Utusan Online - Keluarga |
Posted: 20 Nov 2013 10:42 PM PST Oleh mariatul qatiah zakaria Sebahagian kanak-kanak yang mengambil bahagian sempena karnival anjuran wall's paddle pop dan legoland resort malaysia SEMPENA Hari Kanak-kanak Sedunia, dua jenama terkemuka, Wall's Paddle Pop dan Legoland Malaysia Resort, berganding menghiburkan kira-kira 150 kanak-kanak kurang bernasib baik dari enam rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang. Diadakan di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur, karnival kanak-kanak tersebut diadakan bagi memberi peluang kanak-kanak tersebut berseronok sambil merasai pengalaman baru yang dibawakan oleh penganjur. Menyedari bahawa kanak-kanak tersebut jarang diraikan, Wall's Paddle Pop dan Legoland Malaysia Resort membawakan kegembiraan dan keceriaan kepada mereka dengan melakukan aktiviti permainan yang menarik dan menyeronokkan di karnival. Antara permainan yang disediakan pada hari tersebut ialah velcro olympics iatu sukan mini dan permainan bertemakan lego. Apa yang diharapkan daripada karnival tersebut ialah dapat menggalakkan kanak-kanak meneroka aktiviti-aktiviti sihat dan aktif serta menyeimbangkan antara pelajaran, permainan elektronik atau online serta bermain di luar. Menurut Ketua Kategori Wall's Ice Cream, Unilever Malaysia, Shawn Tan, kerjasama tersebut merupakan satu kerjasama yang benar-benar menggembirakan kanak-kanak kurang bernasib baik yang diraikan. Katanya lagi, kanak-kanak hari ini dilihat menghabiskan terlalu banyak masa dengan gajet elektronik dan sentiasa sibuk dengan sekolah, kelas tuisyen, kelas piano dan bermacam lagi. " Pihaknya berasa sudah sampai masanya untuk berubah dan menggalakkan kanak-kanak keluar dan bermain. "Apa yang berlaku hari ini adalah satu aktiviti luar yang mampu membentuk pembangunan fizikal menyeluruh, di mana kanak-kanak berpeluang untuk meneroka persekitaran mereka, bersenam, mendapat kawan baru, dan membina keyakinan diri," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Dalam pada itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran, Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy pula berkata, kerjasama pintar antara pihaknya dengan Wall's Paddle Pop dilihat mampu memberi manfaat kepada mereka yang kurang bernasib baik. Tambahnya lagi, kerjasama tersebut dilihat sebagai satu permulaan dan selepas ini akan ada lagi kerjasama antara pihaknya dan Wall's Paddle Pop. "Aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi tumpuan kepada pembelajaran yang menyeronokkan adalah nadi kepada jenama kami. "Kami berasa bangga diberi peluang untuk terlibat dalam projek ini kerana taman-taman kami memang direka khusus untuk keluarga dan kanak-kanak. Menerusi program seperti ini, kami mampu memberikan pengalaman unik Legoland di luar taman agar lebih ramai kanak-kanak dapat menikmatinya" ulasnya ditemui pada karnival tersebut, baru-baru ini. Karnival tersebut yang bermula seawal pukul 9.00 pagi memperlihatkan acara kemuncaknya dengan penampilan model Lego Paddle Pop besar yang diperbuat keseluruhannya daripada bata kecil Lego. Kanak-kanak tersebut dilihat begitu gembira menjadi kumpulan pertama di negara ini yang berpeluang untuk mendekati Paddle Pop yang berketinggian 5 kaki 2 inci dan seberat 77 kilogram. Jumlah cantuman bata kecil Lego yang digunakan untuk membina model Paddle Pop itu adalah sebanyak 53,928 bata. Rumah anak-anak yatim yang dijemput menghadiri karnival Hari Kanak-kanak Sedunia Paddle Pop dan Legoland Malaysia Resort adalah Yayasan Sunbeams, Good Samaritan Home, Rumah Bakti Nur Syaheera, Shelter Home for Children, Pusat Jagaan Siddharthan, dan Rumah Juara. Atas sumbangan Paddle Pop, model Lego Paddle Pop akan menjelajah seluruh Semenanjung menerusi pameran bergerak selama lima minggu mulai 20 November sehingga 29 Disember ini dan bakal mengunjungi 30 rumah anak-anak yatim serta 100 taman awam dan taman permainan. Model tersebut akan mengunjungi beberapa rumah anak yatim serta taman awam dan taman permainan termasuk di Zoo Negara, KidZania, Taman Burung Melaka dan sebagainya. |
Posted: 20 Nov 2013 10:42 PM PST Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Muzik membina perwatakan ceria pada kanak-kanak. SEMUA orang suka menyanyi sama ada sekadar suka-suka bagi mengubat duka, mahupun sebagai medium untuk mengekspresikan sesuatu. Namun, tahukah anda bahawa dengan nada vokal tertentu, amat membantu dalam pembentukan minda dan tubuh kanak-kanak serta remaja? Perkara ini dinyatakan oleh guru vokal terkenal, Siti Hajar Ismail, yang mengakui bahawa elemen vokal, tubuh badan dan lakonan sememangnya sukar dipisahkan kerana minda yang sihat akan menzahirkan vokal yang lebih positif. Beliau yang juga pengetua di Provoiz Consultancy & Services berkata, terapi suara adalah satu pendekatan untuk merawat gangguan suara atau komunikasi, yang melibatkan latihan vokal dan fizikal serta perubahan tingkah laku tanpa melakukan sebarang pembedahan. Program terapi ini merupakan satu pendidikan mengenai suara dan latihan dalam kemahiran teknikal yang akan membantu anak-anak mencapai matlamat bukan sahaja dalam apa juga bidang komunikasi malah untuk penggunaan suara harian. Menurut Siti Hajar, ketika sesi terapi suara, pendekatan yang digunakan adalah berbeza dan fleksibel untuk mendapat hasil terbaik sesuai dengan keperluan mereka. Secara amnya, ia akan memberi tumpuan kepada komponen latihan kemahiran teknikal seperti menggalakkan keseimbangan pada fisiologi pengeluaran suara, membantu menyelaras pernafasan, mendapatkan kekuatan dan kualiti bunyi tanpa merosakkan peti suara dan paling penting, memenuhi keperluan komunikasi harian. Kesilapan melatih suara tanpa bantuan pakar boleh mengakibatkan kecederaan suara, malah lebih serius merosakkan peti suara. Melalui program ini, anak-anak akan dapat menguasai vokal dan memulihkan masalah berkaitan suara yang dihadapi dengan cara yang berkesan, selamat dan menyeronokkan. "Medium nyanyian memang menyeronokkan. Kita boleh lihat sesetengah orang apabila berhadapan dengan masalah dia masih boleh menyanyi, itu adalah caranya untuk meluahkan perasaan. "Pada kanak-kanak dan remaja, kita boleh aplikasikan terapi vokal dengan mengajar mereka menghasilkan suara menerusi penghayatan dan daya fokus yang tinggi," ujar Siti Hajar yang ditemui di Pusat Terapi AnnaBella di Kajang, Selangor, baru-baru ini. Beza bunyi Menurut Siti Hajar, untuk menzahirkan remaja yang positif mereka perlu membuang rasa rendah diri dan bagi melakukan perkara itu pelbagai teknik boleh dicuba termasuk terapi vokal. "Terapi vokal ini sebenarnya salah satu permainan emosi yang menuntut kanak-kanak atau remaja, berhadapan dengan kenyataan dan sekali gus merungkai kelemahan diri bersama fasilitator. "Saya masih teringat ketika di zaman remaja, saya dan rakan sering bermain permainan yang kami namakan permainan emosi. Permainan kami ini caranya mudah, baring ke langit, menghadap langit dan meluahkan isi hati masing-masing. "Ada kalanya kami akan menangis dan kami memperoleh kelegaan yang sangat tinggi selepas setiap kali bermain permainan emosi. "Begitulah juga kaedah yang akan kami gunakan dalam terapi vokal. Kami juga akan dapat menilai karakteristik remaja menerusi respons mereka terhadap terapi ini. "Dari situ juga kami akan meneroka diri pelajar dan ajar mereka cara menghadapi cabaran, dugaan dengan lebih positif," ujar Siti Hajar yang telah mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang vokal. Kem Aspirasi Kreatif Sementara itu, Siti Hajar dengan kerjasama Pusat Terapi Annabella akan menganjurkan Kem Aspirasi Kreatif pada cuti sekolah ini. Kem tersebut bakal memberi peluang untuk anak-anak mengekspresi dan mengeksplorasi diri mereka dengan cara yang kreatif, positif dan penuh kasih sayang. "Kami membantu anak-anak mengenal pasti dan mengatasi kelemahan diri serta menggilap potensi yang ada dalam diri mereka melalui kaedah yang unik, kreatif dan mengujakan. "Antara keunikan dan keistimewaan program ialah terapi minda, terapi seni, terapi vocal, terapi muzik, terapi drama, terapi spiritual dan terapi fizikal kreatif," kata Siti Hajar. Hasilnya, anak-anak dapat meningkatkan keyakinan diri, mencipta daya kreativiti dan pemikiran kritis, serta meningkatkan semangat juang yang tinggi . Untuk keterangan lanjut dan pendaftaran, sila hubungi, Annabella House of Therapy di talian 03-87500213. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan