Utusan Online - Utara |
- JPN sedia
- Jagalah tutur kata, jangan singgung orang lain - Raja Muda Perlis
- Perigi bawah tanah bantu pengairan jika kemarau panjang
Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI Azlan Man Menteri Besar Perlis KANGAR 29 April - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah menyediakan blue print dalam usaha meningkatkan prestasi pendidikan, khususnya pencapaian murid dalam peperiksaan awam pada setiap tahun. Menteri Besar, Azlan Man berkata, bagi tahun 2014, JPN Perlis merangka perancangan yang dipanggil Perlis Top 5 dengan menyasarkan matlamat untuk menjadikan Perlis antara kedudukan lima negeri terbaik dalam pencapaian peperiksaan awam di negara ini. Bagi merealisasikan hasrat ini, beberapa program telah dirancang dan mula dilaksanakan seperti Program Pengarah Turun Padang untuk bertemu lebih dekat dengan warga pendidik bagi menyampaikan hala tuju dan hasrat JPN negeri untuk mencapai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Program ini melibatkan 4,772 guru merangkumi sekolah rendah di lapan Pusat Kecemerlangan Pendidikan (PKP) dan sekolah menengah di empat zon," kata beliau menjawab soalan Mohd. Shukri Ramli (Pas-Sanglang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini. Selain itu, kata beliau, Dialog Prestasi merupakan kesinambungan program yang dianjurkan di peringkat Kementerian Pendidikan, merupakan satu forum untuk menyemak prestasi berdasarkan fakta dan data sebelum tindakan dilaksanakan oleh JPN dan sekolah. Program Permata pula memberi fokus membantu sekolah rendah dan menengah yang berada dalam kategori sekolah berprestasi rendah berdasarkan pencapaian sekolah. Program ini bertujuan memberi khidmat bantu kepada sekolah untuk meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan awam," katanya. Azlan menjelaskan, program berkenaan melibatkan 14 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah di Perlis, masing-masing di bawah tanggungjawab dua pegawai JPN. Menurut beliau, bagi Program Sekolah Angkat (PROSAPs), ia berkonsepkan khidmat bantu dan bimbingan kepada sekolah secara memberi khidmat nasihat, membimbing, memantau dan menilai kurikulum sekolah supaya diurus dengan berkesan, cekap serta produktif. Selain itu, kata beliau, dua lagi program iaitu Pemantauan dan Pencerapan serta 8 Inisiatif Think Tank dijalankan bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sekolah serta membentuk pasukan pemikir dalam kalangan ketua sektor, pengetua/guru besar cemerlang, guru cemerlang dan ketua unit bagi membangun dan memantapkan keupayaan warga pendidik. |
Jagalah tutur kata, jangan singgung orang lain - Raja Muda Perlis Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail KANGAR 29 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tiada keseimbangan dalam aspek keperibadian pelajar sekiranya kecemerlangan mereka hanya dinilai melalui pencapaian akademik semata-mata. Baginda bertitah, komunikasi juga merupakan aspek keperibadian yang perlu dilihat dan ditekankan kepada pelajar selain membudayakan diri dengan bercakap serta berinteraksi secara menggunakan perkataan baik dan sopan tanpa menyinggung perasaan orang lain. Tidak dinafikan sesetengah pelajar lebih suka untuk bercakap atau berkata-kata tanpa memikirkan sebarang kesan daripada percakapan itu sama ada ia boleh menyinggung perasaan orang lain atau tidak. Oleh itu, pelajar perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni supaya mereka dapat membudayakan cara berkomunikasi yang lebih beradab dan berkesan," titah baginda. Baginda bertitah demikian sempena Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan, Hari Kokurikulum, Hari Terbuka Asrama dan Hari Tunas Usahawan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman 2014, di sini hari ini. Menurut baginda, penggunaan intonasi suara, bahasa tubuh atau body language dan bahasa yang bersesuaian dan menghindari daripada menggunakan perkataan kesat atau tidak manis hendaklah dijadikan etika ketika berkomunikasi bagi mencerminkan keperibadian. Pelajar perlulah menyesuaikan nada bicara mereka, contohnya apabila berkomunikasi dengan orang yang lebih tua, perlulah memilih perkataan menggambarkan kehalusan budi bahasa seiring adat ketimuran," saran baginda. Bagaimanapun, titah Tuanku Syed Faizuddin, tidak dapat dinafikan bahawa kaedah paling berkesan untuk memupuk budaya komunikasi yang baik adalah bermula di rumah dengan ibu bapa perlu menerapkan pegangan agama dalam diri anak-anak. Begitu juga dengan guru-guru, jadikanlah diri ibu bapa serta guru sebagai model contoh kepada pelajar dengan memaparkan sahsiah diri yang beradab sopan," titah baginda. Justeru, titah baginda, ia dengan sendirinya akan dipraktikkan oleh anak-anak atau pelajar sama ada di sekolah mahupun di mana sahaja. |
Perigi bawah tanah bantu pengairan jika kemarau panjang Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT KANGAR 29 April - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini diberitahu bahawa terdapat tujuh buah perigi bawah tanah dengan kapasiti berbeza yang berpotensi untuk pengairan tanaman kontan di negeri ini sejak tahun 2000 hingga 2008. Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mat Rawi Kassim (gambar) memberitahu, menerusi perigi yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis itu, pam-pam air akan diaktifkan untuk menyalurkan bekalan secara manual sekiranya berlaku kemarau panjang. Menurut beliau, pada masa kini, Perlis mendapat bekalan air sebanyak 60 peratus daripada Empangan Pedu dan Empangan Ahning di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) manakala selebihnya sebanyak 40 peratus disalurkan menerusi Empangan Timah Tasoh. Keutamaan penggunaan air Empangan Timah Tasoh adalah untuk minuman, jadi bekalan untuk pengairan terpaksa diberhentikan sekiranya paras empangan turun hingga paras 25.30 meter," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Asmaiza Ahmad (BN-Chuping) dan Nurulhisham Yaakob (BN-Simpat Empat) dalam Sidang DUN Perlis di sini hari ini. Mat Rawi berkata, pemantauan paras air Empangan Timah Tasoh dilaksanakan setiap hari dengan laporan yang dikemaskini akan dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Kata beliau, sekiranya berlaku kemarau panjang di negeri ini, langkah untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air domestik akan dijalankan seperti berikut: l Catuan bekalan air di kawasan utara Perlis iaitu Padang Besar, Kaki Bukit, Titi Tinggi dan Beseri yang menerima bekalan air bersih dari Loji Rawatan Air Timah Tasoh. Catuan akan dilaksanakan sekiranya keupayaan kapasiti bekalan air mentah dari Empangan Timah Tasoh di bawah paras 20 peratus, pada masa kini di paras 29.1 peratus. l Kerajaan menyediakan 40 tangki statik yang akan ditempatkan di beberapa lokasi untuk mengurangkan kesan gangguan pembekalan air bersih kepada pengguna di kawasan terlibat. Penghantaran air bersih ke tangki statik menerusi lori-lori tangki. l Pembenihan awan juga akan dilaksanakan sekiranya terdapat keadaan sesuai daripada segi cuaca dan meteorologi untuk proses pembenihan awan dilakukan. Sementara itu, kata beliau, dari segi bantuan kepada petani yang terjejas akibat kemarau, sekiranya keadaan memerlukan, sebuah jawatankuasa khas bencana akan dibentuk bagi menilai jumlah kerugian dialami petani. Bagaimanapun, kata Mat Rawi, bantuan tersebut tidak semestinya wang tunai, malah boleh diberi dalam bentuk peralatan atau input pertanian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan