Rabu, 7 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


UTP pupuk celik IT generasi muda

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh khairul abidin nuar
khairul.nuar@utusan.com.my

SEORANG mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) memberikan penerangan mengenai demonstrasi projek robotik yang dinamakan LEGO Mindstorm Robotic kepada peserta program Teknologi Maklumat (IT) Bersama Masyarakat di UTP Seri Iskandar, baru-baru ini.

IPOH 6 Mei - Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sultan Yusuff Batu Gajah baru-baru ini menganjurkan program Teknologi Maklumat (IT) Bersama Masyarakat dalam usaha memupuk kesedaran celik teknologi dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Ketua Jabatan Komputer dan Informasi Sains (DCIS) UTP, Dr. Shuib Basri berkata, program berkenaan juga bertujuan mendidik masyarakat terutamanya ibu bapa dalam memahami akses internet.

Beliau berkata, bagi menjayakan program tersebut, dua pakar motivasi iaitu Ahmad Fakhri Hamzah dan isterinya, Jamilah Samian telah dijemput bagi memberikan tip untuk mendidik anak-anak dalam era globalisasi.

Kedua-dua pakar motivasi itu merupakan pelatih profesional yang diiktiraf oleh Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan telah terlibat dalam banyak ceramah melibatkan pelbagai organisasi, agensi serta sekolah, sama ada di dalam dan luar negara.

Mereka juga adalah penulis buku bertajuk Cool Mum Super Dad yang menjadi panduan kepada ibu bapa untuk berdepan cabaran keibubapaan pada masa kini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Penganjuran program selama separuh hari yang terbahagi kepada dua sesi itu melibatkan 120 orang murid serta ibu bapa.

Mahasiswa UTP jurusan teknologi komunikasi maklumat turut membantu dengan membuat demonstrasi projek robotik dinamakan LEGO Mindstorm Robotic kepada para peserta.

Dalam pada itu, Shuib berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada misi UTP untuk melibatkan para mahasiswa dengan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurut beliau, pihaknya percaya dengan penganjuran aktiviti itu secara tidak langsung mampu memupuk kemahiran komunikasi dan kepemimpinan dalam kalangan mahasiswa.

Pada tahun ini, DCIS telah merancang pelbagai siri program CSR dan aktiviti itu meliputi Litte Programmers Camp bagi sekolah rendah dan Mobile Apps Challenge untuk sekolah menengah.

DCIS juga akan menganjurkan pertandingan Young Programmers Camp untuk kali kedua dengan para peserta dikehendaki menyelesaikan masalah dalam tempoh masa ditetapkan menggunakan program pengaturcaraan yang dipelajari di sekolah," katanya.

Lahir keluarga dengan pendapatan isi rumah tinggi

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

NOR Mohamed Yakcop (dua dari kanan) beramah mesra dengan beberapa penuntut USM sambil diperhatikan Dr. Omar Osman (tengah) dalam sesi bual bicara di universiti itu di Pulau Pinang, baru-baru ini.

PULAU PINANG 6 Mei - Malaysia perlu berupaya melahirkan keluarga dengan pendapatan isi rumah yang memuaskan bagi mencapai matlamat tahap sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan sedang berusaha ke arah merealisasikan matlamat tersebut dengan melatih golongan belia menguasai aspek kemahiran selain penguasaan akademik.

Menurut beliau, tidak dinafikan aspek pendidikan tinggi perlu diberi penekanan sewajarnya bagi membolehkan individu keluar daripada garis kemiskinan sekali gus berupaya mengubah taraf hidup seluruh keluarga.

Namun, jelasnya, kelemahan dalam menguasai akademik bukan alasan membiarkan anak muda terus hanyut sebaliknya mereka perlu diberi peluang untuk mencuba dalam pengembangan bakat dan kemahiran.

Kebanyakan ibu bapa sering menekankan anak-anak dengan akademik dan mendidik mereka untuk berjaya dan menjawat jawatan profesional seperti doktor, peguam, akauntan dan sebagainya apabila menamatkan pengajian.

Tidak semestinya hanya dengan kerjaya disebutkan seseorang itu boleh menaikkan taraf hidup keluarga. Kemahiran tinggi jika dikuasai turut membolehkan anak-anak berupaya menjana pendapatan lumayan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi bual bicara bersama para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Prof. Madya. Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi.

Nor Mohamed berkata, pakar kimpal misalnya berupaya menjana pendapatan sehingga mencecah RM10,000 sehari jika berupaya menjalankan kerja-kerja kimpalan bawah tanah manakala chargeman pula berupaya memperoleh gaji sehingga RM6,000 sebulan.

Dalam pada itu, tambah beliau, penguasaan bahasa Inggeris juga perlu dititikberatkan memandangkan penggunaan bahasa tersebut kian meluas termasuk dalam kalangan negara-negara seperti Myanmar, Vietnam, Korea Utara dan sebagainya yang sangat kurang dalam menguasai bahasa asing itu.

Kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa khasnya bahasa Inggeris turut memberi kelebihan kepada seseorang bagi mengembangkan karier ke peringkat lebih tinggi khususnya di persada antarabangsa," jelasnya.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas memacu bidang ekonomi negara dan menjawat jawatan penting sebagai Menteri Kewangan menasihatkan para pelajar supaya menggunakan peluang berada di menara gading dengan sebaik mungkin.

Masa di universiti adalah satu fasa yang amat menyeronokkan.

Tidak salah untuk bergembira, namun mahasiswa perlu mengutamakan proses mempelbagaikan kemahiran dan meneroka peluang meningkatkan kualiti akademik masing-masing," katanya.

242 pelajar berjaya lanjutkan pelajaran ke IPT terima bantuan

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

SUNGAI PETANI 6 Mei - Seramai 242 pelajar dari beberapa buah sekolah menengah di kawasan Tikam Batu dan Pantai Merdeka yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) menerima bantuan sempena Majlis Sumbangan IPT di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka di sini hari ini.

ADUN Pantai Merdeka, Ali Yahya ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, bantuan yang diberikan itu menunjukkan Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sentiasa mengambil berat soal pendidikan.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT tidak terjebak dengan sebarang aktiviti yang tidak memberi manfaat kepada diri seperti menyertai demonstrasi dan lain-lain," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pelajar yang menerima bantuan perlu menghargai sumbangan kerajaan dengan belajar bersungguh-sungguh menjamin masa depan mereka.

Apabila mereka mempunyai ilmu secukupnya, mereka bertanggungjawab untuk memajukan negara sendiri selepas menamatkan pengajian nanti," ujarnya.

Seorang penerima bantuan itu, Tan Heng Wen, 21, dari Kampung Bakar Bata di sini berkata, bantuan yang diberikan itu boleh digunakan untuk membeli pelbagai barangan keperluan asas ketika berada di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang nanti.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah di atas pemberian ini dan ia menjadi kenangan yang amat sukar untuk dilupakan," katanya.

Nurul Izzati Mohd Nor, 19, dari Batu Lintang pula berkata, dia kini sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di dalamjurusan Diploma Sains.

Saya sendiri tidak menyangka, permohonan yang dikemukakan tidak lama dahulu untuk bantuan tersebut mendapat kelulusan dan saya akan menggunakan wang ini dengan cermat untuk bagi membeli buku," katanya.

Seorang lagi pelajar, Zumira Ismail, 20, dari Taman Permai, Padang Temusu berkata, walaupun menerima RM100 sahaja tetapi ia begitu bermakna sekali.

Masa depan pelajar tentu menjadi bertambah baik jika kesusahan dialami oleh pelajar mendapat perhatian,"ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved