauh dari rumah sewanya.

Jurucakap universiti berkenaan, Soni A. Nulhakim yang dipetik daripada portal berita detik.com memberitahu, lelaki itu memanggil mangsa seolah-olah mengenalinya, tetapi tidak dijawab oleh penuntut itu kerana tidak mengenali lelaki tersebut.

"Lelaki itu kemudian bertindak ganas menekup mulut mangsa dan mengheretnya ke kereta. Selepas itu mangsa tidak ingat apa-apa lagi," katanya. - UTUSAN ONLINE

Felda sedia hadapi jangkaan permintaan besar Lulu Hypermarket

Posted: 19 May 2014 06:43 PM PDT

ABU DHABI 20 Mei - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda, yakin mampu menyalurkan bekalan yang mencukupi dalam menghadapi permintaan besar Lulu Hypermarket, kata Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Samad.

Melalui kerjasama dengan Lulu Group International, pemilik 20 Lulu Hypermarket di Emiriah Arab Bersatu (UAE), membolehkan Felda menjual produk jenama Felda Best di pasar raya tersebut.

Selain membekalkan produk kepada pasaran Lulu Hypermarket di UAE, Felda juga bakal membekalkan barangannya dalam negara untuk 10 Lulu Hypermarket, yang akan dibuka di Malaysia seawal 2016.

Isa berkata kini terdapat lebih 20,000 pengusaha Felda, yang terdiri daripada kalangan peneroka, terlibat dalam pelbagai aktiviti pengeluaran.

"Sebahagian usaha mereka ini akan digabungkan dan diletakkan di bawah satu bumbung bagi menghasilkan pengeluaran secara besar-besaran. Teknologi moden akan digunakan," katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan Lulu Group International, di sini pada Isnin.

Acara itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Lulu Group akan mengimport barangan dari Malaysia bernilai kira-kira US$34 juta tahun ini dan US$50 juta tahun depan.

Isa berkata, pada peringkat awal tujuh produk makanan sejuk beku jenama Felda Best sudah pun mula dijual di Lulu Hypermarket mulai bulan ini.

Difahamkan penghantaran stok sudah dilakukan, dan akan berterusan setiap dua bulan dan menyasarkan untuk menghantar 14 kontena sepanjang tahun hadapan.

Isa berkata Tapioca Cake (Getuk Ubi) keluaran Felda Best merupakan produk yang mendapat permintaan paling tinggi di Timur Tengah.

Namun, produk-produk lain yang memenuhi cita rasa, turut dihantar termasuk Aloo Curry Puff (Karipap Kentang), Aloo Fried Bun (Pau Goreng Kentang), Red Bean Fried Bun (Pau Goreng Kacang Merah), Sweet Potato Cake (Cucur Badak), Sambal Fried Bun (Pau Goreng Sambal) dan Doughnut (Donut).

Selain itu katanya, buah-buahan tempatan juga bakal dipasarkan ke UAE melalui Lulu Hypermarket, termasuk Cavendish Banana (Pisang Cavendish), Golden Melon, MD2 Pineapple (Nanas MD2) dan Jackfruit (Nangka).

Berpangkalan di UAE, Lulu Group mempunyai 109 pasar raya di sembilan negara dengan purata 600,000 pembeli sehari. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Permohonan Puncak Niaga batal keputusan LUAS diketahui 28 Mei

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Mei - Permohonan syarikat konsesi air, Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB) untuk membatalkan keputusan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang menolak pembaharuan Lesen-Lesen Abstraksi Sumber Air oleh PNSB sejak 1 Jun lalu, akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini pada 28 Mei ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Zaleha Yusof selepas selesai mendengar hujahan PNSB selaku pihak pemohon dan hujahan balas oleh LUAS serta kerajaan negeri Selangor yang dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.

PNSB yang diwakili peguam Gopal Sreenevasan, pada 20 Mac lalu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi prosiding semakan kehakiman setelah permohonan mereka pada 25 Februari lalu supaya LUAS memperbaharui lesen tersebut yang akan tamat tempoh pada 31 Mei ini mendapat maklum balas sebaliknya.

Ini kerana, LUAS telah menghantar surat bertarikh 7 Mac lalu untuk memaklumkan PNSB bahawa LUAS tidak akan memperbaharui lesen tersebut berkuat kuasa 1 Jun ini selaras dengan rancangan penyusunan semula air yang merupakan polisi kerajaan negeri.

PNSB sehubungan itu memohon supaya mahkamah membuat perintah mandamus untuk memaksa LUAS memperbaharui lesen-lesen tersebut.

Gopal dalam hujahnya menyifatkan, tindakan LUAS yang enggan berbuat demikian sebagai langkah untuk menyekat peranan syarikat konsesi air terbabit.

Menurut peguam itu, LUAS merupakan agensi korporat yang menguruskan sumber air yang diperbadankan dan diluluskan oleh kerajaan negeri pada 9 April 1999 dan diletakkan di bawah bidang kuasa Enakmen LUAS 1999.

Sementara PNSB mengendalikan dan menguruskan 29 loji rawatan air di Selangor dan dibenarkan untuk mengabstrak air mentah bagi rawatan menurut kuasa yang diberikan dalam lesen yang dikeluarkan oleh LUAS.

LUAS yang diwakili peguam Khaizan Shahrizad Ab. Razak memohon supaya permohonan PNSB ditolak kerana syarikat konsesi air tersebut tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman itu.

Menurut peguam itu, sebenarnya tiada sebarang permohonan yang betul dikemukakan oleh PNSB untuk memperbaharui lesen tersebut dan LUAS telah memaklumkan kepada pemohon yang lesen tersebut tidak akan diperbaharui seperti dalam surat bertarikh 7 Mac dan 31 Mac lalu.

Peguam itu berhujah, ia adalah kes klasik terhadap kajian semula proses membuat keputusan membabitkan ketidakwajaran prosedur dan keputusan LUAS untuk tidak memperbaharui lesen tersebut bukan suatu tindakan yang remeh atau berniat jahat.

Sebaliknya, langkah tersebut dibuat bagi melaksanakan penstrukturan semula proses industri perkhidmatan air Selangor menurut rangka memorandum persefahaman (MoU) dan niat Kerajaan Persekutuan dan LUAS, kata Khaizan Shahrizad sambil memohon supaya permohonan semakan kehakiman PNSB ditolak dengan kos.

Penjual buah menangis bebas tuduhan edar dadah

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

PULAU PINANG 19 Mei - Seorang penjual buah hanya mampu mengalirkan air mata kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah seberat hampir 26 kilogram (kg), dua tahun lalu.

Adnan Aman, 58, dilihat mula menangis teresak-esak sebaik sahaja mendengar keputusan yang dibacakan oleh Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim.

Hakim Zamani memutuskan demikian dalam penghakimannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya terhadap tertuduh.

Adnan didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 25,995 gram di tepi jalan Bukit Ayon, Bayan Lepas kira-kira pukul 3.30 pagi, 2 Oktober 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati.

Sepanjang perbicaraan, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.

Dalam pada itu, suasana di luar mahkamah diselubungi tangisan keluarga Adnan terutama anak-anaknya yang meluru ke arahnya dan memeluknya sebaik sahaja dia dibawa keluar dari mahkamah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


16 Mei tarikh keramat buat guru

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Guru Besar SK Tempoyang, Norizan Yusof (lima dari kanan) bersama-sama guru dan ahli jawatankuasa PIBG memotong kek sempena sambutan Hari Guru di Kuala Lipis, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 19 Mei - Tanggal 16 Mei merupakan hari keramat bagi guru di negara ini kerana tarikh itu merupakan sambutan Hari Guru sebagai penghargaan kepada insan yang bergelar pendidik yang juga watak penting dalam pembangunan modal insan negara.

Tarikh itu dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari yang sama pada 1956, Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pendidikan bagi negara.

Sambutan Hari Guru yang bermula pada 1972 dan sehingga tahun ini menjangkau tahun ke-44 dimeriahkan seramai 421,393 orang guru dan hampir 5.1 juta pelajar melibatkan 10,119 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Pelbagai tema sambutan sebelum ini mencerminkan falsafah keguruan, wacana pendidikan, sarana masyarakat, integriti, jati diri, wawasan, budaya ilmu dan beberapa kewajipan lain yang mengangkat martabat guru dalam hierarki penjawat awam.

Tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi sangat signifikan dalam konteks untuk memacu aspirasi pendidikan negara kerana kumpulan pendidik menggalas tanggungjawab tersebut dengan komited bagi memastikan kelangsungan anak-anak bangsa.

Berasaskan tema berkenaan, pihak sekolah telah merencana pelbagai kegiatan membabitkan penyertaan guru, kakitangan pengurusan dan murid untuk memeriahkan sambutan pada setiap tahun.

Lazimnya, sambutan pada sebelah pagi dimulakan dengan membaca perutusan Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pelajaran, menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia dan kemudiannya acara penyampaian hadiah daripada guru kepada murid termasuk dalam kalangan guru sendiri.

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Tempoyang, Kuala Lipis, sambutan tahun ini disemarakkan dengan kegiatan bacaan Yaasin dan tahlil serta kemudiannya melibatkan bacaan perutusan, memotong kek, persembahan guru dan murid serta penyampaian hadiah.

Tahun ini, sambutan kami secara kerjasama membabitkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang hadir memeriahkan Hari Guru dengan acara penyampaian cenderamata sesama warga pendidik dan ahli persatuan berkenaan," kata Guru Besar SK Tempoyang, Norizan Yusof semalam.

Katanya, sebagai sekolah kluster, sambutan berkenaan lebih tersusun dan bersifat akademik selain melibatkan kerjasama erat antara guru dan ahli jawatankuasa PIBG.

Di Kuantan, sambutan Hari Guru juga disambut meriah dengan acara murid memberi hadiah kepada guru mereka di Sekolah Kebangsaan Sungai Soi dan kira-kira 400 orang murid termasuk guru mengadakan solat hajat dan doa selamat di Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau sempena menyambut Hari Guru pada 16 Mei lalu.

Berlainan pula dengan SK Bandar, Jerantut, bukan sahaja Hari Guru disambut pada 16 Mei malahan majlis besar-besaran juga dibuat lebih awal, iaitu pada 14 Mei lepas sempena majlis persaraan Guru Besar, Nasruddin Ramli.

Menurut Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Salmani Othman, warga sekolah berasa sedih apabila Guru Besar bersara dua hari lebih awal daripada tarikh sambutan Hari Guru dan majlis perpisahan besar-besaran disambut dengan tema Raja dan Alam Melayu.

Berselang dua hari, iaitu pada 16 Mei, sekali lagi guru, kakitangan pengurusan dan murid sekolah ini menyempurnakan sambutan Hari Guru dengan memeriahkan pelbagai acara walaupun tanpa Guru Besar yang baharu mengetuk pintu persaraan," katanya.

Menurut Salmani, antara acara yang disusun tahun ini melibatkan penyertaan guru dan murid ialah mengupas dan mengukur kelapa, memasak puding, kuih dan acara pentas melibatkan persembahan murid dan penyampaian hadiah.

Sementara itu, Guru Besar SK Felda Kota Gelanggi 2, A Rahman A Majid, berkata, majlis sambutan dimeriahkan dengan membaca perutusan, nyanyian lagu Kami Guru Malaysia dan penyampaian hadiah dalam kalangan murid dan guru.

Jawatankuasa perayaan juga mengadakan acara sukaneka, iaitu pertandingan menghias pengantin menggunakan pakaian kertas, melontar pundi kacang ke dalam bakul dan menghantar belon berisi air," katanya.

Kegiatan berkenaan menurutnya, lebih bermanfaat untuk mengeratkan hubungan sesama guru dan juga murid malahan dapat mewujudkan suasana yang kondusif sebagai institusi ilmu di kawasan Felda.

Sementara itu, seorang guru di Pekan Benta, Kuala Lipis, Azhari Rose, 41, berkata, tarikh 16 Mei setiap tahun menjadi hari yang sangat istimewa buat para guru kerana merupakan waktu khusus melahirkan rasa penghargaan dan penghormatan atas segala jasa bakti yang dicurahkan.

Sambutan ini relevan untuk merangsang guru melaksanakan kewajipan dengan penuh dedikasi dan integriti untuk menjayakan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012 - 2025 antara acuan bagi pembentukan modal insan," katanya.

Sesuai dengan tema tahun ini, Azhari meminta pelajar komited terhadap pembelajaran dan cenderung melakukan inovasi bidang baharu berasaskan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada guru.

Terkenang biji getah jadi bahan pembelajaran Matematik

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

Nasruddin Ramli dan isterinya, Azizah Alias diarak masuk ke pentas sempena majlis persaraannya dua hari sebelum Hari Guru di Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 19 Mei - Saya bersama rakan lain tertanya-tanya kenapa semasa kelas Matematik hari tersebut, Cikgu Hashim Abdul Rahman mengarahkan kami keluar dan berkumpul di bawah pokok getah berdekatan bilik darjah," kata bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut, Nasruddin Ramli, 58.

Mengimbau kenangan itu, beliau berkata, rakan-rakan sekelasnya waktu itu hairan mengapa guru yang terkenal dengan sikap garang mengarahkan kesemua mereka keluar dan duduk di bawah pokok getah.

Mula-mula kena cari dua biji getah dan tunjuk kepadanya, kemudian cari tiga biji lagi dan campurkan biji getah itu serta kira berapa jumlahnya," katanya tersenyum mengingatkan peristiwa kira-kira separuh abad itu.

Nasruddin berkata, Cikgu Hashim akan mengulang-ulang soalan dengan menggantikan angka lain sehingga murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tinggi, Jerantut benar-benar faham konsep berkenaan.

Katanya, pengajaran berulang kali di bawah pokok itu menimbulkan minatnya bersama rakan lain mempelajari Matematik sekali gus berjaya memahami konsep tambah, tolak, bahagi dan darab.

Nyata sekali, pendekatan mengajar di luar kelas oleh Cikgu Hashim menimbulkan minat murid untuk belajar Matematik malahan rajin pula ke sekolah selepas itu walaupun guru berkenaan terkenal dengan ketegasannya dan suka memberikan denda yang berat," katanya sambil tersenyum.

Bersara pada 14 Mei lalu, dia berkata, pendekatan pedagogi dalam subjek Matematik oleh Cikgu Hashim memberi impak terhadap pembelajaran berkenaan hingga ke hari ini, malah dia berterima kasih kepada guru berkenaan yang mencetus minatnya menjadi pendidik.

Selepas menjadi Guru Besar di empat buah sekolah di daerah Raub dan Jerantut, tugas terakhir Nasruddin adalah di SK Bandar Jerantut sejak 2008 sehinggalah dia menghampiri garisan persaraan menjelang Hari Guru 16 Mei lalu.

Mengulas lanjut, katanya, pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dirintis oleh guru pada era 60-an dan 70-an, walaupun bersifat konservatif adalah antara mekanisme terbaik.

Malah, sehingga kini, cara itu masih diterima pakai dengan diubah suai berasaskan keadaan semasa sambil dibantu dengan bantuan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Ahli digesa rapatkan barisan UMNO

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

Abdul Manan Ismail (dua kiri) beramah mesra dengan ahli UMNO pada majlis Malam Sumbangsih Paya Besar sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 di Kuantan, baru-baru ini. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 19 Mei - Semua pemimpin dan ahli UMNO di setiap peringkat digesa merapatkan barisan dan bersatu padu dalam mengukuhkan parti itu terutama di kawasan Paya Besar di sini.

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan UMNO sentiasa membela masa depan rakyat khususnya orang Melayu yang tidak berbelah bahagi menyokong parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Saya berharap semua pihak termasuk bekas pemimpin yang pernah menerajui UMNO bahagian ini bersatu atas nama parti ini.

Jangan ada lagi pergeseran sesama kita dan bersatulah demi memastikan masa depan anak cucu kita terjamin pada masa depan," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Malam Sumbangsih Paya Besar sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 di sini Jumaat lalu.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah; ADUN Lepar, Datuk Mohd. Sohaimi Jusoh.; ADUN Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar dan pemimpin-pemimpin sayap UMNO Bahagian Paya Besar.

Abdul Manan berkata, bagi merapatkan hubungan di semua peringkat, beberapa program telah dirangka supaya hubungan yang telah lama terjalin terus dipereratkan.

Menurutnya, pemimpin terdahulu dalam UMNO yang telah melaksanakan pelbagai program dan pembangunan telah berjaya membangunkan Parlimen Paya Besar sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

Saya sebagai Ketua UMNO Bahagian baharu akan melaksanakan apa yang masih belum dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemimpin lama kerana telah banyak melakukan pembangunan sehingga landskap Parlimen Paya Besar berubah wajah," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Kembali fokus berlakon

Posted: 18 May 2014 11:46 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar Koleksi peribadi Juliana Evans

KITA boleh tumpang seronok sebenarnya apabila melihat seorang artis berjaya menggapai segulung ijazah.

Sebagai figura yang sentiasa diperhatikan masyarakat, apa juga perilaku baik yang ditunjukkan oleh mereka akan menjadi dorongan terutamanya kepada peminat yang selama ini menjadikan mereka sebagai idola.

Jadi, jika perangai yang dipertontonkan kepada masyarakat itu sesuatu yang baik, pasti ia sedikit sebanyak akan memberi kesan positif kepada yang memerhati.

Baru-baru ini, pelakon dan pengacara, Juliana Evans menamatkan pembelajarannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Western Michigan University, Amerika Syarikat.

Juliana bergelar graduan setelah dua tahun menggadaikan popularitinya sebagai artis yang kian meningkat naik untuk menggapai impiannya ke menara gading.

Hits baru-baru ini berkesempatan bertemu bual panjang dengan si jelita ini tentang kejayaannya yang pastinya merupakan satu anugerah tidak ternilai.

Mana tidaknya, dia pergi melanjutkan pelajaran pada ketika dirinya berada di tengah populariti sebagai artis muda.

Selain itu, turut dibualkan tentang kontroversi melibatkan dirinya ketika di negara orang dan perancangannya dalam bidang seni selepas dua tahun menyepi.

Juliana memberitahu, dia langsung tidak kisah akan populariti yang menjunam selepas dua tahun tidak berlakon.

Bagi dirinya, populariti tidak penting apatah lagi dia mula menjadi artis semenjak dari kecil.

Sebab itu saya sanggup belajar semula. Jika ditakdirkan saya merangkak semula dari bawah dalam industri, saya akan lakukannya semula.

Dulu pun, saya mula dari bawah, sejak berumur 12 tahun. Saya bina karier saya sedikit demi sedikit. Populariti saya memang tak pernah melambung secara serta-merta.

Saya sangat low profile dan ingin dikenali menerusi bakat saya. Jadi saya tidak risau atau kecewa dilupakan. Saya percaya ia terpulang pada rezeki masing-masing juga," katanya.

Menyambung bicara, ujar Juliana, ada tiga sebab utama mengapa dia membuat keputusan untuk memilih pelajaran daripada kerjayanya yang sedang memuncak.

Pertama kerana saya mahu menunaikan impian ibu yang mahu melihat saya ke menara gading, ini sebab penting. Kedua, memang saya sendiri berhasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara sejak kecil lagi. Impian masa zaman kanak-kanak lagi ni sebenarnya. Dan ketiga, kerana saya mahu belajar untuk hidup berdikari," jelasnya.

Tambahnya, pada mulanya, agak sukar baginya untuk hidup berjauhan apatah lagi sebelum ini dia banyak bergantung hidup kepada ibunya dalam menguruskan hal-hal kehidupan seharian. Anak manja ini jarang berenggang dengan ibu kandungnya, justeru ada rindu yang sarat ditanggung saat awal perpisahan.

Mula-mula datang memang rindu sangat pada ibu kerana dia yang banyak menjaga dan menguruskan kehidupan harian saya. Tetapi, di sini saya belajar berdikari dan ia proses yang banyak mengubah hidup saya hari ini," katanya.

Kini, setelah berjaya menggenggam segulung ijazah, masih teringat Juliana akan kata-kata ibunya bahawa pencarian ilmu itu tiada hadnya. Ibu banyak berpesan supaya dia mencari ilmu sebanyak yang mungkin termasuk ilmu dunia dan akhirat.

Ditanya sama ada dia akan menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi, jelas Juliana, ia sudah pasti, tetapi bukan dalam masa terdekat.

Saya ada mendapat tawaran biasiswa untuk menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Tetapi saya memikirkan untuk berehat dahulu daripada belajar. Insya-Allah, satu hari nanti saya akan sambung ke peringkat yang lebih tinggi," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Pendengaran sempurna dengan Bose

Posted: 18 May 2014 11:46 PM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS

Menikmati muzik dengan QC20 mengurangkan gangguan mendengar.

Atlas Hifi Corporation Malaysia Sdn.Bhd. bersama Bose baru-baru ini memperkenalkan dua produk yang memberi pendengaran sempurna tanpa sebarang gangguan kepada pengguna menerusi fon telinga QuietComfort 20 (QC20) dan pembesar suara mini SoundLink.

QC20 berfungsi sebagai fon telinga yang mengurangkan gangguan luar serta memberikan prestasi audio terbaik dengan menawarkan pendengaran dua hala.

Teknologi TriPort yang dimilikinya meningkatkan keberkesanan ruang akustik pada palam telinga. Selain itu, ia memberi pada sekitar telinga dengan proprietari StayHear memberikan keselesaan maksimum kepada pengguna walaupun menggunakannya dalam masa yang lama.

Kuasa bateri yang boleh menampung sehingga 16 jam penggunaan itu turut menyokong aliran muzik meskipun kehabisan kuasanya .

Turut dibina bersama mikrofon serta butang kawalan yang membolehkan pengguna menerima panggilan, QC20 menyokong aplikasi Android, Windows ada BlackBerry manakala QC20i direka khusus untuk penggunaan bersama iPhone, iPad serta model-model iPod yang lain.

Bagi pengguna yang lebih gemar mendengar muzik dalam suasana santai, pembesar suara SoundLink Mini menampilkan teknologi kejuruteraan dua radiator bagi menajamkan nada rendah.

Pemproses isyarat digital Bose turut diintegrasikan bagi menghasilkan bunyi yang seimbang dengan nada pada mana-mana nada.

Menggunakan Bluetooth A2DP dan antena bagi tujuan sambungan tanpa wayar, peranti ini mudah dipasang dan dikendalikan hanya dengan menekan satu butang pada panel kawalan pembesar suara apabila telah disambungkan pada peranti.

Data sambungan peranti pula akan disimpan dalam memori bagi memudahkan sambungan di lain masa serta kuasa bateri ion litium yang dibina bersamanya boleh diulang cas dan mampu bertahan sehingga tujuh jam pada sekali penggunaan cas penuh.

Hanya seberat 680 gram, pembesar suara SoundLink Mini pasti memberikan anda kepuasan mendengar yang sempurna.

Kedua-dua produk ini boleh didapati di bilik pameran Atlas Experience, dengan harga RM1,100 bagi pembesar suara SoundLink Mini dan RM1,560 bagi fon telinga QC20.

Bagi mereka yang berminta untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua peranti daripada Bose ini, boleh layari laman web www.bose.com.

Sahabat baharu lebih pintar

Posted: 18 May 2014 11:46 PM PDT

Susunan NOOR DIANA AZIS
sains@utusan.com.my

Selepas hanya beberapa bulan memperkenalkan empat model, Oppo Electronics Corp., syarikat pengeluar telefon pintar antarabangsa baru-baru ini memperkenalkan peranti 4G pertama yang menyokong resolusi Quad definisi tinggi (HD).

Diperkenalkan sebagai Find 7, telefon bimbit pintar yang dinamakan sebagai kesinambungan kepada siri Find 5 dengan binaan saiz fizikal 5.5 inci berkapasiti 533 pixel per inch (ppi) samping menampilkan teknologi sesentuh pada lensa.

Dibina bersama perlindungan Gorilla Glass 3 pada skrinnya, Find 7 tidak mengehadkan karya fotografik menerusi binaan kamera berkuasa 13 megapiksel termasuk peningkatan perisian sehingga 50 megapiksel bagi memastikan imej yang dirakam lebih sempurna dan jelas.

Dilengkapi dengan perisian Pure Image 2.0, peranti ini turut dilengkapi dengan enam lensa kanta fizikal, penderia Sony Stacked CMOS IMX214 terbaru serta aperture f / 2.0.

Dengan 4K serta rakaman video 1080p pada 30 fps dan gerak perlahan pada 120 fps (dedahan sesaat) menjadikan Find 7 sesuai untuk segala jenis persekitaran.

Jika telefon bimbit pintar lain sering dilihat agak tidak mesra pengguna dengan jangka hayat baterinya, lain pula dengan Find 7 yang mampu merangsang hayat bateri sehingga 75 peratus hanya dalam 30 minit waktu cas.

Sejajar dengan maksud Oppo iaitu sahabat atau teman', telefon pintar tersebut dapat menjalin hubungan mesra dengan kira-kira 42 juta pelanggan telefon bimbit di negara ini, sama seperti empat model terdahulu. Empat model yang dibawa masuk pada Mac lalu ialah N1, Find 5 Mini,R1 dan Oppo Neo,

Dibangunkan bersama teknologi pengecas VOOC, Find 7 merangsang sehingga empat kali lebih pantas daripada pengecas peranti konvensional lain.

Find 7 kini sudah berada di pasaran tempatan menerusi pengedar sah berdaftar dan bagi mereka yang berminat serta ingin dapatkan maklumat lanjut boleh layari laman web www.oppo.com.

Syarikat berkenaan setelah memasuki pasaran telefon mudah alih pada 2008 sehingga kini mempunyai rangkaian pejabat di beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia, Vietnam, India dan Mexico dan terbaharu Malaysia serta Singapura.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Bisnes karas

Posted: 18 May 2014 11:46 PM PDT

Mohd Suri Lateh (kiri) memeriksa keadaan anak pokok karas bersama Mohd Zambri Othman di Sungai Tekala, Hulu Langat, Selangor.

Pengalamannya pernah bertugas di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memberi kelebihan kepada Mohd Suri Lateh, 62, mengutip gaharu daripada hutan. Dia dan beberapa pekerja biasanya memasuki hutan di sekitar Hulu Langat mencari anak pokok karas yang kecilnya bagaikan sebilah jarum atau anak mancis.

Kalau musimnya telah tiba biasanya kami berempat mengutip tidak kurang 10,000 anak pokok karas di dalam hutan, katanya sambil memberitahu musim pokok karas banyak terdapat dalam hutan pada bulan September setiap tahun.

Menurut Mohd. Suri yang berasal dari Selama, Kedah, pencarian anak pokok karas biasanya dilakukan beramai-ramai dan perlu dibuat segera bagi mengelakkannya daripada mati jika tidak diikuti dengan segera.

Berkongsi cerita lebih lanjut Mohd. Suri berkata, ekoran minat dan pengalaman mengenai pokok karas, dia cuba membuka nurseri atau pusat pembiak baka anak pokok pada 1992.

Ketika itu dia masih berkhidmat dengan JPSM dan berjinak-jinak dengan pokok hutan dan membawanya ke nurseri tersebut.

Pada 2007 selepas tamat perkhidmatan, dia nekad menceburi bidang pertanian dengan meneruskan usaha yang telah dijalankan lebih awal dengan melabur hanya RM300 untuk menyediakan kemudahan asas.

Sebuah tapak yang disewa daripada sebuah syarikat swasta berkeluasan 1.2 hektar (ha) di Sungai Tekala Semenyih bagi menempatkan anak pokok yang dikutip daripada hutan.

Lama-kelamaan daripada pokok hutan saya juga menanam herba seperti tongkat ali dan juga kacip fatimah dan kini memberi fokus kepada anak pokok karas, katanya.

Anak pokok karas yang diperoleh daripada hutan dan kebun getah kadang kala sukar dikenal pasti kerana pada saiz tersebut ia menyerupai spesies lain.

Bagaimanapun, dengan pengalaman dan kepakaran semasa berkhidmat sebelum ini , masalah tersebut dapat diatasi.

Melihat kepada potensi pokok karas yang sentiasa mendapat sambutan, dia mahu menambah anak pokok sedia ada yang kini berjumlah 35,000 pokok dalam polibeg di nurseri tersebut

Tumpuannya kepada anak pokok karas berbaloi kerana harganya agak memuaskan dan dia mampu menjual RM10 sepokok.

Pasaran bergantung kepada pelanggan yang datang ke nurseri," katanya.

Dengan dibantu dua pekerja, dia kini berhasrat mengembangkan nurseri tersebut dengan menjual pokok buah-buahan selain anak pokok karas.

Menurutnya, usaha tersebut akan dibantu oleh seorang anak saudaranya Mohd. Zambri Othman yang banyak membantu di nurseri tersebut sehingga kini.

Saya mahu mengembangkan nurseri ini dengan pokok pokok landskap dan buah buahan sebagai tambahan kepada pokok karas sedia ada, ujarnya.

Mengulas mengenai usahanya yang tidak mengenal penat lelah sejak beberapa tahun tanpa bantuan, Mohd. Suri menjelaskan, dia berharap kerajaan dapat membantu pengusaha sepertinya bagi mengembangkan industri gaharu.

Bantuan tersebut boleh datang dalam bentuk subsidi, khidmat nasihat dan juga kewangan.

Ini kerana katanya, pengusaha gaharu biasanya orang kampung yang mempunyai kemampuan terhad.

Ketika ditanya sama ada benar, pokok karas mempunyai `penunggu' makhluk halus, Mohd. Suri menafikan ada mendengar mengenainya.

Daftar mudahkan import, eksport

Posted: 18 May 2014 11:46 PM PDT

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
agro@utusan.com.my

Mohd. Zamakhsyary menunjukkan contoh pokok karas yang mengandungi gaharu di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Produk daripada gaharu (Aquilaria spp.), bermula daripada kayu, minyak serta produk sampingan sememangnya menerima permintaan yang amat memberangsangkan.

Antara yang konsisten mengimport produk gaharu daripada Malaysia adalah negara-negara Asia Tengah sehingga menyebabkan pokok gaharu liar di habitat asalnya kini diancam kepupusan.

Permintaan produk gaharu tidak terhad kepada negara-negara yang kaya dengan minyak, malah China sebagai sebuah negara besar dengan jumlah penduduk yang mencecah 1.5 bilion turut mengimport produk tersebut.

Jika dahulu, gaharu dituai dari dalam hutan dengan cara ditebang dan dibiarkan beberapa bulan sehingga berlakunya pembentukan gaharu (sejenis damar) dalam kayu terasnya.

Kemudian teras yang memiliki damar tersebut diambil dan diproses untuk dijadikan pati minyak wangi dan dijual ke pasaran.

Kini, industri tersebut semakin berkembang dan pengusaha tidak lagi tertumpu kepada hasil pati minyak gaharu semata-mata kerana buat masa ini apa jua bahagian daripada pokok gaharu amat bernilai.

Menurut Penolong Pengarah Perladangan Hutan, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd. Zamakhsyari Mustafa, gaharu kini boleh dijual dalam pelbagai bentuk dan tidak lagi perlu diproses.

Atas sebab permintaan yang tinggi ini juga menyebabkan tumbuhan ini diburu manusia sehingga menyebabkannya semakin pupus.

Kini bermula daripada daun sehinggalah keseluruhan batang dijual pada kadar harga yang tinggi. Oleh itu bagi mengelakkan pokok ini terus diancam kepupusan kaedah perladangan hutan telah diperkenalkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Mohd. Zamakhsyari, pokok gaharu kini tidak lagi dijual dalam bentuk minyak semata-mata seperti dahulu.

Terdapat enam klasifikasi produk gaharu yang telah dikenalpasti bermula daripada pengelasan aroma, blok kayu, bentuk klasik, serbuk, ekstrak dan juga pati minyak wangi," katanya.

Gaharu telah disenaraikan di bawah Appendix II (berpotensi diancam kepupusan) oleh CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora) sejak tahun 1995.

Justeru, pengeluaran produk gaharu kini telah dihadkan sebanyak 200,000 kilogram (kg) maksimum untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala Sarawak sebanyak 5,000 kg dalam jangka masa setahun.

Kuota tersebut adalah bagi memelihara gaharu liar agar tidak dieksploitasi sewenang-wenangnya oleh pengusaha.

Namun, menurut Mohd. Zamakhsyari, pengeluaran gaharu secara haram masih berleluasa, terutamanya oleh penceroboh dari negara-negara jiran.

Bagi mengawal keadaan tersebut, kerajaan menerusi MTIB telah mengeluarkan permit CITES khas bagi pengeksportan gaharu.

Pengeluaran permit tersebut katanya selari dengan pemberian kuota bagi setiap pengusaha gaharu yang berdaftar dengan MTIB.

Bagi mereka yang tidak mendaftar kemungkinan produk gaharu akan ditahan pihak berkuasa tempatan dan luar negara amat tinggi dan perkara tersebut akan merencatkan industri gaharu di negara ini.

Masih ramai pengusaha gaharu yang tidak memahami betapa pentingnya mendaftar dengan MTIB untuk tujuan memasarkan gaharu ke luar negara," katanya.

Selain untuk pemeliharaan dan pemuliharaan pokok gaharu, pendaftaran juga membolehkan pengusaha gaharu menyalurkan segala masalah mereka kepada pihak berkuasa.

Hal demikian dapat membantu mengembangkan industri gaharu tempatan dengan lebih pesat apabila segala masalah berkaitan diketahui dan ditangani dengan kadar segera.

Berbeza dengan pengusaha ladang, tiada kuota diperuntukkan untuk mereka bagi memasarkan produk gaharu.

Namun pengusaha tersebut perlu mendaftarkan ladang mereka dengan MTIB bagi membezakan produk gaharu liar dan yang ditanam.

Apabila mereka (pengusaha ladang gaharu) mendaftar, MTIB akan mengeluarkan sijil khas sebagai rujukan pihak berkuasa untuk membezakan produk gaharu liar dan yang ditanam.

Jika tidak mendaftar, produk gaharu mereka (pengusaha ladang) akan dikategorikan sebagai gaharu liar dan mereka tertakluk kepada kuota untuk tujuan eksport," ujarnya.

Jika tanpa kuota, pengusaha ladang gaharu dapat mengeksport seberapa banyak gaharu yang dimiliki.

Tambahnya, rata-rata pengusaha tidak mengambil peduli kepentingan mendaftar kerana beranggapan proses tersebut merumitkan dan memerlukan bayaran pada kadar tertentu.

Bagaimanapun, tujuan sebenar pendaftaran adalah bagi memastikan kelangsungan industri gaharu dapat terus maju dan kesan positif akan diterima oleh mereka yang terlibat di dalam industri tersebut.

Sehingga kini hanya 49 pengusaha ladang gaharu yang memiliki keluasan tanah sebanyak 900 hektar dengan kadar 1.1 juta pokok yang mendaftar manakala selebihnya masih belum mengemukakan permohonan.

Sehingga tahun lepas, nilai eksport gaharu mencecah RM23.32 juta dan dijangka terus meningkat apabila China kini mula menunjukkan minat terhadap produk berasaskan gaharu.

Di China, kayu gaharu tidak hanya diproses untuk menghasilkan pati minyak wangi (minyak gaharu) namun dijadikan produk sampingan seperti manik untuk dijadikan tasbih, ukiran bentuk-bentuk tertentu serta teh serta biskut daripada daun gaharu," katanya.

Industri produk gaharu kini memasuki fasa baharu dan dijangka akan terus berkembang sejajar dengan permintaan yang tinggi terhadap produk tersebut di seluruh dunia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Banteras penyelewengan diesel bersubsidi

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

Penguat Kuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan merampas sebuah lori dan van yang membawa diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM36,000 dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

APABILA akhbar ini mendedahkan mengenai penglibatan sesetengah anggota agensi penguat kuasa dalam penyelewengan diesel bersubsidi dengan menerima rasuah daripada sindiket, seorang pengarah di salah sebuah agensi berkenaan mengamuk.

Beliau mendakwa, pendedahan itu menjejaskan Ops Titik yang digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak 15 Mei lalu dan memaparkan sikap tidak jujur akhbar ini dalam membanteras perbuatan jahat berkenaan.

Sebenarnya, sikap yang ditunjukkan oleh pengarah itu bukanlah satu kejutan sebaliknya sudah diduga kerana sudah menjadi adat bagi sesetengah ketua dalam sesebuah agensi kerajaan begitu takut untuk mengakui kelemahan dalam pentadbiran mereka atau berasa bimbang akan dituduh tidak buat kerja.

Timbul juga persoalan kenapakah perlu ada perasaan lemah semangat dalam sesetengah agensi penguat kuasa apabila pendedahan itu dibuat.

Sepatutnya mereka lebih bersemangat kerana pendedahan tersebut akan membantu mereka meningkatkan lagi penguatkuasaan.

Namun begitu apa yang lebih penting sekarang adalah membincangkan bagaimana hendak menghapuskan penyelewengan diesel bersubsidi dengan memastikan semua pihak yang terlibat benar-benar bersikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugas masing-masing.

Dalam pertemuan dengan penulis, satu sumber memberitahu, jika penyelewengan diesel bersubsidi tidak dibanteras habis-habisan ia boleh mendatangkan bahaya kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mewujudkan dasar yang baik untuk membantu rakyat tetapi ia terbantut kerana di peringkat bawah ada ketirisan. Keadaan inilah yang memungkinkan imej kerajaan terjejas," kata sumber itu.

Sememangnya, dalam memperkatakan soal untuk memastikan dasar kerajaan mencapai matlamat, kejujuran memainkan peranan paling penting. Tetapi malangnya dalam kalangan anggota agensi yang diamanahkan wujudnya kelompok yang tamak dan mahu hidup mewah, biarpun terpaksa menjamah wang haram.

Kelemahan inilah yang dieksploitasikan oleh sindiket untuk menjalankan kegiatan haram mereka seperti mana berlaku dalam isu penyelewengan diesel bersubsidi ini.

Bayangkanlah, berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh penulis, hampir di semua agensi penguat kuasa ada anggota yang bersedia menjadi balaci kepada sindiket kerana diberikan rasuah yang lumayan.

Sebagai contoh, dalam isu penyelewengan diesel bersubsidi, seorang anggota agensi penguat kuasa dibayar 1 sen untuk setiap satu liter bahan bakar itu yang diseleweng. Dan kebiasaannya sebuah lori 12 tan boleh mengangkut 40,000 liter diesel sehari, maknanya dalam kiraan mudah, anggota itu mendapat RM400, kalau ia berterusan sebulan, berapa banyak yang dia dapat?," kata sumber itu lagi.

Sebab itulah, penghargaan harus diberikan kepada KPDNKK yang melalui Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek dalam reaksi segeranya berikutan pendedahan akhbar ini meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan agensi penguat kuasa.

Begitu juga dengan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Alias Ahmad yang menegaskan, kementerian tersebut tidak akan melindungi mana-mana kakitangan kementerian yang terlibat dalam perbuatan menyalahi undang-undang termasuklah dalam isu penyelewengan diesel bersubsidi ini.

Sememangnya itulah sikap yang diharus ditunjukkan oleh agensi-agensi penguat kuasa lain. Penyelewengan diesel bersubsidi harus dibanteras kerana ia ancaman kepada ekonomi negara dan bukannya soal hendak menjaga imej mana-mana agensi.

Persoalan ini ditimbulkan kerana berdasarkan satu sumber, jika kegiatan sindiket penyelewengan itu dikaji, sudah pasti kita akan mendapati sesuatu perilaku yang tidak munasabah berlaku.

Ini termasuklah bagaimana tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa di sebuah syarikat yang terletak hanya bersebelahan pejabat sebuah agensi penguatkuasaan. Jawapan yang diberikan apabila ditanya ialah mereka tidak ambil tahu," kata sumber itu.

Justeru sudah tiba masanya kerajaan memikirkan satu mekanisme bagi memastikan penyelewengan diesel bersubsidi ini dihapuskan sama sekali. Sementara penghargaan harus diberikan kepada KPDNKK kerana melancarkan Ops Titik, hakikatnya banyak lagi langkah yang lebih tegas perlu dilaksanakan.

Ini kerana penyelewengan diesel bersubsidi bukanlah isu kecil atau ditangani secara bermusim sebaliknya perlu dicari satu mekanisme kekal dan tegas supaya perbuatan mensabotaj ekonomi negara tersebut dapat dihapuskan.

Dan apa yang lebih penting, satu operasi pembersihan perlu dilaksanakan sama ada melibatkan agensi penguat kuasa, pengusaha stesen minyak, penerima diesel bersubsidi dan peniaga.

Kesemua kelompok ini bertanggungjawab dan ada antaranya terlibat dalam usaha meraih keuntungan secara haram tanpa memikirkan kesannya kepada ekonomi negara," kata satu sumber.

Sebenarnya, untuk membanteras penyelewengan diesel bersubsidi ini tidaklah susah jika anggota agensi penguat kuasa benar-benar jujur tetapi malangnya ada dalam kalangan mereka seolah-olah tidak gemar untuk menyuapkan anak isteri atau keluarga mereka dengan rezeki halal. Mereka mahu hidup mewah dengan cara mudah dan sikap itulah yang memungkinkan penyelewengan itu tidak dapat dibanteras.

Oleh itu adalah diharapkan kerajaan akan memandang serius gejala penyelewengan diesel bersubsidi ini kerana jika mengikut maklumat yang diperolehi ia sudah berada di tahap yang cukup parah.

Sebelum terlambat bertindaklah sebelum sindiket penyelewengan bahan bakar itu menjadi sebuah kartel yang sukar dihapuskan sehingga akhirnya meruntuhkan ekonomi negara.

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

Dari Jendela Tok Ki

UCAPAN Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Pahang baru-baru ini mengenai humanrightisme menerima pandangan pro-kontra oleh beberapa pihak.

Pada hemat penulis, pendirian Perdana Menteri terhadap fahaman hak asasi itu adalah jelas dan berani. Di tengah-tengah kemelut isu hak asasi yang cuba diperkenalkan oleh Barat, Najib tampil menyatakan sikap kritisnya terhadap acuan hak asasi cara Barat.

Penulis tidak fikir beliau mengkritik keperluan dan kepentingan hak asasi tetapi hak asasi yang mengikut acuan Barat seperti yang diperjuangkan oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) umpamanya sangat bahaya dalam konteks iklim sosiobudaya Malaysia. Perlembagaan tidak dihormati, peruntukan agama diremehkan, menyantuni kelompok yang memerlukan pembelaan dianggap sebagai bercanggah dengan hak asasi.

Ada latar yang mendukung humanrightisme cara Barat ini. Barat sedang menampilkan hak asasi manusia yang terlepas daripada pertimbangan agama dan etika. Dalam situasi fahaman pasca modenisme berkembang, hak asasi Barat berdiri atas asas rasionaliti semata-mata.

Fahaman pasca modenisme yang cuba mengambil tempat mengatasi modenisme cuba membentuk pola sosial berasaskan kapitalisme melampau, fahaman individualistik dan hedonistik yang bercanggah dengan Islam.

Ada kecenderungan yang nyata bagaimana fahaman ini ingin dipaksakan kepada umat Islam supaya berlaku hegemoni (penguasaan) the supremacy of the west" atau keagungan Barat terhadap pihak lain.

Fahaman ini bercanggah dengan tradisi hak asasi dalam Islam. Islam amat mementingkan kualiti kemanusiaan tetapi asas akhlak menjadi dukungan utama. Kehidupan yang bebas tanpa ikatan keagamaan menyebabkan lahirnya tradisi perilaku songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang didukung oleh negara-negara Barat.

Pasca modenisme dari suatu sisi membenarkan ini terjadi. Analisis terhadap fahaman ini adalah penolakan terhadap hierarki, autoriti dan menghasilkan anarki.

Dalam sistem berkeluarga Islam hierarki kekeluargaan contohnya amat penting. Ia asas kepada pembangunan masyarakat atau pun umat.

Apabila LGBT mengambil tempat institusi keluarga bakal rosak. Krisis genetik akan mengambil tempat dan generasi test-tube bakal berkembang. Ia bercanggah dengan fitrah Islami.

Di Barat, suatu ketika dulu faktor agama Kristian dianggap penting sebagai sumber autoriti kepercayaan dan rujukan. Pengaruh gereja amat kuat. Hari ini gereja dan Cathederal menjadi sumber permuziuman. Penolakan Barat terhadap autoriti ini menjadikan mereka hanya menggunakan beberapa bahagian etika Kristian dalam kehidupan harian tidak seluruh konsep mengenai Kristianiti kerana agama dianggap sesuatu yang peribadi.

Dalam tradisi Islam, masjid, al-Quran dan tradisi Kenabian (Nubuwwah) tetap menjadi sumber autoriti umat hatta di Barat sekali pun. Ia menghasilkan Islamofobia di Barat dan dalam beberapa hal Islam dilihat sebagai ekstremis, fundamentalis dan teroris. Peristiwa 11 September di Amerika Syarikat banyak membuka mata orang Barat mengenai Islam sebenarnya.

Budaya baru yang berkembang di Barat atas nama hak asasi manusia ialah kecenderungan ke arah anarki (disorderly). Sikap menolak agama dan tradisi yang dianggap dogmatik atau berlawanan dengan tradisi sains kuat berkembang di Barat.

Anarki juga menampilkan sikap baru dalam pemikiran, budaya dan pola hidup dan penentangan terjadi terhadap pemikiran, fikrah, pola hidup yang berasaskan agama dan etika.

Perjuangan Comango dalam konteks Malaysia mempunyai pengaruh ini. Kecenderungan ke arah LGBT yang sedang memperlihatkan tandanya adalah bukti lain. Ia amat bercanggah dengan pola sosial Islam dan agama-agama yang ada di Malaysia.

Justeru penegasan Perdana Menteri ini adalah kena pada masanya. Humanrightisme mengikut acuan Barat amat bercanggah dengan tradisi orang beragama dan beradab.

Islam meletakkan pembangunan rijal atau manusia sesuatu yang amat utama supaya kualiti manusiawi terserlah bukannya pola haiwani yang menolak agama dan etika.

Kualiti manusia dalam konteks hak asasi Islami menjadikan agama, akhlak dan etika sesuatu yang amat penting kerana tanpanya kezaliman dan kerosakan fitrah kehidupan boleh terjadi.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved