Jumaat, 18 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


MSAM 2014 lebih 'muda'

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
ekonomi@utusan.com.my

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Hamad Kama Piah Che Othman (tengah) meletakkan logo Minggu Saham Amanah Malaysia PNB pada Majlis Jalinan Rakan Korporat dan Pelancaran Program Menjelang Minggu Saham Amanah Malaysia 2014 (MSAM 2014) mulai esok di Menara PNB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur , 1 April lalu. UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

Lebih muda, segar dan menghiburkan! Itu yang akan menjadi trademark Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014.

MSAM yang memasuki pusingan kedua tahun ini, bakal tampil dengan idea yang lebih dinamik dan tidak meminggirkan matlamat asalnya sebagai medan mendidik masyarakat di negara ini tentang kepentingan pelaburan kewangan yang sihat.

Sejujurnya, sejak penganjuran kali pertama pada 2000, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah meletakkan MSAM dalam segmen tersendiri dan menjadi antara program saham amanah terbesar dan paling berjaya setakat ini.

Dalam tempoh itu, MSAM yang bermula kali pertama di Kelantan telah mengumpul jumlah pengunjung seramai 2.6 juta orang dan menjelajah ke 14 buah negeri.

Dalam siri jelajah itu, Sabah paling mendapat sambutan hangat dengan mencatat purata seramai 30,000 pengunjung sehari.

Kini, memasuki fasa kedua, MSAM yang sekali lagi memulakan jelajahnya di Kelantan, tampil dengan konsep taman tema interaktif sesuai untuk semua golongan dan peringkat masyarakat.

Menurut Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah, pembaharuan itu juga sebagai salah satu strategi PNB untuk menarik kedatangan generasi muda menyertai MSAM 2014.

Berdasarkan rekod, setakat ini sebanyak 28.1 peratus atau 3.3 juta akaun daripada jumlah pemegang unit saham PNB terdiri daripada golongan muda berusia antara 19 hingga 34 tahun.

Ketika majlis prapelancaran MSAM 2014 baru-baru ini, beliau yang ditanya tentang kos diperuntukkan oleh PNB untuk program itu menegaskan bahawa bajet bukanlah soal utama kerana MSAM mempunyai agenda dan matlamatnya tersendiri.

'Saya tahu, setiap tahun soalan ini jugalah yang akan ditanya. Tetapi bagi kami di PNB, sebanyak mana pun belanja dikeluarkan untuk program ini, bukanlah satu keutamaan.

'Kerana hasilnya, matlamat PNB ialah memastikan rakyat Malaysia melabur dalam unit amanah saham yang ditawarkan PNB dan menikmati faedah daripada pelaburan yang dibuat itu,' katanya.

Tahun ini, MSAM 2014 yang bertemakan Pelaburan 360 PNB meletakkan sasaran untuk menarik 200,000 pengunjung terutama bagi penduduk Pantai Timur.

Sepanjang lapan hari acara tersebut bermula Ahad hingga 27 April ini, pengunjung bakal didedahkan dengan pelbagai pengetahuan berkaitan pelaburan dan juga peluang melabur selain mengenali peranan dan usaha PNB secara lebih dekat lagi.

MSAM 2014 turut dimeriahkan dengan aktiviti Seminar Kewangan Khas ASNB, Taklimat Perancangan Kewangan Harian untuk pelajar dan dewasa, Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM) Interschool Showdown, Simposium Usahawan MIDF, MNRB Ringgit Savvy Program, Bersama Kumpulan PNB tajaan Prolintas dan program-program keagamaan seperti Cendekiawan Muda oleh Takaful Ikhlas.

Sepintas lalu, sukar untuk menafikan manfaat yang diberikan MSAM kepada PNB yang kini berusia 36 tahun dan berjaya mengurus 184.86 bilion unit saham yang dimiliki oleh 11.81 juta pemegang akaun.

Malah, firma pelaburan itu juga mengembelingkan dana bernilai RM267.8 bilion atau bersamaan 16 peratus daripada permodalan pasaran negara dan mengagihkan pendapatan yang kompetitif kepada para pelabur dengan jumlah agihan dividen dan bonus sebanyak RM116 bilion.

Apa yang menarik, rakyat Malaysia semakin memahami peri pentingnya pelaburan untuk masa depan sambil turut mengenali 200 syarikat-syarikat di bawah PNB yang memainkan peranan penting dalam membangunkan negara.

Pengenalan Amanah Saham Bumiputera (ASB2) baru-baru ini, merupakan satu kesinambungan usaha untuk membuka peluang kepada golongan remaja dan golongan muda untuk membuat pelaburan kewangan yang bijak dan bukan menghabis wang untuk membeli gajet-gajet mewah atau bergaya.

Dengan peruntukan RM10 juta untuk 10 unit percuma ASB2 yang dibuka sehingga 31 Disember 2014 atau sehingga habis peruntukan itu digunakan, apa yang ditawarkan oleh PNB tidak seharusnya disia-siakan bak kata pepatah, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Untuk itu, MSAM 2014 harus menjadi wadah permulaan yang baik buat generasi muda membuat pelaburan mengikut saluran yang betul.

Mengusung bara dendam ke stadium

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

Rozaman Ismail

SUDAH ada 10 insiden pergaduhan dan rusuhan bola sepak di Malaysia walaupun April baru menginjak pertengahan bulan. Statistik tersebut boleh dianggap besar. Jumlah itu tidak mustahil boleh bertambah kerana setakat ini setiap pasukan baru bermain sebanyak 13 kali dalam Liga Super.

Berdasarkan perangkaan yang sama, insiden kekecohan sehingga membawa kepada pergaduhan melibatkan banyak pasukan.

Pada 17 Januari lalu berlaku di Stadium Darul Makmur ketika perlawanan antara Pahang dengan Lions XII. Seminggu selepas itu di Stadium Petaling Jaya melibatkan perlawanan Selangor dan T-Team. Pada 25 Januari pula berlaku dua kekecohan satu ketika Perak menentang Terengganu di Stadium Perak dan yang kedua T-Team bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kekecohan boleh berlaku bila-bila masa. Sebelum perlawanan, ketika pertandingan dan yang paling banyak berlaku selepas berakhir perlawanan. Kalau di atas padang sudah tentulah sesama pemain pasukan bertanding. Biasanya tidak lama kerana ada pengadil. Pengadil boleh mengawal keadaan. Pengadil ada kad kuning atau kad merah yang boleh dilayangkan kepada pemain. Banyak juga kes jurulatih dan pengurus pun dikenakan kad merah

Kalau di dalam stadium, dengan hanya satu suar dibakar dan satu balingan mercun bom sudah cukup untuk mencetuskan insiden ini. Dalam terowong menuju bilik persalinan pun khabarnya berlaku juga kata mengata sehingga ke peringkat serang menyerang. Yang boleh masuk ke bilik persalinan hanya pemain dan pegawai pasukan bertanding sahaja. Penonton tak terlibat kalau insiden itu berlaku dalam terowong stadium.

Dari dalam stadium kes terbawa-bawa ke luar stadium. Kejadian penonton merusuh paling banyak berlaku di luar stadium sejurus selepas satu-satu perlawanan bola sepak berakhir. Lazimnya antara penyokong dua pasukan yang berlawan pada malam itu. Kadang kala, tak semena-mena juga bas yang membawa pasukan pelawat menjadi sasaran penonton yang sedang naik minyak itu.

Oleh kerana jumlah penonton yang terlalu ramai, keadaan kadang kala sukar dikawal dan berlarutan sehingga memaksa campur tangan polis. Hingga ke peringkat terpaksa menggunakan meriam air bagi menyuraikan ketegangan.

Kejadian terbaharu berlaku di Stadium Perak. Segelintir penyokong pasukan tuan rumah menceroboh ke kawasan tempat duduk penyokong pasukan pelawat JDT setelah berakhir perlawanan 90 minit. Semuanya hanya kerana pasukan pelawat menang 1-0.

Kalau di England dan Eropah, kejadian sebegini dicetuskan oleh hooligans atau samseng bola sepak. Mereka merusuh tak kira masa, ada ketika menang apatah lagi waktu kalah. Bibit-bibit kejadian biasanya dicetuskan dengan kata-kata provokasi. Kemudian melarat kepada maki hamun dan carut-marut berbaur perkauman dan berakhir dengan pergaduhan, kecederaan atau kematian.

Liga Perdana Inggeris musim 2009/2010 sebagai contoh menyaksikan sejumlah 3,391 tangkapan dibuat berkaitan kes keganasan bola sepak. Bagaimanapun jumlah tersebut menurun pada musim 2011/2012 dengan hanya 2,456 sahaja. Pihak berkuasa Britain juga pernah mengeluarkan arahan sekatan perjalanan kepada lebih 3,000 samseng bolasepak yang bercadang menonton kejohanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan.

Kalau di England samseng bolasepak dirujuk kepada penonton yang menimbulkan kekecohan, tetapi dengarnya di Malaysia ada juga samseng bolasepak dalam kalangan pegawai dan pihak pengurusan bola sepak. Benarkah begitu? Harapnya tidak betul.

Ketika jumlah kes keganasan bola sepak menurun di Britain - salah sebuah negara yang hebat dalam industri bola sepak, kes yang sama meningkat di Malaysia. Sedangkan Malaysia hanyalah sebuah negara kerdil dalam bola sepak. Dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia berkedudukan tempat ke-142, satu anak tangga di bawah St. Lucia (141) dan satu tempat di atas Belize (143). Sebahagian besar rakyat negara ini pun tak tahu di mana St. Lucia dan Belize!

Di Malaysia, bola sepak kekal sekadar satu jenis sukan yang paling diminati ramai. Walaupun ada liga profesional, rasanya masih tak layak dipanggil industri. Paling dekat pun boleh dikategorikan sebagai industri kecil dan sederhana sahaja!.

Kes-kes keganasan ketika perlawanan bola sepak sebenarnya bukan benda baharu di Malaysia.

Dulu pun sudah ada kes pergaduhan sehingga kepada peringkat membakar bas. Kekecohan berlaku pada perlawanan-perlawanan antara pasukan tertentu sahaja. Sekadar contoh Kelantan dan Terengganu.

Walaupun dua negeri itu berjiran dan sebahagiannya bercakap menggunakan dialek yang sama, mereka musuh ketat dalam bola sepak. Tetapi itu cerita lama, sekarang harapnya tidak lagi. Dan kalau pun berlaku, tidaklah sampai berlaku hampir setiap minggu seperti sekarang.

Peningkatan jumlah kes-kes seumpama itu memperlihatkan ada satu trend yang tidak sihat sedang menular dalam sukan bola sepak negara. Keseronokan menonton bola sepak yang tiba seminggu sekali di negeri masing-masing sudah tidak ada lagi. Apa yang seronoknya jika perlawanan berakhir dengan kekecohan, rusuhan, pergaduhan dan kecederaan. Penonton sudah tidak merasa selamat untuk ke stadium lagi.

Kalau macam itulah gayanya, baik duduk di rumah sahaja sambil menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Astro.

Orang yang merasa seronok hanyalah samseng bola sepak sahaja. Niat mereka untuk melihat kekecohan, penonton bergaduh, bertumbuk dan kemusnahan harta benda tercapai. Mereka adalah golongan sakit' yang perlu diubati.

Tetapi satu perkara yang tidak boleh ditolak tepi ialah melihat kepada punca perkara itu berlaku. Kalau mereka merusuh kerana pasukan mereka tewas. Itu tidak patut kerana menang kalah perkara biasa. Kalau mereka bergaduh hanya kerana marahkan penonton pasukan lawan mengejek kekalahan mereka pun tidak kena. Penonton golongan ini perlu belajar mengawal emosi. Kalau pemain bola boleh lasak di padang, penyokong juga kena tahan lasak bila diejek atau dikutuk.

Tetapi ada juga penonton yang berbuat sedemikian kerana merasakan pasukan negeri mereka tidak diberi keadilan yang sepatutnya. Mereka mungkin boleh memaafkan pengadil jika tewas dalam satu-satu perlawanan. Tetapi sukar menerima insiden pemain dan pegawai pasukan mereka diserang secara fizikal.

Mereka lebih kecewa jika siasatan kes seumpama itu memakan masa berbulan-bulan, meleret-leret dan dipenuhi alasan demi alasan. Kelihatannya seolah-olah ada rasa takut dan tidak ada keberanian untuk membuat keputusan!

Tidak hairanlah rasa marah mereka sentiasa marak. Setiap kali ke stadium, mereka mengusung sekali bara dendam itu. Kadang-kadang tembakan meriam air oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tak berupaya memadamkan bara kemarahan mereka!

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved