Utusan Online - Keluarga |
Posted: 01 Jan 2014 06:35 AM PST BUKAN mudah bagi Hafiz, 26, meluahkan masalah yang membelenggu dirinya. Bagi saya, Hafiz seorang lelaki yang terlalu merendah diri, katanya, apa yang dilaluinya mungkin biasa-biasa sahaja berbanding dugaan yang dilalui individu lain. Namun saya tahu apa yang dialami Hafiz sebenarnya satu ujian untuk hamba-Nya yang terpilih, malah yang lebih membuatkan saya teruja berkongsi kisah Hafiz ialah kekuatan dirinya dalam mengharungi ujian hidupnya. "Terima kasih kepada kakak kerana sudi mendengar kisah saya, benar, rasa terangkat lebih separuh beban tekanan dalam badan. "Sebelum ini saya betul-betul rasa keseorangan, sebagai anak sulung saya memang tidak suka menunjukkan masalah saya mahupun berkongsi masalah dengan orang lain," ujar Hafiz membuka bicara. Perbualan diteruskan, Hafiz banyak bercerita tentang sifatnya, dia seorang yang amat jarang hendak menunjukkan rasa tak puas hati, marah atau buat apa saja yang memburukkan keadaan secara sengaja. Bagi Hafiz itu semua tidak berbaloi malah keadaan akan jadi bertambah sukar dan akhirnya dia perlu ambil masa yang lebih panjang untuk membetulkan keadaan. "Sebab tu saya rasa sangat keseorangan dalam masalah saya. Sebenarnya dari kecil saya sudah biasa kena marah. Waktu saya kecil, emak selalu marah kalau tak dengar cakapnya. Abah pun sama. Kadang-kadang kena marah dengan kawan bila bergaduh, tapi itu biasalah. "Adakala kena marah dengan cikgu pasal tidak siap kerja rumah. Bila sudah kerja kadang-kadang kena marah dengan bos. Lagi sakit hati bila kena marah tentang perkara yang bukan salah kita. "Tapi dalam semua itu, tiada satu pun yang lebih teruk daripada saya kena marah dan kena maki dengan isteri saya sendiri. Ia begitu menyedih dan memalukan," luah Hafiz. Sangat penyabar Sebagai suami, Hafiz memang cukup penyabar, dia tidak pernah memarahi isterinya walaupun isterinya bersikap amat panas baran. "Patut ke saya marah balik, lawan gaduh? Sampai sudah takkan ada yang boleh menegakkan siapa yang betul, siapa salah. Apa yang saya boleh buat hanya bersabar sahaja. Walaupun Allah saja yang tahu macam mana remuk, hancur, pedih, luluh dan cariknya hati bila kena maki macam tu daripada orang yang sangat kita sayang. "Sakitnya tak dapat nak cerita, tak dapat nak hilang dengan tangis air mata, tak dapat nak luput dek masa, ianya sentiasa tersimpan di dalam hati yang saya tak pernah buka untuk diingat semula. "Tapi setiap kali saya kena marah lagi, setiap kali itulah luka baru akan membuka semula luka lama. Tiada tempat untuk saya luahkan. Saya benar-benar rasa keseorangan dalam masalah ini," cerita Hafiz panjang lebar. Hafiz sedar setiap pasangan suami isteri ada kekurangan dan kelemahan. Ada kekurangan yang memang boleh diubah dan ada juga Allah berikan ruang untuk perbaiki diri. Kalau dari segi keadaan fizikal, baik atau buruk memang tidak boleh dipersoalkan. "Tapi, adapun tentang sikap panas baran dan cepat marah, ini adalah sesuatu yang boleh diperbaiki dan diubah, jika ada kemahuan. Walaupun bukan secara mendadak, sedikit pun tidak mengapa. "Dia selalu minta saya ubah perangai, jangan banyak tidur, rajin buat kerja, jangan selalu lupa, jadilah lelaki yang lebih romantik dan macam-macam lagi. "Tapi, apa usaha dia untuk jadi isteri yang baik? Panas baran macam dulu, nasihat macam mana pun macam itu juga, makin teruk lagi ada," katanya. Hafiz berkata, dia selalu berusaha untuk menjadikan rumah tangganya lebih baik. Dia ada membaca buku dan artikel-artikel bagaimana untuk memikat hati isteri, antaranya sesekali kemaskanlah katil apabila bangun pagi sebelum isteri anda sempat mengemaskannya. "Saya pun buatlah, tapi langsung tiada makna bagi dirinya, sebab selama ni sayalah juga yang kemas katil. Tiada penghargaan langsung yang diterima daripada isteri," luah Hafiz. Terasa selalu dibandingkan Hafiz sedih kerana selalu dibanding dengan kawan-kawannya yang berjaya oleh isterinya juga diherdik macam dirinya tiada perasaan. "Setiap kali dia suka hendak banding-bandingkan saya dengan orang lain, saya rasa macam hendak menjawab, tapi tak boleh. Satu sebab saya memang penakut, bukan takut kepada isteri, tapi saya takut akan terjadi gaduh yang berhari-hari. "Saya dah penat bergaduh. Hidup ini terlalu singkat untuk diisi dengan pergaduhan rumah tangga. Saya cuma nak wujudkan kegembiraan, tapi saya tak tahu macam mana nak puaskan hati dia," katanya. Hafiz berkata, dia tidak pernah mahukan isterinya menjadi seperti isteri orang lain. Katanya, adalah tidak adil untuk dirinya membandingkan seorang isteri dengan isteri yang lain, sama juga membandingkan seorang suami dengan seorang suami yang lain, kerana mereka berada dalam situasi yang berbeza. Namun apa yang boleh dilakukan oleh Hafiz kini hanya berdoa agar satu hari nanti isterinya menyedari kesilapan sikapnya itu dan semoga Allah membimbing dirinya dan isteri ke arah kebaikan. |
Azam, semangat iringi Tahun Baharu Posted: 01 Jan 2014 06:35 AM PST 0leh Siti Aishah Yusoff Idayu Daud (kanan) sentiasa mahukan kelainan dalam gubahan bunga. KETIBAAN Tahun Baharu 2014 pasti disambut oleh setiap individu dengan pelbagai azam dan perancangan di minda. Tidak kira sama ada azam yang ingin dilaksanakan itu dari aspek individual, kerjaya, keluarga mahupun untuk kepentingan dalam masyarakat dan negara. Dalam usaha merangka dan merancang perkara-perkara yang seiring dengan kehendak dan matlamat, usaha, doa berserta tawakal adalah perkara yang perlu dinilai dan disemat dalam diri supaya matlamat tersebut dapat dicapai dengan jayanya. Berbicara tentang azam ini, bagi individu muda yang berjaya dalam bidang yang diceburi masing-masing, Pengasas The Telekung Projek, Nurazila Abdul Aziz, 33, turut berkongsi azam dan perancangan mereka untuk terus menjadi wanita berjaya dalam bidang yang diceburi masing-masing. Bagi Nurazila, tiada istilah sambutan tahun baharu untuknya kerana setiap hari yang dilaluinya adalah hari baharu yang dipenuhi juga dengan azam dan semangat baharu. Beliau juga percaya bahawa setiap insan mempunyai rezeki masing-masing dalam kehidupan. "Sebagai seorang ibu, isteri dan individu yang berperanan kepada masyarakat, saya ingin mencuba peluang yang ada sebanyak mungkin melakukan yang terbaik dalam kehidupan seharian. "Saya akan berusaha menjadi lebih efektif dari aspek pembahagian masa yang lebih seimbang dan pengurusan kehidupan yang lebih baik," katanya. Mengulas lanjut tentang The Telekung Projek yang diusahakannya secara sukarelawan sejak tiga tahun lepas, beliau berharap projek tersebut menjadi platform terbaik untuk beliau dan rakan -rakan lain yang terlibat dalam projek ini sentiasa berhubung dan mengekalkan ukhwah dengan bersatu dalam satu matlamat untuk mendidik masyarakat. "Pada tahun akan datang setelah melihat perkembangan positif dan respon baik daripada pelbagai pihak, saya berazam untuk melibatkan kanak-kanak dalam satu lagi usaha melalui projek Mummy we love Solat yang bakal diadakan pada tahun hadapan. Projek sukarelawan yang melibatkan kanak-kanak ini adalah usaha untuk mendidik mereka membuat kerja sukarelawan dari usia kecil supaya nilai-nilai baik dari program dapat dipupuk dalam diri mereka. "Projek yang bakal dilaksanakan ini asalnya adalah dari projek wakaf yang diilhamkan apabila melihat ramai kanak-kanak yang mengikuti ibu mereka tidak diajak solat sekali ketika ibu sedang menunaikan solat. Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan bermain dengan gajet seperti ipad dan tablet. "Melalui program ini, kami akan mulakan projek terbaru ini dengan menyediakan satu almari berwarna merah jambu berserta telekung bersaiz kanak-kanak di setiap surau yang terpilih. Diharap cara ini terbaik untuk mendidik kanak-kanak tersebut turut menunaikan solat bersama-sama ibu mereka," jelasnya. Kesedaran masyarakat Beliau menambah, melalui projek terbaharu yang akan turut diuruskan oleh anaknya itu, beliau ingin melihat sejauh mana kesedaran masyarakat terhadap keperluan orang di sekeliling selain mendidik mereka untuk menjadi lebih kreatif dan peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling. "Projek terbaharu ini juga akan melihat sejauh mana keberkesanannya dalam mendidik kanak-kanak menjadi lebih bertangung gjawab. Kita juga ingin melihat adakah kanak-kanak mempunyai sikap yang lebih prihatin terhadap nilai menjaga kebersihan telekung wakaf yang digunakan mereka berbanding orang dewasa yang lebih berilmu," katanya. Ditanya mengenai cabaran, beliau akui dirinya juga tidak terlepas melalui cabaran-cabaran yang sentiasa menjadikannya seorang wanita dan sukarelawan yang lebih tekun berusaha mendidik masyarakat ke arah menjadi lebih baik terutama menjaga kebersihan terutama apabila ingin mengadap 'Allah'. "Cabaran sebagai seorang sukarelawan saya berdepan untuk terus istiqamah dalam projek yang dilaksanakan. "Tidak dinafikan pembahagian masa dan tanggung jawab sebagai seorang ibu dan anak juga menjadi cabaran, namun saya cuba berusaha menjadi ibu dan isteri yang terbaik untuk mereka. Jika ada sebarang kritikan dan asakan negatif yang mendatang, saya akan cuba tangani dengan kental dan kuat," jelasnya. Lebih berjaya Bagi pemenang Gubahan Bunga di Pertandingan Orkid Antarabangsa ketujuh di Sanya, China, 2013, Idayu Daud, 33, mengakui beliau berharap menjadi lebih berjaya dalam bidang gubahan bunga. "Saya sedang mengusahakan modul untuk jabatan pembangunan kemahiran bagi menjadi tenaga pakar negara yang diiktiraf dalam bidang ini. Jika usaha saya berjaya diharap akan lahir lebih ramai penggubah bunga dalam kalangan bumiputera yang ingin mencebur dalam bidang ini. "Dalam masa yang sama, saya juga telah menubuhkan kelab pereka gubahan Malaysia dan berharap supaya lebih ramai individu akan menyertai kelas-kelas gubahan yang akan dianjurkan nanti," kata pemilik Ratwo Bunga Enterprise ini. Tambahnya, dari segi cabaran beliau turut tidak terlepas menghadapi kesukaran mendapatkan modal dan dana bagi menyertai kursus-kursus profesional gubahan bunga dalam dan luar negara, tetapi dengan usaha yang gigih dan semangat yang kental beliau yakin dapat mengatasi masalah itu. Beliau juga menasihatkan kepada mereka yang meminati bidang ini untuk terus menimba ilmu dan berani untuk mengubah bunga dengan cara terbaharu dan kreatif mengikut gaya terkini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan