Ahad, 13 April 2014

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


15,000 penduduk Islam dikepung

Posted: 13 Apr 2014 11:41 AM PDT

Sebahagian kanak-kanak Islam Republik Afrika Tengah yang kehilangan tempat tinggal ekoran keganasan agama di republik itu mendapatkan perlindungan di sebuah Masjid Utama di bandar Bagui, Republik Afrika Tengah. - Agensi

BANGUI 13 April - Kira-kira 15,000 penduduk Islam di Republik Afrika Tengah (RAT) terperangkap di ibu negara ini dan berdepan ancaman dibunuh atau harta benda mereka dirampas oleh kumpulan militia Kristian yang mengepung bandar ini.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengulangi amaran penduduk Islam terdedah kepada bahaya di Bangui dan perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat di bahagian utara negara ini atau ke luar negara.

Kehadiran beribu-ribu tentera Perancis dan Afrika di Bangui juga dilihat tidak mampu memberi perlindungan kepada penduduk Islam, walaupun Majlis Keselamatan PBB meluluskan kerahan kira-kira 12,000 askar pengaman ke rantau itu pada Khamis lalu.

Portal berita Presstv melaporkan kebanyakan masyarakat Islam d i RAT terperangkap di pekan Boda dan kira-kira dua ribu orang dilaporkan terbunuh sejak keganasan agama tercetus di pekan itu pada Disember lalu.

Dalam perkembangan sama, pasukan pengaman Afrika mengiringi lebih 1,000 penduduk Islam melarikan diri daripada serangan militia Kristian di Bossangoa, semalam.

Sumber polis melaporkan, kesemua penduduk yang melarikan diri itu dibawa menuju ke negara jiran, Chad dan tiada seorang penduduk Islam yang tinggal di pekan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menyuarakan kebimbangan tentang laporan berlakunya penghapusan etnik di RAT sehingga menyebabkan penduduk minoriti Islam terpaksa menjadi pelarian.

Ki-moon turut menggesa pemimpin negara terbabit mengelakkan berulangnya jenayah pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku di Rwanda kira-kira 20 tahun lalu.

"Jangan ulangi kesilapan seperti di Rwanda pada 1994 yang menyaksikan 18,000 orang dibunuh secara beramai-ramai.

"Ambil pengajaran tersebut, dan masa depan negara ini terletak di tangan anda (pemimpin RAT)," katanya ketika mengadakan lawatan di Bangui, semalam. - AFP

Calon Pemilu 2014 jalani terapi kejiwaan

Posted: 13 Apr 2014 11:41 AM PDT

Kyai Muzakkin memberi rawatan kepada pesakitnya di Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti. - Agensi

JAKARTA, 13 April - Empat puluh calon yang gagal memperolehi undi terbanyak pada Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) pada Rabu lepas, menjalani terapi kejiwaan di Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti, Desa Sendangagung di daerah Lamongan, Jawa Timur.

Penjaga Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti, Kyai Muzakkin berkata, calon-calon yang datang ke pondok itu berasal dari Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Madura, Bali serta daerah sekitarnya.

Mereka datang ke tempat ini sejak Khamis malam secara silih berganti," katanya seperti dipetik agensi berita Antara hari ini.

Beliau berkata, jumlah mereka yang datang ke pondok itu pada tahun ini lebih ramai berbanding 23 orang pada Pemilu 2009.

"Daripada 40 orang yang datang menjalani terapi di Pusat Rehabilitasi dan Dadah Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti itu, seramai 13 adalah perempuan dan 27 lelaki.

Jumlah ini dijangka bertambah kerana perolehan undi adalah berdasarkan kiraan awal dan belum ada keputusan rasmi," katanya.

Beliau berkata, pondok pesantrennya yang terletak di Jalan Raya Sekanor atau lebih dikenali sebagai Ponpes Jin mempunyai pusat rehabilitasi dan pemulihan dadah sejak dahulu, dan menangani beberapa pesakit yang mengalami masalah psikologi seperti stres.

Beberapa pesakit yang datang, kondisinya mengalami tekanan serius kerana gagal memperolehi sokongan rakyat. Beberapa anggota keluarga yang menghantar calon itu juga bercerita saudara mereka itu bersikap aneh dan bercakap sendiri," katanya.

Pihaknya menyediakan ruangan khusus kepada sejumlah pesakit itu kerana mereka sering memberontak dan marah kepada setiap orang yang ditemui. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved