Rabu, 7 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL diminta tunai janji

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KETIADAAN pengunjung ke kompleks Keramat Mall, Kuala Lumpur menyebabkan suasana hambar dan sunyi.

KUALA LUMPUR 6 Mei - Walaupun sudah lama dibuka, keadaan kompleks perniagaan Keramat Mall di sini tetap sunyi berikutan ketiadaan pelanggan mengunjungi lokasi itu.

Bukan tiada usaha atau pendekatan diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memeriahkan pasar moden itu, namun sehingga ke hari ini keadaannya tetap sama.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati rata-rata peniaga melahirkan kebimbangan mengenai masa depan mereka .

Sambil mempersoalkan sampai bila mereka mampu bertahan kerana kerugian yang ditanggung selama ini cukup memberi tekanan dan kesukaran kepada mereka.

Berdasarkan pemerhatian, hanya lot-lot kedai makan di tingkat bawah sahaja dipenuhi pengunjung.

Berbeza suasana di lot-lot kedai yang menjual barangan kering di tingkat satu, suasananya hambar dan sepi.

Difahamkan, ada antara peniaga terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri semata-mata mahu meneruskan perniagaan mereka.

Peniaga mendakwa masih mempertahankan perniagaan mereka sehingga ke hari ini kerana yakin suatu hari nanti kompleks berkenaan menjadi tumpuan.

Lebih-lebih lagi selepas lawatan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Jun 2013 lalu, turut menjanjikan bangunan itu akan dijadikan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Mini.

Namun apa yang mengecewakan sehingga ke hari ini tiada tanda-tanda ia bakal direalisasikan.

Sehubungan itu peniaga merayu DBKL mencari jalan penyelesaian segera bagi mengatasi masalah yang dialami.

Ini termasuk menyegerakan usaha pembinaan UTC seperti dijanjikan bagi manfaat orang ramai, selain peniaga yang sudah dan bakal beroperasi di situ.

Dakwa peniaga, sudahlah terpaksa menanggung kerugian, dalam masa sama terpaksa menanggung beban sewa kedai sebanyak RM400 sebulan kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Utusan Malaysia turut difahamkan ada antara peniaga terpaksa menutup sementara gerai mereka kerana kekurangan modal pusingan, tetapi diberi pula notis pengosongan oleh DBKL atas alasan tidak minat berniaga.

Kedai mereka kerana tidak mempunyai pusingan modal mencukupi, notis pengosongan kedai akan dihantar atas alasan peniaga tidak berminat menjalankan perniagaan.

Kami mahu DBKL turun padang - Peniaga

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diingatkan supaya lebih kerap turun padang bertemu dengan peniaga-peniaga di kompleks Keramat Mall, di sini.

Pengerusi Persatuan Peniaga kompleks berkenaan, Zulkifly Mohd. Saat berkata, usaha turun padang itu adalah langkah terbaik untuk melihatkan sendiri secara langsung dan memahami 1001 masalah yang dihadapi peniaga di situ.

Menurutnya, keadaan peniaga Melayu di kompleks berkenaan tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

DBKL seharusnya membantu peniaga Melayu yang memerlukan sokongan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukannya bina satu tempat baharu yang tidak mampu menarik pelanggan kemudian membiarkan peniaga menanggung beban.

Jika DBKL boleh menaikkan Little India di Brickfields dan Petaling Street, mengapa tidak usaha sama dilakukan di sini," katanya.

Zulkifly berkata, pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya untuk bertemu dengan pihak atasan DBKL, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang maklum balas diterima.

Peniaga di Keramat Mall seolah-olah dianaktirikan. Isu ini bukanlah isu baharu, sebaliknya berlarutan sejak 2011 lagi.

Jika benar DBKL mahu membantu peniaga, langkah lebih proaktif perlu diambil sebelum lebih ramai lagi peniaga gulung tikar," katanya.

Tambahnya, beban hutang antara RM5,000 hingga RM7,000 sejak berpindah ke kompleks berkenaan berikutan tidak mendapat pulangan modal secukupnya.

Seorang peniaga capal, Wahab Kamarudin, 47, berkata, jika DBKL tidak mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan masalah itu kemungkinan peniaga akan bertindak lebih agresif.

Katanya, ini termasuk mengadakan bantahan aman bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap DBKL.

Kalau boleh peniaga tidak mahu menimbulkan kekecohan, tapi kita akan tengok sampai bila DBKL terus mengambil sikap berdiam diri," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi niaga kedai makan, Hussin Mat Dali, 58 .

Katanya, dia terpaksa menutup perniagaan yang diusahakan selepas menanggung kerugian yang banyak.

Hasil yang diterima tidak setimpal dengan modal yang dikeluarkan. Bayangkan sehari saya hanya memperoleh RM15 berbanding modal membeli barangan mentah sebanyak RM100.

DBKL bukan tidak tahu masalah yang dihadapi peniaga di sini. Namun sampai sekarang tiada sebarang usaha bagi membantu kami," katanya.

Bagi peniaga gerai makan, Maizatulafizah Zakaria, 27, pula melihat tindakan DBKL menyewakan tempat letak kereta di kompleks berkenaan kepada syarikat luar turut menjadi punca kurangnya kunjungan orang ramai ke situ.

Katanya, caj yang dikenakan sebanyak RM3 sangat membebankan.

Pasar basah, UTC dijangka siap hujung tahun ini - DBKL

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjangkakan kerja-kerja pengubahsuaian kompleks Keramat Mall sebagai Mini Pusat Tranformasi Bandar (UTC) siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya kini dalam proses membuka tender bagi kemudahan tersebut.

Setelah selesai kita akan melantik kontraktor bagi mulakan kerja-kerja pengubahsuaian lot-lot kedai bagi UTC," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kekecewaan peniaga di Keramat Mall yang mendakwa DBKL gagal membantu mereka sejak berpindah ke kompleks berkenaan kira-kira dua tahun lalu.

Peniaga mendakwa mengalami kerugian sepanjang tempoh itu berikutan tiada usaha-usaha promosi dilakukan pihak berkuasa tempatan itu.

Tambah Mhd. Amin, usaha-usaha promosi perlu dilakukan peniaga sendiri dan bukan bergantung sepenuhnya kepada DBKL.

Kita membantu dari segi apa yang kita mampu sebagai contoh kemudahan asas, selain pengubahsuaian pasar basah dan UTC yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Mengulas mengenai tempat letak kenderaan yang disewa kepada syarikat swasta, beliau berkata, ia sebenarnya dilakukan bagi memudahkan peniaga dan pengunjung kompleks berkenaan menggunakan perkhidmatan tersebut.

Bagi mengelakkan ia digunakan oleh pengunjung luar, caj perlu dikenakan. Perlu diingat ia juga atas permintaan peniaga sendiri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DBKL juga memberi diskaun setengah harga kepada mereka yang tidak mampu membayar sewa kedai.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved