Utusan Online - Keluarga |
Posted: 30 Apr 2014 12:12 AM PDT KATA pepatah Melayu sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, tetapi sayang sekali ramai para suami yang salah faham dengan pepatah ini. Tinggalkan isteri yang dimaksudkan, apabila semakin jauh semakin rindu dan semakin kuat kasih sayang, bukannya meninggalkan anak isteri tanpa sebarang nafkah atas alasan sayang. Kisah yang saya ingin kongsi di ruangan Pengakuan minggu ini adalah kisah, Faizah, 24, yang ditinggalkan suami tanpa khabar berita. Kisah ibu muda ini yang diceritakan oleh ibu saudaranya, Saadah yang kebetulan memberikan perlindungan kepada Faizah setelah suami menghilang diri. Faizah sebenarnya seorang wanita yang sangat cantik paras rupanya dan ketika anak dara menjadi perhatian ramai anak muda. Namun dia memilih untuk mendirikan rumah tangga dengan Amri, kekasih yang dikenalinya menerusi seorang rakan pada sebuah sambutan majlis hari jadi sahabat lain. Kata Faizah, Amri memiliki ciri-ciri lelaki yang menjadi idamannya sejak remaja, kacak, tinggi lampai dan kerjaya yang sangat menjamin kewangan mereka suami isteri selepas berkahwin," kata Saadah membuka cerita. Tidak mengambil masa yang lama, Faizah akhirnya disatukan dengan Amri pada satu majlis yang tidak kurang meriahnya. Kebetulan juga mereka berasal dari satu negeri, maka proses perkahwinan juga dipermudahkan. Selepas selesai semua acara, dia akhirnya mengikut suaminya yang bekerja di Singapura. Di tempat dan suasana baru, Faizah cuba membiasakan diri membawa status sebagai isteri pegawai yang bertugas di sebuah syarikat korporat yang berpangkalan di United Kingdom," cerita Saadah lagi. Selepas hampir dua bulan bernikah, Faizah disahkan mengandung dan berita itu cukup menggembirakan pasangan suami isteri tersebut. Boleh dikatakan rezeki anak, Amri pula mendapat tawaran naik pangkat dan menjadi pengurus serantau yang menuntut dia berulang-alik ke beberapa negara di Asia, sekurang-kurangnya dua minggu dalam sebulan. Walau perjanjian asal mengatakan dua minggu, tetapi adakalanya Amri langsung tidak pulang lebih sebulan, lepas satu destinasi dia ke destinasi lain. Tinggallah Faizah menguruskan diri berseorangan dengan kandungan pertama dan tempat baru. Faizah tidak menafikan mengalami tekanan kerana tidak mempunyai sahabat handai atau saudara mara untuk jadi tempat mengadu nasib. Sebenarnya kami ada mencadangkan agar dia ikut kami duduk di Malaysia, tetapi dia sendiri yang tidak mahu.Katanya dia telah mengahwini suami atas pilihan sendiri dan apa yang terjadi semuanya akan ditanggung. Lagipun suaminya pergi bekerja mencari rezeki dan bukan sengaja meninggalkan dirinya kontang-kanting di Singapura," jelas Saadah. Hampir cukup tempoh kandungan Faizah, Amri masih menerima tugasan di luar negara. Walau puas dipujuk, lelaki itu sedikit pun tidak menunjukkan rasa teruja seperti di awal berita kehamilan tersebut. Ketika itu saya masih ingat lagi, Faizah menangis teresak-esak menelefon saya. Faizah sudah tidak mempunyai ibu lagi, jadi segala masalahnya diceritakan kepada saya. Bagaimanapun Faizah bukanlah jenis yang suka bercerita masalah peribadi, dia memang seorang yang berdikari kerana sejak usianya 10 tahun lagi dia telah menjadi anak yatim. Setelah mengemukakan pelbagai cadangan, akhirnya Faizah setuju untuk bersalin di Kuala Lumpur dan ditemani saya. Kami sempat membeli keperluan bayi serba sederhana dan mendaftarkan diri di sebuah hospital swasta di ibu kota," tambahnya. Disahkan meroyan Akhirnya sampailah saat yang dinantikan, Faizah bertarung nyawa hampir empat jam untuk mengeluarkan bayi sulungnya. Hampir putus nyawa ibu muda tersebut kerana kedudukan kepala bayi yang tidak memasuki saluran peranakan. Komplikasi memang berlaku apabila salur darah utama putus dan pendarahan berlaku dengan banyak selepas bersalin. Dia ditahan di wad hampir dua minggu kerana komplikasi tersebut dan lebih menyedihkan, keadaan dirinya tidak lagi sama dengan Faizah yang sebelum ini. Saya tidak pasti mengapa, tapi menurut kata doktor dia mengalami sindrom trauma selepas bersalin atau dalam bahasa yang sering digunakan masyarakat Melayu ialah meroyan. Siapa tidak sedih melihat keadaan Faizah yang dulunya cantik kini langsung tidak pedulikan dirinya dan bayi yang baru lahir. Menyusukan anaknya juga Faizah tidak mahu. Puas saya cuba menghubungi suami Faizah, Amri, namun tidak berjawab, hanya setelah tiga minggu selepas Fawwaz (nama bayi yang dilahirkan) lahir barulah Amri menelefon saya," imbas Saadah lagi. Seperti yang sudah dijangka, Amri memang langsung tidak hiraukan keadaan isterinya, malah tindakan yang lagi tidak boleh diterima ialah dia mengambil Fawwaz begitu sahaja daripada jagaan Saadah. Memang saya tidak ada kuasa menghalang, Fawwaz anaknya dan Faizah pula sudah boleh dikatakan tidak begitu waras lagi. Mahu tak mahu saya terpaksa merelakan Fawwaz dibawa pergi kerana saya juga perlu berikhtiar untuk Faizah supaya dapat pulih seperti dahulu. Kini sudah hampir setahun Faizah tinggal dengan saya dan keadaan dirinya tidak banyak berubah. Adakalanya Faizah ingat bayinya dan menangis merindui Fawwaz. Adakalanya dia merasakan seperti tidak pernah berkahwin. Saya sedar, bukan mudah proses memulihkan Faizah kerana emosinya begitu terganggu. Menurut pakar psikologi, harapan untuk Faizah pulih 100 peratus memang sukar, cuma dirinya sendiri yang boleh dibantu dari segi mengawal tekanan perasaan yang dialami. Memang saya sukar menyelami jiwa Faizah kerana sikapnya yang lebih memendam perasaan. Setiap hari saya tidak putus berdoa moga Allah bukakan pintu hati suaminya untuk menerima Faizah dalam keluarganya kembali. Saya yakin itu satu ubat yang terbaik untuk masalah Faizah, tapi saya tidak tahu perancangan Allah SWT pasti lebih baik untuk dirinya," kata Saadah penuh pengharapan. l Semua nama dalam kisah ini telah ditukar kepada nama samaran untuk melindungi identiti sebenar pencerita dan kisah yang diceritakan. |
Tampil yakin dengan tiara bunga Posted: 30 Apr 2014 12:12 AM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Mazni Abdul Kadir bersama tiara bunga hasil kreativitinya. WANITA dan bunga memang sukar dipisahkan, sama ada bunga menyerlahkan penampilan wanita mahupun sebaliknya. Bunga ciptaan Ilahi memang mempunyai banyak manfaat buat manusia, apatah lagi jika disusun dalam karangan yang menarik dan dihiaskan di kepala. Pasti ia menambah seri dan kecantikan individu pada hari-hari istimewa dan tertentu. Tiara bunga (flower crown) atau boleh juga dipanggil mahkota bunga ini, merupakan ilham Mazni Abdul Kadir, 33. Semuanya diilhamkan hasil daripada kreativiti wanita ini yang menggabung keindahan bunga dalam satu bulatan comel. Menurut Mazni atau lebih popular dengan nama Jenn Kadir, kemahirannya datang daripada minat dan berusaha mempelajarinya menerusi laman sosial YouTube. Saya cuba untuk menghasilkan tiara yang kemas dan cantik. Memang pada mulanya saya banyak melakukan percubaan dan kesalahan, namun usaha gigih pasti membuahkan hasil. Saya akui kebanyakan bahan di luar negara susah nak didapati di Malaysia. Justeru saya berusaha mencari bahan di merata tempat Untuk mendapatkan hasil yang baik," kata Jenn yang ditemui di studio Utusan Malaysia baru-baru ini. Menariknya, tiara bunga yang dihasilkan Jenn ini ialah daripada idea dan visualisasinya sendiri. Kemudian barulah dia akan bertanya kepada pelanggan dan teman-teman baik sama ada ia sesuai untuk dijadikan jualan. Percaya atau tidak setiap tiara yang saya hasilkan mewakili teman-teman baik dan pelanggan saya sendiri. Inspirasi saya peroleh daripada si pemakai, melalui personaliti mereka, cara dan gaya hidup mereka. Senang untuk menghasilkan satu gubahan dengan berinspirasikan individu itu sendiri. Bunga tiruan saya beli dari Kedai bunga, manakala bunga segar saya ambil daripada pembekal kerana bunga segar dari jenis cashpia agak sukar didapati di kedai bunga biasa sebab ia biasanya diimport dari China. Untuk mendapatkan stok bunga pula bergantung kepada pasaran, selalunya tidak sukar kerana saya berhubung terus dengan pembekal yang agak besar di kawasan Lembah Klang," ujar Jenn lagi. Bagi Jenn sendiri, bunga yang sesuai untuk dijadikan tiara bunga biasanya jenis leper kerana ia akan memberikan gambaran yang cantik dari hadapan. Jenn sendiri mengakui amat menyukai bunga cashpia sebagai hiasan keliling tiara tersebut. Saya selalu katakan kepada teman-teman, jadilah diri sendiri tanpa perlu hiraukan pandangan orang. Sungguhpun ramai yang menyukai, tidak ramai yang berani untuk memakai tanpa apa-apa majlis istimewa. Memang benar, tiara bunga amat sinonim dengan pengantin dan gadis bunga. Namun tidak ada alasan untuk berasa malu dan kelihatan paling cantik pada acara selain perkahwinan dengan tiara tersebut. Saya masih menantikan fenomena memakai tiara sepertimana orang mengenakan topi. Dengan anggapan ianya aksesori. Saya dan teman-teman selalu mengenakan tiara walaupun hanya pergi makan malam. Bagi saya tiada apa yang perlu dimalukan dan tidak ada alasan untuk kelihatan cantik," ujarnya. Jenn juga mengakui tiada masalah untuk menghantar tiara bunganya yang ditempah menerusi pos kerana ia akan diletakkan di dalam kotak yang bersesuaian. Tiara bunga ini tahan lama asalkan dijaga dengan baik. Ia tidak boleh dihempap atau diletak di tempat yang terlalu panas. Selagi tidak luruh bunga selagi itu ia akan kelihatan menarik, tapi mengikut kajian saya tiara boleh bertahan dalam keadaan baik dalam masa dua bulan," ujar Jenn lagi. Tiara bunga Jenn dijual dari harga RM20 hingga RM50, walau baru sahaja bermula tidak sampai sebulan dam pengikutnya di Instagram sudah mencecah hingga 3,000. Alhamdulillah sambutan sangat hangat dan saya berterima kasih pada keluarga dan kawan-kawan rapat yang banyak menyokong," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan