Utusan Online - Rencana |
Apa makna demokrasi di Thailand? Posted: 25 May 2014 12:50 PM PDT Oleh Muhammad Afifi Abdul Razak SEORANG wanita Thailand memegang kad yang menggesa agar Thailand dibebaskan ketika menyertai bantahan rampasan kuasa di hadapan Monumen Victory di Bangkok, kelmarin. - AGENSI KEMELUT politik di Thailand yang berlaku sejak enam bulan lalu semakin buruk. Semua bentuk penyelesaian politik termasuk menerusi mekanisme diplomasi masih gagal memperbaiki keadaan di dalam negara 'gajah putih' itu. Di luar pejabat kerajaan dan di kawasan jalanan di Bangkok, ribuan penunjuk perasaan, sama ada penyokong pro-kerajaan atau pro-pembangkang, masih tidak berganjak daripada tempat mereka, menunjuk perasaan, memberontak, menuntut satu perubahan politik yang terbaik bagi mereka. Sementara itu, di dalam pejabat kerajaan, pemimpin politik kerajaan dan pembangkang pula masih ingin mempertahankan kepentingan masing-masing. Sebagaimana yang dijangka, tentera Thailand yang dipimpin Jeneral Prayuth Chan-ocha mengumumkan rampasan kuasa kelmarin bagi memulihkan kestabilan di negara itu. Tindakan ini disusuli dengan penggantungan perlembagaan negara beberapa jam kemudian. Rampasan kuasa ini berlaku hanya dua hari selepas pihak tentera menguatkuasakan undang-undang tentera di seluruh negara bagi membuka laluan kepada pihak terlibat untuk berunding dalam usaha menamatkan konflik politik di Thailand. Walaubagaimanapun, rundingan itu gagal mencapai kata sepakat terhadap konflik itu. Semua wakil politik yang menghadiri rundingan tersebut pula ditahan oleh tentera Thailand. Sudah pasti, tindakan rampasan kuasa oleh tentera Thailand ini bakal menerima pelbagai kritikan dan cemuhan daripada pelbagai pihak, sama ada di dalam negara, di peringkat serantau, dan antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) pernah menyatakan rasa bimbangnya terhadap perkembangan mutakhir yang sedang berlaku di Thailand yang mungkin akan menjurus kepada berlaku sekali lagi peristiwa rampasan kuasa oleh tentera yang kelak bakal menjejaskan proses demokrasi di negara tersebut. Ini bukanlah kali pertama tentera Thailand bertindak merampas kuasa. Menurut sejarah Thailand, rampasan kuasa tentera buat pertama kalinya pernah berlaku pada 1933 apabila Kolonel Phraya Phahol Pholphayuhasena bertindak merampas kuasa kerajaan Thailand daripada bekas Perdana Menteri, Phraya Manopakorn Nititada. Enam tahun kemudian, iaitu pada 1939, satu lagi peristiwa rampasan kuasa tentera berlaku diketuai ketua tentera Thailand pada ketika itu, Luang Pibulsonggram. Peristiwa rampasan kuasa tentera di Thailand turut berlaku pada 1947, 1951, 1957, 1958, 1971, 1976, 1977, dan 1991. Sebelum berlaku peristiwa rampasan kuasa tentera kelmarin, tentera Thailand yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin, pernah melancarkan rampasan kuasa dan menguatkuasakan undang-undang tentera selepas kejayaan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dalam pilihan raya umum di negara tersebut yang telah mendapat bantahan keras serta boikot oleh parti pembangkang. Peristiwa rampasan kuasa tentera di Thailand ini juga contoh 'negara gagal' (failed state) di zaman moden. Dalam konteks demokrasi, negara biasanya ditadbir oleh pemimpin yang dilantik daripada kalangan rakyat di negara tersebut. Walaupun negara itu mengamalkan kombinasi sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, rakyat masih lagi merupakan ketua kerajaan yang bertanggungjawab sepenuhnya mengenai hal ehwal urusan negara. Tentera, pada hakikatnya, hanya bertanggungjawab mempertahankan negara daripada serangan oleh pihak luar, dan pada ketika aman, tentera mesti bertindak menyokong kerajaan sedia ada yang dipilih rakyat menerusi proses demokrasi. Inilah yang sepatut berlaku, tetapi di Thailand, ia tidak berlaku demikian. Dari satu aspek lain, kita juga boleh berhujah bahawa tentera sememangnya tidak boleh dipersalahkan. Ini kerana, menjadi tanggungjawab tentera mempertahankan negara daripada serangan musuh. Malah sebarang usaha atau cubaan yang mampu menjejaskan keamanan negara termasuk ancaman daripada dalam juga boleh menjadi keutamaan tentera yang mesti diteliti dan diperhati. Justeru, tindakan rampasan kuasa tentera di Thailand ini boleh dijustifikasikan sebagai tindakan bersifat untuk menyelamat dan menstabilkan keadaan. Ancaman di Thailand pada ketika ini, bukan sahaja boleh datang daripada luar, malah boleh datang daripada pelbagai aspek termasuk kegagalan sistem politik demokrasi di negara itu. Sememangnya proses politik demokrasi di Thailand yang menyaksikan pembentukan kerajaan menerusi pilihan raya bebas yang disulami dengan beberapa insiden kekacauan dan tunjuk perasaan oleh rakyat serta sikap pentingkan diri sendiri oleh pemimpin tertinggi parti politik mampu menjatuh dan melumpuhkan Thailand daripada dalam. Ini dinamakan sebagai proses perubahan politik secara senyap di mana ada 'tangan ghaib' yang berfungsi di sebalik tabir demokrasi di negara tersebut sedang berusaha untuk merencanakan satu sistem politik baru di Thailand yang bakal menjejaskan bukan sahaja masa depan rakyatnya, malah sistem pemerintahan beraja di negara itu. Dan dalam hal ini, tentera Thailand sebenarnya ialah 'the last bastion' bagi mempertahankan kestabilan dan kedaulatan Thailand. Sistem demokrasi ialah satu sistem yang pemerintahan negara yang baik untuk diamal dan dilaksanakan. Tetapi dalam konteks politik terkini di Thailand, malah di kebanyakan negara bukan Barat, ia seringkali menemui kegagalan. Di Thailand, sistem demokrasi gagal bukan disebabkan oleh rakyatnya, tetapi disebabkan percaturan politik di peringkat atasan khasnya dalam kalangan pemimpin tertinggi parti politik yang masih ingin mengembangkan pengaruh dan mengekalkan kepentingan politik masing-masing. Bekas Presiden AS, Abraham Lincoln yang pernah mempopularkan istilah bahawa demokrasi adalah 'kerajaan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat' mungkin akan terkejut melihat bagaimana kata-kata beliau mengenai demokrasi ini sebenarnya sangat jauh daripada realitinya. Demokrasi memang datang daripada rakyat apabila pemimpin yang dilantik untuk memerintah negara itu dipilih oleh rakyat jelata. Tetapi sistem demokrasi lama kelamaan mempunyai satu kecenderungan untuk membentuk sekumpulan 'elit politik' dan 'elit ekonomi' yang sebenarnya paling berkuasa dalam mana-mana pentadbiran negara berteraskan demokrasi di seluruh dunia. Seorang sarjana politik Barat, Robert Michels, dalam tulisannya yang bertajuk The Iron Law of Oligarchy pernah mengatakan bahawa dalam aspek pemerintahan negara, khasnya yang berteraskan sistem demokrasi, rakyat sebenarnya tidak pernah mendapat apa-apa manfaat pun daripada sistem tersebut, kecuali sedikit. Yang sebenarnya menguasai pemerintahan negara, menurut Michels, ialah sekumpulan manusia yang disebut sebagai 'elit politik' dan 'elit ekonomi'. Demikianlah bagaimana demokrasi boleh membawa kebaikan dan keburukan kepada rakyat dan negara. Semuanya bergantung kepada sejauhmana kefahaman rakyat mengenai fungsi dan peranan demokrasi sebagai sistem politik. Kita menerima sistem demokrasi bukan kerana namanya demokrasi tetapi kerana ia boleh memberikan kebaikan dan manfaat kepada kita. Tetapi sekiranya sistem demokrasi ini tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara, malah menyusahkan kehidupan seharian mereka, maka sesuatu mesti dilakukan oleh rakyat di negara tersebut supaya kehidupan, nasib serta masa depan mereka akan bertambah baik. Sebagai sebuah negara yang berjiran dengan Thailand, Malaysia sudah pasti amat berharap konflik di negara itu dapat diselesaikan tanpa perlu insiden pertumpahan darah. Thailand juga sudah pasti tidak mahu keadaan dalam negaranya diheret menjadi isu serantau ASEAN, apatah lagi mendapat campurtangan daripada PBB dan AS. PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. |
Posted: 25 May 2014 12:50 PM PDT Oleh Syed Mazlan Syed Mat Dom PENERAPAN nilai-nilai murni kepada generasi muda perlu digerakkan sepanjang masa. Kegagalan kita untuk menerapkan nilai murni ini menyebabkan segala perkara yang tidak disangka sama sekali boleh sahaja akan terjadi. Bak pesanan orang dulu-dulu, ilmu agama penuhkan di dada, kemudian pergilah kamu berhijrah atau merantau berkelana ke mana jua. Nescaya diri akan selamat dan berupaya menepis segala godaan yang datang. Hidup tidak akan susah, niat tidak akan berubah malah segala kerja dapat dipermudah. Antara nilai-nilai murni yang patut ada dalam kalangan generasi muda adalah sikap usul periksa, bukan senang percaya membabi buta. Nilai kedua yang perlu dipunya, adalah sikap menghormati pada yang tua yang lebih berpengalaman dan banyak membuat jasa. Nilai murni yang ketiga, adalah perasaan tahu untuk berterima kasih kepada bantuan, pertolongan mahu pun pemberian orang kepada kita. Inilah tiga nilai murni utama yang penulis rasakan sudah semakin pupus dalam kalangan sebahagian generasi muda kita hari ini. Generasi muda tidak harus melatah dan terpengaruh dengan ayat-ayat klise kebebasan hak manusia, kebebasan bersuara dan kebebasan memilih dalam apa jua perkara. Perkataan-perkataan seperti rasuah, kroni, tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran atau sebagainya hanyalah momokan mencari sokongan oleh pihak yang memberi alternatif . Malangnya, ciri-ciri yang diberikan ini hanya diguna pakai dalam menilai pemerintah sahaja. Kenapa ciri-ciri penilaian ini tidak turut dipakai sama apabila menilai golongan alternatif lain? Di sini pun sudah ada double standard. Ayat dan perkataan ini hanya sah laku untuk menilai kerajaan. Tidak pula diguna pakai untuk menilai pihak lain. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi generasi ini diajar dan diprogramkan ke dalam minda mereka supaya berfikiran sedemikian. Bahkan, ayat-ayat klise itu tadi menjadi buah mulut dan ikut-ikutan tanpa pengertian yang mendalam terhadap bagaimana untuk mempraktikkan dan di kala mana ia perlu dipraktikkan. Kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kami pembayar cukai adalah antara ayat-ayat yang menjadi pujaan semasa. Seolah-olah ia fahaman baharu yang merentasi agama dan budaya serta norma-norma kehidupan seharian di pelosok nusantara. Habislah melatah semua anak muda. Hasilnya, maka terkinja-kinjalah mereka di sekitar pasar raya, bandar raya dan jalan raya. Janganlah jadi seperti kerengga, sekali tersauk bagai dirasuk. Menyerang musuh tanpa mengkaji, usul periksa dan tanpa perbandingan segala. Generasi kerengga ini juga begitu taksub akan ketuanya. Apa yang tidak kena kepada orang lain semuanya betul belaka. Tak perlu untuk disemak buat kali kedua. Tetapi apabila terconteng ke batang hidung sendiri, ia perlu segera dinafikan. Ini pihak ketiga empunya kerja. Pengikutnya memang tak mahu hendak percaya. Malah sudah diajar supaya jangan percaya kepada apa juga khabar berita yang tidak elok mengenai kumpulannya. Generasi kerengga juga terlalu sukar untuk menghormati pandangan dan pendapat mereka yang lebih tua. Ini adalah kerana kepada mereka siapa dahulu yang memakai lampin bayi pakai buang adalah lebih relevan pada ketika ini daripada siapa dahulu yang memakan asam dan garam. Kiasan lama itu bagi generasi kerengga sudah lama lapuk di telan zaman. Generasi kerengga juga amat sukar untuk merasa berterima kasih kepada orang lain hatta berterima kasih kepada negara sekalipun. Cuba anda lihat semut kerengga. Dalam keluarga semut dialah yang paling cantik. Dengan warna kekuningan merah-kemerahan, dialah semut yang paling comel. Ditambah pula dengan pinggangnya yang ramping, dialah yang paling anggun dalam kalangan semut-semut yang ada. Tetapi perilakunya, jauh sekali dari menjadi cerminan dirinya yang anggun itu. Perhatikanlah, apabila dia membuat sarang di sebatang pohon mangga di depan rumah kita. Dia akan menjadi raja dan bermaharajalela di sana. Apabila cuba didekati, atau cuba kita ceroboh kawasan mahu pun sarangnya. Usahkan binatang lain, tuan pokok dan tuan tanah yang ditumpanginya itu pun akan digigitnya. Begitu sekali tidak tahu berterima kasihnya, kalau mahu dianalogikan akan generasi kerengga ini. Kiasan yang boleh dibuat di sini adalah seperti anak yang diberikan peluang menimba pelajaran, diberikan kasih sayang, kemudahan bergerak, kemudahan perhubungan, kemudahan kewangan, kehidupan selesa, malah dibantu untuk mendapatkan pekerjaan oleh ibu bapanya. Apabila sudah dewasa dan menjadi orang berada, dia sanggup akan berkata, ibu ayah tidak jujur, ibu ayah tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran keluarga. Ada kroni dalam keluarga ini. Lalu dia membawa diri keluar dari rumah dan mencari keluarga angkat lain yang dirasakannya lebih jujur dan lebih baik dalam segala aspek. Inikah generasi baharu yang kita mahu? Inikah pemuda-pemudi pelapis bangsa, pelapis negara yang kita ingin didik dan lahirkan? Inikah jenis anak muda yang kita mahu laburkan wang ringgit kita untuk membesarkannya? Inilah doktrin baharu yang sedang diserapkan oleh pendokong alternatif. Dengan mempersoalkan sejarah tanah air, menjadikan undang-undang sebagai bahan permainan dan momokan adalah dengan tujuan mendidik generasi muda supaya bersifat seperti kerengga. Supaya generasi ini menjadi generasi sorry, no thank you for you". Tidak perlu disanjung usaha pemerintah yang ada. Tidak perlu dikenang segala jasa datuk nenek moyang mereka. Kerana anda adalah anda. Generasi kerengga ini jika berterimakasih pun setakat hanya manis di mulut sahaja. Melihat pula di laman siber, bekas pemimpin negara malah pemimpin semasa turut diselar malahan dipersenda. Yang memberi komentar rata-ratanya generasi muda. Jika sekali sekala kita terfikir kita bahawa kita ini seorang yang tidak pandai berbudi bahasa, janganlah kecewa, sebab di alam siber sana berpuluh ribu lagi yang lebih biadab daripada kita. Inilah generasi kerengga, hasilan dari didikan alternatif semasa. Generasi I follow, gangster, generasi pemaki hamun, generasi mencarut, dan generasi yang suka membangsatkan orang lain terutamanya di laman siber sudah pun kita lahirkan di bumi Malaysia yang tercinta. Generasi kerengga juga adalah generasi buta sejarah. Tidak minat untuk mendalaminya kerana dipesongkan pemikiran bahawa kononnya sejarah negara sudah lama di manipulasi oleh pihak pemerintah negeri. Persoalannya, kenapa orang muda yang berpotensi besar menjadi generasi kerengga? Mudah sekali jawapannya. Fokus utama pihak berkenaan adalah untuk menyasarkan generasi muda belia yang mudah dibentuk corak pemikiran mindanya. Begitulah juga yang dibuat oleh komunis pada waktu dahulu. Anak muda, anak sekolah dan kanak-kanak menjadi sasaran utama mereka. Sebagai kesimpulannya, pihak berwajib harus sentiasa peka dan perlu membanteras segera segala usaha yang digerakkan oleh kumpulan tertentu ke arah pembentukan generasi kerengga ini. Sesungguhnya, keperluan untuk generasi muda di luar sana untuk menidakkan diri daripada menjadi sebahagian daripada statistik terkini keahlian generasi kerengga amatlah dihargai. Adalah lebih baik mencegah daripada berpeluh sakan menanggung musibah. PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan