Utusan Online - Hiburan |
Posted: 28 Apr 2014 11:54 PM PDT Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL LAPAN tahun bercinta, pasangan ini akhirnya berjodohan. DERAI air mata pelakon jelita, Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, sebaik sahaja sah bergelar isteri kepada Fizz Fairuz seolah-olah meluah sejuta rasa. Kisah percintaan mereka yang penuh ranjau dan duri akhirnya tersimpul rapi di puncak bahagia. Banyak kesabaran yang perlu ditanggung Almy Nadia dalam membuktikan cinta agungnya kepada Fizz Fairuz. Dia terpaksa berkorban jiwa dan raga untuk bertahan sehingga bergelar isteri kepada lelaki dengan nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 35. Bukan bermaksud mahu menyimpulkan sesuatu yang tidak molek tentang Fizz Fairuz. Pasti ada yang ingat kembali kisah pelakon yang terkenal dengan filem Bisikan Syaitan itu yang secara tiba-tiba bertunang dengan wanita lain. Semua itu pula berlaku ketika mereka masih lagi bergelar pasangan kekasih dan sudah pun merancang untuk membina mahligai bersama. Hati wanita mana yang tidak luluh berkecai dicurangi sebegitu rupa dan Almy Nadia mempunyai alasan munasabah untuk meleraikan ikatan cinta mereka. Namun, pelakon yang semakin laris dalam dunia seni tempatan ini memilih untuk berlapang dada. Apa yang berlaku diterima sebagai kekhilafan Fizz Fairuz sebagai satu-satunya lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya. Lapan tahun cinta mereka telah diuji dengan pelbagai onak serta duri dan dia tidak bersedia untuk mengalah walau sehebat mana sekali pun cabaran yang melanda. Berkat kesabarannya, selepas solat asar pada 26 April lalu, Almy Nadia akhirnya menjadi suri hati Fizz Fairuz dengan hanya sekali lafaz akad nikah. Hari penuh bersejarah itu hadir lebih awal ketika mereka sebenarnya merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada 30 Mei ini. Dia menerima wang hantaran berjumlah RM20,000 manakala mas kahwin pula sebanyak RM1,001. Sembilan dulang hantaran yang diterimanya dibalas sebanyak 11 dulang kepada pihak lelaki. Menariknya, antara hantaran yang diberikan Almy Nadia adalah sebiji kek berbentuk adiwira `Ironman yang hanya Fizz Fairuz sahaja mengerti maksud pemberian itu. Hantaran lain termasuk senaskah al- Quran, kasut dan minyak wangi Gucci, Ipad mini, telefon bimbit BlackBery, dompet Louis Vuitton, jam tangan Chronomaster, tepak sireh dan buah-buahan. Dulang hantaran Fizz Fairuz turut mencuri tumpuan dengan pemberian antaranya rantai mutiara yang dimenanginya ketika meraih salah satu anugerah popular beberapa tahun lalu. Hantaran lain termasuk senaskah al-Quran, tas dan beg tangan jenama Channel, minyak wangi Gucci, set alat solek Elizabeth Arden serta set minyak wangi Gucci. Majlis pernikahan serba sederhana mereka berlangsung di Masjid Balik Pulau, Kampung Pondok Upeh, Pulau Pinang iaitu di kampung kelahiran Almy Nadia. Hari penuh bersejarah itu diraikan kira-kira 150 orang tetamu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat dan rakan-rakan artis. Memilih busana berwarna biru firus, keayuan Almy Nadia terserlah di sebalik senyuman bahagia yang tidak putus menguntum. Fizz Fairuz pula yang turut tidak lekang dengan senyuman di bibir bertambah kacak dalam persalinan baju Melayu rona serupa. Pasangan ini seperti tidak mampu lagi menyembunyikan rasa bahagia di jiwa selepas saling bergurau senda ketika diusik kenalan rapat serta rakan-rakan media sebaik sahaja selesai majlis pernikahan. Pasangan ini kelak akan diraikan dalam majlis resepsi di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 31 Mei ini manakala majlis menyambut tetamu di rumah keluarga Fizz Fairuz dijangka berlangsung di Raub, Pahang pada Jun ini. Anugerah kesabaran Didekati wartawan sebaik sahaja selesai majlis pernikahan, Almy Nadia tidak dapat mengelak daripada ditebak dengan soalan tentang kisah silam Fizz Fairuz. Episod hitam yang hampir menyaksikan dia kehilangan kekasih hatinya itu buat selama-lamanya tidak mungkin boleh dipadam begitu sahaja. Bagaimana dia masih sanggup bertahan dan memilih menerima Fizz Fairuz kembali dalam hidupnya mengundang tanda tanya kepada banyak orang. Saat diajukan persoalan itu, Almy Nadia mengakui dia sendiri tidak pernah terbayang akan kuat menempuh detik-detik pahit berkenaan. Apatah lagi, dia berseorangan dalam berdepan ujian cukup menggetirkan itu ketika orang di sekeliling mahu supaya kejadian tersebut menoktahkan hubungan mereka. Namun, dia bersyukur kerana keluarganya tetap berdiri teguh di sebalik keputusannya untuk bertahan. Bagi Almy Nadia juga, kebahagiaan tidak mungkin menjadi miliknya ketika ini jika dia tidak mampu bersabar dengan apa yang berlaku. Kesabaran itu memberi kekuatan yang cukup besar kepada saya sebab bukan mudah untuk saya berdepan dengan orang yang sukar untuk diramal. Alhamdulillah, berkat kesabaran itu juga, kami kini disatukan dan saya berharap doa yang terbaik daripada semua peminat untuk kebahagiaan kami," katanya. |
Posted: 28 Apr 2014 11:54 PM PDT SABAN tahun, penganjuran Pesta Air Malaysia Port Dickson tidak pernah mengecewakan terutama dalam menyediakan pelbagai acara hiburan yang mampu menarik minat khalayak untuk bertandang ke lokasi pelancongan terbaik dalam negara itu. Sebagai salah satu acara pelancongan tahunan di Negeri Sembilan, penganjuran kali kelapan ini dijangka lebih meriah kerana menampilkan variasi artis yang mempunyai pengaruh masing-masing. Sasaran pada kali ini, pesta yang sama akan menerima kunjungan kira-kira 100,000 pengunjung. Antara nama hebat pada hari pertama pesta tersebut berlangsung, 2 Mei ini ialah kumpulan underground terkenal, Bunkface yang akan muncul menghangatkan acara persembahan, bersama dengan nama-nama seperti Elly Mazlin, Aliff Aziz, Awi Rafael dan Roslan Shah selaku pengacara. Selain mengadakan persembahan pentas dengan lagu-lagu popular masing-masing, mereka turut dijadualkan menjayakan sesi ramah mesra bersama peminat yang bertuah agar menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Saban tahun, Pesta Air di Port Dickson adalah persembahan yang ditunggu-tunggu oleh semua. Jadi, untuk tahun ini, Elly merasa bertuah kerana menjadi pilihan penganjur untuk menghiburkan pengunjung di sana. Ini adalah masa yang terbaik untuk bertemu dengan peminat di Port Dickson dan juga dari seluruh negara yang datang. Memandangkan Elly semakin sibuk dengan dunia lakonan sekarang ini, kemunculan di Port Dickson adalah peluang untuk terus membuktikan bahawa Elly masih lagi aktif menyanyi," kata Elly yang akan menyampaikan lagu-lagu popularnya dalam acara tersebut. Bukan itu sahaja, keesokannya pula iaitu pada 3 Mei, terdapat beberapa orang lagi selebriti yang hadir memeriahkan acara seperti Adira, Azhael, Leez Rosli dan Azrol. Turut membuat penampilan istimewa ialah kumpulan jejaka-jejaka kacak, Forteen. Pelbagai agenda telah disusun penganjur bagi memastikan intipati pesta tersebut mampu meninggalkan seribu satu memori buat pengunjung yang setia memenuhi tapak pesta pada setiap tahun. Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Daing Muhamad Rahimi Abdul Hamid berkata, selaku Bandar Pantai Peranginan Negara, jumlah pengunjung akan bertambah pada setiap tahun ke pesta yang dinanti saban tahun ini. Jumlah pengunjung yang besar itu mampu dicapai dengan pengiktirafan yang telah diberikan ke atas Port Dickson sebagai Bandar Pantai Peranginan Negara. Malah sebanyak lebih 20 acara telah disediakan untuk orang ramai melalui kombinasi acara telah disatukan bagaikan pesta meliputi bangsa, umur dan keluarga. Saya yakin kita dapat mencapai sasaran itu memandangkan 1 Mei yang juga merupakan cuti umum (Hari Pekerja) akan memberikan kesempatan kepada orang ramai untuk bercuti panjang bersama keluarga di pantai peranginan ini," katanya. Orang ramai yang berminat menyertai aktiviti yang dianjurkan dan gerai jualan boleh menghubungi 012-2846811 (Aley) atau 019-6609862. Untuk keterangan lanjut juga boleh melayari facebook : Pesta Air Malaysia Port Dickson.- IFQDAR RAHMAN. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan