Utusan Online - Utara |
Posted: 12 Apr 2014 11:46 AM PDT Oleh MOHD. SAHRUL MOHD. SAH KU Nafishah Ku Ariffin dan Ahmad Shukri Bakar menunjukkan laporan hasil operasi bersepadu dalam sidang akhbar Pulau Pinang, semalam. PULAU PINANG 12 April - Sebanyak 14 premis makanan di sini, diarah tutup mulai semalam berikutan pelbagai kesalahan melibatkan amalan kebersihan dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi kerajaan semalam. Antara kesalahan yang direkodkan termasuk penggunaan perkakasan berkarat, najis tikus bertaburan dan sistem pembuangan air yang tidak sempurna. Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, kesemua premis terlibat diberikan tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sebelum diperiksa semula. Menurutnya, daripada jumlah itu, daerah barat daya dan Seberang Perai masing-masing mencatatkan sebanyak empat premis manakala masing-masing tiga premis di timur laut dan Seberang Perai utara yang kesemua premis tersebut dikesan pertama kali melakukan kesalahan. Operasi bersepadu melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ini turut mengeluarkan 20 notis saman di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 2009," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Unit Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Ahmad Shukri Bakar. Menurut Ku Nafishah, sebanyak 46 kompaun berjumlah RM4,400 turut dikeluarkan PBT atas kesalahan pengurusan sisa yang tidak sempurna dan kegagalan menyediakan perangkap minyak pada saluran buangan di dapur. Dalam masa sama, beliau menyeru pengusaha makanan yang belum berdaftar segera berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan dalam operasi pihaknya yang akan diadakan dari semasa ke semasa. |
Mahasiswa jangan terlalu memilih kerja Posted: 12 Apr 2014 11:46 AM PDT IPOH 12 April - Golongan mahasiswa diingatkan tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya meneroka bidang yang berpotensi dijadikan sebagai kerjaya sebaik sahaja menamatkan pengajian masing-masing. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mereka perlu lebih kreatif dan tidak memilih pekerjaan kerana ruang dan peluang dalam bidang pekerjaan semakin berubah berbanding dahulu. Tambahnya, mereka juga seharusnya mempelbagaikan pengetahuan dan kemahiran dengan meneroka serta merintis bidang pekerjaan lain sebagai sumber pendapatan utama. "Lagipun ketika ini bilangan mahasiswa begitu ramai dan inilah cabaran cukup besar yang perlu dihadapi mereka. "Justeru, sepatutnya mahasiswa jangan terlalu memilih dan menerima pekerjaan ditawarkan bagi memperoleh pengalaman walaupun bukan bidang yang dipelajari ketika belajar dahulu," katanya ketika berucap dalam Persidangan Kedua Majlis Perundingan Mahasiswa Perak (MPMP) di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria; Pegawai Kewangan kerajaan negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Ketua Polis negeri, Datuk Acryl Sany Abdullah Sani. Menurut Zambry, perubahan dalam kemajuan negara juga menyebabkan semakin ramai rakyat Malaysia berpeluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang. Bagaimanapun beliau berkata, tidak semua bidang berkenaan mendapat tempat dalam sektor pekerjaan kerana kebanyakannya amat menitikberatkan pengalaman kerja. "Jadi, pada saya bina pengalaman dahulu tidak kira kerja apa sekalipun. Kadang-kadang kita rasa kerja itu tidak sesuai sedangkan jika dicuba sebenarnya adalah yang paling sesuai untuk kita," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan