Utusan Online - Keluarga |
Posted: 13 Apr 2014 06:10 AM PDT "PELBAGAI pandangan diterima melalui e-mel tentang kelohan Irfan minggu lalu apabila mentua enggan serahkan anaknya. Banyak pandangan salahkan Irfan kerana ambil jalan mudah enggan menjaga anak sendiri. Namun ada yang bersetuju nenek besarkan cucunya demi kebajikan dan keselamatan anak-anak masa depan. Zuhari di dalam e-melnya berpendapat, pengalaman yang dilalui oleh Irfan patut dijadikan tauladan kepada pasangan yang seangkatan dengannya. Kerana itulah sikap kebanyakan pasangan muda hari ini tak mahu bersusah payah menjaga anak mereka. Sepatutnya mereka berfikir betapa susahnya ibu bapa menjaga mereka dahulu, maka ketika tuanya berilah peluang mereka berehat dan melakukan banyak ibadah. "Lebih malang ada antara mereka membiarkan mentua membeli susu, pampers dan membawa anaknya ke klinik dengan alasan mereka sibuk bekerja. Sedangkan mereka memang hendak hidup senang tanpa gangguan anak-anak dan mewah berbelanja untuk diri sendiri, kerana anak-anak diuruskan oleh mentua. Adakah itu sikap yang baik? "Saya setuju pandangan ibu Irfan, bahawa pasangan muda hari ini mahu berkahwin dan berkeluarga, tetapi malas nak jaga anak. Malas bangun tengah malam buat susu kerana mereka tidak mahu tidurnya diganggu dan tak mahu berbelanja untuk anak sendiri. "Sebenarnya Allah menjanjikan rezeki kepada setiap anak yang lahir. Namun ia tidak datang seperti turunnya hujan dari langit, ia turun dengan pelbagai cara yang penting kita kena berusaha. Tetapi tidak pula bermakna mesti beranak setiap tahun hingga menyusahkan diri dan keluarga. Dan kita mesti ingat Allah tidak melarang kita menjarangkan anak. Tetapi carilah jalan yang terbaik mengikut kemampuan sendiri. "Lagipun kalaulah mentua besarkan anak anda rasanya sampai bila-bila anda tidak akan rapat dengan anak anda, kerana masa anak bersekolah dan masa kecilnya, nenek yang besarkan bukan anda. Bermakna kerugian pada ibu bapa kerana tiada kemesraan dengan anak sendiri. Apabila mereka dewasa dan berkahwin mereka tidak merasa ikatan kasih dengan anda. Seperti kata orang sekarang tidak ada mesra alam. "Berbanding kasih anak itu kepada nenek yang membesarnya sejak daripada kecil. Tambah-tambah jika si nenek menjaga cucu seperti menatang minyak yang penuh. Sudah pasti sayang si anak kepada neneknya melebihi ibu bapanya sendiri. "Lebih ngeri lagi ada kes anak yang telah berkahwin duduk serumah dengan mentua secara percuma, ditambah lagi dengan beban menjaga anak-anak yang masih kecil. Memang mengerikan, dan sudah jadi hobi mereka suka balik kerja lewat dengan alasan banyak kerja, sebenarnya mereka malas mengurus anak-anak dan memasak. Semua terletak di bahu ibu atau mentua menguruskan, itu pandangan Zuhari. Hazura pula memberikan pandangan yang berbeza katanya, tidak ada salahnya nenek besarkan cucu sendiri. "Saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman apabila membaca luahan hati Irfan. Saya adalah anak perempuan tunggal dan anak bongsu daripada dua beradik. Bapa saya meninggal ketika saya berusia 18 tahun. Abang saya telah berkahwin tetapi belum mempunyai zuriat ketika itu. Jadi bila saya berkahwin, ibu saya seolah-olah takut kehilangan saya. Jadi, setiap hujung minggu saya dan suami akan balik ke Alor Setar. Nasib baik saya berkahwin dengan orang Pulau Pinang dan bekerja di sana. Bila saya melahirkan anak sulung, ibu yang jaga tetapi kami balik setiap hujung minggu atau bila ada masa terluang. serba salah "Sehinggalah saya melahirkan anak kedua. Keadaan tidak berubah. Bila saya melahirkan anak ketiga, anak perempuan, ibu mentua pulak ambil jaga. Anak yang sulung sudah berusia 5 tahun. Saya cuba ambil semula anak-anak saya tetapi ibu dan mentua saya tidak benarkan, walaupun anak-anak mahu tinggal dengan saya. "Setiap kali balik, anak-anak menangis kerana ingin ikut kami. Saya merasa cukup serba salah. Tetapi suami dan keluarga mentua cukup berhemah, mereka kata tak apa biarkan dulu anak-anak dengan maktoknya. Insya-Allah semuanya akan baik. "Suami selalu cakap anak-anak duduk dengan maktok mereka sudah pasti kebajikan mereka terjaga. Kata suami lagi jika ini cara yang dapat membuat ibu bapa kita bahagia, kenapa tidak kita korbankan sedikit kebahagiaan kita untuk mereka. "Yang penting kita selalu jenguk anak-anak dan ambil berat tentang mereka. Kita juga kena selalu beritahu rasionalnya tindakan kita kepada anak-anak. Mungkin mereka tidak faham ketika itu. Beritahu kita sayangkan mereka dan sayang nenek dan datuk. Beritahu juga mereka, memang istimewa kerana ramai yang mahu jaga mereka. "Sekarang usia perkahwinan saya mencecah 22 tahun. Anak sulung berusia 21 tahun, yang kedua 19 tahun, masing-masing berada di pusat pengajian tinggi. Disebabkan nilai-nilai kasih sayang yang diterapkan dan sentiasa bersikap terbuka dan bercerita kenapa sesuatu tindakan diambil pada masa itu, insya-Allah mereka jadi insan yang sangat prihatin. "Pada pandangan saya, saudara dan isteri amat beruntung kerana yang jaga anak-anak ialah ibu bapa sendiri. Daripada pengalaman saya, biarlah kita berkorban sedikit demi mengembirakan kedua-dua ibu bapa. Jika kita ikhlas dan redha, insya-Allah ganjarannya besar. "Namun saudara jangan putus asa, setiap kali balik kampung berbincang dan pujuk mentua dengan baik. Beritahu mereka anda teringin sangat hendak menjaga anak perempuan anda dan tidak mahu hubungan sesama anak-anak renggang. Dan sentiasa memohon Allah permudahkan usaha anda dan yang penting jangan kecilkan hati kedua-dua mentua anda. "Saya harap dengan sedikit perkongsian ini dapat merungkai kemelut yang anda rasai. Itu pandangan Zuhari dan Nina untuk anda pertimbangkan. |
Posted: 13 Apr 2014 06:10 AM PDT Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH Pemilik restoran, Rizamudin Mugeni (kiri) dan Norhani Abdul Aziz. "Di mana 'port' kita malam ini?" Inilah ayat yang sering ditanya kepada rakan-rakan kita untuk mengetahui lokasi berjumpa, lepak dan bersembang. Daripada situ, Rizamudin Mugeni dan isteri, Norhani Abdul Aziz mendapat idea membuka restoran yang diberi nama Port. Menjejak kaki ke Port, membuat pelanggan berasa gembira dan ceria. Gembira kerana suasananya nyaman dan bersih, ceria sebab kakitangannya mesra. Menariknya, restoran ini menyediakan semua jenis hidangan hampir mewakili pelbagai negara di seluruh dunia. Jika anda peminat makanan Barat, Timur Tengah, Asia atau tradisional, di sinilah tempat yang sesuai. Makanan Barat yang disediakan ialah chicken chop, beef chop, fish & chips, pasta, spageti dan lain-lain. Sementara itu, Rizamudin turut menghidangkan nasi Arab tetapi mengubah suai mengikut cita rasa masyarakat tempatan. "Menu nasi Arab ini saya belajar ketika saya bekerja di Qatar dulu. Di sana kami lebih suka memasak sendiri. Peluang itu tidak saya sia-siakan untuk mempelajari cara memasak nasi Arab. "Saya dan isteri sebenarnya bukan daripada bidang masakan. Sebaliknya, latar belakang pendidikan kami ialah jurutera. Kami sanggup meninggalkan pekerjaan masing-masing untuk membuka perniagaan restoran. Berhenti kerja makan gaji ternyata membawa tuah kepada kami. Port di Bangi ini merupakan cawangan ketiga sementara dua lagi terletak di Perak," ujarnya. Dalam pada itu, Port menyajikan sajian yang menarik dan sentiasa berusaha mengekalkan kualiti sajian yang akan berubah dari semasa ke semasa mengikut selera pelanggan. Menariknya, di sini terdapat senarai menu yang panjang. Kesemua sajian yang disediakan ini disediakan melalui pesanan ala carte bagi memastikan hidangan dalam keadaan segar dan panas. Rizamudin menambah, ia juga memberi peluang kepada seisi keluarga memilih makanan apa yang paling disukai menunya untuk semua. Selain itu, hidangan tempatan juga enak-enak belaka. Antara yang menarik ialah nasi ayam penyet, nasi mandy ayam, nasi lemak ayam penyet dan banyak lagi. Hidangan Port sememangnya digemari ramai memandangkan harganya yang berpatutan di samping keunikan menu yang merupakan ilham pemilik sendiri. "Saya dan isteri banyak melakukan eksperimen menu dan mencuba pelbagai idea baharu. Misalnya, sos-sos yang digunakan di dalam chicken chop dan beef chop, saya hasilkan sendiri. Begitu juga sos untuk burger bakar," ujarnya. Selain menikmati hidangan di sini, Port turut menawarkan ruang bagi majlis berskala kecil yang memuatkan 60 orang dan turut menerima tempahan katering untuk pelbagai majlis. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan