Utusan Online - Rencana |
Langkah-langkah memasyarakatkan mahasiswa Posted: 13 Apr 2014 11:41 AM PDT Oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Esa Sebahagian daripada mahasiswa UTHM yang terlibat dalam program khidmat masyarakat sedang bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Taman Dato Haji Abdul Rahman Mahmud, Pagoh, Muar, di Johor baru-baru ini. RAMAI individu memperoleh kejayaan cemerlang dalam pendidikan di Malaysia. Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 yang baru diumumkan memerihalkan di negara ini semakin hari semakin ramai individu yang bijak. Seramai 497 calon STPM dan seramai 37,970 calon SPM memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Jumlah graduan universiti juga setiap tahun ramai yang berjaya memperoleh kelas kedua tinggi dan pertama. Selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, adalah diharapkan mereka yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan di negara ini, termasuk yang cemerlang mempunyai pengintegrasian jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial serta dapat menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada ahli akademik dan staf sokongan di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memasyarakatkan mahasiswa. Amanah ini, lazimnya dipikul oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat dan Pusat Kokurikulum di sesebuah IPT. Namun begitu, Bahagian Akademik dan Kolej Kediaman turut menggembleng idea dan tenaga bagi merealisasikan hasrat menjadikan mahasiswa mesra masyarakat. Mahasiswa kini berada dalam persekitaran yang kondusif sama ada semasa di bilik kuliah mahupun di penginapan. Adalah menjadi cabaran kepada pihak pengurusan universiti untuk membawa mahasiswa mengharungi lumpur pada musim banjir, mengangkut air di musim kemarau, memungut sampah yang kotor, apatah lagi untuk membersihkan kotoran manusia di pusat-pusat kebajikan menjaga orang tua. Mereka sewajarnya berinteraksi dengan ahli masyarakat sama ada dengan yang lebih muda, sebaya atau tua dengan penuh berbudi bahasa. Selaras dengan cabaran Wawasan 2020 yang keempat iaitu mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika dan cabaran ketujuh, mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi maka sewajarnya pihak IPT menggembleng inisiatif untuk menangani cabaran tersebut. Oleh itu, Kementerian Pendidikan merencana strategi objektif untuk memasyarakatkan mahasiswa menerusi program University Community Transform Centre (UCTC) dan University Community Engagement (UCE). Mahasiswa bukan sahaja dilibatkan dengan aktiviti khidmat komuniti bersifat sementara seperti gotong royong tetapi mereka perlu menjana idea dan mencurah tenaga melaksanakan program yang memberi kesan besar kepada masyarakat. Antaranya, melaksanakan projek untuk mempercepat proses pengeluaran, pembungkusan dan pemasaran berkesan bagi sesuatu produk di sesebuah kampung. Keusahawanan merupakan kursus dan kokurikulum yang popular diikuti oleh mahasiswa. Selain bermesra dengan masyarakat, mahasiswa mempelajari bahawa ada nilai, adat dan norma yang perlu mereka hormati dan patuhi. Walaupun bersaing untuk mengaut keuntungan, mereka bersaing secara positif dan bukannya saling menjatuhkan antara satu sama lain. Mahasiswa turut didedahkan dengan persekitaran 3D (dangerous, dirty dan difficulty) menerusi aktiviti membantu mangsa banjir membersihkan kawasan rumah, menjinakkan mahasiswa dengan elemen bahaya, kotor dan sukar. Malahan terdapat juga program mahasiswa melawat ke rumah kebajikan orang tua yang memerlukan mereka mengurus kebersihan diri para penghuninya. Program sedemikian dapat meruntun ego mahasiswa dan membina perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan empati sesama insan. Beberapa program juga dilaksanakan khususnya oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT untuk mengasimilasikan nilai dan norma masyarakat Malaysia di dalam universiti. Program sedemikian didedahkan kepada mahasiswa bukan bermaksud mereka adalah orang asing yang tidak mengetahui budaya Malaysia. Adakalanya mereka terlupa untuk mengamalkan nilai luhur yang sebati dalam masyarakat seperti menghulurkan bantuan, memberi senyuman, mengucap salam, bertanya khabar, menyatakan terima kasih dan bertutur dengan bahasa yang sopan apabila bercakap dengan orang lebih dewasa. Oleh itu, program, Amalkan Berbudi bahasa, Kita Orang Timur, dan Cintailah Bahasa Kita dijadikan wahana untuk memasyarakatkan mahasiswa di IPT. Nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan banyak dipapar dan diterapkan dalam disiplin seni dan sastera. Menyedari hakikat itu, program bersendikan seni dan sastera turut diperkaya untuk mendidik mahasiswa. Kegiatan teater dan tradisi seni yang bertapak di jiwa masyarakat Malaysia seperti tarian zapin. kompang, gamelan, keroncong, gendang Cina, boria, wayang kulit, dikir barat, ghazal dan tarian klasik India secara istiqamah diberi suntikan elemen kreatif dan transformasi diperkenalkan kepada mahasiswa. Lonjakan paradigma juga dilakukan dengan menukar slogan IPT untuk golongan elit kepada IPT untuk masyarakat. Program mendedahkan budaya IPT kepada masyarakat diperluas daripada menjemput pelajar melalui pengalaman belajar dan menginap di persekitaran IPT kepada memberi peluang kepada belia, wanita, anak-anak yatim, pelajar tadika, pertubuhan bukan kerajaan, pihak industri dan korporat untuk melaksanakan program di IPT. Kehadiran masyarakat luar ke dalam kampus membolehkan pelajar menjiwai amalan menghormati tetamu, mengawal tingkah laku dan membantu golongan yang memerlukan tunjuk ajar dan bantuan semasa mereka berada dan menginap di IPT. Bagi memastikan hasil yang efektif dalam memasyarakatkan mahasiswa, Pusat Kokurikulum di IPT turut menerapkan elemen UCE dalam kursus-kursus kokurikulum yang diikuti oleh mahasiswa. Dalam erti kata lain, walaupun kursus kokurikulum yang diikuti oleh mahasiswa adalah sukan, kebudayaan, pengucapan awam, reka cipta dan kemahiran, mereka tetap digalakkan untuk membuat aktiviti yang melibatkan masyarakat. Contohnya, mahasiswa berkongsi ilmu dan kemahiran pengurusan penganjuran kejohanan badminton dengan belia dan mengajar teknik penghayatan watak dalam teater kepada guru-guru sekolah tadika di sekitar IPT. Bagi mahasiswa sebaiknya mereka merebut peluang ini dengan kesedaran bahawa usaha IPT untuk memasyarakatkan mereka membawa manfaat yang tidak ternilai dalam pembangunan personaliti mereka. Ilmu dan kemahiran yang mereka peroleh merupakan praktikal sebenar dan bukannya sekadar teori. Semoga dengan adanya inisiatif untuk memasyarakatkan mahasiswa, generasi yang dihasilkan oleh IPT mempunyai jati diri yang menepati aspirasi masyarakat dan negara. Mereka bukan sahaja bijak tapi tajam daya fikir dalam menyumbang dan menabur bakti demi membangunkan masyarakat Malaysia yang maju dan beridentiti. PENULIS ialah Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor |
Komitmen semua pihak jayakan 55 % FLPR Posted: 13 Apr 2014 11:41 AM PDT Oleh RAJMAH HASAN WANITA MERONDA ... Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) wanita dari Balai Polis Wangsamaju ketika memulakan tugas rondaan, baru-baru ini. RABU lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kadar penyertaan tenaga kerja wanita (FLPR) di Malaysia meningkat kepada 52.4 peratus (%) pada 2013 berbanding 49.5 % pada 2012. Dari segi angka, peningkatan itu memberi kepuasan kepada Perdana Menteri memandangkan ia menghampiri sasaran FLPR ditetapkan kerajaan iaitu sebanyak 55 % menjelang 2015. Namun, kejayaan dicatat sehingga tahun lepas itu masih rendah jika dibandingkan kadar FLPR direkod negara-negara maju dan juga beberapa negara sedang memSebagai contoh, kadar FLPR di Sweden adalah melebihi 78.2 %, Denmark (76.4 %), dan United Kingdom (69.8 %). Sementara itu, negara-negara sedang membangun seperti Thailand adalah pada kadar 71.4 %, Kemboja (78.0 %) dan Laos (56.5 %). Biarpun terpaksa 'bergelut' menyaingi negara-negara terbabit, namun Najib yakin Malaysia telah mencatat kepelbagaian yang baik dan berada pada landasan betul untuk merealisasikan hasratnya. Ia termasuk inisiatif dan insentif diperkenalkan kerajaan dalam menyediakan persekitaran pekerja mesra keluarga, integrasi kehidupan bekerja serta menggalakkan kaum wanita sertai pasaran kerja. Presiden Power Malaysia, Mohana Muniandy tidak menolak bahawa dasar-dasar kerajaan selama bertahun-tahun telah meningkatkan pengupayaan wanita dalam sektor ekonomi, sosial dan politik. Cuma Malaysia perlu lebih proaktif menyediakan persekitaran kondusif bagi memastikan penyertaan wanita yang lebih berkesan, selain menitik beratkan pencapaian kesaksamaan gender. Wanita juga harus dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan sesuai bagi menjadikan mereka mampu untuk lebih berdaya saing dan serba boleh untuk menghadapi cabaran globalisasi," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Digubal pada 1989, Dasar Wanita Negara (DWN) mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari. DWN dilengkapi Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi memperincikan tindakan perlu diambil oleh agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat sivil. Wanita mewakili 14.4 juta orang atau 48.6 % daripada keseluruhan penduduk Malaysia berjumlah 29.7 juta orang, justeru ia memperlihatkan wanita aset penting dan perlu dibangunkan secara optimum bagi membolehkan mereka menyumbang secara aktif dan berkesan kepada pembangunan negara. Jika dilihat hanya 2.6 % diperlukan bagi mencapai sasaran 55 % FLPR negara, namun ia bukan satu perkara mudah untuk kerajaan merealisasikannya dalam tempoh berbaki kurang dari lapan bulan. Untuk itu, kata Mohana, pertimbangan menambah baik pendekatan dasar dan strategi perlu dilakukan mengikut kesesuaian dan keperluan. Kejayaan dasar bergantung kepada komitmen kepimpinan tertinggi serta semua pihak terbabit untuk menerima anjakan paradigma. Justeru, pihak terbabit perlu mengambil langkah-langkah khas seperti 'affirmative action', 'preferential treatment', atau sistem kuota untuk memajukan wanita dalam semua sektor. Selain itu, keperluan mewujudkan pangkalan data pusat untuk mengintegrasikan data berlandaskan gender daripada pelbagai sumber menerusi penglibatan semua pihak terbabit harus dipergiatkan. Semua ini untuk menyediakan serta mempelbagaikan kemudahan peluang pekerjaan yang bersesuaian kepada wanita khususnya ibu tunggal," katanya. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls), Low Ngai Yuen berkata, peranan wanita seharusnya digembleng sepenuhnya bagi membantu menjana pendapatan negara sejajar dengan kehebatan dan kecemerlangannya. Jumlah pelajar wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa melebihi lelaki, ironinya, penyertaan mereka dalam pasaran tenaga kerja adalah lebih rendah berbanding lelaki. Wanita berpendidikan tertiari ini sepatutnya menjadi generasi masa depan untuk mengukuhkan pertumbuhan negara dan bukannya berhenti kerja sekerat jalan untuk memenuhi tanggungjawab sebagai isteri, menjaga anak dan pengurus rumah tangga," katanya. Berdasarkan statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2010, sebanyak 66.9 % wanita meninggalkan sektor pekerjaan atas sebab utama untuk menumpukan perhatian kepada keluarga. Hakikatnya kata Ngai Yuen, wanita berpendidikan tertiari tidak diberi gambaran jelas tentang pilihan yang boleh mereka lakukan bagi merancang kehidupan berkarier sejurus tamat pengajian. Pilihan seperti waktu kerja anjal boleh dijadikan ukuran keberkesanan menarik wanita untuk terus berada dalam sektor pekerjaan. Selain itu, peluang disediakan kepada mereka terbabit untuk menyertai semula ke pasaran tenaga kerja. Adakah Malaysia menyediakan mekanisme itu?" soalnya. Di sesetengah negara, mekanisme tersebut dibenarkan berikutan terdapat beberapa fasa penyertaan mereka dalam pasaran tenaga kerja yang naik turun secara berperingkat-peringkat. Fasa pertama memperlihatkan peningkatan mendadak apabila mereka memasuki pasaran kerja, namun mula menurun pada fasa kedua setelah berkahwin dan membina keluarga. Peningkatan berlaku kembali pada fasa ketiga selepas melahirkan anak," katanya. Bagi mengatasi masalah itu, katanya, inisiatif perlu dilakukan termasuk menggubal dasar bagi merangka strategi mewujudkan mekanisme yang efisien bagi menyokong kemasukan semula wanita ke dalam pasaran tenaga kerja mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan