Utusan Online - Pahang |
- Jengka Sentral mula beroperasi
- Peniaga digesa segera daftar dengan SSM
- Persiapan terbaik sambut TMM 2014
Jengka Sentral mula beroperasi Posted: 23 Nov 2013 10:07 AM PST Oleh SALEHUDIN MAT RASAD Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral di Bandar Tun Abdul Razak Jengka mula beroperasi awal bulan ini. MARAN 23 Nov. - Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral yang dibina dengan kos kira-kira RM10 juta mula beroperasi sepenuhnya awal bulan ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, sepatutnya Jengka Sentral dibuka sebelum Hari Raya Aidiladha lalu, tetapi ditunda berikutan terdapat kerosakan kecil di bahagian bumbung akibat ribut. Katanya, pembukaan Jengka Sentral secara tidak langsung mengalu-alukan kehadiran tetamu dari seluruh negara sempena majlis konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang di sini baru-baru ini. "Projek pembinaan Jengka Sentral yang bermula 1 Ogos 2011 diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan pada Julai 2011. "Terminal pengangkutan bersepadu Jengka Sental itu kini menjadi mercu tanda baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka sekali gus menjadi kebanggaan warga Jengka. "Kompleks ini akan menjadi nadi perhubungan pengangkutan awam penduduk Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk ke bandar lain di seluruh negara dengan lebih cepat dan efisien," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini. Tambah beliau, stesen bas dan teksi sementara di sini juga telah ditutup sebaik sahaja Jengka Sentral beroperasi. Menurut beliau, peniaga di kompleks itu yang terdiri daripada peniaga asal dan penduduk tempatan juga telah melalui situasi baharu yang lebih berdaya saing. Wan Salman berkata, projek yang dilaksanakan itu adalah manifestasi kepada keikhlasan Perdana Menteri untuk mentransformasikan Bandar Tun Abdul Razak selari dengan kepesatan negara. Katanya, Jengka Sentral yang mempunyai reka bentuk menarik seperti kapal angkasa itu menjadi pintu masuk utama ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka membabitkan orang ramai termasuk lebih 10,000 warga UiTM Jengka. "Lebih menarik satu lagi projek besar yang telah memulakan pelaksanaannya pada 1 April tahun ini ialah Kompleks Sukan atau Stadium Felda bernilai RM87.9 juta yang dijangka siap pada 31 Mac 2015," ujarnya. Jelas beliau, Stadium Felda di Bandar Tun Abdul Razak Jengka sangat ditunggu-tunggu warga Felda kerana merupakan satu kebanggaan untuk mereka dapat memiliki stadium sendiri. |
Peniaga digesa segera daftar dengan SSM Posted: 23 Nov 2013 10:07 AM PST RAUB 23 Nov. - Peniaga dan penjaja yang belum berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) digesa berdaftar segera dengan agensi itu bagi membolehkan mereka mendapat Skim Perlindungan Insurans Peniaga dan Penaja. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin (gambar) berkata, hanya mereka yang berdaftar dengan SSM akan menikmati skim perlindungan terbabit. Katanya, skim insurans itu turut membabitkan peniaga kecil lain seperti penjual kuih, peniaga ikan dan peniaga nasi lemak. "Kerajaan menyasarkan kira-kira sejuta peniaga dan penjaja didaftarkan sebelum akhir tahun ini di seluruh negara. "Skim itu bertujuan memberi perlindungan kepada mereka yang ditimpa kemalangan semasa menjalankan perniagaan yang turut meliputi bayaran kos perubatan serta pendapatan kepada mereka yang terbabit kemalangan," katanya kepada pemberita selepas menemui peniaga kecil di Gali Dong di sini kelmarin. Menurut beliau, sebahagian besar peniaga dan penjaja di negeri ini tidak mempunyai perlindungan insurans dan jika adapun hanya skim insurans perlindungan nyawa. Katanya, mereka yang tidak mempunyai skim perlindungan kemalangan akan menghadapi pelbagai kesulitan jika terlibat dalam insiden. Beliau berkata, skim perlindungan insurans itu diberikan kepada peniaga terbabit kerana kerajaan prihatin dengan nasib mereka jika terlibat dalam kemalangan. |
Persiapan terbaik sambut TMM 2014 Posted: 23 Nov 2013 10:07 AM PST KUANTAN 23 Nov. - Kerajaan negeri sudah melakukan segala persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) termasuk menampilkan 10 ikon pelancongan Pahang bagi menyambut ketibaan jutaan pelancong dari dalam dan luar negara. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sehubungan itu, pihaknya optimis sasaran kehadiran 10.5 juta pelancong pada tahun hadapan mampu dicapai menerusi pelbagai promosi yang diatur. "Kita telah mempersiapkan dari segala sudut meliputi mereka yang gemar aktiviti santai hinggalah kepada aktiviti lasak yang disediakan semua ikon pelancongan kita bermula dari Pulau Tioman, Rompin sampailah ke Cameron Highlands. "Segala persediaan ini tidak hanya dibuat untuk menerima pelancong asing malah juga untuk menerima kunjungan pelancong tempatan," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran risalah pelancongan berbasikal di Kampung Pantai Sepat dekat sini baru-baru ini. Sempena program itu, turut berlangsung acara berbasikal melibatkan 150 peserta bermula dari kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan berakhir di kampung tersebut. Selepas tiba di Kampung Pantai Sepat, para peserta melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid, pantai dan menanam pokok di sekitar lokasi berkenaan. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif. Mengenai program itu, beliau berkata, risalah pelancongan berbasikal tersebut mengandungi empat buah pakej yang menampilkan laluan berbasikal di sekitar negeri ini termasuk Kuantan, Raub, Pekan, Temerloh dan Bentong. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan