Sabtu, 23 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


PPK dinasihat jimat berbelanja

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

Ramlan Othman (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta yang memenangi kategori masing-masing dalam Majlis Tilawah Al-Quran Dan Berzanji Peringkat PPK Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini. - utusan/ FARIK SALLEH

KOTA TINGGI 22 Nov. - Penurunan harga komoditi terutama minyak sawit sedikit sebanyak memberi impak kepada ekonomi pertubuhan peladang yang menjadikan perniagaan dalam sektor itu sebagai aktiviti utama.

Pegawai Peladang Daerah Johor Timur, Ramlan Othman berkata, pertubuhan peladang kawasan (PPK) diharap dapat mengambil langkah berjimat cermat supaya keuntungan yang diperoleh tidak terlalu rendah jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

"Kami harap penurunan harga komoditi ini hanya sementara waktu sahaja dan pada masa akan datang mungkin ada perubahan dari segi harga disebabkan oleh permintaan minyak sawit," katanya selepas merasmikan Tilawah Al-Quran dan Berzanji Peringkat PPK Pengerang di Masjid As-Syifa', Bandar Penawar, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi PPK Pengerang, Abdul Kadir Ahmad; Pengurus Besar PPK Pengerang, Fairulnizam Maskon dan wakil rasmi kepada Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Azizi Baharom.

Seramai 29 peserta tilawah dan berzanji kategori kanak-kanak dan dewasa serta tiga kumpulan nasyid dari kalangan ahli PPK mengambil bahagian dalam majlis tersebut.

Johan tilawah kanak-kanak dimenangi oleh Fikri Mohd. Nizan dari Kampung Air Tawar 5 dan Siti Nurul Najwa Nordin dari Sinaran Mas.

Kategori qariah dimenangi oleh Nur Haffni Salleh dari Kampung Jawa sementara kategori qari dimenangi Badron Markon dari Tanjung Serindit.

Ramlan dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada PPK Pengerang atas kejayaan menganjurkan program tersebut yang bukan sahaja bermatlamat membudayakan membaca al-Quran malah mengikat hubungan silaturahim dan ukhuwah di kalangan peserta.

"Dengan adanya program tilawah seperti ini akan dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk menyertai program tilawah pada masa akan datang. Peserta yang berjaya akan mewakili PPK Pengerang di peringkat pertubuhan peladang daerah dan seterusnya peringkat negeri," katanya.

Pengguna media sosial perlu bijak

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

JOHOR BAHRU 22 Nov. - Pengguna internet dan media sosial seperti Facebook dan Twitter perlu bijak menilai sebarang bentuk maklumat dengan memeriksa kesahihannya sebelum menyebarkan hal tersebut secara berleluasa seperti kontroversi Villa Nabila yang diperbesar-besarkan baru-baru ini.

Ketua Wilayah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Johor, Roszeta Kassim berkata, setiap maklumat yang dikongsi tanpa mengambil kira kesannya mungkin menimbulkan kekecohan malah keselamatan sehingga mengundang bahaya.

"Program Klik Dengan Bijak SKMM sebagai contoh, adalah untuk kesedaran pengguna kerana apa yang kita muat naik ke internet akan kekal di situ.

"Kepada individu pentadbir halaman berkaitan Villa Nabila yang mendakwa 23 daripada 30 hilang, maklumat palsu ini sebenarnya adalah satu kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sekiranya kita menerima laporan, SKMM akan bantu agensi seperti polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurut Roszeta, pihaknya akan terus berusaha memupuk kesedaran sama ada di pelbagai peringkat agensi kerajaan, sekolah, institut pengajian tinggi dan organisasi lain dan usaha tersebut diperhebat dari semasa ke semasa.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved