Utusan Online - Kota |
- Perhimpunan tidak jejas industri pelancongan - Phesal
- Terima anugerah hari pertama tahun baharu
- Malam tahun baharu 2014 di Menara KL meriah
Perhimpunan tidak jejas industri pelancongan - Phesal Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST KUALA LUMPUR 1 Jan. - Perhimpunan haram yang diadakan di Dataran Merdeka malam tadi tidak akan menjejaskan industri pelancongan terutamanya kedatangan pelancong ke ibu kota. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, berkata, biarpun harapan pelancong dalam dan luar negara untuk melihat lebih banyak acara diadakan malam tadi tidak kesampaian, namun beliau yakin gangguan itu tidak akan sesekali mengurangkan sasaran 15 juta jumlah pelancong ke negara ini. "Perhimpunan haram seperti malam tadi hanya akan diadakan ketika acara-acara besar diadakan, oleh itu kita percaya selepas ini tiada lagi perkara seumpama itu berlaku di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga berharap supaya orang ramai tidak menyertai perhimpunan haram yang boleh merosakkan imej negara. Mengulas mengenai tindakan susulan DBKL terhadap penganjur perhimpunan haram malam tadi, Ahmad Phesal berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan polis dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu. "DBKL akan memutuskan tindakan lanjut terhadap penganjur perhimpunan itu selepas satu mesyuarat khas diadakan. "Setakat ini DBKL belum mengenal pasti apa tindakan yang akan diambil sama ada tindakan saman kepada penganjur atau tindakan lain yang sesuai," ujarnya. Ditanya mengenai jumlah kerugian, Ahmad Phesal berkata, DBKL setakat ini belum menerima apa-apa laporan kerugian peralatan atau harta benda akibat perhimpunan haram itu. |
Terima anugerah hari pertama tahun baharu Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST (DARI kiri, depan) P. Rajeswary, Noorakmar Syakilla Mohd. Jamil dan Azleeza Zulkifli bersama bayi mereka yang lahir di HKL, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI KUALA LUMPUR 1 Jan. - Ketibaan 2014 membawa kegembiraan berganda buat seorang ibu muda, Azleeza Zulkifli yang menerima cahaya mata sulung pada hari pertama tahun baharu 2014. Bayi perempuannya seberat 3.14 kilogram (kg) itu selamat dilahirkan secara normal pada pukul 1.22 pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekali gus menjadi bayi pertama dilahirkan di hospital itu tahun ini. Lebih bermakna, bayi itu dilahirkan sehari selepas dia menyambut hari ulang tahunnya yang ke-24 semalam. "Tidak sangka anak sulung saya akan lahir pada hari pertama tahun baharu 2014 kerana dia dijangka lahir empat hari lagi. Lebih istimewa, bayi ini merupakan hadiah hari jadi saya yang ke-24 semalam," katanya ketika ditemui di HKL hari ini. Dalam pada itu, Noorakma Syakilla Mohd. Jamil, 23, yang selamat melahirkan anak ketiga, berasa teruja dengan bayi lelaki seberat 3.48kg yang dilahirkan pada pukul 9.55 pagi ini. Dia berasa amat bertuah kerana sekali lagi melahirkan anak pada tahun baharu. "Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana pada tahun baharu ini juga saya mendapat bayi lelaki yang diberi nama Mohd. Ammar Darwisy Mohd. Azlee. "Anak kedua saya juga lahir pada hari pertama tahun baharu 2011," katanya. Bagi P. Rajeswary, 28, pula, bayi perempuan seberat 2.36kg yang lahir pada pukul 10.39 pagi ini mendatangkan keceriaan kepada keluarganya. Dia juga tidak menyangka anak keduanya akan lahir pada tahun baharu kerana tarikh jangkaan kelahirannya adalah sebulan lagi. Sementara itu, Ketua Jururawat Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HKL, Rohana Mat Noor berkata, seramai 15 bayi tahun baharu dilahirkan bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga 2 petang ini. Menurut beliau, lapan daripadanya ialah perempuan. "Sembilan daripadanya berketurunan Melayu dan enam lagi berketurunan India. Kami menjangkakan kira-kira 10 hingga 12 bayi lagi akan dilahirkan pada hari ini," katanya. |
Malam tahun baharu 2014 di Menara KL meriah Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST Zuraidah Mohd. Said (depan, tiga dari kanan) bersama kakitangannya menyambut tahun baharu bersama pengunjung di Menara Kuala Lumpur, malam semalam. KUALA LUMPUR 1 Jan. - Sambutan tahun baharu 2014 di pelantar terbuka Menara Kuala Lumpur malam tadi meriah dengan kehadiran lebih 200 pengunjung termasuk pelancong dari luar negara. Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Datuk Zuraidah Mohd. Said berkata, sambutan tahun baharu merupakan salah satu tarikan pelancongan ke Malaysia dan pelantar terbuka ini yang berada di ketinggian 300 meter. "Bagi membolehkan mereka mengingati detik-detik manis sambutan tahun baharu kali ini, pihak kami menyediakan kemudahan pelantar untuk membolehkan pengunjung melihat pemandangan indah sambutan tahun baharu di ibu negara," katanya ketika ditemui di pelantar terbuka Menara Kuala Lumpur di sini malam tadi. Tepat pukul 12 tengah malam, sebanyak 200 biji belon dilepaskan ke udara sebagai simbolik menyambut kedatangan tahun baharu. Pengunjung juga dapat melihat percikan bunga api yang dilepaskan ke udara di merata tempat di ibu negara. Seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd. Marzuq Imran Mohd. Helmi, 23, gembira kerana kali pertama menyambut tahun baharu di menara itu. "Segala-galanya boleh nampak dari sini, seumpama saya berada di banyak tempat. Saya berpuas hati dengan sambutan di sini kerana ini juga merupakan peristiwa kemuncak di Kuala Lumpur," katanya. Seorang pekerja bahagian pemasaran stesen radio, Tony Vollmar Hause, 34, dari Australia memberitahu, dia merasai kelainan menyambut tahun baharu di sini berbanding di negaranya. "Pemandangan di sini amat cantik dan kami juga dapat melihat pelbagai budaya yang ditonjolkan di negara ini dengan adanya masyarakat yang berbilang kaum," katanya. Isterinya, Sonia Hobbs, 35, pula berkata, mereka merancang untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur selepas melihat sebahagian daripada keindahan ibu kota dari Menara Kuala Lumpur. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan