Utusan Online - Rencana |
Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST Oleh Azmi Hassan Sambutan Tahun Baharu 2014 di Dataran Merdeka dihentikan apabila peserta Himpunan Guling Kerajaan mula membuat kacau. - Utusan/Nasirruddin Yazid TONGA sebuah negara pulau yang terletak paling hampir dengan garis sempadan waktu antarabangsa yang membezakan di antara hemisfera timur dan barat adalah antara tempat paling awal menyambut tahun baharu 2014. Seperti negara lain, ketibaan tahun 2014 disambut dengan penuh meriah dan paling menarik sambutan dimulakan dengan upacara penuh tradisi seperti letupan meriam buluh. Begitu juga dengan kawasan kutub selatan Antartika adalah antara tempat yang menerima kunjungan tahun 2014 lebih awal daripada negara lain, mendapat perhatian istimewa kerana 74 orang yang terkandas dalam kapal penyelidikan MV Akademik Shokalskiy juga meraikan ketibaan 2014 dengan cara mereka tersendiri walaupun langkah menyelamatkan mereka terbantut buat seketika. Hakikatnya adalah bermula dari Tonga hinggalah ke negara yang paling lewat menerima kunjungan tahun baharu 2014 iaitu di American Samoa, upacara mengikut kelaziman dan kemampuan masing-masing diadakan bagi meraikan peristiwa tersebut saban tahun. Malah sambutan di Red Square Moscow juga tetap diteruskan walaupun Rusia sedang berhadapan dengan keadaan keselamatan yang genting apabila berlaku dua letupan yang meragut banyak nyawa di bandar Volgograd. Begitu menakjubkan juga, dua bandar besar yang dikatakan sedang bergolak iaitu Bangkok dan Kiev juga meraikan kehadiran tahun 2014 tanpa berlaku peristiwa yang mencacatkan sambutan tersebut. Bangkok menjelang tahun baharu dikatakan agak tenang setelah sejak beberapa minggu mengalami suasana tidak menentu akibat demonstrasi dan protes terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra. Tidak timbul keadaan kumpulan yang terlibat dalam protes tersebut mengambil peluang untuk mengkucar-kacirkan lagi keadaan dalam suasana penduduk Bangkok meraikan tahun baharu 2014. Suthep Thaugsuban yang dianggap sebagai ketua dan dalang protes di Bangkok mengambil keputusan menghentikan buat seketika aktiviti protes untuk memberi laluan supaya sambutan tahun baharu tidak terganggu. Tetapi beliau menyeru rakyat Thailand untuk menyertai perhimpunan apa yang digelar sebagai Bangkok Blitz sebaik-baik sahaja berada di tahun 2014 dengan tujuan untuk melumpuhkan Bangkok sekali lagi. Begitu juga dengan penunjuk perasaan yang berhimpun sejak sebulan lepas di Dataran Kemerdekaan Kiev, Ukraine sebagai membantah keputusan Presiden Viktor Yanukovych membatalkan perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU). Mereka tidak mengambil langkah untuk sabotaj sambutan tahun baharu yang diadakan di tempat berhampiran dataran tersebut. Tetapi lain pula cerita dengan kumpulan yang menjadi tulang belakang Himpunan Guling Kerajaan telah menggunakan kesempatan acara sambutan tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka sebagai pemangkin untuk mengkucar-kacirkan keadaan di ibu kota Kuala Lumpur. Dataran Merdeka cukup sinonim dengan sambutan tahun baharu kerana ia menjadi ikon dan tradisi, bukan sahaja untuk sambutan tahun baharu tetapi juga bentuk sambutan yang lain. Tidak keterlaluan jika New York Times Square di Amerika Syarikat, Marina Bay di Singapura dan Sydney Harbour di Australia ialah tempat yang begitu dikenali sebagai pusat sambutan tahun baharu, begitu juga dengan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Tetapi sambutan tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka tercemar apabila dianggarkan 5,000 peserta Himpunan Guling Kerajaan telah bertindak ganas dengan merempuh penghadang polis untuk merampas pentas utama dan paling mengaibkan sekali memaksa penganjur membatalkan sambutan kira-kira 30 minit menjelang detik 12 tengah malam. Rasa hormat dan adat orang Timur bagaikan sudah hilang apabila kumpulan tersebut menyerbu masuk ke pentas dari segenap sudut dengan jeritan ungkapan reformasi dan turun. Dan paling memalukan sekali mengerumuni dan mengambil alih pentas utama. Acara konsert dan pertunjukkan bunga api juga terpaksa dibatalkan setelah peserta perhimpunan haram itu membaling objek ke arah pentas utama ketika pancaragam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat persembahan. Adalah agak memalukan juga gelagat kumpulan Himpunan Guling Kerajaan yang menjerit pekik serta memaki hamun Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib yang pada ketika itu sedang cuba menenangkan keadaan dengan berucap di atas pentas utama. Tidak sukar untuk membaca strategi dalang himpunan tersebut kerana tetap berkeras memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi utama mereka kerana begitu jelas mereka ini mempunyai maksud untuk mengkucar-kacirkan sambutan tahun baharu. Tetapi harapan kumpulan ini untuk mengajak pengunjung yang berada di Dataran Merdeka turut serta dalam himpunan tersebut ternyata sekali gagal, malah menongkah arus objektif asal kerana ramai yang hadir bergegas meninggalkan dataran kerana bimbangkan keselamatan mereka. Peristiwa yang telah melanda Dataran Merdeka adalah secara mikronya begitu jelas huru-hara boleh melanda negara jika pendekatan protes jalanan digunakan sebagai modus operandi untuk mencapai satu-satu tujuan. Begitu sahih sekali dalang Himpunan Guling Kerajaan ini akan melakukan apa sahaja hanya untuk mencapai cita-cita politik mereka kerana sebarang gangguan di Dataran Merdeka menjelang tahun baharu sudah pasti boleh mencetuskan huru-hara. Keadaan menjadi terkawal hanya kerana pihak keselamatan mengambil pendekatan berhemah yang mengelak keadaan menjadi bertambah buruk. Begitu berbeza sekali prinsip dan disiplin yang dipamerkan oleh kumpulan protes di Bangkok dan Kiev kerana mereka sanggup mengetepikan buat seketika aktiviti protes menjelang tahun baharu, sedangkan pula dalang Himpunan Guling Kerajaan telah mengambil kesempatan sambutan untuk menghuru-harakan lagi keadaan. PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM |
Bendung kenaikan harga barangan Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST Oleh NG LUM YONG Masyarakat pengguna perlu berjimat dan berhemat di pasar dalam musim kenaikan harga barangan. - Gambar hiasan Kenaikan harga barang kembali melanda Malaysia. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti pekerja biasa dan golongan bawah, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka khususnya yang berpendapatan rendah. Hal ini menyebabkan kesan-kesan kenaikan harga barang keperluan berlaku. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil kerajaan untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, "ingat sebelum kena, jimat sebelum habis." Kenaikan harga barangan telah memberikan kesan kepada semua orang. Antaranya masalah ini akan menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini berlaku demikian kerana kuasa beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Contohnya, barang-barang keperluan dapur semakin meningkat dan dianggarkan meningkat dalam lingkungan 30 hingga 50 peratus daripada harga sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini hanya cukup-cukup makan. Oleh itu, masyarakat perlu berbelanja dengan bijak dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Kesan sosioekonomi sememangnya teruk seperti yang pernah kita saksikan dan alami sebelum ini. Kegiatan mengambil untung berleluasa dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi peniaga. Peniaga dan badan korporat menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Pihak yang tidak mahu memikul beban kenaikan akan memindahkan lebihan kos kepada pihak lain, sama ada pembekal atau peruncit dan mangsanya ialah pengguna. Selain itu, terdapat juga peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang dengan sesuka hati. Sikap tidak bertanggungjawab ini membawa kesan negatif kepada sosioekonomi dan menyekat kemajuan ekonomi negara. Peranan penting orang tengah dalam rangkaian makanan yang mana mereka menentukan harga dan bekalan barang makanan yang dijual di pasaran. Orang tengah berada dalam kedudukan selesa kerana mereka menjana keuntungan besar daripada pihak pengeluar dan pihak pengguna. Rantaian kenaikan berkenaan menjadikan harga barang-barang keperluan turut naik yang mana menjadi bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Hal ini melibatkan kos pembuatan dan pemprosesan. Keadaan yang meruncing dan mendadak akan menyebabkan rakyat yang kurang bersedia untuk menghadapinya terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, buruh dan pengusaha kecil. Fenomena ini akan dianggap suatu yang amat membebankan. Selain kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini. Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. Kos perkhidmatan yang membebankan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini. Pengusaha khususnya golongan yang kurang mampu terpaksa menanggung bebanan kos yang tinggi seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan sehingga ada pemilik restoran yang terpaksa menutup restorannya ekoran daripada kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan. Bagi mengurangkan bebanan ini, peniaga terpaksa menaikkan harga barang yang dijual. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna. Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu mengambil pendekatan berhemah untuk menguruskan kewangan mereka. Peningkatan harga minyak 10% tersebut akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang, terutama harga barang makanan. Bahan makanan, sama ada dalam bentuk mentah, separa proses atau siap diproses perlu diangkut dari tempat pengeluaran atau pemprosesan kepada tempat pemasaran. Kenaikan kos pengangkutan dan kos pemprosesan sudah tentu akan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang akhir yang diangkut. Kerajaan boleh campur tangan dengan mengumumkan Dasar Kawalan Harga barangan tetapi dari segi ekonomi, dasar campur tangan tersebut akan membawa kepada herotan ekonomi dan memberi lebih banyak keburukan. Orang ramai masih gemar memandu kenderaan sendiri daripada menggunakan pengangkutan awam. Hal ini menyebabkan penggunaan minyak terus meningkat. Bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan pengguna atas pilihan tersebut. Jika mutu perkhidmatan awam baik bas, teksi dan kemudahan LRT dan komuter masih kurang memenuhi kehendak dan permintaan rakyat. Kita tidak boleh membandingkan dengan negara lain sekiranya ingin menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam. Contohnya, sistem pengangkutan awam di Singapura adalah cekap dan lengkap. Oleh itu, kenaikan harga barang memberikan impak yang sangat besar kepada kuasa beli masyarakat. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani masalah ini. Langkah tersebut ialah pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna. Hal ini berlaku demikian kerana melalui kempen atau mesej awam, kerajaan boleh menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat bagi mendatangkan hasil. Kempen tersebut boleh dijalankan melalui media massa arus perdana seperti televisyen, radio dan juga media cetak. Di samping itu, kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharap dapat memberikan kesedaran kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna. Masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Sebenarnya, cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970-an dengan rancangan Buku Hijau. Dengan cara ini, para pengguna tidak perlu membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari. Contohnya, masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni. Selain itu, cara ini juga boleh menjimatkan masa untuk membeli sayur-sayuran di pasar. Pihak kerajaan hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Contohnya, mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kenaikan harga barang. Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan harga barang yang tidak terkawal akan menyebabkan kekacauan dan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan politik yang mengancam keharmonian negara. Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan membendung masalah kenaikan harga barangan keperluan dan mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini supaya masalah kenaikan harga barang dapat dikurangkan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan