Ahad, 18 Ogos 2013

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Kembara Air terjun Jerangkang

Posted: 17 Aug 2013 06:29 AM PDT

PAHANG Darul Makmur amat terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang sering dijadikan port lepak buat pencinta alam.

Malah lebih mengujakan negeri itu memiliki banyak air terjun yang cantik dan mampu menarik kunjungan ramai termasuk penggemar rekreasi jelajah hutan.

Mana tidaknya, lihat sahaja lokasi air terjun yang terdapat di negeri itu seperti Air Terjun Berkelah, Air Terjun Jerangkang, Air Terjun Teladas dan Air Terjun Lubuk Yu di Maran; Air Terjun Sungai Pandan di Kuantan; Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing; Air Terjun Chamang dan Air Terjun Sungai Perting di Bentong serta Lata Jarum, Lata Berembun dan Air Terjun Pulau Chekas di Raub. Kesemua air terjun itu memiliki tarikan tersendiri sehingga mampu menggamit pengunjung pada setiap hujung minggu.

Sudah tentu lokasi air terjun yang menarik itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh mereka yang berjiwa kembara. Mereka pasti pernah menjejakkan kaki ke salah satu atau beberapa daripada air terjun berkenaan.

Sebahagian besar air terjun itu hanya boleh dimasuki dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4) ataupun berjalan kaki selama satu atau dua jam dengan meredah laluan hutan.

Dalam kesemua air terjun tersebut, penulis beranggapan Air Terjun Jerangkang di Maran lebih istimewa.

Keistimewaan itu membuatkan penulis dan tujuh rakan lain meluangkan masa untuk beriadah di air terjun tersebut baru-baru ini.

Kami menaiki tiga buah kereta dari Kuala Lumpur dengan menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur menuju ke Maran. Seawal subuh, kami tiba di Masjid Kampung Gelugor. Dari situ, kami menggunakan perkhidmatan jentera 4x4 yang disediakan oleh penduduk sekitar untuk masuk ke kawasan air terjun.

Ada juga kumpulan penggemar rekreasi memilih untuk menaiki lori yang boleh memuatkan lebih banyak penumpang.

Perjalanan masuk ke tapak perkhemahan di Air Terjun Jerangkang membawa kami merentasi kawasan ladang getah dan hutan belantara.

Selepas mengharung perjalanan hampir satu setengah jam, kami pun sampai di lokasi yang ditujui.

Tanpa membuang masa, kami berjalan dan mendaki anak tangga menuju ke kawasan tapak perkhemahan selama hampir 30 minit. Laluan jalan berbatu turut diredah.

Sepanjang perjalanan itu, kami disajikan dengan pemandangan air terjun bertingkat yang dipenuhi dengan pelbagai khazanah alam semula jadi yang sungguh unik.

Dianggarkan ketinggian tapak perkhemahan ini adalah sekitar 395 meter (1,185 kaki) dan setibanya di kawasan perkhemahan, kami terus memilih lokasi yang sesuai untuk mendirikan khemah.

Mujurlah ketika kami berkunjung ke sana, tidak ramai pengunjung lain sekali gus memudahkan kami memilih tapak perkhemahan yang paling strategik dengan sumber aliran air.

Setelah khemah siap dipasang, kami menyediakan juadah makan tengah hari iaitu nasi putih, sambal sardin, telur dadar dan ayam goreng.

Selesai menjamu selera, acara paling ditunggu-tunggu pun bermula. Dimulai dengan aksi terjun tiruk, kami kemudian berenang dalam kejernihan air yang pastinya memukau setiap mata yang memandang. Kami mandi-manda dengan sepuas hati.

Menariknya di lokasi ini, selain menjanjikan kepuasan dengan suasana sekeliling yang damai, air terjun yang mengalir jernih itu juga menyimpan spesies ikan yang banyak.

Sambil bermain air, kami tertarik dengan kehadiran anak ikan yang bermain-main di kawasan kami berenang dan mandi-manda.

Ikan-ikan yang terdapat di situ agak jinak dan kami juga berpeluang memegangnya dengan tangan.

Setelah penat berenang, kami mengambil kesempatan untuk menerokai kawasan sekitar.

Boleh dikatakan keindahan Air Terjun Jerangkang sangat mengasyikkan, apatah lagi suasana sekitar dimeriahkan lagi dengan nyanyian unggas yang amat menghiburkan.

Terpesona dengan aliran sungai yang jernih serta kewujudan flora dan fauna yang unik seperti anggerik hutan, cendawan dan periuk kera, kesemua itu sangat menenangkan jiwa kami.

Suasana sekitar pada waktu malam bertukar wajah setelah sang purnama menjelma. Mana tidaknya, waktu malam kami lebih meriah kerana unggas hutan semakin galak menghiburkan kami dengan pelbagai bunyi-bunyian yang begitu merdu.

Penerokaan selama tiga hari dua malam di lokasi ini meninggalkan 1,001 kenangan kepada kami kerana Air Terjun Jerangkang memiliki keunikan tersendiri yang pastinya tidak terdapat di lokasi lain. - SYAHRIL

Kredit: www.utusan.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tiada alasan jika gagal

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah tidak dapat menerima apa juga alasan daripada ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sekiranya skuad Harimau Malaya gagal melepasi Kelayakan Piala Asia 2015 yang kembali bersambung 15 Oktober ini.

Titah baginda, layak ke pusingan akhir Piala Asia akan kekal menjadi tanda aras pencapaian skuad kebangsaan kerana peluang sudah banyak diberikan kepada pengurusan pasukan dalam membuat persediaan termasuk menentang tiga kelab Jepun, bulan lalu yang dikecam hebat pelbagai pihak kerana kalah teruk tanpa membalas satu gol pun.

"Pasukan kita tiada pilihan kecuali memenangi sekurang-kurangnya dua perlawanan tempat sendiri (Kumpulan D Kelayakan Piala Asia), menentang Bahrain (15 Oktober) dan Qatar (19 November) untuk layak ke pusingan akhir (di Australia)," tegas Sultan Ahmad dalam titah ucapan pembukaan Kongres Tahunan Ke-49 FAM di sini, semalam.

Skuad Rajagobal ditewaskan Qatar 2-0 (di Doha, 6 Februari lalu) dan mengalahkan Yemen 2-1 (Shah Alam, 22 Mac lalu) untuk mengumpul tiga mata di tangga ketiga Kumpulan D akan menghadapi Bahrain (di Manama, 15 November) dan Yemen (di tempat lawan Mac tahun depan).

Baginda sebaliknya melahirkan rasa puas hati dengan persediaan skuad bawah 23 tahun negara, Harimau Muda A yang diterajui Ong Kim Swee dari 16 Mac hingga 30 Julai lalu di Slovakia bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

"Beta berpuas hati dengan persiapan mereka (di Slovakia) dan mahukan perjuangan mereka diteruskan untuk memenangi pingat emas kali ketiga berturut-turut (selepas Sukan SEA Laos 2009 dan Indonesia 2011)," titahnya.

Sementara itu Sultan Ahmad Shah juga mengingatkan semua pasukan dalam Liga Malaysia supaya memastikan pembayaran gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan cukai pendapatan pemain mereka, dilunaskan tepat pada masanya.

Baginda melahirkan kebimbangan apabila gara-gara ketidakcekapan pengurusan pasukan ini, banyak penaja enggan lagi melaburkan sumbangan mereka dalam pembangunan bola sepak tempatan.

Bakal digantung seumur hidup

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Sultan Ahmad Shah menyentuh iPad pada pelancaran Sesi Pengenalan Laman Web Baharu FAM sebelum Kongres badan induk bola sepak negara itu di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain, pegawai dan persatuan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh dikenakan penggantungan seumur hidup daripada aktiviti bola sepak sekiranya terus mengemukakan pertikaian mereka ke mahkamah tanpa merujuk atau melalui proses dalaman badan induk bola sepak negara itu terlebih dulu.

Hak Presiden, Setiausaha Agung dan mana-mana pegawai yang dibenarkan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM memberikan kenyataan akhbar pula diperluaskan dengan syarat tertentu asalkan tidak digunakan sebagai medan untuk mengecam penyandang jawatan lain atau pihak tertentu dalam FAM.

Dua perkara itu merupakan pindaan pada Artikel 68 dan 88 Statut FAM yang diluluskan pada Kongres Tahunan Ke-49 badan induk itu di sebuah hotel di sini, semalam yang turut dihadiri Presidennya, Sultan Ahmad Shah.

Kata Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah: "Sebelum ini Artikel 68 tidak menyatakan apakah kesannya jika pertikaian dibawa terus ke mahkamah.

"Pindaan ini menyatakan tindakan (penggantungan) boleh diambil jika kes contohnya kontrak pemain, tidak menggunakan semua saluran yang dibenarkan di FAM terlebih dulu (melapor kepada FAM, Jawatankuasa Status Pemain dan Rayuan dan sebagainya).

"Mahkamah hanya boleh digunakan sebagai saluran terakhir sekiranya semua proses dalaman FAM gagal diselesaikan. Namun jika sudah digantung, ruang masih ada buat mereka dan hanya Kongres FAM (setiap tahun) yang boleh menimbangkan kes rayuannya," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan FAM, semalam.

Mengenai Artikel 88 yang sebelum ini mengakibatkan penggantungan ramai tokoh FAM dan bola sepak negeri seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kata Afandi, pindaan itu menjadikan kebenaran kenyataan akhbar itu bersifat lebih terbuka dengan butiran garis panduannya bakal diedarkan kepada semua ahli gabungan, tidak lama lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin mengumumkan projek pembinaan kompleks baharu FAM di atas tanah seluas 15 ekar di Putrajaya, berdekatan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dalam tempoh tiga tahun dari sekarang di samping empat ekar lagi bagi menempatkan ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

"Minggu depan Tuanku Presiden dan ahli Exco akan melawat tapak cadangan. Anggaran kos pembinaannya belum dapat dipastikan tetapi FAM mempunyai dana persediaan sebanyak RM35 juta untuk membangunkannya," katanya mengenai projek Visi Kota Bola Sepak dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya itu yang turut akan memiliki padang dan pusat akademi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Seorang lagi lelaki ditahan, kes letupan bom di Tumpat selesai

Posted: 17 Aug 2013 10:23 PM PDT

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 18 Ogos - Polis menahan seorang lagi suspek berhubung letupan bom yang mengorbankan seorang kerani di Taman Sri Periuk, Tumpat dekat sini pada 11 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek yang merupakan jiran mangsa ditahan selepas datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

"Dengan penahanan lelaki berusia 28 tahun itu, kita percaya kes letupan bom ini telah selesai dan siasatn ditutup," katanya.

Sebelum ini, polis menahan seorang anggota tentera yang dipercayai terlibat dalam kes yang bermotifkan cemburu dan dendam itu. - UTUSAN ONLINE

Dibelasah guna kayu, enggan benar suami kahwin

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

PONTIAN 17 Ogos - Belum pun reda isu rakaman video memaparkan seorang pegawai veterinar membelasah isterinya dalam lif di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seorang lagi wanita dilaporkan menjadi mangsa keganasan suami.

Kes terbaharu dilaporkan berlaku di Kampung Parit Wakaf, Tenggayun di sini malam tadi, membabitkan seorang suri rumah berusia 39 tahun yang dibelasah teruk gara-gara enggan membenarkan suaminya berkahwin lagi.

Suspek berusia 40 tahun merupakan seorang peniaga telah ditangkap polis setelah anak perempuan mereka melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zahaliman Jamin berkata, pihaknya menahan suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana didakwa memukul isteri dan anak lelakinya.

Beliau berkata, perbuatan ganas lelaki itu dilaporkan oleh anak perempuannya yang berusia 18 tahun kepada polis pada pukul 9.25 malam.

"Anak perempuan mangsa membuat laporan polis setelah tidak tahan melihat ibu dan adik lelakinya dipukul oleh bapanya yang mengamuk dan dalam keadaan mabuk.

"Mangsa bersama anak lelakinya telah dipukul dengan kayu dan benda tumpul setelah suspek berang isteri enggan membenarkan dia berkahwin lagi dan tidak diberitahu mengenai rakan-rakan anak lelakinya berkunjung ke rumah sempena Aidilfitri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Zahaliman berkata, suspek akan direman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala tangkapan dibuat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek kerap memukul mangsa yang merupakan ibu kepada lima anak dan kini menetap di rumah anak perempuan sulungnya di Pekan Nanas di sini.

Katanya, buat masa sekarang, mangsa masih dalam keadaan trauma dan enggan ditemubual untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Pemimpin politik Pakistan ditembak mati.

Posted: 17 Aug 2013 11:58 AM PDT

Peshawar 18 Ogos - Pemimpin kanan parti politik sekular, Awami National Pary (ANP), Najma Hanif, 35, mati ditembak malam semalam selepas penjenayah bersenjata api memecah masuk ke dalam rumahnya.

Pegawai kanan polis, Mohammad Faisal berkata, sehingga kini identiti penyerang masih lagi belum dikenal pasti, namun dipercayai ketika melakukan pembunuhan mereka menggunakan pistol yang disenyapkan.

``Satu atau dua penyerang memasuki rumah dan membunuh beliau, katanya.

Motif di sebalik pembunuhan itu masih tidak jelas, namun pada November 2011 suami, anak-anak dan pengawal peribadi Najma telah dibunuh oleh seorang pengebom berani mati Taliban. -AFP

Mesir batal latihan tentera dengan Turki

Posted: 17 Aug 2013 11:57 AM PDT

KAHERAH 18 Ogos - Kementerian Luar Mesir hari ini mengumumkan keputusan untuk membatalkan latihan tentera laut secara bersama dengan Turki yang dijadualkan bermula 21 hingga 28 Oktober depan.

Keputusan tersebut dibuat selepas Kaherah berang dengan kenyataan Turki yang mengecam tindakan pihak keselamatan Mesir menangani bantahan anjuran penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi sehingga menyebabkan hampir 3,000 terbunuh.

Kementerian berkenaan menganggap kenyataan Ankara itu mencampuri urusan dalaman Mesir dan tindakan tersebut bertentangan dengan kehendak rakyat Mesir.

Kelmarin, Presiden Barack Obama membatalkan latihan ketenteraan bersama antara Amerika Syarikat (AS) dan Mesir ekoran konflik keganasan yang melanda negara ini. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Semarakkan patriotisme

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Adnan Yaakob (empat dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sambil diperhatikan Shahaniza Shamsuddin (empat dari kanan) dalam pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dataran Jam Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, kelmarin. - MINGGUAN/AHMAD ZAKKI JILAN

MARAN 17 Ogos - Rakyat negeri ini digesa menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibar Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, aktiviti sepanjang Bulan Kemerdekaan memberi ruang kepada rakyat bersatu padu tanpa pengaruh fahaman politik dengan bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang tanda cinta terhadap negara.

Tegasnya, Jalur Gemilang adalah identiti bangsa yang patut dibanggakan, dihargai serta dipertahankan daripada sebarang unsur penghinaan dan provokasi.

''Jalur Gemilang adalah milik rakyat Malaysia tulen yang mengaku negara ini tanah tumpah darahnya dan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha menjatuhkan maruah negara bangsa.

''Usaha mengibarkan bendera Malaysia perlu dilakukan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik, agama, budaya dan latar belakang sosial,'' katanya ketika berucap dalam pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dataran Jam Bandar Tun Abdul Razak Jengka, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Adnan berkata, rakyat perlu proaktif dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang yang akan dibekalkan secara percuma untuk kenderaan, premis perniagaan, pejabat dan rumah kediaman.

Tambahnya, semangat patriotik rakyat perlu diserlahkan kerana Malaysia merupakan negara terbaik untuk didiami dan dikunjungi.

''Kita patut berasa megah menjadi rakyat negara ini yang aman makmur, maju dan bergerak seiring dengan kemajuan sejagat,'' katanya.

Beliau turut mengingatkan tanggungjawab besar rakyat mempertahankan perpaduan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang untuk diwariskan kepada generasi anak cucu.

"Usaha memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda diharap dapat menyedarkan mereka betapa pentingnya semangat tersebut bagi mengharungi cabaran yang akan datang," katanya.

Tingkatkan kualiti pendidikan Islam di sekolah

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Ismail Abdul Muttalib (tengah) memotong kek dalam majlis ramah mesra Aidilfitri anjuran MGPIB Pahang di Maran, kelmarin.

MARAN 17 Ogos - Kualiti pendidikan Islam di peringkat sekolah dapat dicapai melalui pengurusan cemerlang yang mampu menghasilkan modal insan berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, kecemerlangan itu mampu dilaksanakan melalui Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan yang menjadi peneraju dalam perkara tersebut bagi menghadapi cabaran global masa kini.

Menurut beliau, antara aspek perlu ditekankan ialah pengurusan pentadbiran, perkhidmatan, kewangan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dilaksanakan dengan cekap serta berkesan dalam persekitaran kerja yang kondusif.

"Di samping itu, pelaksanaan program dakwah dan kepimpinan dapat mengembangkan syiar Islam kepada rakyat, sekali gus mengukuhkan lagi rasa kecintaan terhadap Islam,'' katanya berucap dalam majlis ramah mesra Aidilfitri anjuran Majlis Guru Pendidikan Islam Berjawatan( MGPIB) Pahang di Dewan Ibnu Sina Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Jengka, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Abdullah Md. Shah.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, bahagian itu perlu perlu memperkasakan mata pelajaran Pendidikan Islam kerana akan melahirkan rakyat bersatu padu dan mencintai negara bangsa.

Tambahnya, guru yang mengajar mata pelajaran tersebut perlu bertekad untuk memberi perkhidmatan berkualiti melalui usaha bersepadu.

"Rakyat akan dapat disemaikan dengan semangat patriotik tinggi terhadap negara serta mempertahankannya demi maruah bangsa dan agama Islam,'' katanya.

Katanya, perpaduan dan semangat persaudaraan Islam menjadi pendinding terhadap gejala permusuhan sesama sendiri seperti yang berlaku di Mesir, Syria dan Iraq.

"Kejadian pembunuhan sesama sendiri amat menyedihkan kerana menjejaskan imej dan maruah Islam yang dihormati dunia sebelum ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Yang tersirat dalam isu Mesir

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Rakyat Mesir memilih mengadakan demonstrasi bagi menjatuhkan kepimpinan Hosni Mubarak pada 2011 (kiri) dan menyokong tindakan tentera merampas kuasa pada awal bulan lalu sekaligus menjatuhkan kepimpinan Presiden Mohammed Mursi, bagaimanapun ia akhirnya membawa kesengsaraan kepada mereka apabila hampir 3,000 dibunuh secara kejam oleh pihak berkuasa.

Statistik terbaru menunjukkan lebih 3,000 orang awam dibunuh di Mesir. Mereka dibunuh oleh tentera kerajaan yang dibiayai oleh Amerika Syarikat (AS) kerana menuntut demokrasi ditegakkan.

Pertumpahan darah ini wajar dijadikan renungan supaya rakyat jangan mudah terpedaya dengan demokrasi yang dijaja oleh pihak berkepentingan. Renunglah yang tersirat daripada yang tersurat.

Mohammed Mursi dari Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihan raya pada Jun tahun lalu bukanlah pilihan AS. Maka kemenangan itu tidak akan bertahan lama dan Mursi dijatuhkan kononnya atas kehendak rakyat. Inilah akibatnya apabila membiarkan kuasa asing seperti AS menentukan hala tuju politik sesebuah negara. Malah agensi media Barat seperti sepakat menyiarkan angka korban yang jauh kecil daripada sebenarnya. Ini bertujuan menutup tindakan melampau tentera Mesir kerana AS ada penglibatannya. Tetapi statistik oleh Ikhwanul Muslimin menunjukkan lebih 3,000 orang berbanding agensi berita Barat tidak sampai 1,000 orang.

Mursi dipenjara dan hingga kini belum dibebaskan. Tentera mengambil tindakan drastik menggempur penyokong Mursi dengan peluru hidup. Di negara kita, polis hanya menggunakan meriam air. Tetapi digambarkan oleh puak tertentu sebagai tindakan paling tidak berperikemanusiaan."

Dalam pilihan raya Jun tahun lalu, Mursi memenangi 52 peratus undi. Tetapi sebenarnya hanya mendapat sokongan satu perempat daripada 50 juta rakyat Mesir yang layak mengundi.

Bagi Mesir, jatuhnya diktator Hosni Mubarak bukanlah berakhir konflik politik yang membelenggu negara itu. Mubarak diibaratkan tayar lama yang sudah tidak diperlukan lagi. Tetapi tayar baharu mesti dari jenama yang sama.

Banyak pihak melihat kejatuhan Mubarak sebagai hasil kebangkitan rakyat. Secara tersurat rakyatlah yang menukar rejim Mubarak kepada pemimpin yang dipilih menerusi sistem yang demokratik. Tetapi yang tersiratnya, gerakan menjatuhkan Mubarak dipersiapkan oleh AS sejak 2008 lagi.

Kejatuhan Mubarak tidak ada kena mengena dengan kebangkitan rakyat yang dicanang-canangkan itu. Malah istilah Arab Spring itu sengaja dicipta supaya kelihatan keterlibatan rakyat di negara-negara Asia Barat menentukan masa depan mereka sendiri. Buktinya pada 2008 aktivis gerakan massa dari Mesir berhimpun di New York pada pelancaran Alliance of Youth Movement (AYM).

Sebenarnya banyak yang tidak tahu kewujudan AYM dan peranannya dalam menentukan agenda AS di Mesir. Ini adalah perkakas AS untuk menggerakkan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak, sekutu AS yang sudah tidak diperlukan lagi. Tugas AYM bukan sahaja menjatuhkan Mubarak tetapi mana-mana pemimpin yang bertentangan dengan dasar AS.

Jaringan

Apa itu AYM? Ini sebuah organisasi yang melibatkan aktivis massa bergerak secara terancang dalam talian dan mencatatkan sejarah sebagai yang pertama pada abad ke-21. Jabatan Negara AS berganding dengan gergasi dalam media sosial seperti Facebook, Howcast, MTV, Google dan Youtube menggerakkan AYM dengan menggunakan generasi muda untuk mencetuskan gerakan massa.

Menerusi AYM strategis AS memberikan latihan kepada aktivis massa untuk menggunakan media sosial bagi meluaskan jaringan di peringkat antarabangsa. Malah AYM dan para aktivis diberi akses langsung dengan Jabatan Luar Negara AS.

Sebenarnya pada pasca Mubarak, nama Mursi berada jauh di belakang. Malah tidak ada dalam senarai pengganti Mubarak kerana ada beberapa nama lain yang mempunyai hubungan dengan AS lebih ditonjolkan. Antaranya Mohamed El Baradei yang mempunyai jaringan antarabangsa yang kuat malah sekutu rapat AS. Tetapi siapakah El Baradei?

El Baradei adalah salah seorang ahli pemegang amanah International Crisis Group (ICG), sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh AS dan dibiayai oleh George Soros menerusi National Endowment for Democracy (NED). Tetapi dalam pilihan raya, El Baradei tidak mendapat sokongan dan terpaksa mengalah kepada Mursi. Orang begini dipergunakan oleh AS untuk menguasai Mesir dari jauh.

Kerana itu faktor AS memang tidak dapat dipinggirkan apabila berhujah tentang kemelut politik Mesir yang semakin tenat. Sebenarnya penglibatan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak hanya kerja sia-sia kerana AS mempunyai perancangan siapa yang akan menggantikan Mubarak, bukannya ditentukan oleh rakyat Mesir.

Kerana itu pergolakan yang berlaku di Mesir malah beberapa negara Asia Barat bukan kebangkitan rakyat. Tetapi rakyat hanya digerakkan supaya bangkit oleh aktivis massa yang dipimpin oleh AS tetapi berselindung di sebalik kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.

Lihat apakah tindakan luar biasa AS untuk membendung pembunuhan beramai-ramai di Mesir? Walaupun Presiden Barack Obama membayangkan akan menangguhkan latihan ketenteraan bersama Mesir tetapi AS terus menyalurkan dana kepada tentera. Dana ini yang digunakan untuk membunuh penyokong Mursi baru-baru ini.

Tentera mempunyai banyak pendekatan lain untuk menyuraikan demonstrasi penyokong-penyokong Mursi. Melancarkan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah sama dengan serangan AS terhadap beberapa negara yang dianggap sarang pengganas.

Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah pentingnya Mesir kepada AS berbanding negara lain yang lebih kaya hasil buminya. Jawapannya Mesir memang sangat strategik baik dari segi geoekonomi maupun geopolitik. Selain mempunyai kedudukan yang strategik untuk memainkan peranan penting di dunia Arab, Mesir juga strategik bagi negara-negara di Afrika. Mesir merupakan jambatan yang baik dari sudut geografi, sosial, ekonomi, dan etnik. Kerana itu Mesir sangat penting sebagai negara transit untuk menguasai Asia Barat dan Afrika. Cara AS menguasai Mesir adalah menguasai tenteranya dan memastikan Presiden Mesir dalam kalangan pemimpin tentera. Malangnya Mursi kerana beliau bukan pemimpin tentera tetapi teraju pergerakan Islam yang memberi ancaman kepada Barat.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

CEC hantu

Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Akhirnya DAP terpaksa akur untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) setelah mengambil pendirian berdegil berbulan-bulan cuba menafikan penyelewengan dan manipulasi dalam pemilihan tersebut.

Maka semakin terbukti siasatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa pemilihan CEC yang dilakukan pada Disember 2012 itu tidak sah dan terbatal. Ini ekoran aduan ahli-ahli antaranya berhubung isu 753 perwakilan yang layak mengundi tidak diberikan notis untuk hadir dan manipulasi kiraan undi CEC yang dianggap tidak masuk akal.

Hakikatnya, ROS adalah di pihak yang benar dan ahli-ahli yang membuat aduan juga di pihak yang benar walaupun sebelum ini ditohmah oleh sebahagian pemimpin DAP yang takut pekung mereka terdedah.

Awang berharap DAP terutama Setiausaha Agung, Lim Guan Eng memohon maaf kepada ROS atas apa yang berlaku. Begitu juga kepada seluruh perwakilan dan ahli DAP sebagai mengambil tanggungjawab kepada kepincangan dan kelemahan yang sangat memalukan dalam sejarah parti tersebut.

Bapanya, Lim Kit Siang yang berkuasa dalam parti itu sejak 1968, boleh menangis sekali lagi jika perlu sebagaimana drama lakonannya untuk meraih simpati masyarakat Cina sebelum PRU-13. Hakikatnya sekali lagi, inilah wajah sebenar parti yang kaum Cina sokong. Apakah majoriti kaum Cina tertipu atau sengaja mahu ditipu dengan gambaran palsu bahawa DAP kononnya berintegriti dan demokratik?

Awang mencadangkan dalam pemilihan semula CEC itu nanti, DAP wajar mendapatkan khidmat nasihat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang selama ini mereka fitnah dan buruk-burukkan. Kemampuan SPR telah diiktiraf oleh badan pemerhati antarabangsa dan negara-negara luar termasuk kuasa besar. Janganlah malu untuk belajar daripada SPR.

Awang makin faham mengapa DAP terutama melalui tentera sibernya, Red Bean Army melakukan banyak fitnah dan tohmahan antaranya isu 40,000 pengundi haram warga Bangladesh pada PRU-13 sehingga berjaya mempengaruhi sebahagian rakyat.

Fitnah itu dan banyak lagi, ternyata tidak benar. Gelombang serangan ke atas SPR itu dilakukan dengan strategi pre emtif bagi menutup penyelewengan dalam pemilihan CEC. Kini tembelang DAP sudah pecah. Maka pemilihan semula CEC perlu diadakan bagi membersihkan yang kotor dan membetulkan yang salah. Bagai ayam kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.

Awang ingin mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli dan aktivis yang bangkit membongkar salah laku itu walaupun menerima tekanan hebat.

Kini tiada apa yang DAP boleh sembunyikan. Makin terbukti bahawa seluruh penyandang jawatan CEC sekarang adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka adalah penyandang jawatan haram atau hantu, yang status tersebut boleh mengundang banyak lagi persoalan baharu selepas ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Muzik 'Keras' daripada 66 Roads

Posted: 17 Aug 2013 06:29 AM PDT

MULA ditubuhkan pada tahun 2006, kumpulan ini nyata berpengaruh dalam core-scene tempatan.

Berasal dari Kajang, Selangor, 66 Roads meneruskan perjuangan dengan dianggotai oleh Gbum Bob (vokalis), As (vokalis), Kid (gitar) Acit (gitar), Ajoi (bass) dan Darin (drum) yang masing-masing meminati muzik genre keras, membuatkan mereka terus bersatu menghadapi dugaan yang datang.

Menurut Kid, walaupun muzik genre keras yang lebih dikenali deathcore agak kurang didengari di pentas perdana seni muzik tanah air, namun pendengar muzik yang meminatinya masih ramai terutama dalam kalangan belia.

Memilih dan membawa irama yang agak asing itu membuatkan kumpulan ini tidak menghadapi masalah untuk bersaing terutama ketika kumpulan ini mula menapak dalam industri muzik underground.

Walaupun pada mulanya mereka sukar mendapat kepercayaan daripada peminat, namun setelah hampir tujuh tahun bertapak, muzik mereka mula diminati ramai, lebih-lebih lagi bagi peminat core-scene.

Nama unik yang digunakan kumpulan ini diperoleh sejak mereka mula bermain muzik. Ilham untuk nama itu muncul ketika mereka sedang berjalan kaki di sebatang jalan di bandar Kuantan. Jalan yang dilalui itu menggunakan nombor 6/6 sebagai nama.

Dari saat itu, mereka mula mendapat idea untuk menamakan kumpulan ini dengan nama 66 Roads.

Kemunculan mereka dalam industri muzik tempatan membawa sekali ciri-ciri yang agak unik dan melalui kekuatan vokal, melodi serta persembahan mantap di pentas, ia membezakan 66 Roads dengan kumpulan muzik underground yang sedia ada.

Biarpun kemunculan mereka tidak mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik underground tetapi keunikan irama yang dibawa mereka itu sudah memadai untuk melonjakkan nama 66 Roads.

Sehingga kini, masih ramai peminat yang menanti-nantikan kemunculan mereka di pentas, lebih-lebih lagi pada tahun 2011. Tahun itu menyaksikan kelahiran semula 66 Roads dengan membawa konsep baru yang lebih berat.

Dengan mempertaruhkan lirik berunsurkan peperangan, ilmu hitam, kawan makan kawan dan soal kehidupan dalam lagu seperti Fight Not To Be Remember dan banyak lagi, nyata aliran muzik yang dibawa itu melekat ke dalam jiwa peminat muzik indie tanah air yang mula menerimanya sebagai genre muzik baharu.

Dengan perubahan yang dilakukan oleh enam anak muda itu, ditambah pula dengan idea yang segar, kesemua faktor itu memberikan identiti tersendiri kepada 66 Roads dalam menghasilkan lagu-lagu yang mempunyai jalan penceritaan yang dekat dengan masyarakat tempatan, di samping menyelitkan mesej berunsurkan nasihat.

Kepada mereka yang masih tidak berpeluang mendengar genre unik yang dibawa oleh kumpulan ini, apa kata kamu dengar sendiri dengan melayari laman www.facebook.com/66Roads, www. myspace.com/66roads, www.youtube. com/user/66roadsx,www.twitter.com/

66Roads_Band, www.reverbnation.com/ 66roads dan www.purevolume.com/ 66Roads. - SYAHRIL

Mawi tidak gentar

Posted: 17 Aug 2013 06:29 AM PDT

PERCAYA cabaran perniagaan memberi lebih kekuatan buat dirinya dan isteri.

MERENTAP gelaran juara Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005 merupakan detik permulaan buat kariernya. Bayangkan dalam masa beberapa bulan sahaja, dia berjaya meletakkan dirinya menjadi artis paling popular pada masa itu. Bagaimanapun, tahun demi tahun perjalanan sebagai anak seni ini semakin matang buat Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani. Enggan terus menawarkan dirinya sebagai penghibur lagi, bagi Mawi keputusan untuk berada di dalam bidang perniagaan merupakan pilihan yang tepat buat dirinya memandangkan dunia seni tidak lagi menjanjikan sesuatu yang pasti buat masa depan dia dan keluarga kecilnya.

Sejak awal tahun ini, dia dan isterinya Nora Ashikin Rahmat, 34, atau Ekin mula mengorak langkah melalui perniagaan UneQuein. Melihat potensi yang ada dalam perniagaan itu, mereka berdua terus membuat keputusan untuk menambah lebih banyak lagi produk di bawah jenama UneQuein.

Sebelum ini, kami hanya memperkenalkan tiga produk sahaja, antaranya Multijuice Liquid Health Supplements.

Melihat penerimaan yang menggalakkan, kami memperkenalkan pula empat produk baru iaitu air berkarbonat, teh tarik khasiat, produk penjagaan wajah pek ekonomi dan juga BB Cream," katanya.

Bercakap perbezaan yang diketengahkan produk-produk miliknya itu, menurut Mawi antara kelebihan yang dibawa produk UneQuein adalah khasiat yang baik untuk setiap pengguna produknya.

Memang satu cabaran untuk menjadi sihat pada masa kini. Bukan mudah untuk kita menolak makanan sedap yang semestinya mengandungi gula dan bahan perisa tertentu.

Oleh itu, kami sediakan sesuatu yang sama, cuma ia lebih berkhasiat, contohnya air berkarbonat pelbagai perisa yang kami tawarkan adalah lebih segar dan kurang manis," katanya.

Mempunyai hampir 40 stokis di seluruh negara menurut Mawi, selain diedarkan secara meluas di pasaran tempatan, produk UneQuein juga sudah berjaya menembusi pasaran negara Singapura dan Brunei.

Syukur dengan penerimaan produk ini di pasaran. Saya juga tidak sangka UneQuein akan diterima sebegitu cepat.

" Formula yang diterapkan kami untuk sentiasa berkomunikasi dengan stokis dilihat memudahkan perkembangan UneQuein," katanya.

Tidak menolak turut merasa tempias naik dan turun dalam dunia perniagaan, baru-baru ini dia dikejutkan dengan laporan oleh stokis produknya yang mendakwa dia melakukan penipuan.

Menjelaskan apa yang berlaku sebagai salah faham, Mawi meminta pihak berkenaan tidak terus menaburkan fitnah.

Kami sedar memang ada yang cuba nak jatuhkan kami, itu antara pengajaran terbesar yang kami belajar sejak bergelar usahawan.

Apa yang boleh saya katakan adalah apa yang berlaku itu berpunca daripada salah faham. Saya tidak mahu salahkan sesiapa kerana kami percaya melalui kejadian seperti ini, kami akan lebih dewasa di dalam perniagaan," katanya.

Raya bermakna

Berkongsi antara aktiviti sepanjang Ramadan lalu, menurut Mawi di dalam melakukan promosi untuk produk UneQuein, dia dan Ekin juga tidak ketinggalan melakukan amal dengan melawat beberapa keluarga tidak bernasib baik di beberapa daerah di Johor.

Sebenarnya ini merupakan kali pertama UneQuein melakukan aktiviti seperti ini. Tahun ini, hanya di sekitar Johor sahaja.

Selain melawat, kami juga kenal pasti jenis bantuan yang diperlukan dan cuba membantu," katanya.

Bercakap soal sambutan Syawal yang lalu, menurut Mawi tahun ini lebih bermakna buat dirinya apabila anak tunggalnya Cahaya Malaika sudah mula berjalan. Tidak menolak untuk mengadakan rumah terbuka, Mawi berkata, semuanya bergantung kepada jadualnya selepas pulang beraya nanti.

Memang tahun ini berbeza, sebab anak saya sudah boleh berjalan, jadi kebanyakan persiapan yang dilakukan juga lebih kepadanya.

Rumah terbuka pula, kami belum ada tarikh yang sesuai, tetapi memang kami sudah rancang untuk mengadakannya," katanya.

Melihatkan penglibatannya di dalam bidang nyanyian semakin senyap, Mawi menjelaskan memang tahun ini, dia mahu memberi tumpuan untuk UneQuein. Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk bergerak aktif mulai tahun hadapan.

Tahun ini memang sibuk sedikit, bagaimanapun saya tidak pernah melupakan bidang nyanyian.

Selain syarikat produksi, saya juga akan terus mengeluarkan produk-produk yang menarik, cuma buat masa ini saya mahu berikan tumpuan lebih untuk memantapkan UneQuein," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved