Utusan Online - Johor |
Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM ANGGOTA Pasukan Polis Marin Wilayah 2 mengawal pendatang asing tanpa izin yang ditangkap dalam Op Pensura di Teluk Ramunia, Johor, semalam. - IHSAN POLIS MARIN WILAYAH 2 JOHOR BAHRU 16 Mei - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menahan seramai 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Pensura yang dijalankan di perairan Pantai Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Kota Tinggi hari ini. Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 1 pagi melibatkan lapan anggota dan menggunakan dua buah bot tunda itu telah menahan sebuah bot laju yang cuba menyeludup PATI keluar dari perairan negara. "Bertindak di atas maklumat, anggota kami berjaya mengesan dan menahan sebuah bot berkuasa tinggi yang menggunakan empat buah enjin sangkut bagi membawa 131 PATI pulang ke Indonesia. Turut ditahan seorang tekong laut dan dua pembantu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Menurut Khon Chiang, sejak awal tahun ini, PPM telah menahan seramai 636 PATI yang diseludup keluar dan masuk ke negara dalam 28 operasi yang dijalankan sepanjang tahun ini. Ujarnya, pihaknya akan memperhebatkan operasi dari semasa ke semasa bagi menjaga dan memastikan perairan negara tidak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab. "Berdasarkan pengalaman lalu, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin banyak kegiatan menyeludup PATI pulang ke negara asal. Oleh itu, kita akan lebih bersedia dalam tempoh tersebut bagi menahan mereka ini," katanya. Khon Chiang berkata, kesemua PATI dan tekong laut yang telah ditangkap dibawa ke Balai Polis Pengerang, Kota Tinggi untuk siasatan lanjut. Menurutnya, tekong dan pembantunya akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Penyeludupan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 sementara PATI akan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 kerana masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan. Tambah Khon Chiang, mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. |
Kakitangan awam tenaga penting jayakan pembangunan Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT Ir.Hasni Mohammad (kanan) menyampaikan cenderamata kepada bakal pesara sempena Mesyuarat Agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Cawangan Pontian di Tanjung Piai Resort dekat Pontian, kelmarin. PONTIAN 16 Mei - Kakitangan awam di semua peringkat merupakan tenaga penting bagi menjayakan segala program pembangunan yang dirancang oleh kerajaan termasuk di sekolah. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sebagai penjawat awam, mereka diharap dapat menjalankan tugas yang diberikan dengan jujur dan amanah mengikut bidang masing-masing. Menurutnya, sistem penyampaian awam yang berkesan menjadi elemen penting bagi memastikan mereka dapat memahami setiap dasar yang diperkenalkan oleh jabatan dan agensi kerajaan serta diharap dapat memberikan bantuan dengan mesra dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat. "Jika mereka dapat menjalankan tugas dengan baik, situasi itu dapat menepis tanggapan mana-mana pihak bahawa kakitangan awam di negara ini gagal menjalankan tugas mereka seperti yang diharapkan oleh rakyat," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan) Cawangan Pontian di Tanjung Piai Resort dekat sini semalam. Yang turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Zaidi Ahmad dan Pengerusi Keptan Cawangan Pontian, Zainal Abidin Md. Zin. Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, setiap agenda pembangunan yang dirancang mempunyai matlamat bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat, termasuk pembinaan bangunan sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi memberikan keselesaan kepada para pelajar. "Bukan sahaja pelajar, ibu bapa juga menaruh keyakinan dengan ada kemudahan yang lebih baik dan sempurna, anak-anak mereka dapat memperoleh keputusan yang baik termasuk di kawasan luar bandar," katanya sambil berharap kakitangan awam di negeri ini dapat mengikuti perkembangan yang berlaku masa kini termasuk pelaksanaan beberapa projek mega seperti di Pengerang, Iskandar Malaysia dan Tanjung Bin di sini. Beliau berkata, dengan adanya maklumat tersebut mereka dapat menyampaikan sesuatu kepada orang ramai terutama tentang penggunaan tenaga kerja berteraskan kemahiran seperti di Projek Pembangunan Bersepadu Penapis Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang. Justeru, Hasni meminta kakitangan awam supaya terus berusaha meningkatkan kemahiran diri agar dapat memenuhi keperluan ke arah negara berasaskan teknologi dan negara maju pada 2020. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan