Khamis, 21 November 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Jovian, Nina nikah 11 Disember ini

Posted: 21 Nov 2013 03:11 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Nov.- Pereka fesyen dan pengacara, Jovian Mandagie, 27, dan kekasihnya, Nina Sabrina, 27, akan disatukan sebagai suami isteri pada 11 Disember ini.

Majlis pernikahan mereka akan diadakan di Muzium Diraja Istana Negara Lama di sini.

Kami bakal mencatat sejarah tersendiri kerana menjadi pasangan pertama yang bernikah di situ, sebelum pihak muzium membuka pakej perkahwinan selepas ini kepada orang ramai.

Majlis resepsi sebelah Nina dan saya akan diadakan pada 14 dan 15 Disember di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Nina Sabrina, adalah anak sulung kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob . - UTUSAN

Cabaran baru bagi Emily

Posted: 20 Nov 2013 10:42 PM PST

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar JEFFRI IRAN

Emily Chan ( bertudung) sewaktu majlis doa selamat dan pelancaran filem Kitai di Wisma MIG, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kedatangan artis baharu dalam industri seni adalah perkara biasa. Pastinya itu adalah satu perkembangan positif, khususnya industri hiburan Melayu. Ini kerana persaingan yang sihat pasti memberikan kesan positif secara keseluruhan.

Namun dalam kerancakan kehadiran pelakon muda, mereka yang telah lama bergiat sebenar turut mempunyai peluang tersendiri.

Itu yang mahu direbut oleh Emily Chan atau nama sebenarnya Chan Zi Ying.

Jelas Emily, dia sudah berlakon sejak 2009 menerusi pelbagai drama popular berbahasa Mandarin. Namun tidak pernah berpeluang untuk menceburi program berbahasa Malaysia.

"Saya sudah terlibat dengan tidak kurang daripada 10 buah drama. Baru kini saya berpeluang menceburi industri hiburan utama negara ini iaitu pasaran berbahasa Melayu.

"Pastinya saya teruja dengan perkembangan ini kerana sudah lama menyimpan impian untuk melangkah lebih jauh dengan kerjaya seni," jelas wanita kelahiran ibu kota itu.

Emily merupakan salah seorang artis di bawah syarikat milik penerbit David Teo iaitu MIG Productions Sdn. Bhd., dan kini Emily bakal tampil dengan beberapa filem iaitu Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, Glorifying Love dan Kitai.

Tambah wanita berusia 21 tahun itu, dia berharap kehadirannya dapat diterima ramai kerana baginya, bakat seni adalah bersifat terbuka dan tidak khusus buat satu kaum sahaja.

"Saya tahu bukan mudah untuk menembusi pasaran Melayu. Namun saya bersedia untuk berusaha dengan gigih bagi membuktikan bahawa saya mampu berjaya dan bersandarkan kepada bakat lakonan yang dimiliki.

"Jika dilihat, tidak ramai artis berketurunan Cina yang dikenali di pasaran ini . Tidak salah rasanya bagi saya untuk turut serta memeriahkan lagi industri tersebut," ujar anak kepada seorang jurugambar akhbar berbahasa Mandarin tempatan.

Tambah Emily, dia juga menganggap itu sebagai satu cabaran buat dirinya kerana bakal melangkah ke dalam suatu industri yang berbeza berbanding yang pernah dikenalinya sebelum ini.

"Pasti perasaan gementar itu ada. Kerana ini merupakan suatu perkara baharu buat diri saya. Namun dalam tempoh setahun setelah mula menyertainya, saya semakin selesa dengan keadaan semasa.

"Apa yang penting adalah bagaimana kita mengatasi cabaran yang mendatang setiap hari dan perlulah sentiasa bersifat positif dalam menghadapinya," tambah wanita jelita itu.

Gosip liar

Sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan tempatan, pasti cabaran utama yang bakal dihadapi mereka adalah pelbagai gosip dan kontroversi yang akan dilemparkan kepada mereka saban hari.

Namun begitu, jelas Emily, dia telah dimaklumkan terlebih dahulu oleh pihak pengurusan berhubung perkara tersebut dan sedikit sebanyak dia telah bersedia untuk menghadapi situasi sedemikian sekiranya ia terjadi.

"Bagi saya, gosip adalah suatu perkara yang penting dalam menentukan jatuh bangun seseorang artis. Apatah lagi ia memang suatu perkara yang sukar untuk dielak mana-mana individu bergelar artis.

"Tetapi apa yang lebih penting adalah diri kita sendiri kerana sebagai artis dan dikenali umum, kita perlu sentiasa menjaga imej dan menjauhkan diri daripada aktiviti yang kurang elok," ujarnya.

Tambah Emily, terdapat perbezaan yang amat ketara berhubung gosip melibatkan artis dalam industri berbahasa Cina jika dibandingkan dengan industri berbahasa Melayu di negara ini.

"Industri berbahasa Melayu lebih besar pengaruhnya dan pastinya penekanan kepada suatu gosip itu lebih besar berbanding industri berbahasa lain dan ini juga suatu perkara baharu buat diri saya.

"Namun ia tidaklah keterlaluan sehingga membuatkan saya gementar untuk menjejakkan kaki ke dalamnya kerana saya yakin masyarakat umum akan menilai bakat dengan sewajarnya," tambahnya.

Tidak dapat dinafikan industri hiburan tempatan adalah yang utama di rantau Asia Tenggara dan pastinya kelebihan itu menarik minat ramai individu untuk menceburinya.

Jika sebelum ini kita sudah mendapat kemasukan dalam jumlah besar bakat-bakat dari Singapura dan Indonesia, kini individu berasal dari Brunei juga mahu turut serta.

Nina Iskandar, 22, yang mula bergelar anak seni sejak tahun 2011 di negara kelahirannya iaitu Brunei Darussalam, nekad mahu mencipta nama sebagai pelakon di Malaysia memandangkan peluang dan pasaran yang lebih luas di sini.

"Industri hiburan di Brunei jauh berbeza dengan di Malaysia. Jika saya benar-benar mahu menjadikan lakonan sebagai karier dan mata pencarian, adalah penting untuk saya berhijrah ke sini.

"Di Brunei, kebanyakan pelakon mempunyai kerja utama lain dan bidang lakonan dilakukan secara separuh masa, sama juga dengan diri saya sewaktu bermula dahulu.

"Perasaan rindu akan keluarga dan kampung halaman itu pasti ada namun minat yang semakin mendalam terhadap bidang lakonan membawa saya ke sini," jelasnya yang mendapat sokongan seluruh ahli keluarganya.

Telah terlibat dengan beberapa drama di negara asalnya, Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar bakal tampil dengan beberapa filem bermula awal tahun hadapan.

Antara drama lakonan Emily Chan termasuklah Footprint, The Descendent, Dark Sunset, Laws Of Attraction dan Undercover.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved