Utusan Online - Kota |
Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT Oleh THOMAS CHONG Beberapa anggota bomba memeriksa kebocoran gas di bangunan MASKargo di Sepang semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF SEPANG 16 Mei - Pekerja di bangunan MASkargo berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini panik selepas berlaku kebocoran gas di sebuah bilik di premis tersebut. Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang hari ini, kebocoran gas dikesan ketika pihak kontraktor sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di sebuah bilik server di bangunan tersebut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Yahya Mohd. Sham berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.17 petang. Katanya, berikutan itu, dua jentera bomba termasuk sebuah dari Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah dikerahkan ke tempat kejadian. "Seramai 250 orang yang berada di bangunan itu diarahkan keluar bagi mengelak perkara tidak diingini. "Dalam masa yang sama, pihak bomba telah berusaha membersih dan memastikan bangunan itu bebas daripada sisa gas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini. Ujarnya, gas yang bocor itu tidak membahayakan dan pihak bomba berjaya memulihkan keadaan tidak lama kemudian. "Bangunan tersebut akhirnya dibuka semula pada pukul 5 petang," katanya. |
Pemilik premis nafi dakwaan curi air Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT KUALA LUMPUR 16 Mei - Pemilik sebuah premis di Taman Dato Senu, Sentul menafikan pihaknya melakukan penyambungan paip air haram seperti yang didakwa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) semalam. Pemilik Rumah Tamu Datin Halijah, Ahmad Fizal Azrat Gull, 38, berkata, beliau kesal dengan tindakan Syabas yang didakwa menceroboh premisnya ketika serbuan dilakukan. Katanya, beliau tidak menerima sebarang notis atau panggilan telefon daripada Syabas dan hanya menyedari perkara tersebut apabila pulang ke kediaman yang dijadikan rumah tamu pada pukul 1.45 petang. Ujarnya, ketika itu terdapat kira-kira 30 pekerja Syabas termasuk yang sedang mengorek lantai di dalam kawasan rumahnya. "Sambungan meter yang ditemui bukan milik saya tetapi telah ada sebelum saya memiliki tanah ini lagi. Meter premis ini ada dipasang di bahagian luar rumah tamu. "Tindakan Syabas dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membawa pihak media dan mengatakan premis ini terbabit dengan kegiatan mencuri air telah menjejaskan imej rumah tamu ini yang sering digunakan untuk majlis keraian," katanya di sini, hari ini. Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Syabas dan SPAN menyerbu premis tersebut selepas menerima maklumat mengenai kegiatan mencuri air sejak hampir dua tahun lalu. Menurut Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred, semakan menunjukkan premis itu tidak mempunyai meter air sah yang berdaftar dengan mereka, sekali gus menyebabkan kerugian air terawat kira-kira 68,300 meter padu atau anggaran berjumlah RM156,000. Sementara itu, Ahmad Fizal berkata, beliau kesal dengan dakwaan pihaknya membuat sambungan paip haram dari meter air seperti yang didakwa Syabas. "Saya terpaksa menanggung malu serta mengalami kerugian akibat lantai dipecah tanpa membuat sebarang pembaikan. "Tempahan majlis yang saya anjurkan juga akan dibatalkan serta orang ramai akan memandang rendah terhadap saya kerana didakwa berniaga dengan mencuri air," katanya. Dakwanya, Syabas telah mengambil tindakan yang terburu-buru tanpa memaklumkannya terlebih dahulu mengenai perkara tersebut. "Insiden tersebut jelas menunjukkan bahawa Syabas tidak mengikut undang-undang apabila menceroboh kawasan premis saya," katanya. Ujarnya, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu di Balai Polis Sentul semalam. Sementara itu, Priscilla ketika dihubungi memaklumkan bahawa Syabas akan meneliti dakwaan pemilik premis berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. |
MPK kutip cukai dari pintu ke pintu Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT KUALA LUMPUR 16 Mei - Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengadakan kutipan cukai dari pintu ke pintu akhir bulan ini bagi memastikan orang ramai menjelaskan cukai taksiran. Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan MPK, Zaireezal Ahmad Zainudin berkata, sekiranya bayaran tidak dijelaskan, pihak majlis akan mengenakan tindakan selanjutnya seperti pelaksanaan Borang F (Borang Tahanan Sitaan) dan Borang H (Tindakan Tanah dan Bangunan Kosong). "Tindakan perundangan juga akan dilaksanakan selaras dengan Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Katanya, MPK akan menggiatkan tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik harta bertingkat (strata) dengan kerjasama Badan Pengurusan Bersama di kawasan yang akan ditentukan nanti. Ujarnya, pemilik harta juga akan menerima Bil Cukai Taksiran Penggal 2/2004 mulai 26 Mei. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan