Ahad, 1 Jun 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Bersenam di jalanan untuk kekal cergas

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Tiada lagi alasan untuk kita bersenam kerana di mana-mana sahaja kita dapat melakukan senaman tanpa sebarang kos dan peralatan senaman yang khusus, cukup sekadar tembok mahupun lantai dijadikan tempat bersenam.

Senaman jalanan ini pada mulanya berkembang di negara-negara Eropah dan Amerika sebelum muncul di negara kita yang menyaksikan kelahiran beberapa kumpulan senaman jalanan di seluruh negara.

Pada hujung minggu lalu, pihak .com berpeluang menjengah Tempatan Fest Port Dickson sempena Hari Belia Peringkat Negeri Sembilan dan bertemu dengan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Bartasan.

Kumpulan ini melakukan senaman dengan menggunakan pelbagai medium yang ada di jalanan seperti tempat pejalan kaki, tembok kaki lima, tiang bendera, pintu pagar dan sebagainya sebagai alat membantu untuk mereka bersenam.

Penggiatnya, Ammar Mahayudin, 21, berkata, aktiviti ini dahulunya dilakukan secara bersendirian selepas menonton video di laman YouTube yang mana beliau menyaksikan seorang melakukan senaman di kaki-kaki lima.

"Dari situ, minat mula datang dan saya mula melakukan senaman ini secara kerap pada 2011 secara berseorangan. Ramai juga yang berasa pelik melihat saya bersenam seperti itu seorang diri.

"Hinggakan saya pernah ditahan polis ketika melakukan senaman di Stesen Keretapi Seremban kerana melakukan senaman seperti itu kira-kira tiga tahun lalu," katanya.

Ammar memberitahu, senaman jenis ini tidak memerlukan peralatan khusus dan paling penting tidak memerlukan sebarang kos untuk menjadikan kita kekal sihat.

Menurutnya setiap pergerakan yang dilakukan mampu menjana stamina dan meningkatkan tahap kesihatan agar menjadikan kita kekal sihat dan cergas setiap hari.

"Setiap senaman perlu dimulakan dengan memanaskan badan, jadi aktiviti berjoging dan lompat bintang antara senaman pemanas badan yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin melakukan senaman jalanan ini.

"Selepas itu, aktiviti senaman seperti tekan tubi bervariasi iaitu gabungan tekan tubi biasa, sebelah tangan, tangan bersilang dan sebagainya boleh dilakukan selain hand stand, human flag dan sebagainya.

"Seperti senaman lain, memanaskan badan penting bagi mengelakkan seseorang itu cedera ketika bersenam, di samping dapat mengekalkan stamina bagi meneruskan rutin-rutin senaman yang lain," jelasnya.

Sesiapa sahaja boleh menyertai sukan atau senaman ini, tidak kira lelaki ataupun wanita mengikut keadaan tertentu. Mungkin wanita ada had yang perlu diikuti, tidak seperti lelaki yang boleh melakukan senaman tersebut dengan pelbagai cara.

Menurut Ammar, matlamat senaman jalanan adalah untuk mengekalkan kesihatan yang baik, bukan untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik. Namun apabila ia dilakukan dengan disiplin, bentuk badan yang diingini itu akan datang dengan sendirinya.

"Kumpulan Bartasan bermula daripada 10 orang yang masing-masing pada awalnya melakukan sendiri dan kini berkembang kepada hampir 50 orang di Negeri Sembilan. Minat golongan muda terhadap senaman ini kian bertambah, apatah lagi tanpa memerlukan sebarang kos untuk kekal sihat.

"Kini, faktor tidak ada masa dan tempat untuk bersenam bukan lagi satu alasan. Ini kerana kami mampu membuktikan bahawa senaman boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa," katanya. - AMIRUL/UNDERBOSS

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved