Jumaat, 16 Ogos 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Akhirnya Guan Eng hentikan 'drama'

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL dan KASTHURI JEEVENDRAN
pengarang@utusan.com.my

Lim Guan Eng berlalu meninggalkan wartawan yang ingin mendapatkan reaksi beliau sejurus mesyuarat tergempar DAP dipercayai berhubung pemilihan jawatankuasa CEC di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KEPUTUSAN DAP kelmarin yang memutuskan supaya pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti diadakan, dipercayai ada kaitan dengan desakan satu kumpulan dalam parti itu yang tidak menyokong Dinasti Lim.

Kumpulan ini sudah tidak mahu lagi DAP dipergunakan atas kepentingan peribadi. Dan tidak rela imej parti terus tercemar dari hari ke hari, bulan ke bulan.

Lagi pun Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung Lim Guan Eng sudah mengakui berlaku kesilapan pengiraan undi dalam pemilihan CEC 15 Disember lalu. Tetapi yang peliknya selama lapan bulan ini masih enggan melakukan pembetulan dan pemilihan semula.

Selain itu, DAP mahu mengelakkan persepsi rakyat terutama penyokong kuat kaum Cina mereka bahawa DAP adalah milik 'syarikat Sdn Bhd' anak beranak Kit Siang.

DAP tidak pernah lupa sejarah bagaimana sekitar akhir 1990-an selepas Guan Eng dipenjara kerana satu kes mahkamah, bapanya, Kit Siang telah menggunakan seluruh parti itu untuk membela nasib dan kebebasan anaknya. Ketika itu, Kit Siang dikatakan telah menguar-uarkan kononnya anaknya itu dipenjara kerana mempertahankan hak seorang gadis.

Dan apabila Kit Siang cuba mempergunakan DAP, ada kumpulan lain dalam parti itu yang tidak puas hati dan kecewa dengan caranya, telah cuba menggulingkan Kit Siang dan kroninya secara 'gerakan bawah tanah'.

Waktu itu DAP berpecah dua dengan Kit Siang terpaksa berdepan dengan kumpulan yang dikenali 'Knock Out Kit Siang (KOKS). Karpal Singh waktu itu berpihak kepada kumpulan Kit Siang.

Berikutan insiden itu, seorang pemimpin DAP, Teoh Teik Huat yang merupakan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan menganggotai kumpulan KOKS dibuang dengan cara kuku besi. Selain itu, jawatankuasa disiplin DAP turut bertindak ke atas pemimpin DAP lain yang tidak puas hati dengan Kit Siang seperti Wee Chee Keong, Gooi Hock Seng dan Teik Huat. Mereka bersama para penyokong masing-masing dipaksa untuk berhenti atau dipecat.

Masa itulah dikatakan bermulanya era Dinasti Lim.

Dan itulah punca mengapa Kit Siang dan Karpal Singh tewas untuk kali pertama masing-masing di kawasan Parlimen Bukit Bendera dan Jelutong pada pilihan raya umum 1999.

Mereka dikatakan dihukum oleh ahli parti dan pengundi berikutan krisis dalaman DAP waktu itu.

Dan terbaharu, malam kelmarin, sejarah seakan-akan berulang apabila penyokong dan akar umbi DAP kembali menolak cara Kit Siang dan Guan Eng yang didakwa mempergunakan parti untuk kepentingan mereka. Mereka tidak mahu agenda DAP menjadi agenda keluarga Kit Siang.

"Malam tadi (kelmarin) juga ada kumpulan yang memaksa Guan Eng mengadakan pemilihan semula CEC. Mereka mengatakan parti akan hancur jika ROS batalkan pendaftaran DAP.

"Mereka mahu Guan Eng hentikan drama ini sebab rakyat dah tahu apa yang DAP buat. Selama lapan bulan ini hanya Kit Siang dan Guan Eng sahaja yang enggan buat pemilihan semula. Kami pelik juga sebab setiap kali sebarang pemilihan diadakan sejak 47 tahun ini, mesti ada kalangan anak beranak mereka di ranking atas," kata seorang pemimpin kanan DAP kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Memang, hakikatnya DAP tidak boleh lari daripada mengadakan pemilihan semula CEC. Bukti begitu kuat mengatakan wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian. Antara dakwaan itu adalah DAP gagal memberikan notis kepada 753 anggota delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada pemilihan CEC ketika Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 di Pulau Pinang pada 15 Disember itu.

Siasatan ROS dijalankan setelah ahli DAP berterusan mendesak parti itu mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendakwa wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian.

Dakwaan lain adalah wujud 547 perwakilan 'haram' yang kebanyakannya dari Pulau Pinang yang telah diarah mengundi enam nama iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Chong Chieng Jin, Anthony Loke Siew Fook dan Vincent Wu Him Ven.

Sebelum itu atau lebih tepat lagi kira-kira tiga minggu selepas pemilihan tersebut berlangsung, DAP mengumumkan terdapat kesilapan teknikal dalam pengiraan undi pemilihan itu. Ekoran kesilapan itu, wakil Melayu, Zairil Khir Johari yang juga Setiausaha Politik Guan Eng berjaya menduduki kedudukan terakhir senarai CEC yang dipilih dengan 803 undi. Zairil yang sebelum itu hanya berada di tempat ke-39 melonjak ke tangga 20 menggantikan Vincent Wu yang sebelum itu berada di tangga keenam selepas undinya tersalah kira sehingga berjumlah 1,202.

Apa yang menimbulkan persoalan adalah kenapa kesilapan itu diumumkan hanya setelah pelbagai pihak menyifatkan parti itu telah menunjukkan wajah sebenar mereka yang cauvinis dan perkauman setelah tiada seorang pun daripada lapan calon Melayu yang bertanding berjaya merebut 20 jawatan CEC.

DAP cukup sedar bahawa mereka tidak boleh terlepas daripada tuduhan tidak telus dan tidak cekap ini.

Sebenarnya, sejak dari awal lagi, Guan Eng membuat kenyataan berdolak-dalik bagi mengelak daripada mengadakan pemilihan semula CEC.

Beliau mengenakan dua syarat jika mahu pemilihan itu diadakan iaitu pertama, ROS perlu mengemukakan alasan munasabah kenapa tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan DAP berhubung pemilihan CEC. Syarat kedua, DAP mahu ROS menyatakan apakah peruntukan yang diguna pakai oleh pertubuhan tersebut dalam mengeluarkan arahannya.

Namun, semua maklum itu cuma retorik Guan Eng. Kelmarin, Karpal akur bahawa DAP terpaksa beralah. Ini demi menyelamatkan parti itu daripada tindakan pembatalan pendaftaran oleh ROS.

Ambil iktibar daripada tragedi yang melanda Mesir

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh Azman Anuar

KRISIS politik di Mesir memuncak pada Rabu lalu apabila kira-kira 2,200 orang maut selepas polis dan tentera menggempur lokasi ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong bekas Presiden Muhammad Mursi di Kaherah. Kekejaman pasukan keselamatan Mesir itu membangkitkan kecaman dan kutukan daripada pemimpin dan masyarakat dunia.

Walaupun jauh beribu kilometer dari Kaherah, tetapi kita dapat melihat kesan dan iktibar apabila rebutan kuasa politik akhirnya boleh memudaratkan kehidupan rakyat.

Paling membimbangkan jika perang saudara antara kumpulan penyokong Mursi dengan pihak anti-Mursi tercetus.

Sentimen balas dendam bakal menjadi faktor utama dalam pergolakan di Mesir selepas ini, mungkin sama dengan apa yang berlaku kepada Iraq dan Syria sekarang.

Dalam situasi ini, bagaimana nasib lebih 3,000 rakyat dan pelajar Malaysia di sana?

Ketika pergolakan menjatuhkan Hosni Mubarak pada 2011, atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Malaysia menyediakan pengangkutan udara untuk membawa pelajar dan rakyat kita pulang ke tanah air. Syukur, hampir semua pelajar kita yang pulang terselamat daripada tindakan perusuh ketika itu.

Kita tidak lupa bagaimana tindakan sesetengah pihak dan suara-suara sumbang daripada kalangan pemimpin pembangkang yang mempertikaikan bantuan kerajaan itu.

Kali ini, jika operasi menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir dilakukan, utamakan mereka yang sedia menerima bantuan sahaja. Jangan dipaksa ahli dan penyokong parti pembangkang yang berada di Mesir untuk turut serta.

Bukalah mata dan fikiran kita seluas-luasnya. Apa yang berlaku di Syria untuk menjatuhkan Presiden Bashar Assad sejak dua tahun lalu menyebabkan rakyat negara itu hilang rasa selamat. Sekarang rakyat Mesir sedang melalui apa yang dirasai oleh rakyat Iraq dan Syria. Keamanan dan kemakmuran negara mereka sudah diragut oleh dua kumpulan yang saling bermusuhan dan berbunuhan.

Apakah yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq dan negara Islam lain hendak dibiarkan berlaku di Malaysia? Rusuhan, demonstrasi dan menentang undang-undang negara adalah suasana yang digemari oleh penyokong Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkang.

Bersyukurlah kita kerana pasukan polis dan tentera Malaysia tidak sekejam pasukan keselamatan negara lain yang telah kita saksikan cara mereka menyelesaikan penentang kerajaan.

Bersyukur juga kita kerana bermacam-macam strategi dan perhimpunan haram yang diatur oleh hulubalang parti pembangkang berkesudahan dengan kegagalan.

Beberapa kali usaha dan gerakan menghimpunkan ratusan ribu rakyat negara ini seperti yang berlaku di negara Asia Barat tidak berjaya malah ditolak oleh rakyat Malaysia yang mengutamakan keamanan dan kestabilan politik daripada kepentingan peribadi pemimpin pembangkang.

Sungguhpun begitu, puak-puak pembangkang tidak pernah putus asa meracuni pemikiran rakyat. Oleh itu, kerajaan Barisan Nasional yang terus diberi mandat kali ke-13 untuk mentadbir kerajaan Malaysia diharap - jangan berlembut dan terlalu beri muka kepada mana-mana pihak terutama dalam soal keselamatan negara.

Kita yakin, jika dibuat pungutan suara sekalipun, rakyat tidak tergamak untuk bersekongkol meletakkan Malaysia dalam keadaan huru-hara seperti di Mesir atau negara Arab yang bergolak.

Namun ada kegusaran bermain dalam minda rakyat. Selama ini pembunuh paling tinggi di Malaysia antaranya ialah kemalangan maut jalan raya. Tempat itu mungkin diambil alih tidak lama lagi jika kawalan dan pencegahan jenayah pembunuhan tidak dibendung.

Sebelum ini kita cuma tertanya-tanya tentang insiden tembak yang membunuh orang awam di Amerika Syarikat. Tetapi sejak April lalu, kes pembunuhan bagaikan sudah menular ke negara kita pula. Mangsa yang dibunuh pula bukan sahaja berprofil tinggi malah orang biasa seperti guru dan peniaga kecil.

Rakyat amat-amat mengharapkan penyelesaian kes-kes tembak ini dengan segera. Polis kena kuatkan kerja-kerja risikan dan siasatan.

Iktibar daripada tragedi di Mesir dan kes tembak di negara kita, maka kerajaan perlu undang-undang yang lebih tegas untuk menjaga keselamatan diri dan nyawa rakyat Malaysia.

Kerajaan bukan tidak pernah menarik balik undang-undang demi memenuhi kehendak rakyat dan pemimpin pembangkang. Oleh itu, atas faktor utama keselamatan dalam segala aspek maka eloklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) diperkenalkan semula.

Tak usah kerajaan berasa malu kerana bersikap buruk siku. Matlamat utama adalah untuk menyelesaikan krisis jenayah pembunuhan bersenjata api dan membendung jenayah dan gerakan yang menggugat keselamatan awam.

Undang-undang itu sebelum dimansuhkan, bukan bersifat zalim atau disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. Kita tahu kebaikannya dan kini kita sedar keburukannya apabila ia ditiadakan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Batik beri Amri, Rebecca peluang kedua

Posted: 15 Aug 2013 08:44 PM PDT

Oleh MELATI MOHD ARIFF

Pasangan suami-isteri Amri Yusoff dan Rebecca Crown menunjukkan antara produk batik ekslusif keluaran syarikat mereka, Coast Handmade Sdn. Bhd. yang boleh dijadikan cenderahati.

APABILA pegawai dagang Rebecca Crown hilang pekerjaan sebagai arkitek dengan firma Malaysia yang berpejabat di Kuala Lumpur sewaktu krisis kewangan 1998, dia tidak kembali ke tanah airnya.

Kampung halamannya terletak lebih 6,000 kilometer nun di Sydney, Australia.

Sebaliknya, dia mengemas beg untuk ke negeri pantai timur, Kelantan.

Rebecca yang berminat dalam bidang tekstil dan fabrik mahu belajar mengenai batik dan dia tidak keseorangan.

Rebecca berjaya memujuk mantan rakan sejawatnya, yang kini suaminya, Amri Yusoff untuk menemaninya.

"Saya diberhentikan kerja terlebih dahulu dan Amri mengalami nasib yang sama kira-kira enam bulan kemudian. Saya beritahu Amri yang saya berminat dalam batik lagi pun semasa saya datang ke Malaysia saya meminati tekstil dan fabrik.

"Saya minta Amri bawa saya ke kampungnya di Kelantan untuk lihat sama ada kami boleh buat perniagaan batik," Rebecca memberitahu penulis dalam wawancara di kediaman pasangan itu di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Amri yang turut sama ketika diwawancara mengakui meskipun dia dilahir dan dibesarkan di Kota Baharu, Kelantan, dia tidak pernah meminati batik dan tidak tahu menahu langsung mengenai industri itu.

Kedua-duanya, bagaimanapun yakin batik membuka peluang keemasan untuk mereka memulakan kehidupan baru setelah hilang pekerjaan.

Berkat usaha gigih serta penat-lelah, produk batik pasangan ini yang dipasarkan di bawah jenama Coast Handmade semakin terserlah keunggulannya.

Idea segar

Meskipun tidak ada pengalaman dalam perniagaan batik, kedua-dua Amri dan Rebecca mahu menghasilkan produk khusus untuk kegunaan rumah. Mereka juga mahu reka bentuk batik yang segar serta moden selari dengan sasaran gaya hidup di Australia.

Bermula secara sederhana, menggunakan khidmat pengeluar batik di Kelantan dengan Amri sebagai pereka bentuk utama, pasangan ini mula menghasilkan perhiasan rumah serta sarung untuk jualan di Sydney di bawah jenama Coast Living.

Ditanya mengenai pilihan nama label, Rebecca dengan pantas menjawab, "Amri berasal dari pantai timur dan saya sendiri datang dari Sydney yang terletak di pantai timur Australia.

"Kami fikir perkataan Coast sesuai dengan kami dan mencerminkan gaya santai rakyat Australia di mana kami mahu menjual produk batik kami," jelas Rebecca.

Bukan mudah

Menurut pasangan itu, produk batik mereka mendapat sambutan yang baik di Australia cuma yang mencabar ialah dari segi pengeluaran.

Amri menjelaskan apa yang mereka mahu pembuat batik lakukan untuk mereka sememangnya sukar.

"Kami tidak sedar pada masa itu, tetapi untuk pembuat batik menghasilkan saban kali warna yang sama adalah perubahan besar daripada apa yang mereka biasa lakukan, memandangkan pengkhususan mereka ialah batik eksklusif, di mana setiap helai batik adalah berbeza," katanya.

Mendengar kenyataan ini, Rebecca menambah: "Satu sahaja cara untuk memastikan produk yang dihasilkan menepati jangkaan pasaran ialah dengan berada di bengkel.

"Secara logistiknya bererti Amri perlu berada di Kelantan dan saya pula di Sydney untuk menjual produk kami."

Di sebalik masalah yang dihadapi, bisnes batik pasangan ini bertahan selama tiga tahun sebelum diberhentikan.

"Saya fikir pembuat batik yang membuat batik kami menarik nafas lega kerana kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan bisnes ini," kata Rebecca.

Bagaimanapun Amri berkata, secara jujurnya kesediaan pembuat batik untuk memenuhi keperluan mereka sepanjang bisnes batik ini berjalan memberikan banyak pengajaran untuk kami.

"Dalam banyak hal, kami merasa kejayaan kami hari ini adalah berdasarkan apa yang kami pelajari di kampung," Amri mencelah.

Pertandingan batik

Kembali kepada dunia korporat di Kuala Lumpur, Amri dan Rebecca mendirikan rumah tangga pada 2002 dan menimang cahaya mata pertama pada 2005. Pasangan ini kini mempunyai tiga orang anak, Mikhail berumur lapan tahun, Aden (empat tahun) dan Isabella (dua tahun).

Meskipun sibuk dengan pekerjaan serta keluarga, pasangan ini masih menaruh minat terhadap batik dan meluangkan masa untuk menghadiri majlis yang ada kaitan dengan batik.

Antaranya Piala Sri Endon, pertandingan reka bentuk batik mengambil sempena nama Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Kami mengikuti pertandingan ini selama beberapa tahun dan saya beritahu Amri, saya pasti dia boleh menang jika dia menyertainya," kata Rebecca.

Pada 2007 Amri menyertai pertandingan itu di bawah kategori hiasan dalaman rumah.

"Banyak yang perlu dilakukan. Kami diberi sebuah bilik hotel di Berjaya Times Square Hotel dan perlu menghiasnya dengan reka bentuk asli batik kami," kata Amri.

Segala kerja keras berbaloi apabila Amri mendapat tempat kedua.

"Saya mengharapkan menang tempat pertama tetapi pertandingan begitu sengit sekali. Saya menerima banyak pujian dan yang paling penting daripada Zuraidah Abdul Razak, Pengurus Besar Karyaneka pada masa itu yang bertanyakan sama ada saya berminat untuk menghasilkan beberapa produk batik untuk rangkaian kedai Karyaneka," kata Amri.

Peluang kedua

Memenangi tempat kedua dalam pertandingan Piala Sri Endon serta sokongan Zuraidah memberikan keyakinan kepada Amri untuk menceburi semula perniagaan batik.

Pada awalnya Amri menjalankan perniagaan batik ini bersendirian dan Karyaneka adalah pelanggan pertamanya.

"Saya begitu teruja bila menerima cek pertama bernilai RM1,000. Bila kita hasilkan sesuatu dengan tangan dan orang bayar untuk kerja tangan kita, rasa kepuasannya begitu menakjubkan," tambahnya.

Pasangan itu menjelaskan untuk cubaan kedua mereka dalam bisnes batik, mereka mengekalkan cita rasa selari dengan jenama awal Coastal Living tetapi kali ini fokus kepada produk cenderahati untuk pasaran Malaysia.

Menurut Rebecca, menjelang 2007, Malaysia adalah sebuah negara yang berbeza berbanding dengan apa yang dilihatnya pada lewat 90-an.

Pada pandangannya, kuasa belanja rakyat Malaysia telah meningkat dalam tempoh itu.

Perkembangan itu menyebabkan timbul keinginan untuk rakyat negara ini membeli produk yang lebih sofistikated dan bertaraf antarabangsa berbanding sebelumnya.

"Secara keseluruhannya suasana di Malaysia lebih bertenaga. Fenomena ini beserta dengan fokus kerajaan Malaysia untuk menarik pelancong antarabangsa menyakinkan kami ada potensi untuk cenderahati batik, buatan tangan yang mempunyai reka bentuk menarik.

"Inilah kisah permulaan Coast Handamade," kata Rebecca.

Nasi ayam bakar

Posted: 15 Aug 2013 08:44 PM PDT

Mohd. Fadzil Mohd. Halime (kanan) bersama rakan kongsinya, Hasnuddin Ahmad.

TIDAK hanya setakat itu, limpahan kicap cair dan juga pes cili menjadikan sajian nasi ayam bertambah enak apabila terasa kepedasan dan kemasinannya seimbang.

Hari ini kita boleh melihat di merata-rata tempat terdapatnya restoran yang menjual nasi ayam tidak kira nasi ayam biasa mahupun nasi ayam Hainan.

Jika kedua-dua sajian nasi ayam ini dapat dilihat perbezaan daripada cara masakan ayamnya iaitu goreng dan kukus, yang terbaharu kini berada di pasaran ialah nasi ayam bakar.

Yang membezakan hanyalah cara masakan ayamnya dan ia juga dilihat satu hidangan sihat apabila ia dimasak secara bakar.

Namun begitu, nasi yang disajikan masih lagi rasanya sama seperti nasi-nasi ayam lain yang dijual.

Menurut pemilik Restoran Rawang Nasi Ayam Bakar, Mohd. Fadzil Mohd. Halime, 45, idea untuk menghasilkan nasi ayam di mana ayamnya dibakar tercetus apabila terfikir bagaimana hendak menyajikan satu hidangan sihat kepada masyarakat.

Ini kerana menurutnya lagi, dengan keadaan sekeliling yang dilihat semakin tidak sihat, dia sebagai seorang pengusaha makanan ingin tampil sesuatu yang mampu memberi kebaikan kepada pelanggannya.

Berbicara lanjut mengenai nasi ayam yang dijual di restorannya, ulas Mohd. Fadzil, kedainya hanya menyajikan ayam segar setiap hari untuk dinikmati para pelanggannya.

Selain ingin menjaga kualiti, pihaknya juga percaya makanan yang dihasilkan daripada bahan-bahan segar rasanya sangat enak.

Kami di sini sememangnya menyajikan sajian segar di mana ayam-ayam untuk nasi ayam ini dibeli setiap hari untuk menjamin kesegarannya.

Ini secara tidak langsung nasi ayam di sini berkualiti dan pada masa yang sama kami turut menjaga setiap pelanggan yang hadir untuk menikmati hidangan di sini," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 12G, Jalan Pahat 15/J, Kompleks Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam.

Dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 12 tengah malam, Mohd. Fadzil menyatakan pihaknya membakar ayam dengan menggunakan periuk khas yang bernama Apollo.

Dengan periuk ini, ia mampu mengekalkan bau aroma ayam tersebut selain ayam tersebut akan dimasak sekata.

Bukan itu sahaja malah Mohd. Fadzil turut memberitahu keenakan pes cili yang disajikan di restorannya turut menggamit kehadiran pelanggan untuk menikmati nasi ayam bakar di situ.

Dihasilkan daripada resipi ibunya sendiri secara tidak langsung menjadikan gabungan ayam bakar dan juga pes cili tersebut satu hidangan yang lazat.

Pada masa yang sama keenakan rasa nasi itu sendiri, ayam serta pes cili yang dihidangkan bersama turut memainkan peranan penting dalam menentukan hidangan tersebut sedap ataupun tidak.

Nasi ayam yang disediakan di restoran ini juga lembut dan keenakannya ditambah pula dengan keranggupan timun jepun yang dihidangkan bersama ayam bakar.

Turut disajikan bersama semangkuk sup, Rawang Nasi Ayam Bakar juga boleh dinikmati bersama hidangan sampingan lain seperti kerabu mangga, taugeh celur, dan tauhu Jepun.

Hanya RM5.50 bagi sepinggan nasi ayam, ia dilihat satu harga yang amat berbaloi dan hidangan ini juga boleh didapati dalam bentuk set.

Untuk sepanjang bulan Ramadan ini, Restoran Rawang Nasi Ayam Bakar akan dibuka setiap hari tetapi hanya memulakan operasi pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

Jelas Mohd. Fadzil, pihaknya menyediakan hidangan dalam bentuk set yang berharga RM10, terdiri daripada nasi ayam, air (bandung cincau, sirap limau atau air panas), kuih-muih, dan bubur.

- MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kampung 50 tahun tiada air paip

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Paip yang telah siap dipasang tetapi tiada meter air di Kampung Kemensah Hulu di Hulu Klang, Selangor. - UTUSAN/Rabbani Jamian

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sebanyak 13 keluarga di kawasan setinggan Kampung Kemensah Hulu di Hulu Klang berharap isu ketiadaan bekalan air bersih ke kediaman mereka diselesaikan segera oleh pihak berkenaan.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memasang paip ke rumah mereka di bawah program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) 2011 yang siap pada tahun lalu, namun sehingga kini air paip belum dibekalkan ke rumah mereka dan meter belum dipasang.

Penduduk mendakwa, pihak kontraktor yang memasang paip itu memberitahu bahawa sambungan meter hanya boleh dilakukan jika mendapat kelulusan daripada Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB), Pejabat Daerah Gombak.

Ini menyebabkan penduduk terpaksa terus menggunakan air dari bukit berhampiran untuk kegunaan harian mereka, rutin yang mereka ulangi sejak kewujudan penempatan tersebut kira-kira 50 tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu baru-baru ini mendapati, kesemua rumah penduduk terbabit telah mempunyai paip besi tetapi tiada meter yang menyambungkannya dengan paip komunikasi di dalam rumah.

Seorang penduduk, Zaher Abu Bakar, 45, berkata, apa yang diharapkan oleh penduduk adalah untuk mendapatkan bekalan air bersih sahaja.

Bayangkan generasi dahulu yang mendiami penempatan ini hingga generasi sekarang hanya menikmati air dari bukit. Setiap kali waktu hujan, keadaan air bertukar menjadi keruh, membuatkan kami bimbang dengan tahap kesihatan kami.

Saya menetap di sini sejak kira-kira 22 tahun lalu, bila lagi kami mahu menikmati bekalan air bersih seperti orang lain walaupun kami berstatus penduduk setinggan. Kami telah membangkitkan isu ini dan memohon bekalan air sejak 2008 kepada wakil rakyat di sini.

Akhirnya, pihak kementerian berkenaan telah menyediakan paip utama ke sini pada tahun lalu. Pihak kontraktor menyuruh kami tunggu sehingga mendapat kelulusan PLB bagi permohonan pemasangan meter," katanya ketika ditemui.

Jirannya, Subki Mad Piah, 48, berkata pihak berwajib perlu segera menyelesaikan isu itu demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk terlibat.

Tanah yang kami diami ini merupakan tanah kerajaan. Jika dahulu, kami tidak tahu saluran untuk mengadukan permasalahan ini kerana ketika itu tiada paip air utama disediakan," jelasnya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wak Saimi, 78, juga berharap dapat merasai bekalan air bersih kerana telah berpuluh tahun menggunakan air dari bukit.

Pakcik mahu merasai bekalan air bersih. Di sini, telah disediakan bekalan elektrik tetapi bagaimana pula dengan bekalan air? Ia adalah keperluan utama manusia, itu lebih penting," ujarnya.

Mangsa kebakaran perlu pindah ke Bukit Jalil

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Kamariah Zihin (tiga dari kiri) dan keluarganya ketika melawat mangsa kebakaran Kampung Puah Bahagia yang kini berada di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kementerian Wilayah Persekutuan berjanji akan menempatkan 42 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Puah Bahagia dan Kampung Chubadak, Sentul di Projek Perumahan Rakyat (PPR) terdekat dengan rumah asal mereka jika terdapat kekosongan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, untuk sementara waktu semua mangsa, yang kini ditempatkan di Dewan Komuniti Taman Ibu Kota perlu berpindah ke PPR Bukit Jalil untuk memberi laluan kepada majlis perkahwinan yang akan diadakan di dewan itu esok.

"Buat masa ini memang tiada rumah PPR berdekatan yang kosong untuk menempatkan mangsa. Ada pihak tertentu yang cucuk jarum dengan mengatakan masih terdapat kekosongan di PPR Batu Muda.

"Sebenarnya itu untuk perpindahan penduduk setinggan yang terlibat dengan projek pelebaran jalan di Jalan Lingkaran Tengah II (JLT11) yang telah dijanjikan oleh kerajaan sejak sekian lama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran rumah panjang Bandar Baru Sentul di Dewan Komuniti Taman Ibu Kota hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, sebanyak 37 buah rumah, termasuk dua buah yang dihuni rakyat asing, musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 1250 pagi di Kampung Puah. Kejadian itu berlaku hanya sehari selepas tujuh buah rumah hangus dalam kejadian di Kampung Chubadak yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Sementara itu, rata-rata mangsa kebakaran yang ditemui berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak berkaitan kerana bertungkus-lumus membantu mereka.

Mereka turut berharap agar dipindahkan semula ke kawasan berdekatan memandangkan tiada kemudahan pengangkutan untuk mereka menjalankan aktiviti harian.

Che Senah Che Wil, 57, bagaimanapun berkata, dia menolak untuk dipindahkan ke PPR Bukit Jalil atas sebab kukuh.

"Makcik mempunyai masalah kesihatan yang serius dan perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur setiap minggu, dan jika berpindah ke sana (PPR Bukit Jalil) makcik tidak mempunyai kenderaan untuk berulang-alik ke hospital.

"Bagaimana pun makcik faham DBKL dan kementerian telah berusaha mencari penempatan untuk kami. Namun buat sementara waktu ini biarlah makcik tinggal di rumah anak sehingga dimaklumkan jika terdapat kekosongan di kawasan sekitar," ujarnya.

S. Ravi, 52, pula berkata, dia dan isteri berharap supaya kerajaan menempatkan mereka di kawasan yang lebih dekat.

"Anak-anak bersekolah di Sentul, isteri pula bekerja sebagai tukang cuci, dan saya pula mengalami kecederaan di kaki yang memerlukan saya kerap berjumpa dengan doktor. Memang kami akan mempunyai masalah besar jika lama tinggal di PPR Bukit Jalil.

"Saya harap pihak berkaitan bantu kami dan cari alternatif untuk menempatkan kami di kawasan berhampiran agar kami dapat menjalankan aktiviti harian dengan selesa," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut memberi sumbangan peribadi sebanyak RM500 kepada 42 keluarga mangsa tersebut.

JP Klang anjur program masyarakat sempena hari kemerdekaan

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Johnson Tee (enam dari kanan) bergambar bersama wakil penaja selepas sidang akhbar mengenai tiga program yang akan dijalankan oleh JP Daerah Klang sempena sambutan kemerdekaan negara di Klang, Selangor, semalam.

KLANG 16 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Jaksa Pendamai (JP) Daerah Klang akan menganjurkan beberapa program kemasyarakatan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-56, dengan kerjasama syarikat korporat ACMAR International.

Menurut Presiden JP Daerah Klang, Johnson Tee, antara program yang akan diadakan adalah pertandingan badminton, kempen derma darah dan meraikan sambutan hari kemerdekaan yang turut melibatkan Klang Executive Club (KEC) selaku pengelola.

"Kesemua program yang bakal diadakan sebenarnya merupakan acara tahunan yang dikelolakan oleh KEC sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.

"Namun tahun ini pihak KEC sudi mengadakan program-program tersebut dengan kerjasama JP Daerah Klang dan ACMAR International," katanya kepada pemberita di pejabat KEC di sini hari ini.

Mengulas lanjut Johnson berkata, pertandingan badminton akan diadakan pada 24 dan 25 Ogos ini di dewan badminton Sekolah Sri ACMAR, Bandar Baru Klang dan di KEC sendiri.

Katanya lagi, pertandingan tersebut melibatkan remaja bawah 18 tahun dan golongan dewasa dengan bayaran yuran penyertaan masing-masing RM40 dan RM50.

"Di samping acara sukan badminton, kami juga akan mengadakan kempen derma darah pada 25 Ogos dari pukul 9 pagi hingga 2 petang di KEC.

"Acara terakhir adalah sambutan kemerdekaan pada 30 Ogos bermula pukul 8.30 pagi yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


MDP harap penduduk lebih positif

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

PONTIAN 15 Ogos - Cadangan pembangunan sebuah tapak pelupusan sisa pepejal sanitari bernilai RM20 juta perlu diterima secara positif oleh penduduk bagi memastikan daerah ini tidak berhadapan dengan krisis sampah pada masa akan datang.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunus, tapak cadangan seluas 10.66 hektar di Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja itu akan menggantikan tapak pelupusan sampah sedia ada di Jalan Sawah, Pekan Nanas yang tidak lagi mampu beroperasi dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

"Ia dijangka dapat menampung kira-kira 160 tan bahan buangan yang diterima dari seluruh Pontian pada masa tersebut. Tapak cadangan pelupusan baru di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara penting memandangkan ketika ini sebanyak 120 tan sampah diterima oleh pusat pelupusan Jalan Sawah.

"Kami berharap cadangan ini dapat diterima oleh penduduk memandangkan jumlah sampah yang meningkat pada setiap hari memerlukan sistem pengurusan yang baik ditambah dengan pengunaan teknologi terkini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis dialog bersama penduduk kampung mengenai kajian penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari di Balai Raya Kampung Ulu Pulai, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar; ADUN Pekan Nanas daripada DAP, Yeo Tung Siong; Perunding Projek Asia Pacific Environmental (ASPEC), Datin Zaharah Mahmud dan Ketua Kampung Ulu Pulai, Abd. Aziz Layong.

Tambah Miswan, cadangan tapak pelupusan tersebut tidak akan menjejaskan penduduk berhampiran seperti di Ulu Choh, Kampung Ulu Pulai, Taman Mas Merah, Kampung Batu 26 dan Kampung Jeram Batu.

Bagaimanapun, kira-kira 100 penduduk yang menghadiri dialog tersebut menolak cadangan berkenaan kerana bimbang lokasinya yang dirasakan terlalu hampir dengan kawasan kampung sekali gus berisiko menjejaskan kehidupan seharian serta kualiti hidup 1,500 penghuninya.

Abd. Aziz menegaskan, penduduk tidak mahu melalui hari-hari yang diselubungi bau sampah walaupun pihak perunding memberi jaminan masalah tersebut tidak berlaku memandangkan tapak tersebut akan beroperasi selama 20 tahun.

"Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memastikan tapak pelupusan itu tidak dibina berhampiran Kampung Ulu Pulai dan bercadang membawanya kepada pengetahuan Menteri Besar Johor," ujarnya.

Kempen kesedaran kesihatan Regency-Handal Indah

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Sebahagian daripada kakitangan Regency Specialist Hospital dan Handal Indah bergambar kenangan selepas pelancaran bas kempen kesedaran untuk penduduk Johor Bahru dan Singapura di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 15 Ogos - Hospital Pakar Regency baru-baru ini menjalin kerjasama dengan Handal Indah Sdn. Bhd. untuk melancarkan bas yang dihiasi dengan tema hospital tersebut dengan tujuan meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan yang disediakan di negeri ini dan seberang Tambak Johor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chin Wei Jia berkata, bas yang diberi nama Regency Specialist Hospital Causeway Link Bus itu dipenuhi dengan imej para doktor, jururawat dan bangunan hospital tersebut dengan elemen warna jingga dan hijau untuk menarik perhatian ramai.

"Bermula Ogos, Regency akan terpapar di 10 buah bas yang melalui jalan tempatan Johor Bahru serta ke sebarang tambak di Woodlands.

"Kita menyasarkan rakyat tempatan yang bekerja atau tinggal berdekatan pusat bandar serta ratusan penduduk tetap Singapura yang menggunakan Tambak Johor setiap hari," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, moto Your Health, Our Passion yang ditulis di bahagian atas bas dapat menyematkan ingatan orang ramai terhadap Regency, selain menjadi inspirasi kepada kakitangan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

Sementara itu, Pengurus Operasi dan Pemasaran Handal Indah, Fang Lim berkata, kerjasama dengan Regency adalah salah satu usaha untuk menterjemah maklumat penjagaan kesihatan kepada masyarakat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


'Saya Ketua Menteri untuk semua'

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron (tengah) memotong kek pada Majlis Meraikan Genap 100 Hari Dilantik Sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 di pejabat Seri Negeri, Air Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad

MELAKA 15 Ogos - Ketua Menteri, Datuk Idris Haron menafikan beliau hanya mengutamakan orang Melayu sejak memegang tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada 7 Mei lalu.

Tegasnya, beliau tidak bersikap rasis terhadap kaum lain sebaliknya orang Cina, India, Chetty, Portugis dan lain-lain tidak pernah diabaikan, sebaliknya diberikan layanan sama rata.

''Dakwaan yang mengatakan saya hanya menjaga kepentingan orang Melayu dan bersikap rasis terhadap kaum lain di negeri ini adalah tidak benar sama sekali.

''Saya adalah Ketua Menteri untuk semua kaum, bukan hanya untuk satu kaum iaitu untuk orang Melayu atau Cina tetapi untuk semua kaum termasuk India, Portugis, Chetty dan sebagainya," katanya pada Majlis Meraikan Genap 100 Hari Dilantik Sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 Menggantikan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis serba ringkas itu, beliau memotong kek yang disumbangkan kakitangan Jabatan Ketua Menteri.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Datuk Latipah Omar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar.

Mengulas mengenai genap 100 hari beliau menjadi Ketua Menteri, Idris berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak yang tidak sangsi dengan kepimpinannya.

''Signifikannya genap 100 hari saya menjadi Ketua Menteri ialah untuk melihat saya berjaya melepasi tahap ini dengan sempurna.

''Alhamdulillah, dari hari pertama mengangkat sumpah seterusnya melantik Exco kemudian mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri serta agensi, menguruskan masa serta berdepan isu seperti Jonker Walk dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, sokongan padu daripada ahli mesyuarat kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan serta agensi lain banyak membantunya melaksanakan pentadbiran negeri tanpa sebarang masalah.

''Kalau nak diikutkan siapa Idris, berapa lama dia main politik, tetapi hari ini sudah duduk sebagai Ketua Menteri dan kerusi Perhubungan UMNO negeri tetapi ini adalah sokongan daripada abang dan kakak saya seperti Ahmad (Hamzah), Othman (Mohamad), Latipah (Omar) dan ramai lagi," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak termasuk rakyat untuk mengemudi Melaka ke mercu yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Infrastruktur, hartanah perlu dibangunkan

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

SEREMBAN 15 Ogos - Merancang pembangunan infrastruktur turut sama penting supaya ia tidak menyekat sebarang usaha pembangunan hartanah yang kini sedang rancak dalam pembinaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha yang komited itu tidak boleh dibuat sambil lewa kerana kedua-dua pembangunan itu hendaklah jalan seiring.

"Kalau kita tidak rancang dengan betul pembangunan infrastruktur ini, ia akan menjejaskan minat pemaju atau pelabur untuk membangunkan hartanah dan kilang mereka. Ia perlulah ada akses jalan raya yang baik," katanya di sini hari ini.

Tambah Mohamad, hal itu perlukan ketelitian dan kesungguhan merancang, kerana ia adalah aset jangka masa panjang, yang bukan sahaja menyaksikan pembangunan sekitarnya tetapi turut menempatkan kawasan perumahan baharu di pesisirnya.

"Sebab itu dalam waktu terdekat ini, kerajaan akan menyambung beberapa fasa lagi projek Jalan Lingkaran Tengah Seremban (MRRS), di mana ketika ini sedang dalam pembangunan melibatkan beberapa kawasan di Labu.

"Kita juga telah di peringkat akhir dan bersetuju untuk membina satu lebuh raya baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Seremban dan disambung ke Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).

"Selain itu juga, beberapa lagi jajaran jalan baharu juga akan dibina iaitu menghubungkan Seremban-Sendayan-LBJ-KLIA," katanya.

Justeru beliau optimis, dengan pembukaan jalan baharu itu kelak, Seremban akan menerima limpahan pembangunan dalam sebuah kawasan Lembah Klang yang besar.

"Ini akan memuncakkan lagi ekonomi negeri ini pada angka yang lebih selesa selepas merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2012 sebanyak 6.2 peratus," ujarnya.

Dalam masa yang sama, Mohamad akan meneruskan semua usaha mensejahterakan rakyat dan ia bukanlah projek yang boleh terhenti walaupun sedetik.

"Jika kita hentikan projek mensejahterakan rakyat ini, ia akan memusnahkan masa hadapan baik mereka. Ini akan dibuat berterusan, tanpa mengira tempoh 100 hari atau selebihnya. Ia adalah kerja yang patut dibuat setiap hari dan setiap detik waktu," katanya.

Melaka MITS Matta 2013 sasar RM20 juta

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

MELAKA 15 Ogos - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan perolehan sebanyak RM20 juta menerusi pameran Melaka MITS Matta Fair 2013 Ke-10 yang bermula 23 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, sasaran itu dapat dicapai berikutan kedatangan 40,000 pengunjung yang dijangka hadir pada pameran yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Menurutnya, pada pameran yang sama tahun lalu hasil jualan yang diperoleh daripada pameran tersebut sebanyak RM12 juta.

"Objektif utama Melaka MITS Matta Fair 2013 adalah untuk menyediakan platform bagi 50 pempamer dari dalam dan luar negara termasuk organisasi pelancongan mempromosikan pakej serta produk masing-masing.

"Pameran kali ini mendapat sokongan penuh pelbagai pihak termasuk pengendali kapal persiaran, taman tema, pengusaha hotel, bank, syarikat insurans dan telekomunikasi," katanya dalam sidang akhbar sempena pameran Melaka Mits Matta Fair 2013 di bilik Mesyuarat Rumah Media Melaka, Ayer Keroh dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Tourism Melaysia Melaka, Jefri Munir; Pengerusi MATTA Melaka, Amanda Yau dan Penasihat MATTA Melaka, Goh Hock Jin.

Menurut Ghazale, pameran yang akan berlangsung selama tiga hari itu akan dihadiri Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.

"Daripada 150 gerai pameran yang mengambil bahagian, 16 daripadanya merupakan gerai jualan milik Tourism Malaysia serta beberapa organisasi luar negara antaranya Macau Tourisme Office, Korea Tourisme Authority dan Taiwan Tourisme Bereau KL," katanya.

Beliau menambah, pameran tersebut secara tidak langsung juga mampu mempromosi negeri Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan terunggul di rantau Asia.

Sementara itu, Amanda berkata, berikutan kejayaan pameran Matta sebelum ini, penganjur juga semakin terdorong untuk memperbanyakkan lagi aktiviti bagi meningkatkan jualannya pada kali ini.

"Pihak penganjur dan pempamer yang mengambil bahagian akan menawarkan pelbagai tawaran hebat termasuk aktiviti menarik sebagai tarikan kepada pengunjung.

"Antaranya ialah hadiah cabutan bertuah berupa pakej penerbangan ke Eropah, kuiz pelancongan dan pertandingan mewarna yang terbuka kepada semua pengunjung sama ada mereka membeli pakej ataupun sekadar mengunjungi pameran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kredibiliti parti politik terserlah jika amal apa dikata - PM

Posted: 16 Aug 2013 03:25 AM PDT

PENDANG 16 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, parti politik yang mempunyai kredibiliti di negara ini adalah parti yang mengamalkan dan melaksanakan apa yang dikatakan.

Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO adalah parti yang patuh kepada undang-undang termasuk dalam soal pemilihan jawatan dalam parti dan apa yang berlaku dalam perhimpunan agung Umno selama ini tiada bantahan sama sekali.

Katanya, ini berbeza dengan DAP yang didakwa tidak membenarkan atau tidak memaklumkan 753 anggotanya mengenai pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu akhir tahun lepas.

"Ini bukan jumlah kecil, ini jumlah yang besar. Yang menjadi satu tanda tanya kenapa sebuah parti seperti DAP yang selalu mewar-warkan mereka juara demokrasi dan prinsip tidak menyalahguna kuasa dan sebagainya, tapi bila sampai pemilihan dalam parti mereka tak sanggup lakukan perkara ikut peraturan, yang bersih daripada salah guna kuasa atau penyelewengan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan, Pelancaran Pelan Integriti Felda dan Majlis Hari Raya di Felda Sungai Tiang di sini.

Pada 30 Julai lepas, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) memutuskan DAP perlu mengadakan pemilihan semula CECnya selepas badan itu tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti berhubung dakwaan penyelewengan pengundian dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan pada pemilihan yang diadakan 15 Dis lepas.

Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, DAP akan mengadakan pemilihan semula CEC bagi mengelakkan pendaftaran parti itu dibatalkan.

Najib berkata, tindakan yang dilakukan oleh ROS adalah semata-mata mengikut peraturan dan bagi UMNO, jika parti itu ditegur oleh ROS mereka bersedia untuk memperbetulkannya.

"Malah UMNO pernah diharamkan oleh mahkamah. Kita terima dan kita bangunkan semula. Kita cakap sesuatu kena amalkan juga baru ada kredibiliti sebagai sebuah parti politik," katanya. - BERNAMA

Rumah terbuka Dr. Mahathir Ahad ini

Posted: 16 Aug 2013 03:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di 58, Jalan Kuda Emas, The Mines, Seri Kembangan, di sini Ahad ini.

Rumah terbuka itu dari 10 pagi hingga 1 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang. - BERNAMA

PM harap rakyat Malaysia di Mesir jaga keselamatan

Posted: 16 Aug 2013 03:21 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat Malaysia yang berada di Mesir akan sentiasa menjaga keselamatan diri dan tidak terlibat dalam konflik di negara berkenaan.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa syukur kerana sehingga ini rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat walaupun beratus rakyat Mesir terbunuh dalam pergolakan terbaru di negara berkenaan.

"Saya bersyukur kerana rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Sentiasa hubungi pihak kedutaan kita di Kaherah bagi mengikuti perkembangan semasa," katanya melalui laman sosial Facebook beliau hari ini.

Negara itu dilanda konflik berdarah apabila tercetus pentempuran antara pasukan keselamatan dan penyokong bekas presiden Mesir Mohamed Morsi, menyebabkan ratusan yang terkorban dan ribuan lain cedera.

Menerusi mesej tweet pula, Najib berkata beliau akan merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah pada petang ini yang akan mempermudahkan urusan khidmat kerajaan bagi rakyat.

Perdana Menteri hari ini berada di Kedah bagi lawatan sehari beliau ke negeri itu.

Mengulas laporan media mengenai sasaran pencapaian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjelang 2015, Najib dalam tweet sebelum itu berkata kerajaan mahu melihat PKS menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk membuka jalan ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Ketika ini, PKS menyumbang 33 peratus kepada KDNK.

Laporan itu memetik Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai berkata PKS perlu menyumbang lebih kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi mencapai sasaran sebagai negara berpendapatan tinggi. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Suspek diberkas

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh ANI AWANG
utusanpenang@utusan.com.my

MAZLAN Kesah (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Fatimah Che Din (tengah) di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 15 Ogos - Seorang suri rumah berdepan detik mencemaskan apabila disamun oleh seorang lelaki bersenjatakan parang yang menggunakan taktik berpura-pura untuk membuang air kecil di rumahnya di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh di sini, 2 Ogos lalu.

Ketika kejadian pukul 1.45 petang itu, mangsa, Fatimah Che Din, 64, seorang diri di rumahnya manakala suaminya, Razali Md. Rejab, 67, pula pergi menunaikan sembahyang Jumaat.

Fatimah berkata, pada mulanya beliau enggan membuka pintu kerana takut, tetapi suspek yang menutup muka dengan kain bertindak menendang pintu rumahnya sehingga terbuka lalu meluru masuk.

"Suspek kemudian mengacukan parang di leher saya seterusnya mengikat tangan dan menutup mulut saya dengan kain.

"Dia meragut rantai leher dan gelang tangan bernilai RM7,000 yang saya pakai sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di Kampung Belah Dua di sini.

Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Kesah dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Ab. Lah hari ini.

Sementara itu, Mazlan berkata, suspek berumur 20-an dan merupakan pelajar di sebuah politeknik di Johor Bahru, Johor telah ditangkap dan didakwa di mahkamah dan beliau datang ke rumah mangsa untuk memaklumkan perkembangan kes tersebut.

Persatuan Perlis Kuala Lumpur seri 2-2 dengan UiTM Arau

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) menyaksikan Pengurus UiTM, Zailudin Ariffin dan Pengurus PPKL, Roshime Sheik Abu Bakar memotong kek sempena perlawanan bola sepak persahabatan di UiTM Kampus Arau, Perlis, kelmarin.

KANGAR 15 Ogos - Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) seri 2-2 dengan pilihan veteran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra di UiTM Kampus Arau di sini semalam.

Gol-gol skuad tuan rumah dijaringkan oleh Shahrudin Malek dan Shahalan Othman manakala gol PPKL dihasilkan menerusi Muhamad Zulzamani.

Pasukan PPKL diilhamkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 1992 untuk anak-anak Perlis di perantauan, khususnya yang bermastautin di Lembah Klang.

Para pemain PPKL menyertai perlawanan itu ketika 'balik kampung' sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Turut berangkat menyaksikan perlawanan ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang disambut oleh Yang Dipertua PPKL, Datuk Faridah Khalid.

10,000 penduduk mahu tong sampah E-Idaman

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

KULIM 15 Ogos - Lebih 10,000 pemilik rumah di 80 kawasan perumahan sekitar Padang Serai dan Lunas, dekat sini masih belum mendapat kemudahan tong sampah beroda seperti mana kebanyakan penduduk kawasan lain di negeri Kedah.

Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Datuk Mohd. Hadzir Ismail berkata, kemudahan tong sampah tersebut sepatutnya dibekalkan kepada penduduk oleh syarikat pemegang konsesi memungut sisa pepejal, Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) pada awal tahun ini.

"Berdasarkan pemerhatian kami, pemilik rumah di kawasan bandar lain seperti Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar sudah dibekalkan tong sampah secara percuma.

"Namun, penduduk di Padang Serai dan Lunas belum mendapat tong sampah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Hadzir berkata, dengan adanya tong sampah itu, perkhidmatan memungut sisa pepejal dari rumah ke rumah oleh E-Idaman akan berjalan dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan E-Idaman Daerah Kulim, Abdul Halim Mat berkata, pihaknya kini sedang menunggu bekalan daripada kontraktor utama pembekal tong sampah beroda.

Beliau berkata, edaran tong berkenaan dijangka dibuat menjelang hujung tahun ini atau selewat-lewatnya Januari depan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved