Sabtu, 17 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


MH370: Pengajaran paling bernilai

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

Hishammuddin Tun Hussein lebih senang berkomunikasi dengan media tempatan.

SIDANG akhbar mengenai MH370 kelmarin sedikit lain daripada kebiasaan kerana dihadiri oleh hanya wakil media tempatan yang dijemput khas.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir untuk bercakap dengan media-media yang dijemput di sebuah hotel di ibu negara dengan ditemani oleh rakan-rakan Kabinet yang berada bersamanya sejak insiden MH370 berlaku dua bulan lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Hishammuddin yang kelihatan ceria menyapa ramah para wartawan yang hadir ke sidang akhbar khas itu dan menyatakan dalam pertemuan kali ini beliau mahu berkongsi pengalaman dan perjalanan Malaysia dalam menghadapi tragedi yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah penerbangan dunia sekalipun.

Mungkin sikap media antarabangsa yang gemar melontar soalan-soalan bersifat propaganda membuatkan Hishammuddin lebih selesa berkongsi dalam slot istimewa ini mengenai MH370 bersama media tempatan sahaja.

Setelah lebih 70 hari, kehilangan MH370 masih diselubungi misteri yang sukar dirungkai memandangkan tiada secebis bukti pun ditemui di kawasan pencarian di Lautan Hindi.

Yang lebih terkesan dengan kehilangan MH370 ini pastilah ahli keluarga penumpang dan krew pesawat.

Bagi Hishammuddin, beliau sendiri mengakui bahawa perkara paling sukar untuk dihadapinya mewakili kerajaan dan juga oleh Malaysia Airlines (MAS) ialah mendekati ahli keluarga terlibat.

Tidak mudah untuk menenangkan ahli keluarga yang berbeza latar belakang, budaya dan agama daripada 14 buah negara namun ia harus dilakukan oleh kerajaan dan MAS.

"Kita tidak boleh lari daripada realiti bahawa menangani kesedihan dalam kalangan ahli keluarga tidak kira apa juga latar belakang dan kaum mereka, ia adalah sesuatu yang begitu sukar. Cara mereka menghadapi kesedihan berbeza-beza, jadi ini menjadi satu pengajaran buat kita dan boleh diperbaiki," katanya.

Ujarnya, kejayaan dalam usaha kerajaan menangani kes MH370 tidak sepenuhnya terletak pada pencarian pesawat itu semata-mata sebaliknya turut bergantung kepada bagaimana kerajaan dan pihak berkaitan mengambil pendekatan menguruskan keluarga penumpang dan krew MH370.

Bagaimanapun, setelah dua bulan berlalu, boleh dikatakan emosi keluarga terbabit kini sudah terkawal dan lebih tenang selain dapat menerima apa yang berlaku.

Apa yang penting bagi kerajaan ketika ini ialah kebajikan ahli keluarga penumpang dan kru harus terjaga dan memastikan mereka benar-benar berpuas hati dengan maklumat rasmi dan sahih yang disalurkan pihaknya dari semasa ke semasa selain bantuan lain yang disalurkan terutama oleh MAS.

Kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan ahli keluarga penumpang dan kru MH370 mungkin sedikit-sebanyak memberi harapan dan keyakinan untuk mereka berhadapan dengan situasi ini.

Sudah pasti apa yang dilalui ahli keluarga terbabit sama sukarnya seperti apa yang ditanggung oleh kerajaan dan MAS.

Pada Hishammuddin sendiri, beliau menyifatkan insiden MH370 benar-benar membuka mata dan memberi pengajaran yang berharga kepada Malaysia dalam banyak sudut.

Malah, katanya, seluruh dunia juga belajar daripada insiden itu dan pastinya banyak perkara yang bakal berubah ekoran peristiwa yang tidak pernah berlaku di mana-mana itu.

Sebelum ini pun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak industri penerbangan global termasuk pemain industri tempatan mempelajari dan bertindak berdasarkan pengajaran penting daripada tragedi kehilangan pesawat MH370.

Najib turut menggariskan beberapa perkara yang perlu diambil kira atau dinilai semula termasuk sistem masa nyata mengesan pesawat, jangka hayat isyarat ping, keupayaan kotak hitam merekod perbualan kokpit dan pemancar pengesan kecemasan pesawat.

Paling penting syarikat pengeluar pesawat MH370, Boeing sudah pasti lebih mahu mengetahui apa yang berlaku terhadap pesawat buatan mereka melalui tragedi ini.

Oleh kerana itu, Boeing sebelum ini juga pernah menyatakan ikrar dan komitmen untuk turut serta dan menyokong usaha mencari secara berkesan dan efisien bagi meningkatkan pengesanan kapal terbang di seluruh dunia.

"Apa yang kita lalui hari ini, seluruh dunia hendak tahu. Malah, kawasan Lautan Hindi titik terakhir MH370 dikesan, tidak pernah dikaji dan apabila berlaku, ini adalah pertama dalam sejarah manusia. Maknanya apa yang kita lalui ini bernilai kepada dunia juga," kata Hishammuddin.

Walaupun menyifatkan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah tahun lalu sebagai peristiwa yang 10 kali ganda lebih sukar berbanding MH370, Hishammuddin berkata, Malaysia begitu bernasib baik apabila begitu banyak negara tampil menghulurkan bantuan mencari pesawat berkenaan.

Pengalaman

Insiden MH370 mematangkan beliau secara peribadi selain memberi banyak pengalaman terutama untuk berhadapan dengan pelbagai spekulasi, tuduhan segenap sudut terhadap kerajaan serta menangani emosi keluarga penumpang.

"Walau apa juga yang dihadapi, saya bangga kerana kita sehingga kini masih tidak tersasar daripada fokus sebenar iaitu mencari MH370 sehingga ditemukan. Apa pun, MH370 menjadi tugas saya, jadi saya tidak boleh lari daripada tanggungjawab itu. Saya ada rakan-rakan untuk tolong. Ini insiden negara tidak boleh diuruskan oleh seorang sahaja. Sebab itu kita perlu menyedari apa yang sudah kita capai terutama untuk koordinasi pergerakan mencari dan menyelamat bersama negara-negara lain, tidak banyak negara yang boleh buat," katanya.

Persoalan kos pencarian yang ditanggung oleh negara-negara terlibat terutama Australia pula tidak pernah dibangkitkan oleh mereka sehingga setakat bermulanya fasa kedua pencarian MH370 baru-baru ini.

Malaysia juga tidak pernah melatah dengan insiden ini lebih-lebih lagi apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai tohmahan, dakwaan dan tuduhan pihak-pihak tertentu berhubung kehilangan pesawat itu.

"Selama ini kita tidak melatah, konsisten dan setakat mana kita mampu kita bersikap telus selain mampu mewujudkan jambatan di dalam dunia yang penuh kebencian, spekulasi media sosial, itu semua kita hadapi setakat yang termampu dan saya rasa banyak tuduhan pihak tertentu yang langsung tidak menggambarkan realiti sebaliknya mahu keruhkan keadaan, saya lihat setakat ini tidak berjaya," katanya.

Jika benar kehilangan MH370 adalah konspirasi, masakan Australia yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan China yang merupakan musuh ketat AS boleh bertemu dan menjalinkan hubungan trilateral untuk melaksanakan fasa pencarian terbaharu MH370.

Jelas Hishammuddin, penglibatan itu sekali gus menafikan wujud pertimbangan geopolitik dan apa-apa konspirasi yang tersebar luas sepanjang insiden MH370.

Ketika ditanya pihak mana yang seharusnya dipertanggungjawabkan dalam insiden yang berlaku ini, Hishammuddin tegas menyatakan tiada pihak yang boleh dipersalahkan dalam hal itu sehingga kini.

Selagi tiada sebarang bukti dan punca sebenarnya menyebabkan kehilangan MH370, sudah tentu sukar bagi sesiapa juga untuk menyatakan pihak mana yang perlu dipersalahkan atau mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

"Ini adalah satu insiden yang unprecedented (tidak pernah berlaku) sebab itu kita kena cari kebenarannya. Kita tiada apa yang hendak disorokkan. Kita dapatkan pakar-pakar terbaik dunia, AAIB, NTSB, CAAC. Jika bercakap soal inteligen, ada MI6, FBI, CIA. Pihak tentera Amerika Syarikat (AS), China juga terlibat secara langsung, jadi pada dasarnya untuk bercakap soal tanggungjawab sesuatu yang masih tidak diketahui adalah sesuatu yang tidak matang," katanya.

Malah untuk menyamakan insiden MH370 dengan tragedi feri karam di Korea Selatan yang mengorbankan 187 nyawa dan pada akhirnya menyaksikan Perdana Menteri negara itu, Chung Hong-Won meletakkan jawatan akibat kegagalannya menangani masalah tersebut juga adalah sesuatu yang tidak wajar.

Pokok pangkalnya, situasi yang dihadapi Malaysia adalah bersifat global di mana pelbagai pihak terlibat untuk mencari punca, penyelesaian dan menemukan MH370 dan negara ini bertuah kerana tidak bersendirian dalam menghadapinya.

Momentum dalam usaha pencarian tidak akan pernah menurun dan akan diteruskan walau apa juga rintangan dan cabaran yang menanti kerana untuk mengetahui apa yang berlaku terhadap MH370 dari waktu terakhir ia dapat dikesan adalah amat penting bagi Malaysia malah dunia.

Jika hendak dilayan segala spekulasi dan teori konspirasi yang timbul termasuk MH370 diculik makhluk asing dan propaganda pihak tertentu yang hanya mahu mengambil kesempatan terhadap Malaysia, tentunya sukar untuk semua pihak menyelesaikan kes ini dan bergerak ke hadapan.

Sehingga setakat ini, Malaysia harus berbangga kerana dapat menangani isu MH370 dengan baik malahan berupaya merapatkan hubungan melalui kerjasama dengan lebih 20 negara dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 sejak dua bulan lalu.

PENULIS ialah wartawan Mingguan Malaysia.

Wajah politik baharu Perak

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

TANGGAL 7 Mei lepas, genap setahun Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilantik menjadi Menteri Besar setelah membuktikan kemampuannya mengungguli politik negeri itu dengan meraih kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Namun hakikatnya sebelum itu hampir lima tahun Perak di bawah kepimpinan beliau, pelbagai kemajuan dan kejayaan membanggakan berjaya diraih sekali gus membolehkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal menerajui negeri itu. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, HAFIZAHRIL HAMID, SAYED HESHAM IDRIS dan SYUKRI SHAARI beliau menjelaskan, "tugas saya sebagai seorang pemimpin bukan hanya memahami kehendak satu kaum dengan meninggalkan kehendak kaum-kaum yang lain serta apakah saya akan menafikan kehendak dan perasaan orang Melayu yang mempunyai komposisi yang lebih besar di negeri ini tetapi dalam masa yang sama hanya perlu melihat kelompok tertentu sahaja.

Mingguan: Bagaimana Datuk Seri memperlihatkan kejayaan membangunkan negeri ini supaya difahami oleh rakyat?

ZAMBRY: Saya melihat bagaimana cara kita menguar-uarkan apa yang telah kita lakukan selama ini. Saya mengakui bahawa mungkin dari segi kelemahan adalah tidak begitu pandai mempakej serta menguar-uarkan kepada rakyat kejayaan dan apa yang telah dilakukan selama ini. Bagi saya dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) kami lebih menekankan dari sudut memberi perkhidmatan terbaik tanpa memikirkan bagaimana untuk memberitahu kepada umum.

Ini menyebabkan orang tidak melihat perkara ini malah ada ahli pembangkang yang mempersoalkan setelah 50 tahun memegang negeri apa yang telah dilakukan. Walhal dia lupa sebelum ini pergi belajar di England pun melalui biasiswa yang disediakan kerajaan melalui dasar-dasar oleh BN. Oleh itu apa yang perlu dilakukan ialah memperbanyakkan lagi usaha menerangkan kepada rakyat.

Selain itu kami perlu menunjukkan kepada rakyat, kerajaan negeri membantu semua golongan masyarakat tanpa ada sesiapa pun tersisih. Kami sememangnya lebih tertumpu kepada isu-isu yang dekat dengan rakyat seperti soal kemiskinan dan persekolahan. Itu belum lagi kejayaan pembangunan ekonomi dan fizikal seperti pelbagai bangunan baharu yang telah dibina di Ipoh hari ini.

Antara perkara yang Datuk Seri lakukan ialah turun padang berjumpa dan menyelami masalah rakyat. Apakah perkara ini akan diteruskan?

ZAMBRY: Pendekatan yang dilakukan ini telah memberi impak yang besar dalam menyelami hati nurani rakyat. Namun dalam masa yang sama ia lebih tertumpu kepada seorang individu iaitu saya sendiri. Tetapi apa yang paling penting sebenarnya saya tidak gemar terlalu tertumpu begitu dan lebih gemar menjadikan diri saya sebagai ketua bagi satu pasukan yang mantap dan efektif.

Oleh sebab itu program turun padang kali ini akan bertukar dan lebih berkisar kepada kesemua ahli exco dan wakil rakyat yang mempunyai keupayaan dan latar belakang yang baik dan bukan lagi tertumpu kepada seorang individu. Saya yakin melalui pendekatan ini insya-Allah kesan akan lebih baik dan berkesan. Satu perkara lagi adalah dari sudut pengupayaan terhadap exco-exco yang dilantik kerana mereka bagaikan seorang menteri di negeri ini. Dengan bidang kuasa atau portfolio yang dimiliki saya melihat mereka boleh melakukan tugas dan tumpuan kepada rakyat dengan lebih sempurna lagi. Insya-Allah dengan strategi yang dirancang ini serta keupayaan para exco, saya mahu melihat lebih ramai yang menyertai saya turun padang berjumpa rakyat.

Apakah selepas ini program turun padang ini meliputi semua kawasan atau lebih tertumpu di kawasan yang dimenangi BN?

ZAMBRY: Saya mahu memberitahu adalah tidak adil menafikan penyokong-penyokong kami yang memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada BN. Namun dalam masa yang sama juga kawasan lain tidak akan diabaikan terutama dalam isu seperti kemiskinan, soal pendidikan dan sebagainya kerana mereka adalah rakyat negeri Perak. Namun dari segi keutamaan adalah penting untuk kita aturkan. Ada yang menyatakan supaya kelebihan diberikan kepada mereka yang tidak menyokong BN namun saya melihat dari segi keutamaan adalah memberi penghargaan kepada penyokong kita. Ini kerana kita perlu menghormati kepercayaan yang telah diberikan kepada kepimpinan. Namun pada masa yang sama tugas untuk membangunkan negeri Perak dan membantu segenap lapisan masyarakat tidak akan diabaikan.

Masalah yang Datuk Seri hadapi ialah perpecahan antara orang Melayu serta sokongan yang semakin mengecil daripada kaum Cina. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini dalam tempoh lima tahun lagi?

ZAMBRY: Saya melihat perkara ini secara jujur terutama dalam ribut politik yang berterusan serta kencangnya angin secara berterusan dan adakalanya taufan pun membadai landskap negeri ini, ia berterusan mewujudkan suasana polarisasi yang tidak sihat. Adalah amat malang di sebuah negara yang berteraskan demokrasi masih melihat asakan dan perseteruan politik yang berterusan. Ini menyebabkan keresahan semua pihak yang mana kalau tidak dibendung, tidak membawa kebaikan dan apa-apa makna kepada negara. Dalam konteks negeri Perak pula, saya pernah bertanya kepada rakan-rakan pembangkang ke mana haluan politik Malaysia? Apakah kita akan membawa haluan ini berteraskan permainan yang sama. Walaupun ada yang mengatakan tidak berjuang atas nama parti perkauman tetapi akhirnya kita dapat lihat kecenderungan ini dalam keputusan pilihan raya. Trend ini juga tidak dinafikan berlaku di negeri ini ditambah pula dengan masalah yang berlaku dalam kalangan orang Melayu. Namun apa yang saya mahu tekankan di sini dalam konteks negeri Perak, salah satu faktor kemenangan adalah melalui sokongan di kawasan-kawasan majoriti Melayu dan India tanpa kita menafikan ada juga kaum Cina yang memberi sokongan di kawasan-kawasan itu.

Tidak banyak perubahan melibatkan sokongan kaum Cina di Perak, seolah-olah mereka tidak melihat apa yang telah kerajaan negeri lakukan sejak lima tahun lepas?

ZAMBRY: Saya tidak boleh mengatakan tidak ada penghargaan daripada kaum Cina malah mereka mengakui perubahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebagai contoh pertumbuhan ekonomi di Perak sekarang ini. Cuma apa yang mereka mahukan adalah berdasarkan daripada pengalaman sebahagian mereka yang mahukan kerajaan negeri dipimpin oleh satu-satu parti dan ada pula yang mempersoalkan ketelusan yang lebih.

Bagi saya adalah sukar untuk dinyatakan apa sebenarnya yang dimahukan mereka tetapi kita perlu melihat beberapa aspek lain apa yang dimahukan mereka. Namun menjadi prinsip kerajaan negeri bahawa tidak ada kelebihan diberikan kepada satu-satu kaum. Kalau mahu diukur kepada hanya kemahuan satu kaum sahaja sudah tentu tidak adil untuk mengikut kemahuan mereka sahaja kerana dalam konteks negeri Perak, kita mempunyai bilangan penduduk yang sangat representatif dan secara umumnya seperti mana kedudukan kaum di Malaysia, begitu juga keadaannya di negeri ini.

Jadi tugas saya sebagai seorang pemimpin bukan hanya memahami kehendak satu kaum dengan meninggalkan kehendak kaum-kaum yang lain serta apakah saya akan menafikan kehendak dan perasaan orang Melayu yang mempunyai komposisi yang lebih besar di negeri ini tetapi dalam masa yang sama hanya perlu melihat kelompok tertentu sahaja. Kita juga jangan lupa bilangan Orang Asli yang ada di negeri Perak. Oleh itu tugas saya sebagai Menteri Besar adalah untuk menyeimbangkan dan memenuhi kehendak-kehendak mereka ini secara saksama tanpa menyisihkan mana-mana kumpulan.

Prestasi parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan agak kurang memberangsangkan. Mungkin Datuk Seri ada percaturan sendiri dalam meningkatkan prestasi dan kemampuan sebelum pilihan raya akan datang?

ZAMBRY: Secara jujur saya telah memberitahu kepada rakan-rakan pimpinan saya bahawa mereka perlu keluar daripada amalan-amalan yang bersifat konvensional kerana kita berada dalam dunia dan cabaran yang baru. Saya bernasib baik kerana dua orang pemimpin MCA dan Gerakan adalah sezaman dengan saya ketika bersama-sama dalam Pemuda BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Mah See Keong. Apa yang saya mahu tekankan di sini adalah apa yang perlu mereka lakukan. Dengan melihat dalam konteks politik hari ini yang bukan disandarkan kepada isu-isu soal survival atau hak satu-satu kaum. Kita mahukan parti-parti ini benar-benar berwajah baru dan lebih dinamik sifatnya.

Saya yakin dengan kepimpinan dua pemimpin ini yang saya lihat mampu mengerakkan parti ini ke arah lebih baik. Saya ada berbincang dengan mereka sama ada secara langsung atau tidak, seharusnya tidak wujud jalan kedua atau ketiga bagi mereka kerana ini adalah soal survival dan masa depan parti itu sendiri. Untuk bertahan lebih lama perlu ada keberanian baru iaitu memaparkan wajah politik baru yang akan meyakinkan generasi baru di negeri ini khususnya dalam konteks masyarakat Cina. Kita tidak boleh bermain dengan sentimen atau isu-isu semata-mata tetapi pada asas politik yang lebih mempunyai kekuatan pemikiran untuk masa depan Malaysia yang lebih baik dan gemilang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved