Jumaat, 17 Januari 2014

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Selesai 90% masalah banjir kilat

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Nor Hisham Ahmad Dahalan

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Cadangan pembinaan sebuah kolam tadahan banjir seluas 1.2 hektar di Batu 23, Jalan Batu Arang-Rawang, Selangor tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan penduduk dan pengusaha ternakan di situ.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahalan berkata, pembinaan kolam berdekatan Sungai Gong yang menjadi punca banjir itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, tanah tersebut merupakan milik kerajaan dan tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah persendirian.

"Saya telah berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minggu lalu dan persetujuan telah diberikan bagi meneruskan projek tersebut.

"Bagaimanapun jumlah peruntukan bagi projek itu masih belum ditentukan.

"Kertas kerja mengenai projek tersebut juga telah dihantar ke Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai bantahan beberapa penduduk dan pengusaha ternakan di Batu 23, Jalan Batu-Arang di sini mengenai cadangan pembinaan kolam tadahan di kawasan itu yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini.

Dalam laporan itu, mereka mendakwa lokasi yang dicadangkan itu bukan sahaja tidak sesuai kerana terletak di kawasan tanah tinggi tetapi juga bukan kawasan yang menjadi punca kejadian banjir.

Nor Hisham berkata, mereka yang menyuarakan bantahan itu terdiri daripada peneroka haram di kawasan itu

"Kolam tersebut dijangka dapat menyelesaikan 90 peratus masalah banjir di Rawang," katanya.

HORAS bakal cetus panik kepada rakyat Selangor - Swan

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

SHAH ALAM 17 Jan. - Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan) menyifatkan pengumuman kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu melaksanakan projek HORAS (Hybrid Off River Augmentation System) hanya akan menambahkan lagi kekeliruan selain mencetuskan suasana panik di kalangan pengguna air di negeri ini.

Presiden Swan, Aldric Loong Kim Yew berkata, pengumuman projek itu oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat seolah-olah mengakui kenyataan daripada pelbagai pihak termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebelum ini mengenai kekurangan bekalan air membabitkan kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurutnya, kebimbangan pengguna mengenai status bekalan air itu turut ditambah lagi dengan keputusan kerajaan negeri untuk memberikan kelulusan bagi pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 sedangkan sebelum ini kerajaan negeri menyatakan loji tersebut tidak diperlukan.

"Masih terlalu awal untuk dirumuskan sama ada projek HORAS ini adalah satu realiti atau sekadar cakap-cakap kosong sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 13 Januari lalu, Abdul Khalid dilaporkan menerusi portal berita telah mengarahkan Pengawal Selia Air Selangor, Datuk Mohamad Roslan Sakiman untuk memulakan projek HORAS di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari.

Menurut Abdul Khalid, dengan adanya projek itu rakyat Selangor tidak akan terlalu bergantung kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 sebagai jaminan atau kepastian bahawa pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mendapat bekalan air berterusan.

Selain itu, Abdul Khalid turut menyatakan sistem tersebut melibatkan penakungan air hujan dari Sungai Selangor di kawasan bekas lombong di Bestari Jaya.

Dalam pada itu, Kim Yew berkata, pihaknya akan menganjurkan persidangan meja bulat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 23 Januari ini bermula pukul 9 pagi bagi membincangkan serta mencari rumusan terbaik bagi merungkaikan kekeliruan dan keresahan rakyat berhubung isu bekalan air.

Nelayan Kuala Langat terima sumbangan

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Sulaiman Karli (tengah) beramah mesra dengan sebahagian nelayan yang menerima bantuan kewangan bagi tujuan baik rumah mereka di Kuala Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA LANGAT 17 Jan. - Sebanyak 26 nelayan menerima bantuan kewangan RM10,000 setiap seorang bagi membolehkan mereka membaik pulih rumah sekali gus dapat menyediakan suasana kediaman lebih selesa.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli berkata, dengan sumbangan tersebut diharapkan nelayan terbabit dapat menjadikan kehidupan keluarga masing-masing lebih harmoni dan ceria.

"Sebelum ini kerajaan ada membuat kempen Satu Rumah Satu Komputer dan kini kita berazam untuk mewujudkan masyarakat di kawasan ini mempunyai sebuah rumah bagi setiap keluarga.

"Terdapat rumah yang dihuni oleh tiga generasi iaitu datuk, anak dan cucu dan keadaan sebegini menyebabkan rumah yang didiami semakin sempit sehingga kurang selesa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan tersebut di sini hari ini.

Menurut Sulaiman, kebanyakan nelayan terbabit memiliki rumah tetapi tidak mempunyai modal untuk membaik pulih bahagian yang rosak seperti bumbung dan lantai.

"Kita banci dan melihat sendiri rumah kesemua nelayan sebelum mendaftarkan mereka untuk menerima bantuan.

"Saya harap bantuan yang disampaikan ini mampu menjadi perintis kepada projek perumahan untuk rakyat miskin yang lain sebagai nilai tambah kepada projek mesra rakyat dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Hobi beri pulangan lumayan

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

PELBAGAI kostum menarik disediakan Sab Collection Rental Shop di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 16 Jan. - Bermula dengan hobi mengumpul pakaian khas atau kostum, Sabariah Abd. Satar tidak menduga minatnya itu memberi pulangan lumayan apabila mendapat perhatian rakan yang berminat untuk menyewa bagi menghadiri majlis makan malam yang menetapkan tema tertentu.

Memulakan langkah awal dengan mengumpul pakaian tradisional Melayu termasuk baju kurung songket yang dipakai ibunya sewaktu majlis perkahwinan, koleksi songket beliau semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Sabariah berkata, koleksi tersebut dikumpul sama ada dengan membeli atau menempah yang kemudiannya disimpan dalam almari khas tanpa dipakai.

Menurut Sabariah, obsesi terhadap kostum makin menjadi-jadi kerana beliau mempunyai satu lagi hobi iaitu melancong.

Gabungan dua hobi saya iaitu melancong dan mengumpul kostum memberikan idea untuk mendapat pelbagai jenis pakaian yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

Apatah lagi rakan-rakan pernah bertanyakan sama ada boleh atau tidak mereka menyewa koleksi kostum untuk dipakai bagi menghadiri majlis tertentu.

Justeru, saya terfikir untuk mewujudkan perniagaan sewaan kostum dan koleksi saya semakin bertambah setiap kali saya melancong," katanya yang kini merupakan Pengarah Urusan Sab Shop Costume Rental.

Terletak di deretan rumah kedai di belakang @Mart Tampoi, premis milik Sabariah itu kini menempatkan hampir 400 pasang kostum daripada pelbagai etnik dari seluruh negara, watak adiwira, karakter filem popular, watak cerita dongeng dan sebagainya.

Jelas beliau, kostum-kostum tersebut diperoleh ketika melancong ke beberapa negara di Asia dan Eropah.

Ada di antaranya saya beli ketika melancong jika harganya berpatutan. Jika harganya terlalu mahal, saya akan menempah dengan tukang jahit khas di Jakarta, Indonesia.

Saya hanya perlu memberi rekaan kostum tersebut kepada tukang jahit itu, maka akan terhasillah kostum yang diingini dengan kos yang jauh lebih murah, katanya.

Sementara itu, Sabariah berkata, ada kalanya dia mengubah sedikit kostum yang ditempah mengikut cita rasanya namun elemen asal masih dikekalkan supaya tidak menyimpang jauh daripada kostum sebenar.

Contohnya pakaian matador dari Sepanyol, jika dibeli di sana, harganya mencecah harga ribuan ringgit tetapi setelah menggunakan khidmat tukang jahit tersebut, kosnya hanya RM500, katanya.

Tambah Sabariah, koleksi kostum miliknya disewakan pada harga RM150 sepasang merangkumi hiasan kepala, baju, seluar, kasut dan juga aksesori lain.

Menariknya, beliau tidak mengenakan sebarang deposit kepada penyewa kerana mahu semua orang mampu menyewanya dan kelihatan menawan dengan koleksi pakaian yang dimilikinya.

"Saya rasa puas apabila penyewa kelihatan kacak bergaya atau cantik menawan memakai pakaian saya dengan lengkap. Sebab itu saya hanya kenakan caj yang murah.

"Lebih menggembirakan jika kostum saya itu dipilih sebagai pakaian terbaik dalam sesebuah majlis," katanya.

Bekas model itu berkata, koleksi kostum yang dimilikinya boleh dilihat di laman Facebook Sab Shop Costume Rental.

MDT sudah keluar notis

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

LEDANG 16 Jan. - Majlis Daerah Tangkak (MDT) sudah pun mengeluarkan notis pemberitahuan kesalahan (PH14) kepada pemilik kilang produk kecantikan yang terbakar di Kampung Sengkang, Disember lalu, berikutan dakwaan mencemar alam sekitar.

Setiausaha MDT, Sulaiman Ismail berkata, notis itu sebagai tindakan susulan dan maklum balas mengenai aduan penduduk mengenai kilang berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan.

"Siasatan mendapati kilang itu mempunyai lesen jenis kilang syampu atau kosmetik dari MDT. Laporan siasatan Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan mendapati kawasan kilang yang terbakar itu adalah sebuah gudang menyimpan barang pembungkusan.

"Bahan yang terbakar dalam kebakaran pada 29 Disember lalu adalah kayu palet, botol plastik, kotak pembungkusan, tong plastik dan tong berisi air campuran syampu serta sabun," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini kira-kira 1,000 penduduk di kampung tersebut merungut dan bimbang berikutan kilang tersebut yang terbakar 29 Disember lalu menghasilkan bau kurang menyenangkan dipercayai bahan kimia selepas beberapa hari insiden itu berlaku.

Mereka khuatir pencemaran bau tersebut merupakan hasil daripada bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan dan bau berkenaan dapat dihidu kerana jarak antara kilang dengan rumah penduduk hanya kira-kira 20 meter, tidak seperti peraturan yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu 100 meter.

Sementara itu, Sulaiman turut memaklumkan bahawa bau busuk atau masam yang dihidu penduduk kampung adalah dari kawasan tepi pagar longkang kilang berkenaan yang berpunca daripada air jirusan jabatan bomba ketika memadamkan kebakaran yang mengalir dan melimpah ke atas jalan.

"Air itu bercampur dengan syampu dan meninggalkan mendapan di atas jalan, longkang serta tanah. Ia dipercayai menyebabkan bau busuk dan masam bagaimanapun MDT sudah mengarahkan pemilik kilang supaya membersihkan mendapan yang tertinggal dengan segera bagi memastikan tiada lagi bau busuk," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Sunshine promosi kebaya

Posted: 17 Jan 2014 05:21 AM PST

Sunshine Aileen Devi Eric giat mempromosi kebaya.

BAJU kebaya merupakan antara pakaian tradisi yang selalunya dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Realitinya, pakaian yang diiktiraf sebagai antara warisan sejarah, turut diminati oleh kaum lain kerana keunikannya.

Itu yang diakui Sunshine Aileen Devi Eric, 25, juara Ratu Kebaya Malaysia 2014 yang mahu mengangkat dan mempromosikan kebaya peringkat lebih tinggi.

Mahu dipanggil Sunshine, dia berkata, kebaya adalah berkenaan budaya tradisi rakyat negara ini yang telah wujud sejak sekian lama.

"Baju kebaya telah wujud sekian lama dan menjadi sebahagian daripada bahan sejarah di negara ini. Ia dipakai oleh wanita sejak dari zaman P. Ramlee dan Saloma di mana wanita dengan pelbagai saiz badan dan ketinggian memakainya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Malangnya kata gadis berambut lepas bahu ini, generasi sekarang sudah mula lupa akan pakaian tradisi tersebut.

"Jadi, sebagai Ratu Kebaya Malaysia, saya boleh mewakili generasi muda khusus wanita untuk memulihara dan mengelakkan budaya kebaya daripada dilupakan.

"Wanita yang memakai kebaya akan kelihatan lebih jelita, seksi dan elegan. Kebaya adalah fesyen yang sangat klasik dan moden," jelas Sunshine.

Berketinggian 172 sentimeter, model dan pelakon komersial ini dinobatkan sebagai juara Ratu Kebaya 2014 setelah berjaya mengetepikan 18 peserta lain.

Dia yang berasal dari Ipoh, Perak, berdarah kacukan India dan Punjabi sebelah bapanya, manakala ibunya berketurunan British dan China-Mongolia.

Pemegang sijil Media Komunikasi dan Perhubungan Awam dari TARC, Wangsa Maju, Sunshine bukan sahaja seorang pelakon yang berbakat tetapi juga seorang penyanyi.

Dalam bidang lakonan dia pernah berlakon dalam beberapa drama dan telemovie antaranya Akademi Polis, Demi Tuhanku Izinkan, Muat Tak Muat, Ukiran Hati, dan Rania Tip Tip.

Dia turut berlakon dalam filem Tamil, The Secret of Thadavapuram arahan Prakash dan Sir Maraz Ravi, serta filem Kaatu Rani arahan Sugumaran.

Menyentuh nama Sunshine pula, Ratu Cantik Kebaya itu berkata: "Wajah ibu saya sering bercahaya dan suka tersenyum ketika mengandungkan saya, maka itu rakan-rakannya memanggil 'Sunshine' dan apabila melahirkan saya dia memberi saya nama itu."

Mengenai penyertaan pada pertandingan Ratu Kebaya Malaysia, dia berkata, ia menjadi platform dan pengalaman untuk gadis-gadis yang ingin membina diri mereka supaya lebih yakin.

Sebagai Ratu Kebaya katanya, dia merancang untuk mempromosi pakaian kebaya sambil membantu industri pelancongan.

Sunshine memberitahu, memandangkan ia berkaitan dengan tradisi dan kebudayaan negara, ia mendapat sokongan daripada Tourisme Malaysia dan pertubuhan Ratu Kebaya dan setakat ini promosi telah dilakukan di Filipina.

"Adalah sesuatu yang baik sekiranya dapat diadakan lebih banyak pertunjukan fesyen dan acara-acara berkaitan pakaian di Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Dengan cara itu kita boleh mendedahkan identiti kita menerusi pemakaian seperti baju kebaya.

"Kita mempunyai banyak pereka fesyen daripada Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera. Rekaan mereka adalah hebat dan mampu didedahkan ke peringkat dunia," ujarnya.

"Daripada pertandingan Ratu Kebaya itu juga, dia mempelajari banyak perkara baharu seperti catwalk dan bagaimana memakai kebaya dengan cara betul.

"Kebaya direka sehingga membuat kita berjalan dan bergaya dengan cara yang sopan dan menarik. Bukan senang untuk berjalan dengan berpakaian kebaya. Jadi kena belajar dan saya gembira kerana berpeluang melakukannya.

"Kami juga mempelajari bahasa Inggeris daripada pensyarah dan mereka mengajar kami cara bercakap di hadapan khalayak dan ilmu itu adalah terbaik untuk kami," katanya

Ratu Kebaya Malaysia adalah pertandingan yang diasaskan oleh Jason Hee Jee Pin sejak tahun 2011. Tujuan utama pertandingan itu adalah untuk mengekalkan warisan dan budaya Malaysia dan yang paling penting dari aspek pelancongan di samping menggalakkan perhubungan harmoni dan silaturahim, menyemarakkan rasa kecintaan dan kegembiraan melalui aktiviti mengutip derma di Malaysia.

Peluang francais butik pakaian

Posted: 17 Jan 2014 05:21 AM PST

Oleh Noor Fazrina Kamal

DILLA Karim berkongsi perniagaan butik melalui sistem francais.

SOPAN dalam berfesyen seringkali dilihat sebagai membosankan dan tidak mengikut aliran terkini. Kini, berpakaian sopan tidak lagi hanya kerana landasan agama dan budaya sebaliknya turut menjurus ke arah profesionalisme dan gaya, meskipun melalui fasa perubahan arus moden.

Pada hakikatnya, gaya merupakan sesuatu yang peribadi dan lahir daripada keyakinan setiap individu.

Memenuhi aspirasi itu butik fesyen wanita, Zawara, yang popular dengan barisan busana wanita yang sopan, elegan, feminin dan trendy kini menawarkan program francais kepada usahawan tempatan.

Mirage Resources Sdn. Bhd. , syarikat pemilik butik fesyen wanita tersebut, membuka peluang kepada para usahawan menceburi bidang fesyen dengan menjadi francaisi bagi perniagaan berasaskan busana wanita yang sopan dan trendy.

Ketua Pegawai Operasi Zawara, Dilla Karim menyasarkan konsep perniagaan ini untuk membantu mereka yang berminat dan berkebolehan dalam bidang perniagaan, di samping mahu meramaikan lagi usahawan bumiputera yang berminat menceburi perniagaan francais.

"Kami merupakan butik fesyen Muslimah pertama di Malaysia yang menawarkan program francais. Kami akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada francaisi kami bagi memastikan kesempurnaan dalam operasi.

"Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyediakan bantuan kewangan sebagai dana permulaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi francaisi kami.

"Tahun ini, kami menyasarkan 15 francaisi akan membuka butik Zawara dengan modal serendah RM250,000," katanya.

Dilla menambah, antara kelebihan yang ditawarkan kepada francaisi ialah yuran francais yang rendah.

Katanya, usahawan juga akan diberikan latihan selain pemantauan rapi dan tiada bayaran royalti bulanan seperti yang selalu dikenakan produk francais lain.

"Uniknya, kami menitikberatkan kesempurnaan dalam setiap rekaan dan pakaian yang dibeli oleh pelanggan.

"Kami menyediakan khidmat tukang jahit di setiap butik bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam kerja-kerja pengubahsuaian dan pengolahan pakaian yang telah dibeli. Ia hanya mengambil masa 30 minit," katanya.

Kesemua rekaan dan pilihan fabrik adalah hasil perkongsian idea oleh pasukan pereka fesyen berbakat yang diterajui sendiri oleh Dilla.

Pakaian yang disediakan diolah mengikut trend semasa dan sentiasa dikomersialkan bagi memenuhi cita rasa penggemar.

Selain itu, pilihan rekaan adalah lebih kepada moden kontemporari bagi memenuhi citarasa pelanggan.

Sehingga hari ini, menurut Dilla, pihaknya telah berjaya membuka lima buah butik di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru, Bangi dan Bandung, Indonesia.

Butik tersebut turut mengeluarkan koleksi pakaian santai, pejabat serta ke majlis rasmi.

Kebanyakan koleksi busana mengunakan kain yang berkualiti tinggi seperti sutera satin, sutera syifon, Hem Korea, kapas serta lycra yang memberikan keselesaan.

Bagi yang berminat menceburi bidang perniagaan francais boleh facebook ZawaraOnline.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Langkah hapus 'orang tengah'

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

SURAYA Yaacob (empat dari kanan) bersama wakil dari PPK yang menerima sijil dalam Majlis Pelancaran Pusat Belian Padi PPK Bersama Bernas di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 16 Jan. - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kedah memperuntukkan RM1.98 juta bagi membina enam Pusat Belian Padi di negeri ini sejak 2011 dalam usaha menghapuskan peranan 'orang tengah' dalam sektor padi.

Pengarah LPP Kedah, Ismail Saleh berkata, pada tahun ini sebuah lagi Pusat Belian Padi akan dibuka di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang Serai dekat sini dengan peruntukan berjumlah RM300,000.

Katanya, pusat tersebut dibina untuk memberi kemudahan pemasaran lepas tuai kepada ahli PPK khususnya yang terbabit dengan Projek Mini Estet Padi tanpa melalui orang tengah.

"Sekarang tiga pusat belian padi telah beroperasi iaitu di PPK Kuala Muda Selatan, Merbok dan Bandar Baharu, manakala tiga lagi pusat dalam persediaan untuk operasi adalah di PPK Langkawi, Asun dan Pendang.

"Paling baharu adalah Kilang Beras Kubur Panjang (KBKP) yang memperolehi semula status Pusat Belian Padi daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas)," katanya selepas Majlis Pelancaran Pusat Belian Padi PPK Bersama Bernas di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kanan Bernas, Mohd. Azmy Abu Samah.

Ismail berharap, semua PPK dapat memberi kerjasama dengan Bernas bagi melaksanakan operasi pembelian padi secara tidak langsung akan mengurangkan risiko yang ditanggung PPK dalam menjalankan aktiviti ini termasuk berdepan risiko kerosakan hasil tuaian.

Beliau berkata, ahli PPK terdiri daripada petani memperoleh faedah menerusi kerjasama dengan Bernas seperti menerima tawaran bayaran secara bersepadu harga padi, subsidi dan komisen.

Katanya, pusat tersebut juga membuat bayaran kepada petani lebih cepat berbanding bayaran dibuat melalui orang tengah.

"Dalam masa sama, kewujudan pusat ini yang berada dalam kawasan mereka juga sekali gus akan membantu meningkatkan hasil pendapatan pesawah di negeri ini di mana petani datang terus ke pusat belian dan dapat menjimatkan kos pengangkutan mereka.

"Saya berharap supaya pusat belian padi PPK dengan persetujuan Bernas dapat memindahkan padi ke KBKP mengikut keperluan bagi memenuhi sasaran Pelan Perniagaan KBKP supaya matlamat pengeluaran padi 14,000 metrik per tan setahun tercapai," katanya.

Zakat Pulau Pinang agih RM5.3 juta

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

Oleh ANI AWANG
utusanpenang@utusan.com.my

Pengurus Besar Zakat, Dr. Azman Samad (kanan) menyampaikan zakat kepada sebahagian daripada 420 penerima di Dewan Ahmad Badawi Butterworth, semalam.

BUTTERWORTH 16 Jan. - Zakat Pulau Pinang mengagihkan sebanyak RM5.3 juta kepada 7,257 orang pelajar di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, RM1.8 juta diperuntukkan untuk bantuan persekolahan manakala RM3.5 juta lagi untuk bantuan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, bantuan tersebut adalah tanggungjawab MAINPP untuk melaksanakan amanah bagi memenuhi keperluan asnaf di negeri ini.

"Bantuan ini dapat mengurangkan bebanan ibu bapa dalam menyediakan wang bagi membolehkan anak-anak memulakan sesi persekolahan serta melanjutkan pelajaran ke IPT," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Penyerahan Zakat Korporat di Dewan Datuk Ahmad Badawi di sini hari ini.

Seramai 420 orang menerima bantuan persekolahan dan bantuan IPT berjumlah RM226,050 hari ini.

Selain itu, Telekom Malaysia Berhad (TM) membayar zakat perniagaan berjumlah RM93,032 kepada Zakat Pulau Pinang.

Salleh berkata, pendidikan amat penting dalam menentang kemiskinan dan membentuk masyarakat Islam yang berkualiti.

Katanya, kesedaran terhadap ilmu mampu melahirkan generasi yang hebat dengan ilmu dunia dan ilmu akhirat yang berasaskan al-Quran dan sunnah Rasullah SAW.

"Tanpa pendidikan, tidak mungkin manusia dapat membina tamadun dan peradaban. Sebaliknya manusia akan hanyut dalam kepesatan arus kemajuan dunia yang semakin deras dan pantas," katanya.

Polis tumpaskan kegiatan edar dadah di Sungai Siput

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

KASUAHDI Ali (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada dua suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, Perak, semalam.

SUNGAI SIPUT 16 Jan. - Polis menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah dipercayai di kawasan Sungai Siput Utara dengan penangkapan dua suspek selain merampas dadah jenis ganja seberat hampir tiga kilogram bernilai RM2,350, kelmarin.

Kedua-dua suspek berumur 25 tahun itu ditahan bersama sebuah motosikal ketika dipercayai sedang menunggu pelanggan di hadapan kawasan tempat meletak kenderaan Pasar Raya TF Value Mart di Jalan Lintang di sini, pukul 7.20 petang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kasuahdi Ali berkata, kesemua dadah yang dibungkus dalam tiga pita plastik itu ditemui di dalam raga motosikal.

"Bekalan dadah itu dipercayai diperoleh daripada daerah berdekatan dan boleh menampung penagih dadah di sekitar kawasan Sungai Siput Utara termasuk Khantan dan Chemor di Ipoh selama sebulan.

"Namun begitu, kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah, malah hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Deputi Supritendan Ernest John.

Kasuahdi berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 21 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Dunia coklat tempatan di NS Galleria

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
pengarang@utusan.com.my

Siti Noraizah Kassim menunjukkan beberapa jenis coklat buatan tangan yang dihasilkan dan dijual di NS Galleria, Muzium Negeri Sembilan, Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 16 Jan. - Penggemar coklat khususnya di negeri ini kini berpeluang menikmati keenakan serta kelazatan pelbagai jenis coklat hasil buatan tempatan menerusi pembukaan NS Galleria Chocolate World (NS Galleria), yang menempatkan produk ChocsValley Sdn. Bhd. (ChocsValley) di sini.

Premis yang mula beroperasi sejak Julai tahun lalu berhampiran Muzium Negeri Sembilan itu kian mendapat sambutan umum menerusi kepelbagaian produk coklat yang ditawarkan.

Lebih menarik, NS Galleria menawarkan lebih 50 produk coklat berkualiti sehingga mampu menandingi produk luar negara.

Pengarah Urusan ChocsValley, Siti Noraizah Kassim berkata, pembukaan NS Galleria yang berkonsepkan pameran dan jualan itu menjadi platform terutamanya kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka.

Orang ramai yang memasuki galeri coklat pasti akan teruja kerana kami mempamerkan dan menjual coklat buatan usahawan tempatan pada harga yang murah.

Di kedai ini, hampir 30 peratus produk coklat dihasilkan oleh ChocsValley manakala 70 peratus lagi adalah coklat buatan usahawan tempatan bawah bimbingan Lembaga Koko Malaysia (LKM)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, 70 peratus produk coklat yang dipasarkan di NS Galleria diperolehi daripada 10 usahawan sekitar negeri ini.

Inisiatif ini secara tidak langsung mampu mewujudkan situasi menang-menang di mana kita membantu usahawan tempatan memasarkan produk mereka pada masa sama kita mampu memenuhi permintaan yang tinggi.

Ini kerana ChocsValley turut menerima tempahan membekalkan produk coklat dari pihak hotel selain dipasarkan di kios-kios sekitar negeri ini," katanya.

Tambahnya, produk di Galleria NS dijual pada harga serendah RM1.50, malahan pengunjung juga boleh membuat tempahan untuk dijadikan cenderamata majlis hari lahir atau perkahwinan.

Saya membuat penyelidikan sendiri berdasarkan cita rasa masyarakat tempatan, malah kami di ChocsValley menghasilkan produk berkonsepkan campuran coklat Belgium dan coklat tempatan bagi hasil coklat yang enak.

Antara produk yang mendapat sambutan tinggi seperti Praline Truffles Chocolate dan Panned Chocolate," ujar Siti Noraizah yang berasal dari Rembau.

Mengulas saat-saat awal menceburi bidang pembuatan coklat, Siti Noraizah memberitahu, dia mula berniaga secara kecil-kecilan dengan berbekalkan modal sebanyak RM1,800 pada 2010 bagi menghasilkan produk coklat sendiri.

Saya banyak mendapat bimbingan dan dibantu oleh LKM, maka saya berhasrat untuk hasilkan produk yang setanding dengan produk terkenal sebab itu saya sering menambah baik produk dari semasa ke semasa bagi memperbaiki rasa serta kualitinya," katanya.

Menurutnya, dia memerlukan hampir setengah tan koko bagi menghasilkan produknya dalam tempoh sebulan.

Sebenarnya coklat kita setanding dengan coklat luar negara, namun promosi pemasaran agak kurang menyebabkan coklat kita tidak dikenali.

Saya harap orang ramai memberi peluang kepada kami untuk membangunkan dan mengembangkan produk coklat tempatan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Siti Noraizah bercadang mewujudkan Cafe Bistro Coklat berhampiran NS Galleria bagi membolehkan pengunjung berehat sambil menikmati produk coklat.

Idea ini selari dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia tahun ini, mungkin itu salah satu cara untuk menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara melancong ke Negeri Sembilan.

Di cafe itu, para pengunjung boleh menikmati hidangan serta juadah yang berasaskan coklat seperti air coklat panas, biskut coklat, kek coklat dan sebagainya," jelasnya.

NS Galleria dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Mereka yang berminat membuat tempahan boleh menghubungi Siti Noraizah di talian 019-6052258 atau 017-2673215 atau melayari Facebook Chocs Valley atau NS Galleria Chocolate World.

Platform perkembang, promosi bisnes

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

Beberapa jenis coklat tempatan yang dipasarkan di NS Galleria, Muzium Negeri Sembilan, Seremban.

SEREMBAN 16 Jan. - NS Galleria Chocolate World (NS Galleria) merupakan platform bagi usahawan tempatan memperkembang serta mempromosi keenakan produk coklat tempatan.

Menurut pengunjung, Mawar Malinda Zakaria, 32, NS Galleria merupakan idea terbaik bagi memartabatkan perniagaan coklat usahawan tempatan yang sebelum ini kurang mendapat sambutan orang ramai.

Coklat tempatan ada diletakkan di beberapa pasar raya besar seperti di Tesco, Giant dan sebagainya untuk bersaing dengan coklat luar negara namun masyarakat lebih cenderung membeli produk luar negara.

Dengan adanya NS Galleria ini, ia seperti memberi nafas baharu serta menjenamakan semula produk coklat tempatan yang tidak kurang beza enaknya seperti coklat jenama antarabangsa," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi, Muhammad Azri Abdul Majid, 33, coklat buatan tangan mempunyai keunikan rasa tersendiri dan menjadi kegemaran peminat coklat berbanding produk coklat yang dihasilkan secara kuantiti tinggi seperti di kilang.

Rasa coklat buatan tangan dari ChocsValley amat sedap dan tidak terlalu manis serta coklat gelap yang mempunyai keasliannya tersendiri," katanya.

Beliau amat kagum dengan pembuatannya dan kualiti yang dihasilkan sehingga mampu bersaing dengan coklat antarabangsa selain berharap agar NS Galleria dapat dipromosikan secara berterusan dengan kerjasama kerajaan mahupun swasta sekali gus menjadi produk yang boleh menjadi tarikan di Negeri Sembilan.

Produk ini perlu diperkenalkan secara meluas kepada pengunjung terutamanya orang Negeri Sembilan yang secara umumnya masih tidak tahu mengenainya," jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Pelatih Pastri, Ismawati Ismail, 27 berkata, usaha sama Lembaga Muzium Negeri dan Lembaga Koko Malaysia bagi mengetengahkan coklat usahawan tempatan itu harus dicontohi di negeri lain.

NS Galleria ini amat membantu usahawan tempatan dalam memasarkan produk coklat mereka sekali gus membantu menambah pendapatan mereka.

Usaha sama ini amat baik dalam membantu menjana ekonomi usahawan tempatan dan muzium negeri lain perlu mencontohi Muzium Negeri," katanya yang setiap minggu berkunjung ke NS Galleria untuk membeli coklat.

Mahu penahan ombak tambahan

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my

Hasan Rahman (dua dari kanan) berbincang dengan wakil pelbagai agensi bagi menangani masalah nelayan di Teluk Gong, Kuala Sungai Baru, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 16 Jan. - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan nelayan di Telok Gong, Kuala Sungai Baru di sini bagi menyambung benteng penahan ombak sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, beliau akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi menyambung benteng berkenaan untuk mengelakkan bot nelayan rosak dipukul ombak kuat.

Katanya, berdasarkan maklumat hasil pertemuan dengan semua nelayan di Telok Gong, wujud keperluan untuk menyambung benteng berkenaan.

"Saya lihat benteng penahan ombak sedia ada tidak cukup panjang menyebabkan jeti nelayan Telok Gong terdedah kepada ombak kuat sewaktu angin bertiup kencang.

"Benteng tambahan akan melindungi bot-bot nelayan daripada rosak kerana sebelum ini ada yang pecah sewaktu angin kuat dan ombak besar," katanya selepas melawat jeti nelayan Telok Gong di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali dan wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka.

Hasan berkata, berikutan masalah itu, sebahagian besar nelayan terpaksa melabuhkan bot di pangkalan Kuala Sungai Baru.

Katanya, keadaan itu menimbulkan masalah kerana berlaku kesesakan di pangkalan berkenaan yang tidak mampu menampung pertambahan bot dari Telok Gong.

"Saya akan pastikan masalah nelayan di sini dapat diatasi segera. Saya yakin peruntukan yang dipohon melalui UPEN akan diluluskan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Sasar jualan kraf RM430j sempena TMM 2014

Posted: 17 Jan 2014 02:01 AM PST

SUNGAI SIPUT 17 Jan. - Kraftangan Malaysia menyasarkan peningkatan hasil jualan kraf tempatan kepada RM430 juta tahun ini berbanding RM400 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan jangkaan peningkatan kedatangan pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Kita yakin sasaran itu boleh dicapai kerana selain pelancong asing, Kraftangan Malaysia turut menyasarkan masyarakat tempatan sebagai pelanggan," katanya selepas majlis Penyampaian Sijil Latihan Jangka Pendek (LJP) Seramik dan Tekatan di Pusat Kraftangan Perak, Enggor kepada 25 orang peserta di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad yang menyampaikan sijil kepada peserta dan Pengarah Kraftangan Perak, Mohd. Noor Effendy Abdul Karim. - UTUSAN ONLINE

ATF 2014 platform terbaik promosi Tahun Melawat Malaysia

Posted: 17 Jan 2014 01:31 AM PST

KUCHING 17 Jan. - Forum Pelancongan ASEAN 2014 (AFT 2014), yang bermula di sini semalam merupakan peluang dan platform terbaik mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) bagi mencapai sasaran menarik 28 juta pelancong ke negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ATF ke-33 boleh membantu memastikan TMM 2014 bermula dengan cemerlang, manakala kehadiran media dan pembeli antarabangsa pula mampu melonjakkan publisiti acara itu ke peringkat antarabangsa.

"ATF di Kuching merupakan acara antarabangsa premier untuk menyambut TMM 2014, yang menampilkan segala yang terbaik tentang Malaysia ketika negara ini merayakan '1Malaysia Truly Asia," katanya dalam kenyataan bersempena forum itu di Kuching hari ini. - BERNAMA

JPJ Sarawak sasar sifar kemalangan bas ekspres

Posted: 17 Jan 2014 01:27 AM PST

KUCHING 17 Jan. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyasarkan sifar kemalangan bas ekspres sepanjang Ops Tahun Baharu Cina yang dilancarkan serentak di seluruh negara dari 24 Januari hingga 9 Februari ini.

Ketua Penolong Pengarah JPJ Sarawak, Kuek Jui Hock berkata, sepanjang tempoh itu 150 pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ akan dikerah di seluruh negeri bagi menjayakan operasi berkenaan.

Menurutnya, 50 anggota penguat kuasa juga akan terbabit dalam operasi penyamaran bergambar bagi mengesan pemandu yang melakukan kesalahan trafik dan beberapa lokasi telah pun dikenal pasti.

"Pihaknya memberi tumpuan pada bas ekspres disebabkan membawa banyak penumpang dan pegawai penguat kuasa akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres dan bas berhenti-henti di seluruh negeri bagi mengesan pemandu bas yang melakukan kesalahan trafik.

"Tujuan operasi bukan untuk mencari kesalahan tetapi lebih kepada mengurangkan kemalangan, kecederaan dan kematian akibat kemalangan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. .

Di samping itu, beliau berkata, pemeriksaan teknikal dan bukan teknikal juga akan dilakukan di terminal bas Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu bagi memastikan brek bas berfungsi dengan baik dan tayar dalam keadaan yang masih selamat untuk digunakan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Majlis Fatwa Kebangsaan sokong tindakan JAIS

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Perlu perjanjian sah - Jaujan

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Pulapol diketuai komandan wanita selepas 110 tahun

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved