Jumaat, 18 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pembelaan hanya penafian - Mahkamah

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh NORLIZAH ABAS dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 18 April - Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa keterangan pembelaan dari kandang tertuduh yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, merupakan penafian semata-mata.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi menyatakan, pembelaan yang boleh dipercayai adalah bersandarkan kepada keterangan yang menjawab segala bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tanpa boleh dipertikai.

Bagaimanapun, ujar mereka, mahkamah berpendapat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak langsung menafikan berada di tempat kejadian pada hari dan waktu seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Panel itu juga menyatakan, Anwar tidak menafikan keretanya dilihat memasuki dan meninggalkan kondominium itu pada waktu kejadian, selain tidak mempertikaikan keterangan bahawa dia dilihat memasuki lif ke tingkat lima dan kemudian meninggalkan bangunan tersebut.

Mereka berpendirian, Anwar malah tidak menafikan telah mengarahkan Ketua Staf di ibu pejabat PKR, Ibrahim Yaacob agar menyediakan sampul surat untuk diserahkan kepada beliau dan saksi itu kemudian mengarahkan mangsa ke kondominium berkenaan.

Ujar panel itu, Anwar selaku responden juga tidak mempertikaikan bahawa mangsa yang ketika itu pembantu peribadinya telah membawa sampul berkenaan dan menyerahkan kepadanya dalam pertemuan di kondominium itu.

Sehubungan itu, panel tersebut menyatakan, panel berkenaan berpuas hati bahawa keterangan pembelaan dari kandang tertuduh yang dikemukakan oleh Anwar hanya penafian semata-mata kerana ia tidak menyangkal pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Selain itu, mahkamah berpendapat, hakim bicara sewajarnya terfikir mengapa Anwar memilih untuk memberi keterangan tanpa mengangkat sumpah dan adakah beliau berbuat demikian kerana enggan disoal balas.

Mahkamah berpendapat, pembelaan dari kandang tertuduh meskipun masih merupakan keterangan, ia tidak layak untuk disamakan dengan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

'Responden tiada apa untuk ditakuti jika ditanya soalan-soalan yang tidak adil kerana beliau akan dilindungi oleh mahkamah dan para peguamnya,' ujar panel itu dalam penghakiman setebal 85 muka surat yang dikeluarkan hari ini.

Panel hakim itu menyatakan demikian ketika menggariskan alasan-alasan berhubung keputusan panel tiga hakim yang turut dianggotai oleh Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh pada 7 Mac lalu yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, enam tahun lalu.

* Penghakiman penuh tersebut boleh dibaca di internet melalui pautan di Utusan Online.

Panel tersebut membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diketuai oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan Anwar diikat jamin RM10,000.

Anwar memfailkan rayuan pada 10 Mac lalu untuk mengetepikan hukuman dan sabitan tersebut manakala pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan balas untuk menambah hukuman penjara.

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dalam penghakiman itu, panel tersebut turut menyatakan pembelaan Anwar berkisar kepada keterangan alibi apabila beliau telah memberikan notis berhubung perkara itu sebelum perbicaraan bermula.

Bagaimanapun, ujar mereka, ketika perbicaraan, pihak pembelaan tidak langsung memanggil saksi alibi termasuk isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ibrahim bagi mempertahankan kesnya walaupun keterangan tersebut penting bagi membebaskan Anwar daripada tuduhan yang dihadapinya.

Tiada bantahan pendengaran rayuan Mac

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

PUTRAJAYA 18 April - Mahkamah Rayuan menolak dakwaan bahawa rayuan pihak pendakwaan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan diputuskan dalam keadaan tergesa-gesa.

Sebaliknya, penetapan tarikh pendengaran pada 6 dan 7 Mac lalu dibuat tanpa sebarang bantahan oleh mana-mana pihak yang terlibat sewaktu pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Aziah Ali pada 28 Februari lalu.

Selain itu, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, kebanyakan penangguhan dalam kes tersebut terjadi adalah disebabkan oleh tindakan Ketua Pembangkang itu sendiri selaku responden antaranya memfailkan satu demi satu permohonan.

"Pendengaran kali pertama rayuan telah ditetapkan pada 22 Julai 2013 dengan kedua-dua pihak sepatutnya memfailkan hujahan bertulis masing-masing. Bagaimanapun, hanya pihak perayu (pendakwaan) telah memfailkan hujahan bertulis iaitu pada 18 Julai 2013 bersama-sama dokumen-dokumen berkaitan.

"Pihak Mahkamah hanya menerima hujahan bertulis responden yang pertama pada 12 Februari 2014 dan satu lagi hujahan bertulis pada hari pertama pendengaran iaitu pada 6 Mac lalu," menurut panel tersebut dalam penghakiman kes itu yang diperoleh pihak media hari ini.

Menurut mahkamah, adalah menjadi kepentingan awam bahawa rayuan kes jenayah dikendalikan oleh mahkamah secepat mungkin.

Ujar panel itu, adalah tidak wajar bagi peguam yang mengendalikan kes seringkali gagal mempercepatkan pendengaran rayuan semata-mata untuk kesenangan anak guamnya atau bertujuan menyebabkan pihak satu lagi gagal mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

"Seringkali dinyatakan bahawa melengahkan adalah taktik utama pembelaan. Peguam bela tidak sepatutnya dengan niat menggunakan prosedur sebagai alat untuk melengah-lengahkan prosiding tanpa sebarang asas undang-undang," kata mereka.

Sementara itu, menurut rekod, kes tersebut telah ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar sebanyak sembilan kali selepas petisyen rayuan difailkan pada 9 Julai 2012.

Pendengaran kali pertama ditetapkan pada 22 Julai 2013 dengan panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ramly Ali. Pendengaran itu bagaimanapun ditangguhkan ekoran peguam utama Karpal Singh yang mewakili Anwar dimasukkan ke hospital kerana sakit belakang.

Pada pengurusan kes ke-10, peguam responden memaklumkan bahawa pihak mereka akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan tersebut.

Pada 23 Ogos 2013, permohonan tersebut difailkan dan ditetapkan untuk pendengaran pada 17 September tahun sama.

Bagaimanapun, pada tarikh pendengaran itu, Karpal memohon agar Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar permohonan itu berikutan beliau pernah mengetuai panel dalam satu kes saman fitnah oleh Anwar terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Secara keseluruhan, Anwar memfailkan tiga permohonan agar Muhammad Shafee disingkirkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan, namun setiap permohonan itu ditolak sehingga ke peringkat tertinggi bermula Ogos 2013 sehingga Mac tahun ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga memfailkan permohonan untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes itu, Supritendan Judy Balcious Pereira bagi mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-15 itu. Permohonan itu juga ditolak sehingga peringkat tertinggi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved