Rabu, 7 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bahana jika UMNO lemah

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

PADA Ahad ini, 11 Mei 2014 genap tahun ke-68 UMNO ditubuhkan.

Dari segi pencapaian, kewibawaan UMNO memang tidak boleh disangkal di sebalik kegagalan Barisan Nasional (BN) buat kali kedua untuk mendominasi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum.

Jika diambil daripada kekuatan solo, UMNO masih kekal mendominasi di peringkat Parlimen dengan meraih 3,416,310 undi daripada 120 kerusi yang ditandingi dan parti keramat orang Melayu ini berjaya memenangi 88 daripadanya. BN yang ditunjanginya terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperoleh majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU-13 lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya meraih 89 kerusi.

Sememangnya besar sungguh cabaran UMNO untuk mengekalkan penguasaannya dan lebih utama lagi mengembalikan semula maruah parti-parti komponennya daripada MCA, MIC dan Gerakan yang sudah tercalar teruk.

Bagi UMNO khususnya, parti itu jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.5 juta ahli parti untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 yang dijadual pada 2017 atau 2018. Jangan lupa, ahli DAP, Pas dan PKR tak pun lebih 600,000 secara purata tetapi mereka memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut.

Bilangan sukarelawan parti dan para profesional mereka lebih daripada UMNO dan BN. Walaupun ahli mereka sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan. Mereka hormat kepada apa kata akar umbi atau bahagian masing-masing, justeru tak lari daripada dasar winnable candidate atau calon yang boleh menang. BN, lantaran telah melupakan dasar ini terpaksa menerima rekod lebih rendah dari 2003-2009 sekali pun UMNO sendiri menunjukkan kekuatan yang boleh dibanggakan.

Kita boleh melihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu oleh lima orang penasihat strategik. Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekali pun membawa unsur-unsur diktator. Khalid ibnu Walid hanya merancang melalui syura tujuh orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.

Meskipun UMNO boleh memanjatkan rasa syukur kerana parti komponen kedua terbesar BN, MCA kini bersedia untuk kembali ke dalam Kabinet atau sebenarnya menyertai kerajaan semula, ahli UMNO jangan lupa andai parti lemah, UMNO tidak dipandang sesiapa pun. Apabila MCA enggan bersama kerajaan (menerima jawatan Kabinet) tempoh hari, ia menampilkan satu-satunya dasar politik parti komponen yang meleset dan tidak menghiraukan sikap setiakawan perjuangan BN.

Beberapa portfolio tradisi seperti kesihatan, pengangkutan, kerajaan tempatan dan lain-lain terpaksa disandang oleh UMNO dan MIC. Pilihan MCA ini merosakkan reputasi MCA di samping keutuhan BN sendiri, sekali gus menampakkan keangkuhan pimpinannya yang tidak kisah terhadap negara, tetapi lebih mementingkan ego politik sendiri.

Tindakan MCA memulaukan Kabinet ini juga tidak menghiraukan nasib masyarakat Cina amnya. Dan secara tidak langsung menggalakkan NGO seperti Dong Zao Dong dan lain-lain pencerca cauvinis melemparkan pelbagai ugutan dan tuduhan.

Tindakannya tak akan akur kepada dasar pelajaran adalah satu-satunya langkah khianat.

Sebab itu UMNO mesti kuat. Kuat dalam erti kata mesti meningkatkan prestasinya selepas pemilihan kepemimpinannya tahun lalu. Memastikan supaya Melayu berani ke depan bersuara dan bertindak demi keutuhan negara.

Setiap ahli yang hendak masuk menjadi anggota mesti ditauliahkan dengan pengertian dan fahaman apa itu UMNO. Perlu diulangi - UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendokong cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa agama dan negara. Apa sejarahnya? Apa yang dicapainya? Apa sumbangan pemimpinnya? Kenapa UMNO boleh survive dan memenangi pilihan raya demi pilihan raya?

Jentera penerangan UMNO Pusat jangan pula syok sendiri sehingga penerangan tentang UMNO itu tidak disejagatkan pengertiannya demi ummah dan masyarakat bangsa atau orang Melayu yang dipimpinnya.

Program Juara Rakyat tahun 2012, latihan Janda Baik, himpunan di Port Dickson - semuanya baik tetapi jika anggota tidak memahami perjuangan UMNO sebenarnya, mereka hanya akan menjadi pemimpin mengejar pangkat dan kedudukan.

Perubahan menyeluruh UMNO sedang berlaku. Pemimpin pengasas UMNO sudah mula menghilang akibat ditelan zaman dan usia. Peringkat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pak Lah, Tengku Razaleigh dan Tan Sri Dr. Rais Yatim sudah amat terhad kepada beberapa orang. Itupun jika mereka masih berkebolehan mengambil bahagian dalam arus perdana politik tanah air.

Saudara-saudari ahli-ahli UMNO lah yang kini perlu menoleh ke belakang dan membentuk pimpinan yang kenal sejarah dan amalan luhur. Bangkitkan perjuangan demi Fasal 3 perlembagaan parti. Pertahankan Perlembagaan Persekutuan, sekurang-kurangnya peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan institusi-institusi asas kenegaraan, kesultanan, bahasa, hak-hak istimewa, Islam, kejuaraan bangsa dan agama.

Jangan lupa pada suatu hari nanti akan ada pihak yang akan meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang memberi definisi siapa itu Melayu.

UMNO mesti kuat dan teguh dengan prinsip perjuangannya. Pemimpinnya perlu terus bervisi dengan misi yang utuh.

Kenapa Melayu tidak bersatu dalam perjuangan bangsa-agama dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa? Setiap yang bernama Melayu atau bumiputera - sama ada kita dalam UMNO, Pas atau PKR - harus memikirkan hal ini dan bertindak. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah kendur berdenting-berdenting, tegang berjela-jela.

Generasi baharu tidak harus idealis tak tentu keruan. Mereka perlu diperingatkan - ke mana perjuangan orang Melayu hendak dibawa selepas ini?

Pemikiran sempit pihak tertentu terutama pembangkang yang menghasut sebilangan rakyat supaya bencikan UMNO termasuk mengkafirkan sesama Islam mesti diadili oleh suara bangsa dan suara agama.

Perjuangan melandaskan hidup enau dalam belukar perlu diketepikan. Kita Melayu sama Melayu. Kita sunni dan sunni. Bukan sunni dan syiah.

Perjelas budaya Melayu adat bersandarkan syarak dan syarak bersandarkan Kitabullah. Adat bersandarkan yang benar, yang benar tegak dengan sendirinya.

Perjelas Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Perjelas perjuangan tentang berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah.

Sebelum menganggotai UMNO, belajar dahulu apa perjuangan UMNO.

Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-68.

Menjadi radikal di Syria memudaratkan Malaysia

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh Azmi Hassan

BUKAN sesuatu yang memeranjatkan berita mengenai pembabitan rakyat Malaysia dalam kancah peperangan di Syria kerana kumpulan pemberontak yang menentang kerajaan Bashar Assad bukan sahaja terdiri daripada rakyat tempatan Syria malah turut disertai oleh rakyat asing dari Asia, Eropah dan juga Amerika Utara.

Fenomena rakyat asing yang turut terlibat dalam konflik peperangan jauh dari tanah air mereka bagaikan berulang kembali setelah mencapai kemuncaknya ketika bumi Afghanistan dijajah oleh tentera Soviet Union pada tahun 80an dan 90an.

Tidak kira sama ada di Afghanistan atau Syria, pegangan pejuang militan yang dalam kalangan rakyat asing ini adalah selari kerana kumpulan ini beranggapan berjuang dan berjihad menegakkan syiar agama Islam.

Walaupun kemelut Afghanistan dan Syria mempunyai sifat geopolitik yang agak berbeza, tetapi kesan terhadap sifat militan rakyat asing ini adalah serupa, iaitu mereka akan menjadi lebih radikal dalam setiap perkara yang membabitkan kehidupan seharian mereka.

Kesan paling ketara akibat daripada proses menjadi lebih radikal adalah peristiwa serangan pengganas terhadap bandar raya New York dan Washington D.C. pada 11 September 2001 yang dipercayai didalangi oleh kumpulan al-Qaeda.

Pada ketika itu kumpulan ini dipimpin oleh Osama Laden yang menjadi radikal ketika berjuang bersama-sama dengan kumpulan Mujahidin Afghanistan menentang tentera Soviet Union.

Begitu juga dengan rantau Asia Tenggara turut menerima tempias apabila mereka yang terlibat dalam perang di Afghanistan pulang ke negara asal masing-masing. Bukan sahaja Filipina dan Indonesia yang terpaksa berhadapan dengan kumpulan militan yang lebih radikal, Malaysia juga terheret dalam fenomena tersebut.

Tidak keterlaluan jika diandaikan pada era pra-80an, rakyat Malaysia tidak berhadapan dengan ancaman kumpulan militan yang berpaksikan agama kecuali Parti Komunis Malaya (PKM) yang mana perjuangan mereka adalah berlandaskan ideologi politik.

Kemunculan kumpulan militan seperti Al-Maunah pada tahun 2000 dan diikuti pula oleh Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) adalah sedikit-sebanyak disebabkan kewujudan sifat radikal yang terbit daripada pengalaman berjuang dengan kumpulan Mujahidin di Afghanistan.

Kini Syria telah mengambil tempat Afghanistan dalam membentuk sifat dan jiwa seseorang yang pada asalnya mempunyai niat yang murni untuk membantu tetapi akhirnya berubah kepada perwatakan yang lebih radikal.

Tangkapan seramai 11 ahli kumpulan militan di Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur beberapa hari lepas telah memungkinkan kesahihan andaian bahawa terdapat lebih ramai lagi yang terlibat dalam aktiviti militan tersebut.

Begitu bahayanya senario ketika ini adalah penglibatan individu yang terbabit di kancah peperangan di Syria pada asalnya adalah untuk menyempurnakan misi bantuan kemanusiaan tetapi lama-kelamaan akan bertukar kepada kegiatan militan.

Sebab itu, tidak menghairankan jika terdapat golongan profesional yang mempunyai kelayakan akademik tinggi terjebak seperti mana menimpa kepada ahli kumpulan KMM dan JI sebelum ini.

Terdapat ratusan kumpulan militan yang sedang berjuang di Syria ketika ini bermula dengan kumpulan yang hanya mempunyai puluhan ahli sehinggalah kepada kumpulan yang lebih besar dan teratur dengan ribuan pengikut.

Ada kumpulan yang menyokong kerajaan Assad dan ada juga yang berpaksikan kepada Majlis Kebangsaan Syria (SNC) iaitu kumpulan pemberontak yang terbesar.

Tetapi lebih membimbangkan lagi terdapat kumpulan pemberontak yang bersekongkol dengan al-Qaeda seperti kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) dan Barisan Al-Nusra (ANF).

Daripada anggaran 100,000 jumlah ahli pemberontak yang menentang kerajaan Assad, dipercayai 10 peratus daripadanya mempunyai kaitan dengan kumpulan yang berpaksikan kepada al-Qaeda iaitu sama ada ISIS atau ANF.

Sumber perisikan dari Britain menganggarkan terdapat lebih 400 rakyat British terlibat secara langsung dengan kumpulan militan di Syria yang sedang berada dalam medan peperangan. Begitu juga dengan penglibatan rakyat Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa negara Eropah lain adalah begitu nyata dengan membawa kesan buruk apabila mereka kembali ke negara masing-masing.

Sebab itu, penahanan 11 anggota militan dikatakan boleh dijadikan sebagai iktibar dan pengajaran kepada mereka yang mempunyai perancangan yang serupa supaya lebih berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Agak melegakan apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan bahawa terdapat beberapa kumpulan lagi yang sedang dipantau aktiviti mereka dan tindakan susulan bakal diambil tidak lama lagi.

Tetapi apa yang lebih kritikal adalah pemantauan terhadap rakyat Malaysia yang sudah terjebak dengan kegiatan militan di medan perang Syria perlu berada pada tahap risikan yang paling tinggi.

Ia membawa maksud bahawa kepulangan individu tertentu ke tanah air perlu disusuli dengan maklumat risikan yang terkini supaya kehadiran kumpulan yang mempunyai pemikiran radikal tidak akan memudaratkan keselamatan negara.

Jika pencegahan perlu dilakukan maka sudah pasti penggunaan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan yang baharu dipinda dan juga Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sudah mencukupi untuk pihak berkuasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Ini adalah kerana apabila berhadapan dengan isu militan yang berkait rapat dengan aktiviti keganasan, usaha pencegahan perlu diutamakan.

* PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved