Khamis, 21 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bersiap sedia hadapi bencana

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

MANGSA yang cedera dikejarkan ke hospital dalam sesi latihan bencana kebakaran dan operasi menyelamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, baru baru ini. - UTUSAN/Ismail Kamadin.

PULAU PINANG 20 Nov. - Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas di sini gempar seketika apabila siren kecemasan berbunyi pada kira-kira pukul 11 pagi, Rabu lalu.

Seketika kemudian, sebuah jentera kebakaran 6x6 Panther CA5 jenis Ultra Large Foam Tender (ULFT) milik Unit Menyelamat Kebakaran Lapangan Terbang (AFRS) tiba sebaik dimaklumkan terdapat asap kelihatan daripada sebuah bilik di tingkat tiga lapangan terbang itu.

Selain itu, dua buah ambulans milik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) turut kelihatan bergegas ke LTAPP bagi membantu tiga kakitangan syarikat penerbangan yang tercedera akibat disambar api.

Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) LTAPP juga dilihat begitu sibuk mengawal keadaan dan memastikan semua kakitangan di tingkat tiga dikeluarkan dengan selamat.

Mereka semua dikumpulkan di kawasan lapang berhampiran LTAPP sementara operasi menyelamat dan memadamkan api dijalankan AFRS dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pada masa sama anggota polis turut sibuk mengawal orang ramai yang semakin teruja untuk melihat dengan lebih dekat apa yang berlaku.

Operasi menyelamat itu tamat kira-kira sejam kemudian selepas AFRS dan bomba berjaya memadamkan api serta semua kakitangan berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Walau bagaimanapun, semua itu bukanlah kejadian sebenar tetapi merupakan sesi latihan menghadapi bencana kebakaran dan operasi menyelamat bertujuan memastikan keselamatan kakitangan LTAPP serta memastikan mereka bersedia menghadapi situasi kecemasan.

Pengurus Kanan LTAPP, Mohd. Arif Jaafar berkata, latihan itu dibuat bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat sekiranya berlaku kecemasan serta mencuba sistem siren kecemasan bangunan.

"Latihan ini selaras dengan pelan kecemasan lapangan terbang (AEP) dan prosedur operasi standard yang ditetapkan selain perlu dijalankan setahun sekali.

"Selain itu, latihan juga dibuat untuk mencuba tindak balas daripada agensi lain seperti pihak kesihatan, JBPM dan polis," katanya kepada pemberita yang dibawa meninjau latihan tersebut.

Latihan berskala besar itu melibatkan hampir 300 kakitangan dan berjaya mencapai matlamat yang diharapkan serta akan diteruskan secara berkala.

Jelasnya, sepanjang latihan itu kakitangan terlibat didedahkan kepada situasi sebenar kejadian bermula daripada siren kecemasan hingga operasi menyelamat yang perlu dilakukan secara profesional mengikut peraturan ditetapkan.

Tambahnya, apa yang ditekankan ialah kakitangan terlibat tidak harus panik ketika sebarang situasi mencemaskan berlaku sebaliknya mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan.

Menurut Mohd. Arif lagi, pihaknya yakin mampu melaksanakan AEP pada tahap paling tinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bukan sahaja kebakaran malah juga membabitkan kapal terbang yang mendarat cemas atau terhempas.

"Selain latihan kebakaran, MAHB juga mengadakan latihan kecemasan melibatkan kapal terbang terhempas atau tergelincir di landasan setiap dua tahun sekali.

"Apa yang penting ialah semua pihak dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik dan sebarang kekurangan dapat diatasi serta semua pihak bersedia menghadapi situasi sebenar," ujarnya.

Projek Iqra TH bantu 292 pelajar miskin

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Sebahagian daripada murid miskin dan kurang berkemampuan gembira menerima sumbangan persekolahan dan wang tunai bagi program Projek Iqra TH 2013 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kelmarin.

PULAU PINANG 20 Nov. - Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan sebanyak RM146,000 bagi membantu 292 pelajar miskin dan kurang berkemampuan menerusi projek Iqra 2013.

Bantuan berupa wang tunai RM300 dan peralatan persekolahan bernilai RM200 itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah TH Pulau Pinang, Amat Kassim Pait.

Amat Kassim berkata, sumbangan berkenaan merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH yang menyasarkan pelajar kurang bernasib baik dari seluruh negara.

"Pada tahun ini TH telah menyerahkan sejumlah RM1.4 juta zakat perniagaan di bawah projek Iqra di seluruh negara kepada 2,958 pelajar.

"Kita bersyukur kerana melalui bantuan Jabatan Pelajaran negeri, tahun ini sebanyak 292 pelajar dipilih menerima sumbangan ini," katanya kepada pemberita di Kompleks TH Bayan lepas di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran negeri, Abu Bakar Muad.

Tambah Amat Kassim, bagi meningkatkan sumbangan melalui projek itu, orang ramai digalakkan menabung di TH agar lebih banyak zakat dapat dikeluarkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Jelasnya, pemberian sumbangan tersebut juga sebagai tanda keprihatinan TH kepada golongan kurang bernasib baik di samping usaha menyokong program kerajaan dalam membangunkan serta melestarikan komuniti Islam di negara ini.

Sementara itu bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkuang, Siti Khadijah Salleh Hudin, 15, dia bersyukur menerima sumbangan sedemikian kerana boleh meringankan beban keluarga untuk menyediakan keperluan persekolahan pada tahun hadapan.

"Saya berterima kasih kepada TH di atas sumbangan ini dan sikap prihatin sebegini membuatkan kami semakin bersemangat untuk belajar dan berjaya dalam bidang akademik.

"Wang tunai ini akan disimpan bagi menampung perbelanjaan sekolah nanti dan sekurang-kurangnya saya tidak akan membebankan ibu bapa," ujarnya.

Bangunkan bandar sempadan

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

ALOR SETAR 20 Nov. - Kedah komited untuk membangunkan bandar sempadan yang berjiran dengan Thailand iaitu Kota Putra, Durian Burung dan Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kawasan tersebut dibangunkan di bawah Pelan Perancangan Pembangunan Induk Sempadan melibatkan projek hab perindustrian Rubber City di Kota Putra dan Kota Perdana.

''Di bawah pelan ini kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan sektor swasta bagi pembangunan kedua-dua projek tersebut.

''Perancangan teliti sedang dijalankan supaya pelaksanaan projek tersebut mencapai objektifnya," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 hari ini.

Ahmad Zaini bertanya tentang perancangan kerajaan negeri mengenai pembangunan bandar sempadan di Durian Burung dan Bukit Kayu Hitam.

Menurut Mukhriz, komitmen pembangunan itu direalisasikan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat swasta yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di Putrajaya pada 28 Februari lalu.

''Ini merupakan pencapaian yang berkesan dalam meningkatkan keyakinan, komitmen dan usahasama antara pihak berkaitan. MoU itu juga dilihat mampu meningkatkan minat pelabur asing untuk melabur dalam projek pembangunan bandar sempadan tersebut," katanya.

Mukhriz berkata, bagi merealisasikan pembangunan itu, kerajaan menyediakan prasarana di kawasan sempadan termasuk menyiapkan pos kawasan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), klinik kesihatan, kuarters penjawat awam dan menempatkan sebuah Kem Sahara dari Rejimen Artileri Diraja di pintu masuk Kota Putra yang menjadi penghubung dengan Ban Pra-Korb di Thailand.

Katanya, bagi Bukit Kayu Hitam, CIQ sedia ada akan dibangunkan sebagai sebuah kompleks yang lebih baik di bawah konsep Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dengan Syarikat Northern Gateways Infrastructure Sdn. Bhd.

''Projek dijangka dapat dimulakan pada suku pertama 2014 setelah syarikat memenuhi semua syarat di bawah konsep PPP itu. Projek ini akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan," katanya.

Mukhriz memberitahu di Durian Burung pula kerja-kerja menyediakan tapak projek pembangunan Rubber City di Kota Putra akan dimulakan akhir 2014 atau awal 2015.

''Pembangunan ini akan mengambil masa sehingga 10 tahun untuk dilengkapkan sepenuhnya dengan komponen-komponen pembangunan secara keseluruhan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved