Utusan Online - Jenayah |
Posted: 01 Jun 2014 01:00 PM PDT Oleh hisyamuddin ayub KOTA KINABALU 1 Jun - Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yakin seorang lagi mangsa culik dari Taiwan, yang merupakan seorang pengurus syarikat ternakan ikan di Pulau Baik, Lahad Datu, pada 6 Mei lalu, kemungkinan akan dapat dibebaskan oleh kumpulan penculik dari selatan Filipina. Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Mentek berkata, usaha berterusan pihak keselamatan negara dan pasukan keselamatan Filipina bagi membebaskan mangsa culik tersebut, Yang Zai Lin, 34, sedang giat dijalankan dan berjalan lancar. Katanya, beliau difahamkan penculikan tersebut tidak dilakukan oleh kumpulan penculik sama yang telah membebaskan dua mangsa culik di Singamata iaitu warga China, Gao Hua Yuan, 29, dan pekerja Resort Singamata, Marcy Dayawan @ Mimi, 40, yang diculik di Semporna, bulan lalu. Menurutnya, selain dilakukan oleh kumpulan penculik berbeza, pihak Esscom percaya tempat penyembunyian Zai Lin juga terletak di lokasi berlainan dengan dua mangsa culik yang telah dibebaskan kelmarin. "Apa yang boleh dinyatakan pada masa ini, mangsa sihat dan terdapat perkembangan baik untuk dia boleh dibebaskan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) serta komuniti peniaga Cina di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah Operasi yang juga Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Maritim, Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi dan Pengarah Bahagian Risikan Keselamatan Esscom, Datuk Ahmad Nadzer Nordin. Yang turut sama dalam majlis tersebut ialah Presiden KKCCCI, Datuk Michael Lui Yen Sang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Hiew King Cheu. Sementara itu, Mohammad turut mengumumkan pembinaan sebuah pangkalan operasi hadapan (FOB) di sekitar perairan Semporna dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini. Katanya, FOB berkenaan akan dijadikan satu kawasan strategik di perairan tersebut sebagai pusat persinggahan anggota keselamatan yang bertugas di lautan. "Pembinaan FOB daripada kerangka pelantar minyak yang telah diubah suai bertujuan membolehkan anggota keselamatan merehatkan diri dan proses mengisi minyak, sekali gus mampu mengurangkan kekerapan bot pulang ke daratan," katanya. Dalam pada itu katanya, Ops Gasak yang telah dilakukan sebanyak 18 kali sebelum ini akan diteruskan dalam masa terdekat bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di pulau-pulau sekitar Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). Menurutnya, selain memburu PATI yang masih bekerja di resort di pulau-pulau tersebut, kesempatan melaksanakan Ops Gasak akan digunakan untuk memperingati pengusaha resort untuk meningkatkan tahap keselamatan di kawasan masing-masing termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV). |
Kastam rampas 424 kotak mercun bernilai RM305,811 Posted: 01 Jun 2014 01:00 PM PDT Azis Yacub (dua dari kanan) menunjukkan mercun yang dirampas semasa sidang akhbar di pejabat Kastam Rantau Panjang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Yatimin Abdullah PASIR MAS 1 Jun - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 424 kotak mercun pelbagai jenis berjumlah RM305,811, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori yang ditinggalkan di dalam ladang kelapa sawit di Felda Bukit Tandak, Rantau Panjang di sini semalam. Pengarahnya, Datuk Azis Yacub berkata, serbuan kira-kira pukul 4.45 pagi itu dijalankan hasil maklumat unit risikan dan intipan selama dua jam di kawasan berkenaan. "Hasil pemeriksaan ke atas lori terbabit, kita telah menemukan sejumlah kotak yang dibalut dengan plastik hitam mengandungi pelbagai jenis mercun. "Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kastam Rantau Panjang di sini hari ini. Azis memberitahu, kesemua mercun tersebut dipercayai disimpan sebagai bekalan stok musim perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi. "Sindiket ini menggunakan taktik menyimpan mercun di suatu kawasan terlebih dahulu sebelum mengedarkan di beberapa tempat di sekitar Pantai Timur. "Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda minimum 10 kali kali ganda daripada nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan