Utusan Online - Dalam Negeri |
- Sultan Ibrahim hadir Jamuan Teh Bersama Rakyat
- 3,300 anggota polis akan bantu mangsa banjir di Terengganu
- Jangan mudah tertipu pakej umrah murah - Menteri
Sultan Ibrahim hadir Jamuan Teh Bersama Rakyat Posted: 23 Nov 2013 01:41 AM PST Oleh ZULHISHAM ISAHAK MUAR 23 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli menghadiri Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Hari Keputeraannya yang ke-55 di Dataran Tanjung Emas, di sini pukul 5 petng ini. Baginda kemudian diiringi isteri, Raja Zarith Sofiah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar, Mohamed Khaled Nordin memotong kek sambil disaksikan kira-kira 10,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. - UTUSAN ONLINE |
3,300 anggota polis akan bantu mangsa banjir di Terengganu Posted: 23 Nov 2013 01:37 AM PST KUALA TERENGGANU 23 Nov. - Seramai 3,300 anggota polis di Terengganu diletakkan dalam keadaan bersedia untuk membantu mangsa banjir di negeri ini pada musim tengkujuh ini. Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, kesemua anggota polis itu akan digerakkan sebaik banjir berlaku di negeri ini. Sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh, polis kini membuat pemantauan empat jam sekali kenaikan paras air sungai khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sementara itu Hamzah mengingatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir supaya membuat persediaan awal untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat jika paras air sungai telah melebihi paras bahaya. "Kami minta orang ramai agar mematuhi arahan jika diminta berpindah. Selain itu buat persediaan awal dengan mengutamakan dokumen-dokumen penting dan barang berharga ketika berpindah," katanya. - BERNAMA |
Jangan mudah tertipu pakej umrah murah - Menteri Posted: 23 Nov 2013 12:48 AM PST KUALA LUMPUR 23 Nov. - Pengguna Muslim dinasihat tidak terpedaya dengan pelbagai janji ditawarkan dalam pakej umrah dengan harga murah. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, pihak yang membuat tawaran itu hanya memikirkan keuntungan semata-mata berbanding kepentingan pengguna. "Ada yang janji pakej murah, hotel dekat dengan Kaabah tapi bila sampai di Tanah Suci, berlaku sebaliknya. "Ada juga yang mengalami masalah visa pada saat akhir, sedangkan duit untuk menunaikan ibadat umrah telah dibayar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Kembali ke Sekolah peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur Festival City di sini, hari ini. Beliau mengulas mengenai laporan bahawa sebanyak 85 syarikat terbabit dalam kes penipuan pakej umrah melibatkan tuntutan RM6.9 juta sejak 2009. Dalam pada itu, Hasan menggesa orang ramai tampil membuat aduan lengkap kepada pihak kementerian sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga barangan secara tidak munasabah. "Saya minta kerjasama pengguna buat aduan di talian 1-800-886-800 supaya tindakan boleh diambil segera," katanya. Mengenai program Jualan Kembali ke Sekolah tahun ini, Hasan berpuas hati dengan penglibatan pihak swasta yang semakin meningkat berbanding sebelumnya. Program tahun itu bermula 15 November hingga 31 Disember ini di seluruh negara dengan menawarkan barangan persekolahan seperti uniform, alat tulis, kasut dan keperluan persekolahan dengan harga yang berpatutan. Pasar raya seperti AEON, Giant, Tesco, Mydin, Aeon Big dan Parkson menyertai program ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan lapan negeri - Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor, Kedah, Johor, Sarawak, Terengganu dan Sabah. Pada pelancaran itu, seramai 50 kanak-kanak pelbagai kaum dari sekolah rendah dan menengah menerima sumbangan barangan persekolahan untuk sesi 2014. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan