Utusan Online - Rekreasi |
Posted: 24 May 2014 06:51 AM PDT Suatu ketika dahulu, motosikal jenis skuter menjadi dambaan segenap golongan muda yang menginginkan kenderaan mudah ditunggang dan senang untuk 'disolek'. Di mana-mana negeri sekalipun, kumpulan penunggang skuter berlumba-lumba menghiasi motor menggunakan pelbagai teknik seperti semburan cat mengikut tema dan pelekat berwarna untuk membezakan skuter mereka dengan yang lain. Ada juga yang menambah pelbagai aksesori seperti pembesar suara, pemain cakera padat dan lampu-lampu pelbagai warna untuk memberikan sedikit kelainan pada motor kesayangan mereka itu. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peminat kenderaan itu semakin berkurangan dan kemeriahan pertandingan skuter tercantik dan sebagainya tidak lagi dianjurkan. Walaupun begitu, komuniti skuter tidak lenyap dalam kalangan peminatnya. Masih ada mereka yang meneruskan legasi ini, lebih-lebih lagi mereka yang mengikut jejak abang atau kakak mereka yang suatu ketika dahulu gah dengan memiliki skuter. Ruangan Fokus minggu ini menampilkan mereka yang masih teguh dengan dunia skuter serta generasi baharu yang menjadi pelapis kepada kumpulan motor jenis skuter ini. - AMIRUL/RIDUAN RIZAL Kenderaan pergi balik kerja HIDUP di kota metropolitan sudah pasti akan berhadapan masalah kesesakan jalan raya setiap kali pergi dan pulang dari tempat kerja. Penyelesaiannya, sebuah motosikal dipilih bagi mengatasi masalah itu. Ada sesetengah orang memilih motosikal jenis cub, namun bagi saya skuter adalah terbaik dan lebih mudah. Minat dengan skuter telah bermula sejak dahulu dengan membeli skuter Suzuki VS150 kemudian V100 sebelum menambah sebuah lagi motosikal jenis skuter Gilera SP180 sebagai koleksi peribadi. Skuter merupakan kenderaan yang unik misalnya V100 kerana tidak memerlukan minyak hitam untuk menggerakkan enjin dan cukup sekadar menggunakan minyak 2T sebagai pelincir pada enjin. Ini membuatkan skuter tidak mempunyai minyak hitam dan pemilik hanya perlu servis minyak kotak gear dan lain-lain yang perlu. Selain itu, V100 juga merupakan skuter pertama yang berada di pasaran, selain daripada pasola yang berbeza zaman. Jadi, ia sebagai pencetus satu revolusi motosikal pada ketika itu. Saya kini memiliki V100 dan Gilera, V100 lebih kepada perjalanan hujung minggu bersama raka-rakan yang menggunakan motosikal jenis sama, manakala Gilera saya gunakan sebagai kenderaan harian untuk ke pejabat. - MOHAMED IKHWAN NASIR Berkumpul eratkan peminat skuter PELBAGAI aktiviti boleh dijalankan peminat skuter, antaranya berkumpul beramai-ramai berkongsi maklumat dan informasi terkini mengenai motosikal kesayangan mereka. Ada juga yang mengambil peluang bertanya dengan rakan-rakan mengenai masalah yang dihadapi skuter mereka, selain dapat mengukuhkan ikatan silaturahim. Perjumpaan biasanya dilakukan mengikut aktiviti ahli di dalam kumpulan di laman sosial Facebook yang dibina khas untuk peminat skuter di seluruh Malaysia. Kumpulan skuter ini bukan sahaja di Kuala Lumpur dan Selangor, bahkan juga di seluruh negara yang masing-masing dalam usaha menaikkan lagi nama skuter seperti zaman kegemilangannya satu ketika dahulu. Laman sosial memainkan peranan penting tidak kira untuk mencari aksesori, permasalahan terhadap motosikal dan sebagainya. Pelbagai acara yang diadakan juga akan disebarkan melalui laman sosial untuk memudahkan ia disampaikan kepada semua peminat dan akhirnya mampu membuat perjumpaan yang dirancangkan. Bagi peminat skuter atau yang ingin menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan skuter, bolehlah melawat page SUZUKI V100,VR125,VS125&VS150 atau page lain berkenaan dengan skuter. - HAMIZI KASBULA PERJALANAN ke tempat kerja lebih mudah dan murah dengan skuter. Legasi turun-temurun JIKA dibanding sekarang dan 10 tahun lalu, mungkin banyak bezanya di antara peminat skuter kerana pada ketika itu boleh dikatakan apa jua festival bermotor pasti ada pertandingan skuter tercantik dan sebagainya. Ramai peminat skuter berhabis ribuan ringgit untuk mengubah bentuk skuter mereka dengan menyembur cat, grafik yang menarik dan juga modifikasi sistem audio dan cover set rekaan sendiri. Hinggakan ada majalah skuter yang dijual khas buat peminat-peminat skuter di seluruh negara yang menampilkan wajah-wajah motosikal kesayangan mereka ini. Kini, mungkin keadaan tidak semeriah dahulu tetapi masih ramai anak-anak muda yang menjadikan skuter sebagai kenderaan yang mereka minati. Cuma kali ini, adik kepada generasi terdahulu menyambung semula minat abang atau kakak mereka yang telah berumahtangga atau berumur yang merasakan sudah tidak sesuai untuk menggunakan skuter. Minat ini diturunkan pada adik yang pada masa itu masih bersekolah dan ada di antaranya memiliki motosikal yang ditinggalkan abang dan ada juga yang membelinya sendiri. Populariti pada masa itu membuatkan permintaan terhadap motosikal ini semakin bertambah dari tahun ke tahun dan mungkin tidak lama lagi zaman kegemilangan skuter akan bersinar kembali. - ARHAM ABDULLAH Berhabis RM8,000 untuk skuter KERANA minat mendalam terhadap kenderaan dua roda automatik ini, Mohd. Ridhuan Mamat sanggup berhabis duit untuk memiliki dan mencantikkan skuter idamannya. Walaupun harga skuter V100 di pasaran kini tidak sampai RM3,000 tetapi proses modifikasi dan penambahan aksesori tulen dari Jepun membuatkan sesebuah skuter itu mampu mengheret peminatnya berbelanja besar. Bermula menggunakan skuter pada penghujung 1990-an dengan Suzuki VS125 sebelum menukarnya dengan V100 untuk dijadikan kenderaan kesayangan ,apatah lagi motosikal itu diberikan secara percuma oleh seorang sahabat. Boleh dikatakan skuter jenis V100 ini adalah rare kerana tidak lagi dikeluarkan dan merupakan skuter pertama berada di atas jalan negara. Jadi, aksesorinya juga sukar untuk didapati kecuali membeli daripada rakan-rakan ataupun tempah sendiri di Jepun yang menyebabkan harganya melambung tinggi," katanya. Kini, barangan skuter jenis itu sukar untuk diperolehi dan ada yang sanggup menempahnya dari Jepun untuk menambahkan lagi keistimewaan motosikal masing-masing. 10 tahun dengan skuter SKUTER amat mudah dikendalikan kerana ia digerakkan menggunakan gear automatik. Maksudnya, tidak perlu menukar gear seperti motor lain. Sejak dahulu lagi, kenderaan jenis ini amat popular dan kini saya sendiri mempunyai dua buah motosikal skuter iaitu V100 dan VS125 yang sering digunakan sebagai kenderaan harian. Kenderaan ini telah digunakan selama 10 tahun sejak memiliki VS125 sebelum membeli sebuah lagi motosikal jenama Suzuki. Apa yang unik pada motosikal ini adalah ia tidak lagi dikeluarkan dan ia menjadikan motosikal ini tergolong dalam kategori motosikal lama. Saya berhabis hampir RM6,000 untuk membaik pulih dan modifikasi agar ia memenuhi cita rasa yang saya inginkan. Walaupun ramai yang cakap skuter tidak laju tetapi kalau dibuat dengan betul boleh menambahkan kelajuan dan memasuki pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai organisasi seperti perlumbaan drag dan sebagainya. Bagi mereka yang mempunyai persepsi negatif terhadap penunggang skuter, mungkin boleh mencuba memiliki skuter dan sertai kelab-kelab yang ada. Mungkin persepsi itu akan berubah. Rata-rata mereka yang menggunakan skuter bukan sahaja untuk kegunaan harian, bahkan juga untuk mencari lebih ramai kenalan dengan berkongsi maklumat dan pendapat terhadap kenderaan ini. - MUHAMMAD KHAIRI MUSTAFA |
Everest-Felda selepas setahun berlalu Posted: 24 May 2014 06:51 AM PDT Para pendaki anak-anak Felda bergambar bersama krew sokongan sebelum berlepas ke Nepal untuk menjayakan projek Everest Felda 2013 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). TARIKH 21 Mei dan 23 Mei merupakan tarikh-tarikh keramat bagi tujuh anak muda Malaysia yang berjaya melakar sejarah dalam misi mendaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest. Ditakdirkan tidak dapat menjejakkan kaki pada tarikh yang sama, enam pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) menjejakkan kaki ke 'bumbung dunia' (8,848 meter/29,028 kaki) pada 21 Mei adalah Mohd. Nasuha Shamsuddin, Mohamad Asyraf Mohd. Halim, Muhammad Hafizuddin Ibrahim, Myrza Fasha Md. Hamyrudin serta jurulatih, Zainudin Lot dan Muhammad Illaham Ishak. Seorang lagi pendaki, Siti Hanisah Sharuddin, 24, dari Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan melakar kejayaan dua hari kemudian. Mengenang semula kejayaan tersebut, Mohamad Asyraf, 26, yang kini bertugas di Kota Kinabalu sebagai penganalisis CBM di Petronas Carigali (Sabah) berkata, pendakian ke puncak meninggalkan paling banyak kenangan kerana ia melibatkan soal nyawa. "Kalau di Everest hanya satu yang penting iaitu nyawa. Keupayaan untuk terus melangkah akan menentukan sama ada kita akan survive atau tidak. Justeru, sepanjang pendakian ke puncak, motivasi saya adalah untuk berjaya dan ketika perjalanan turun dari puncak pula, motivasi saya adalah selamat kembali ke base camp dengan jasad yang masih bernyawa," katanya kepada .com. Menurutnya, beliau berdoa agar tidak menerima nasib yang sama seperti beberapa pendaki lain yang menemui ajal di Everest. Selama berada dua bulan di Base Camp Everest (EBC), katanya, hidup terasa susah kerana keadaan yang terhad tanpa keselesaan seperti berada di rumah sendiri. Kekalkan motivasi Justeru, katanya, apa yang perlu dikekalkan adalah motivasi dan kesihatan. "Ketua penunjuk arah (guide), Jamling Bhote selalu cakap kat saya, "there's only certain thing will bring you to the summit, good health and a strong heart." Jadi, kalau nak sihat, makan...,jangan memilih," tambahnya. Selain itu, katanya, istinjak pakai tisu basah untuk membersihkan diri sama ada bersuci daripada najis kecil atau besar mahupun 'mandi' masih kekal dalam ingatan sehingga sekarang. "Perhubungan yang baik antara pendaki dan krew sokongan turut menjadi motivasi. Alhamdulillah, sampai sekarang persahabatan ini masih terjalin," katanya yang menjejakkan kaki di puncak Everest pada pukul 8.48 pagi, 21 Mei 2013. Pendaki sokongan, Mohd Ashaziq Abu Bakar, 23, berkata, peristiwa yang paling tidak dilupakan adalah dua jarinya terkena frostbite sehingga tanggungjawabnya sebagai ketua pasukan terpaksa diserahkan kepada Siti Hanisah, selain status beliau sebagai pendaki utama terpaksa digugurkan. Tempat beliau digantikan oleh Mohd. Nasuha. Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dalam latihan di Gunung Lobuche Timur. Sungguhpun begitu, katanya, beliau tidak patah semangat untuk meneruskan ekspedisi sebagai krew sokongan. "Keputusan digugurkan sebagai pendaki utama disebabkan frostbite dan menjadi krew sokongan amat sukar untuk saya terima. Namun, siapa yang mampu melawan takdir. Saya reda dan akhirnya dapat menerima keputusan itu dengan hati terbuka," katanya yang terus memberi komitmen sepenuh hati untuk menjayakan misi demi negara itu. Dalam pada itu, katanya, pengalaman lain yang tidak boleh dilupakan adalah menghantar berita ke Malaysia hampir setiap hari dengan terpaksa menempuh laluan berais yang semakin mencair ke sebuah puncak bukit. Menurutnya, oleh kerana bukit itu tidak mempunyai nama maka mereka menamakannya sebagai wifi point kerana hanya di puncak bukit itulah, ada liputan talian internet. "Ada sekali itu, saya terpaksa melompat untuk menyeberang sungai yang semakin besar akibat ais yang mencair. Malangnya ketika saya melompat, tebing sungai itu runtuh dan saya terjatuh ke dalamnya sehingga paras lutut. Airnya amat sejuk," tambahnya. Selain itu, katanya, Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) berlangsung ketika mereka berkampung di EBC dan beliau telah diberi tanggungjawab untuk mengemas kini keputusan pilihan raya tersebut. "Saya pernah bermalam di wifi point untuk mendapatkan berita terkini mengenai keputusan PRU-13. Itulah satu-satunya khemah yang didirikan di bukit yang dikelilingi salji. Keesokan paginya, saya kembali ke khemah induk untuk memaklumkan kepada rakan-rakan pendaki mengenainya," katanya. Pendaki paling muda Sementara itu, pelajar semester tiga, Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jengka, Pahang, Mohd Nasuha muncul pendaki paling muda dalam ekspedisi tersebut sekali gus melayakkannya menerima anugerah pendaki Everest termuda daripada Malaysia Book of Records (MBR) pada 30 April 2014 yang lalu. Sijil yang diterimanya tertulis perkataan Youngest to scale Mount Everest iaitu pada usia 21 tahun. Selain itu, beliau turut menerima Anugerah Belia Peringkat Negeri Pahang - Anugerah Khas Daya Juang peringkat Negeri Pahang. Mengulas pengalaman mendaki Everest, katanya, beliau mengalami batuk yang teruk (Khumbu Cough) kira-kira 80 meter sebelum sampai ke puncak. "Saya mula batuk ketika di EBC lagi tetapi semua jenis ubat yang dimakan tidak mampu memulihkan saya. Namun, berbekalkan semangat yang ada dalam diri, semangat rakan-rakan yang menanti kejayaan di EBC, saya memaksa diri walaupun perlu bertarung nyawa sekalipun. "Alhamdulillah berkat doa sahabat-sahabat dan seluruh warga Felda khususnya, saya berjaya sampai ke puncak Everest," katanya. Pengalaman lain yang masih kekal dalam ingatannya adalah ketika pendaki utama kehilangan makanan di Kem 3. Hal itu katanya, sedikit sebanyak mengganggu persiapan pendaki untuk meneruskan pendakian. "Walaupun kehilangan makanan, keesokan harinya sekitar pukul 2 pagi, kami menyambung pendakian ke Kem 4. Sebelum mendaki, kami hanya makan biskut dan segelas air teh. Hakikatnya, makanan itu tidak mampu memberikan tenaga yang cukup untuk ke puncak. "Namun, kami tidak ada pilihan. Begitu juga ketika kami ingin meneruskan pendakian dari Kem 4 ke puncak, kami hanya minum segelas air teh untuk mendaki bagi tempoh 13 jam setengah dan turun semula sekitar enam hingga tujuh jam. "Berbekalkan semangat dan azam yang tinggi serta pertolongan daripada Allah SWT, kami berjaya sampai ke puncak dan turun semula ke Kem 4," katanya yang juga tidak dapat melupakan pengalaman terjumpa mayat pendaki dalam keadaan menggerikan. Mohd Nasuha berkata, beliau hanya menemui kepala pendaki tanpa badan dalam perjalanan turun ke Kem 4. "Saya masih terbayangkan kepala pendaki malang itu sehingga hari ini," ujarnya yang tiba di puncak Everest pada pukul 8.31 pagi, 21 Mei 2013. Mengenai semangat, katanya ia masih membara sehingga hari ini dan jika ingin diceritakan lagi, ia mampu membuatkan dirinya menitiskan air mata. "Ya...Gunung Everest banyak mengajar dan memberikan semangat untuk saya terus belajar demi menggenggam segulung ijazah. Apabila saya berada pada sesuatu situasi yang saya sendiri tidak mampu mengharunginya, saya akan ingat kembali saat-saat pendakian saya pada tahun lalu dan ia menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan usaha. Ketua Pendaki Everest Felda 2013, Siti Hanisah Sharuddin berdiri di laluan South Summit sebelum berjaya menawan puncak Everest tepat pukul 7.41 pagi waktu Nepal pada 23 Mei 2013. Kuatkan semangat Muhammad Hafizuddin, 23, pula berkata, beliau mempunyai banyak pengalaman yang tidak boleh dilupakan, antaranya ketika mendaki ke Kem 2 yang mana angin begitu kuat dengan sekeliling ditutupi awan yang memutih. Katanya, angin kuat dari arah tepi telah menerbangkan salji ke atas dan setiap kali angin kuat itu datang, beliau terpaksa memusingkan badan dengan membelakangkan arah angin supaya salji yang diterbangkan itu tidak masuk ke dalam jaketnya. "Jarak penglihatan lebih kurang 10 meter sahaja. Waktu itu terasa macam cuaca teruk sangat. Saya kuatkan semangat dan terus berjalan sehingga sampai ke Kem 2," katanya. Seperti rakan pendaki yang lain, beliau turut membawa semangat Everest dalam kehidupan seharian. Sebagai pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik (semester tujuh). UiTM Shah Alam, katanya, pengalaman sepanjang ekspedisi Everest banyak mengajarnya tentang kehidupan. "Perjalanan hidup tidak sentiasa lancar dan kadangkala ada rintangan yang mana kesemua itu membuatkan saya berfikir bahawa ada orang lain yang lebih berat lagi menanggung beban kehidupan. "Kalau nak dibandingkan masalah kita, boleh kata macam tak ada pun, ... kecil saja. Tapi kalau teruskan juga perjuangan walaupun dalam keadaan susah dan perlahan, akhirnya akan berjaya juga sampai ke destinasi," ujarnya yang sampai di puncak Everest pada pukul 9.11 pagi. Dalam pada itu, Myrza Fasha, 26, memberitahu kenangan yang tidak dapat dilupakannya adalah terpaksa menahan lapar dan dahaga ketika menghampiri puncak. Menurutnya, bekalan makanan tidak mencukupi kerana makanan mereka dicuri di Kem 3, selain beliau menghadapi masalah untuk membuka thermos. "Kami mendaki dalam suhu sejuk ekstrem, jadi kami terpaksa membuka mitten (sarung tangan khas) apabila mahu menukar juma dan carabina (kedua-duanya peralatan yang disambung pada tali) untuk keselamatan," katanya yang juga berhadapan dengan mayat bergelimpangan ketika menuju ke puncak. Menganggap nyawa seperti di hujung tanduk, Myrza yang sampai di puncak pada pukul 11 pagi menegaskan kesilapan yang sedikit boleh membuatkan nyawa melayang. Terasa sesak nafas "Setelah berjaya mendaki ke puncak dan sampai di Kem 4 pada pukul 5.45 petang, saya terus tertidur. Saya kemudian terjaga kerana terasa sesak nafas (seperti berlari pecut 200 meter). Apabila diperiksa meter tangki oksigen, rupa-rupanya paras oksigen hampir kosong iaitu 02, angka yang terlampau tipis di Kem 4. "Alhamdulillah dengan pertolongan-Nya, saya berjaya mengharungi masalah itu," katanya yang terharu diberikan kesempatan untuk menggapai puncak Everest walaupun memiliki saiz tubuh yang kecil. Ekspedisi yang dikenali Demi Negara Everest Felda 2013 ini dianjurkan oleh KE7B dan mendapat sokongan dan tajaan daripada Felda, Felda Global Ventures Holdings Bhd. serta Majlis Belia Felda Malaysia. Lima daripada tujuh pendaki terbabit adalah anak-anak kelahiran Felda dari seluruh negara. - ROHANA MAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan